05 May, 2009

PERCATURAN POLITIK TECK LEE

Hari ini Presiden Parti Gerakan Dr. Koh Tsu Koon mengumumkan Timbalan Ketua Menteri Sabah tanpa parti, Raymond Tan akan menyertai partinya. Semuanya gara-gara perjudian Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Yong Teck Lee membawa partinya keluar dari Barisan Nasional (BN) selepas Pilihanraya Umum ke-12 lalu. Kerana terlalu yakin Anwar Ibrahim mampu merampas Kerajaan Persekutuan pada 16 September 2008, maka sekali lagi Teck Lee membuat percaturan politik dengan membawa sebuah parti komponen meninggalkan BN.

Ini kali kedua Teck Lee tersilap catur. Pada 1990, beliau adalah antara perancang utama membawa Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Joseph Pairin Kitingan keluar dari BN, ketika negara sedang menghadapi kempen Pilihanraya Umum ke-8. Ketika itu Teck Lee terlalu yakin Tengku Razaleigh Hamzah yang memimpin Parti Semangat 46 dan Gagasan Rakyat mampu mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Hanya sekali percaturan politik Teck Lee agak mengena, apabila beliau meninggalkan PBS dan menubuhkan SAPP menjelang Pilihanraya Negeri Sabah pada 1994. Walaupun PBS menang tipis dalam pilihanraya itu, tetapi tindakan beberapa orang Adun parti itu melompat, termasuk Lajim Ukin dan Ruben Balang, telah membolehkan BN mengambil alih kepimpinan Kerajaan Negeri. Teck Lee bernasib baik, dan bintangnya cerah seketika sehingga membolehkan beliau menjadi Ketua Menteri Sabah di bawah sistem penggiliran jawatan itu hasil idea mantan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad.

Raymond Tan berkata penyertaannya ke dalam Gerakan, parti komponen BN, ibarat ‘kembali ke rumah yang selamat’. Beliau menyeru semua ahli SAPP mengikut jejak beliau.

Soalnya, apakah Teck Lee punya percaturan lain bagi memastikan ahli-ahli partinya berada di ‘rumah yang selamat’? Ke manakah pula beliau akan membawa SAPP selepas ini? Terus memperjudikan nasib ahli-ahlinya dengan Anwar Ibrahim atau kembali ke pangkal jalan.

Teck Lee memang suka memperjudikan politik, tetapi perjudiannya tidak selalu mengena.

1 comment:

Syed Zul Tojo said...

You know better. You were in Sabah, once.