26 August, 2019

SKUAD SABIL, BRIGET PUTRA DAN PEMUDA UMNO

Pada tahun 1996 Pemuda UMNO Malaysia ada menubuhkan pasukan Briget Putra. Ketika itu Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi Ketua Pemuda. Anggota Briget Putra terdiri daripada ahli-ahli UMNO berusia 21 tahun ke bawah. Ada uniformnya sendiri.

Pada tahun 1998 berlaku krisis besar dalam UMNO, melibatkan pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan dalam kerajaan dan parti. Zahid yang ketika itu berada dalam kem Anwar turut terkena tempias, ditahan beberapa hari di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan terpaksa akur dengan syarat supaya beliau melepaskan jawatan Ketua Pemuda. Orang nombor dua Pemuda UMNO, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein mengambil alih dan memangku jawatan itu sehingga pemilihan parti pada tahun 2000.

Sejak Zahid melepaskan jawatan Ketua Pemuda, pasukan Briged Putra menjadi suam-suam kuku dan akhirnya lenyap dari kamus struktur politik UMNO. 

Semalam Zahid selaku Presiden UMNO melancarkan Skuad Sabil yang diwujudkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO di bawah pimpinan Dato' Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. Skuad Sabil juga ada uniformnya. Nama skuad ini mungkin agak menggerunkan, namun sudah pasti ia ada matlamat yang tersendiri dalam kerangka parti UMNO. 

Apapun jika mengikut sejarahnya, Briget Putra ditubuhkan sebelum parti PAS mewujudkan Unit Amal. Skuad Sabil pula lebih kepada penjenamaan semula dan memberi nafas baru kepada Briget Putra. Tidak timbul soal Pemuda UMNO mahu meniru atau terikut-ikut dengan penubuhan Unit Amal PAS.

Saya mengucapkan syabas kepada Pemuda UMNO di bawah kepimpinan Dr. Asyraf dan barisan Exconya. Kepimpinan Pemuda di peringkat Negeri dan Bahagian sudah pasti tidak sabar menanti kehadiran Skuad Sabil ini. Sewajarnya Skuad Sabil tidak hanya seperti peringkat awal Briget Putra yang anggotanya hanya sempat wujud di peringkat pusat.

Semoga gerak kerja Skuad Sabil Pemuda UMNO nanti menjadi gah di mata dan hati ahli-ahli parti dan para pengundi.

ent from Yahoo Mail on Android

23 August, 2019

KES EXCO ROGOL AMAH - NGEH RENDAHKAN MARTABAT SPEAKER

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Dato' Ngeh Ko Ham tidak wajar merendahkan martabatnya dengan membuat laporan polis berkaitan kes rogol melibatkan seorang Exco Kerajaan Negeri.

Tambahan lagi laporan itu dibuat di waktu malam seolah-olah Speaker sudah terlalu terdesak mahu mempertahankan satu kes yang menambahkan cemar parti DAP.

Kenapa tidak Nga Kor Ming saja yang membuat laporan polis itu, sesuai dengan jawatannya selaku Pengerusi DAP Perak? Malah Nga turut hadir ketika Ngeh membuat laporan di IPD Ipoh malam tadi.

Bukankah MB Perak, Faizal Azumu sebelum ini melabelkan jawatan Speaker itu satu institusi dan perlu dihormati? Dalam soal meminta ADUN mengisytihar harta kepada Speaker, kami diminta menghormati institusi Speaker, tetapi nampaknya Speaker sendiri tidak menghormati 'institusi' yang diamanahkan kepadanya.

Saya percaya bangunan IPD Ipoh dikawal rapi oleh CCTV. Pihak polis boleh siasat dengan mudah jika benar ada lelaki menemani amah Indonesia itu ketika wanita berkenaan membuat laporan yang dirinya dirogol oleh Exco DAP berkenaan. 

Jika benar ada lelaki yang dimaksudkan Ngeh itu, pihak polis juga perlu siasat identiti lelaki berkenaan samada berkemungkinan dia telah dirasuah oleh DAP untuk berbohong kononnya menerima RM100,000 supaya membawa amah itu membuat laporan polis dan diacukan pistol oleh lelaki lain agar tidak membongkar perkara sebenar.

Biarkanlah Mahkamah membuat pengadilan terhadap ADUN Tronoh itu. Tak perlu Speaker merendahkan martabatnya hanya disebabkan mahu membela seorang yang telah dituduh dan akan dibicarakan. Masyarakat sebenarnya mahu tahu perkara pokok yang amat penting - betulkah Exco DAP Perak telah merogol wanita pembantu rumahnya seorang warga Indonesia? Janganlah cuba mengubah fokus ini. Taktik DAP sebegini sudah basi.

07 August, 2019

MENTERI DAP TERESA KOK HILANG AKAL!!!

Menteri Industri Utama, Teresa Kok memberi alasan pemansuhan bantuan tanam semula sawit kepada pekebun-pekebun kecil adalah untuk berlaku adil kepada pekebun tersusun seperti Felda dan Felcra. 

Ini satu kenyataan tak masuk akal dari seorang Menteri DAP. 

Untuk pengetahuan Teresa, semasa Sambutan Hari Peneroka Felda pada 2017 di Putrajaya, Perdana Menteri ketika itu (siapa lagi jika bukan Dato' Seri Najib bossku) mengumumkan skim bantuan tanam semula daripada Kerajaan BN melalui MPOB itu akan turut melibatkan peneroka-peneroka Felda sebab mereka juga pekebun kecil. 

Pada 2018, sejumlah RM63 juta diperuntukkan oleh MPOB kepada Felda untuk tujuan itu, buat pertama kali dalam sejarah. 

Sebelum ini kos tanam semula peneroka Felda adalah melalui skim pinjaman disediakan oleh Felda yang telah membebankan peneroka dengan hutang. 

Daripada RM63 juta, sebanyak RM30 juta sempat dibelanjakan sebelum PRU14. Selepas PRU bantuan itu terus lesap. 

Jika BN menang PRU14 lalu dan terus menguasai Putrajaya, bukan sahaja skim bantuan tanam semula kepada pekebun2 kecil dilaksanakan seperti biasa, malah skim itu akan juga dinikmati oleh peneroka Felda. 

Jadi keadilan apa seperti dimaksudkan oleh Teresa PH-DAP ni terhadap pekebun tersusun Felda sehingga beliau memansuhkan skim bantuan tanam semula sawit kepada pekebun-pekebun kecil?

06 August, 2019

USAHA PH NAK BUNUH PEKEBUN KECIL SAWIT

Kerajaan Pusat dan Kementerian Industri Utama berniat jahat apabila enggan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun-pekebun kecil sawit di seluruh negara.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok semalam berkata skim itu tidak akan dilaksanakan kembali kerana mahu berikap adil kepada semua pihak. Katanya skim itu tidak membabitkan semua pihak termasuk pekebun tersusun Felda dan Felcra.

Pembatalan skim yang diperkenalkan sejak zaman pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional (BN) itu dilihat bertujuan untuk melumpuhkan aktiviti penanaman sawit di kalangan pekebun-pekebun kecil dan melonjakkan keuntungan kepada syarikat-syarikat besar.

Dalam erti kata lain, kementerian berkenaan mahu membunuh aktiviti ekonomi pekebun kecil sawit. Rata-rata pekebun kecil ini adalah Bumiputera, terdiri daripada Melayu, Orang Asli dan pribumi di Sabah dan Sarawak. Sebilangan kecilnya pula terdiri daripada kaum Cina dan India yang berpendapatan rendah.

Sebelum ini Kerajaan BN melalui Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK), menyediakan peruntukan khas bantuan kewangan kepada pekebun-pekebun kecil sawit, iaitu RM7,000 bagi setiap hektar untuk tujuan menanam semula pokok yang sudah tua dan tidak produktif.

Kini di bawah Kerajaan PH, pembatalan bantuan tanam semula sudah pasti akan memberi kesan terhadap keluasan tanaman sawit oleh pekebun-pekebun kecil dan akan  menurunkan kapasiti bekalan bahan mentah itu di pasaran. 

Majoriti besar pekebun kecil tidak akan mampu mengeluarkan modal sendiri bagi membiayai kos penanaman semula. 

Apabila penawaran bekalan sawit berkurangan, harga komoditi itu dijangka meningkat, namun ianya hanya menguntungkan syarikat-syarikat yang mempunyai ladang dan modal besar. 

Kebanyakan syarikat ini berdaftar di bursa saham dan pemegang sahamnya majoriti bukan Bumiputera. 

Tidak masuk akal alasan menteri kononnya mahu mewujudkan keadilan kepada pekebun-pekebun lain terutamanya dari Felda dan Felcra. Kedua-dua agensi itu sudah ada kaedahnya sendiri bagi menampung kos penanaman semula. Namun pekebun-pekebun kecil telah sejak sekian lama bergantung kepada bantuan kerajaan.

Tujuan kerajaan terdahulu memberi bantuan tanam semula kepada pekebun kecil adalah untuk memastikan bekalan sawit dan getah tidak hanya dimonopoli oleh syarikat-syarikat besar, membantu bagi menjanakan kewangan golongan berpendapatan rendah, mengelakkan tanah terbiar dan bagi memastikan bekalan sawit dan getah tidak berkurangan atau terputus.

Tanpa bantuan kerajaan, berkemungkinan aktiviti memajak tanah kembali berleluasa yang akan hanya memberi pulangan kecil kepada pekebun-pekebun kecil.

Saya mendesak Kerajaan Pusat dan Kementerian Industri Utama supaya mengembalikan skim bantuan tanam semula demi memastikan pekebun-pekebun kecil tidak dinafikan hak mereka daripada turut menikmati kek ekonomi sawit di negara ini.

03 August, 2019

OHHH JURUTOL...CORETAN LARUT MALAM

Tepat jam 1.00 pagi saya tiba di sebuah tol dalam perjalanan pulang dari Ipoh selepas selesai mesyuarat. Saya memandu ke lorong paling kiri kerana baki kad Touch & Go tak mencukupi.

Saya hulurkan wang berserta kad tol. Jurutol seorang wanita Melayu berwajah agak bulat dan berisi. Usianya mungkin sekitar akhir 30an.

"Masuk semua seratus ye Encik?" tanya wanita itu.

"Ye, seratus," jawab saya sambil melemparkan senyuman. Dalam hati berkata, dia mungkin pengundi saya.

Sebentar kemudian, jurutol wanita itu melekapkan kad ke mesin pengimbas. Tertera RM13.50. Baki di kad ada RM91.30. 

"Encik, lepas ni Encik kena isi duit awal ye?" kata jurutol itu sambil menyerahkan semua kad kepada saya.

"Kenapa ye?" tanya saya kehairanan. Ini bukanlah kali pertama saya top-up kad di pondok tol. 

Dia senyum sambil menjawab, "lepas ni tak boleh tambah di pondok tol lagi. Pondok ni tak ada orang."

Bulu roma saya terus berdiri. Rasa seram tambah pula sendirian pada waktu-waktu begini. Kenapa pula tak ada orang? Siapa pula yang akan menunggu kenderaan di pondok itu? Hantu? 😱

"Ohhh... mungkin tol dah nak dihapuskan sebagaimana janji manifesto," bisik hati saya bagi meredakan perasaan.😰

Wanita itu mungkin dapat melihat kehairanan pada wajah saya, lantas dia segera menyambung kata, "maksud saya tak lama lagi dah tak ada jurutol macam saya dalam pondok ni. Kami mungkin dipindahkan ke tempat lain."

"Pindahkan ke mana?" tanya saya.

"Tak taulah Encik."

"Ramai kena berhenti kot?"

"Mungkin lah Encik. Tak tau lagi apa nasib kita."

"Ermmm, dah semakin teruk sekarang ni," kata saya sambil melihat wajah jurutol itu yang tiba-tiba suram.

Saya menggerakkan kereta sambil menekan picu penutup tingkap. Hati saya mula berdialog sepanjang perjalanan menuju ke rumah. Rasa simpati yang amat sangat terhadap jurutol tadi dan rakan-rakan sekerjanya. Sudah berpuluh tahun pemandu berurusan dengan jurutol, biarpun dah ada pilihan menggunakan lorong Touch & Go dan Smart tag.

Entah berapa ribulah bilangan mereka yang selama ini bergantung hidup melalui pekerjaan jurutol dari Utara di Perlis hinggalah ke Selatan di Johor. Tak mungkin jumlah seramai itu dipindahkan ke bahagian lain oleh pihak syarikat konsesi, melainkan ditamatkan perkidmatan. Apa bahagian lain lagi yang ada untuk mereka? Jadi kerani dalam pejabat? Jadi cleaner? Tukang bancuh kopi? Pengawal keselamatan? 

Jika dicampur dengan keluarga, bilangan insan yang menumpang rezeki hasil pekerjaan jurutol ini mencecah puluhan ribu, malah mungkin juga ratusan ribu jiwa. Tak mustahil jika ramai di kalangan jurutol ini merupakan ibu tunggal, atau bapa yang menyara deretan anak di rumah.

Ahhhh... susah mata nak lelap walaupun waktu dah menunjukkan jam 2.45 pagi. Masih terbayang wajah wanita jurutol tadi. Begitu juga wajah-wajah kenalan saya yang bekerja selaku jurutol, termasuk suami isteri bekas jiran saya yang kedua-duanya jurutol. Apa lah nasib mereka selepas ini. 

Semoga mereka tabah dan bersabar. Ini lah Malaysia Baru yang sedang kita tempuhi. 😢