17 May, 2009

MURUGIAH - HERO INDIA YANG DISINGKIR

Presiden PPP, M. Kayveas buat hal lagi. Kali ini dia menggunakan sikap kuku besinya dengan menyingkirkan T. Murugiah dan enam ahli parti itu. Kayveas memberi alasan Murugiah telah mengeluarkan kenyataan supaya PPP dibubarkan. Tetapi umum tahu bahawa Murugiah sudah hampir pasti mencabar Kayveas untuk jawatan Presiden PPP.

Politik Kayveas memang kasar. Jika mahu lihat politikus bersikap diktator, karaktor itu ada pada Kayveas. Bagi Kayveas, tidak ada siapa yang boleh mencabar dirinya. Sikap kasar dan diktator Kayveas sering juga terbawa-bawa ke luar partinya. Dia pernah beberapa kali mengugut akan membawa PPP keluar dari Barisan Nasional (BN) jika kehendaknya tidak dituruti. Antaranya dalam soal pembahagian kerusi Pilihanraya dan jawatan di dalam kabinet Kerajaan Persekutuan.

Selepas Pilihanraya Umum 2008 lalu, Kayveas memberi kata dua kepada Kerajaan BN supaya mengkaji semula ISA, atau parti itu keluar dari BN menjelang Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13). Ugutan itu cukup jahat dan mengguris hati. Atas kenyataannya itu, aku sendiri telah membuat kenyataan balas terhadap Kayveas supaya membawa partinya segera keluar dari BN, tanpa perlu menunggu PRU13. BN tidak perlukan pemimpin yang suka mengugut, tambahan ketika BN dalam situasi tertekan.

Kayveas tidak menunjukkan reaksinya untuk membalas kenyataan aku, sebaliknya mendesak dan memaksa Pengerusi PPP Tanjong Malim menyerang kenyataan aku itu, tetapi arahannya itu tidak ditunaikan. Hubungan antara parti-parti komponen BN di Tanjong Malim sentiasa berada dalam situasi aman.

Seminggu lalu, aku ada berjumpa Murugiah di Ipoh, supper kena teh tarik di Hotel Casuarina bersama Menteri Besar Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Kewangan 11, Husni Hanazlah. Murugiah ketika itu nampak bersungguh-sungguh mahu mencabar Kayveas, tetapi ketika itu aku tahu, usianya di dalam PPP akan padam sebelum tiba masa pemilihan. Ramalan aku kini menjadi kenyataan. Nasibnya sama dengan Penasihat PPP, Mohan yang juga dipecat dari parti itu kerana menyanggah Kayveas.

Murugiah adalah tokoh baru yang semakin berpengaruh di kalangan masyarakat India di Malaysia. Dia dianggap hero oleh masyarakat India kerana beberapa tindakannya yang jelas membela nasib kaum itu. Masyarakat India melihat Murugiah seperti pelakon filem India, MGR atau Sivaji. Popularitinya mengatasi Kayveas. Apabila dipecat dari PPP, dia akan menjadi hero di luar lingkungan BN.

Eloklah Murugiah menubuhkan parti baru bagi membela nasib masyarakat India, dan parti itu diterima masuk ke dalam BN.

No comments: