29 October, 2018

LOMPAT PARTI - DAP PALING HIPOKRIT

Kenyataan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai semalam dalam isu melompat parti, telah mengesahkan betapa hipokritnya parti rasis Cina itu.

Kok Wai ketika berucap dalam satu konvensyen DAP di Kuala Lumpur berkata bahawa perbuatan melompat parti adalah amalan tidak sihat, tambahan lagi usia Kerajaan Pakatan Harapan (PH) belumpun menjangkau enam bulan.

Beliau merujuk kepada tweet Datuk A Kadir Jasin kononnya 40 Ahli Parlimen UMNO akan melompat ke parti Bersatu pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mungkin Kok Wai lupa agaknya, sehari selepas PRU14 pada 9 Mei lalu, DAP adalah parti yang paling aktif memujuk ADUN-ADUN UMNO supaya melompat bagi membentuk Kerajaan Negeri PH di Perak.

Beberapa pemimpin DAP Perak ketika itu bagai lipas kudung memujuk dengan menawarkan sejumlah wang  yang amat lumayan kepada ADUN-ADUN UMNO sebagai habuan untuk melompat ke parti DAP.

Perbuatan DAP di Perak itu bukan sahaja satu amalan tidak sihat, malah lebih jijik dan kotor kerana cuba merasuah wakil-wakil rakyat UMNO.

Tidak perlu tempoh enam bulan, dalam tempoh sehari pun DAP ibarat cacing kepanasan mahu membentuk Kerajaan Negeri Perak dengan melakukan amalan tidak sihat dan tiada maruah itu.

Namun habuan rasuah DAP Perak tidak menggelapkan mata ADUN-ADUN UMNO, malah perbuatan keji itu ditolak dengan rasa penuh keinsafan bahawa DAP bukanlah parti yang boleh membawa apa-apa kebaikan kepada rakyat Malaysia yang majmuk ini.

Bilangan 30 kerusi adalah majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Negeri Perak daripada 59 kerusi yang dipertandingkan. Dalam PRU14 lalu, PH hanya memenangi 29 kerusi, sementara UMNO 27 dan PAS 3.

Kerajaan Negeri Perak hanya terbentuk setelah dua ADUN UMNO mengisytiharkan diri mereka sebagai ADUN bebas dan menyokong ADUN Chenderiang, Ahmad Faizal Azumu dinobatkan selaku Menteri Besar. 

Malahan membuat janji kosong mahu memberikan status tanah kekal 999 tahun kepada para pengundi Cina di Kampung-kampung Baru seluruh negeri seperti dilakukan oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Meng dalam kempen PRU14 lalu juga adalah perbuatan keji kerana sejak awal dia tahu bahawa janji itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tanah Negara.

DAP juga pernah menyokong perbuatan mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaludin yang ketika itu ADUN Changkat Jering melompat dari parti PAS dan menyertai Amanah.

Jadi Kok Wai jangan terlalu perasanlah kononnya DAP itu parti yang amalannya serba serbi sihat dan bersih. DAP sebenarnya adalah parti yang paling hipokrit dan penuh dengan kepura-puraan.

20 October, 2018

ZAHID BERCUTI? ADU DOMBA MALAYSIAKINI


Semalam portal Malaysiakini melaporkan berita bertajuk 'Zahid mungkin perlu bercuti' kononnya memetik temubual wartawannya dengan Timbalan Presiden UMNO, Dato' Seri Mohamad Hassan (Tok Mat).

Pagi ini secara peribadi Tok Mat menghubungi saya menceritakan situasi sebenar percakapannya dengan wartawan Malaysiakini semasa beliau hadir memberi sokongan kepada Presiden UMNO, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam.

Pertamanya saya selaku bekas wartawan nak memberitahu bahawa sejak sekian lama saya tidak percaya sepenuhnya setiap laporan Malaysiakini yang dilihat lebih cenderung memutarbelitkan kenyataan individu yang ditemubual. Apatah lagi dengan rencana-rencana kolumnisnya yang gemar mensensasikan isu, suka mengadu-domba dan dijadikan alat pihak tertentu untuk menghancurkan perpaduan UMNO.

Tok Mat adalah mangsa terbaru Malaysiakini. Ketika menjawab soalan wartawan portal itu semalam, Tok Mat tidak sama sekali menyebut bahawa DS Zahid mungkin perlu bercuti sebagaimana intro berita yang disiarkan.

Apa yang dinyatakan secara umum oleh Tok Mat adalah SOP parti pada 2009 yang memerlukan pemimpin UMNO bercuti jika berdepan tuduhan di mahkamah.

SOP pada 2009 itu dibuat oleh UMNO sebagai langkah untuk menjaga integriti parti itu dan BN yang sedang memerintah ketika itu. Pendakwaan juga dibuat oleh pihak kerajaan.

Selepas PRU14 lalu kerajaan sudah bertukar tangan. UMNO kini bukan lagi pemerintah. Pemimpin UMNO kini berdepan dengan pelbagai tuduhan dan pendakwaan daripada kerajaan baru. Rata-ratanya pendakwaan bermotif politik terhadap pemimpinnya dengan tujuan mahu menghancurkan sama sekali UMNO.

Kesian Tok Mat yang menjadi mangsa manipulasi dasar kebebasan akhbar yang dahulu diperkenalkan oleh Kerajaan BN selepas era Mahathir. Malaysiakini menggunakan sepenuhnya dasar terbuka BN itu, bukan sahaja untuk menjatuhkan UMNO ketika parti itu berkuasa, malah selepas BN jatuh tersungkur. Adu domba untuk memecahbelahkan perpaduan UMNO kini menjadi agenda utama Malaysiakini, portal yang tidak berintegriti dan bercanggah dengan etika kewartawanan itu.

Wartawan selaku pelapor yang berintegriti sepatutnya meletakkan kenyataan Tok Mat mahu membawa isu ini ke mesyuarat pengurusan dan memutuskannya di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sebagai intro beritanya. Sebaliknya disebabkan sikap tidak berintegriti, wartawan berkenaan meletakkan intro yang tidak disebut pun oleh Tok Mat dalam temubual itu.

Saya tidak mempersalahkan jika ada pemimpin UMNO sendiri terkeliru dengan manipulasi berita oleh Malaysiakini. Itu sudah menjadi hakikat yang sejak sekian lama terpaksa ditelan oleh UMNO, termasuk oleh mereka yang kini tidak lagi berjuang bersama parti keramat ini.

Semoga para pemimpin UMNO terus istiqamah mempertahankan institusi kepresidenan parti daripada perbuatan zalim Kerajaan PH yang sedang ghairah membuat pendakwaan politik seperti dihadapi DS Zahid ketika ini. 

Bercuti bukan pilihan terbaik bagi seorang Presiden yang telah dipilih oleh akar umbi parti. Apatah lagi ketika UMNO berada di blok pembangkang, yang nyawanya masih bugar berbanding sebuah parti kerajaan yang hanya menguasai 13 kerusi dalam PRU lalu.

Apapun, sama-sama kita tunggu keputusan yang bakal dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO kerana itulah hairaki tertinggi dalam perlembagaan parti dalam membuat sebarang tindakan.

Semoga para pemimpin dan ahli UMNO terus bersatu mendepani dugaan yang mencabar ini.

Salam hormat
Mohd Khusairi Abdul Talib
Ahli Majlis Tertinggi UMNO
Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim

18 October, 2018

DAKWA ZAHID - USAHA PH MAHU BUNUH UMNO

KENYATAAN MEDIA
18hb Oktober 2018

1. Sekian lama sejak 1998 Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya memberi label jahat kepada ramai pemimpin termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini sebagai peliwat dan tidak layak menjadi pemimpin. Rentetan itu, ramai pemimpin Islam menerima akibat dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), manakala tokoh koporat dan usahawan menanggung banyak kerugian dan lingkup perniagaan.

2. Dr Mahathir kini nampaknya masih berusaha keras supaya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga dianggap jahat oleh masyarakat apabila cuba memburukkan imej pemimpin Islam itu kononnya Yayasan Akal Budi yang diasaskannya menerima dana dari 1MDB. Salah satu aktiviti yayasan itu adalah mewujudkan sebuah sekolah tahfiz berhampiran rumah keluarganya di Sungai Nipah Darat, Bagan Datuk, dan sumber dananya adalah dari wang Dr Zahid sendiri selain sumbangan sahabat-sahabatnya.

3. Dr Zahid yang sebelum ini dilihat bersih dan kuat berpegang dengan ajaran agama, menyatukan alim ulama, menyuburkan aktiviti agama dan membela anak-anak tahfiz, kini cuba dicalarkan imejnya. 

4. Jawatan Presiden UMNO sudah dianggap sebagai satu institusi dalam UMNO sejak parti keramat itu ditubuhkan pada 1946. Pakatan Harapan mahu membunuh imej Dr Zahid dengan tujuan memberikan gambaran buruk terhadap UMNO dan seterusnya membunuh parti yang selama ini menjadi sandaran orang-orang Islam dan memelihara kesejahteraan serta nasib rakyat pelbagai kaum dan agama. Itulah juga yang dilakukan terhadap mantan Presiden UMNO, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sehingga menyebabkan BN gagal mempertahankan kerajaan dalam PRU14.

5. Tindakan zalim Dr Mahathir ini tidak lain hasil dari kekecewaan beliau yang sebelum ini gagal memujuk Dr Zahid supaya membubarkan UMNO yang menjadi ancaman utama politik keluarga Dr Mahathir, kroni dan PPBM. 

6. Kita percaya tindakan Dr Mahathir tersebut adalah bertujuan melenyapkan UMNO dan mendorong orang Melayu berpaut kepada PPBM dan menjadikan partinya itu sebagai satu-satunya parti Melayu terkuat dalam negara ini.

7. Saya menyeru ahli-ahli UMNO, orang Melayu, umat Islam dan seluruh rakyat mempertahankan Dr Zahid yang kini dizalimi oleh kerajaan Malaysia Baru melalui pendakwaan bermotif politik yang kejam dan tidak masuk akal.

DATO MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia
Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim

06 October, 2018

RM2.6B HANYA SEKELUMIT DERMA ARAB SAUDI

Sejak empat dekad sehingga berita ini disiarkan pada 2015, Arab Saudi telah menderma USD115 bilion untuk membantu 90 negara. Jika mengikut anggaran tukaran USD1=RM4.1 ketika ini, USD115 bilion sama dengan RM471.5 bilion. Jumlah berkenaan didermakan hanya dalam tempoh 40 tahun oleh sebuah negara yang kaya dengan hasil minyak itu. 

Baru-baru ini, ketika menjawab soalan pengacara BBC News, Zeinab Badawi dalam program Hardtalk, seorang ketua negara mengemukakan pertanyaan balas meminta Arab Saudi jelaskan bagaimana negara Timur Tengah itu mendapat wang sebanyak RM2.6 bilion (USD681 juta) untuk didermakan kepada Dato' Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. 

Dia mendakwa tidak ada sesiapa yang memberikan wang sebanyak itu kepada sesiapa di dalam sejarah dunia. "Saya tak pernah baca ada kisah orang terima wang sebanyak itu," tambahnya. Derma USD115 bilion dari Arab Saudi itu telah lama tercatat dalam sejarah dunia. Malang jika beliau tak pernah terbaca.

RM2.6b ibarat sebutir nasi dalam dulang emas kerabat diraja Arab Saudi. Sejak sekian lama, sudah berpuluh mangkuk nasi mereka dermakan. Itu sejarah yang gagal dibaca oleh Mahadewa.

Amat memalukan di kacamata Arab Saudi untuk melayan soalan yang hanya membabitkan sejumlah kecil wang berbanding beratus billion ringgit yang telah mereka dermakan. 

Sebenarnya Arab Saudi perlu sedar, bahawa pemimpin berkenaan datangnya dari sebuah negara yang sudah hampir bankrap dan terpaksa memohon belas ihsan rakyat melalui Tabung Harapan untuk menghulurkan derma bagi membayar hutang negaranya. 

Arab Saudi perlu akui bahawa RM2.6 bilion begitu besar bagi pemimpin negara itu, walaupun pada hakikatnya kekayaan beliau dan keluarganya dikatakan mencecah angka trillion.

Harap kerabat diraja Arab Saudi tidak terlebih ketawa apabila dikemukakan soalan 'bodoh' dari seorang yang telah berusia 93 tahun. Sama-samalah terima hakikat kejadian Allah swt.

http://www.arabnews.com/saudi-arabia/news/815851