29 October, 2009

SIDANG DUN PERAK - LATIHAN PEMBANGKANG MASIH GAGAL

ADUN PEMBANGKANG MEMBOIKOT SIDANG DUN PERAK

Beberapa siri latihan Sidang DUN yang dilakukan masih tidak dapat mengubah sikap buruk dan biadap Adun-Adun DAP, PKR dan PAS di Perak. Malahan latihan yang baru sahaja dibuat tak sampai beberapa minit di dalam Dewan Negeri semalam juga tidak dapat mereka praktikkan.

Mungkin disebabkan kesilapan pada Sidang 7 Mei lalu, maka Adun-Adun pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS bersungguh-sungguh berlatih untuk belajar bagaimana caranya bersidang dalam suasana lebih matang, beradab dan mengikut Tatacara Persidangan.

Niatnya baik, mungkin atas kesedaran bahawa rakyat tidak suka dengan sikap biadap, ganas dan tidak menghormati Dewan yang mulia seperti mereka tunjukkan pada Sidang 7 Mei itu.

Ketika Sidang DUN ditangguhkan selama sejam oleh Speaker Dato’ R. Ganesan semalam, Adun Tronoh V. Sivakumar memulakan sessi latihan dan kursus pendek itu dengan tugas melakonkan watak Speaker. Sepanjang sessi latihan itu, mereka berjaya menunjukkan cara Sidang Dewan yang betul.

Tenang dan sejuk rasanya hati apabila Adun-Adun pembangkang menunjukkan kesungguhan mahu merubah sikap buruk mereka di hadapan Speaker, Menteri Besar, Adun-Adun BN, tiga Adun bebas, kakitangan kanan kerajaan serta pihak media. Ya, begitulah caranya bersidang wahai Sivakumar, Nizar, Ngeh dan Nga dan harapan kami semoga latihan ini akan dapat mengubah sikap ganas dan biadap Adun-Adun DAP-PKR-PAS, tidak seperti Sidang DUN pada 7 Mei lalu.

Namun sedihnya latihan singkat yang dibuat nampaknya tidak dapat mengubah perangai buruk mereka itu. Apabila Sidang disambung semula oleh Speaker, Adun-Adun pakatan pembangkang masih menunjukkan sikap buruk dan biadap. Masih ada sikap menjerit-jerit, terkinja-kinja, mengeluarkan kata-kata tidak sopan dan membuat bising. Cumanya tahniah le sebab tidak meninggalkan kerusi ketika berkelakuan seperti itu. Itu perubahan yang sudah cukup baik. Kursus dan latihan yang lebih panjang dan intensif perlu dibuat.

Masih ada sikap yang perlu diperbaiki oleh Adun-Adun DAP, PKR dan PAS. Nizar selaku Ketua Pembangkang perlulah mendidik Ngeh, Nga, Thomas Su dan Adun-Adun pembangkang yang lain supaya menghormati masa dan datang lebih awal ke Sidang Dewan, tidak berbuat bising ketika sidang dijalankan, tidak memboikot sidang, belajar bagaimana menghormati Speaker dan tidak mengganggunya dan menjadikan Sidang DUN sebagai tempat untuk membawa masalah rakyat di kawasan.

Tetapi nampaknya Nizar sendiri masih terikat dan terbawa-bawa dengan sikap buruk itu. Harap latihan demi latihan diteruskan. Sedihnya setelah beberapa latihan dilakukan sebelum ini, Adun-Adun pakatan pembangkang masih tidak tahu tatacara Sidang DUN. Mereka telah berlatih di bawah pokok dan di hotel. Amat hairan kenapa mereka masih bebal dan tidak faham bagaimana menghormati Dewan Negeri yang mulia itu.

Semalam Adun-Adun pakatan pembangkang masuk lewat 30 minit ke dalam Dewan, berbuat bising dan menjerit perkataan-perkataan kotor di dalam Dewan ketika Speaker berada di kerusinya, mengganggu Adun-Adun lain yang mahu membahaskan usul, mengganggu Menteri Besar menggulung Bajet 2010, memboikot dan mengosongkan kerusi dan langsung tidak mengambil peluang membawa masalah rakyat di kawasan yang diwakili.

Walaupun mereka cuba mengganggu, namun Sidang DUN Perak semalam dapat berjalan dengan lancar. Sikap Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang terus tenang dan tidak melayan kerenah serta provokasi pakatan pembangkang menyebabkan Nizar, Ngeh Ko Ham dan Nga Kor Meng “mati kutu”.

Bajet Perak 2010 dapat diluluskan dengan sokongan kesemua 28 Adun BN dan 3 Adun bebas. Tidak seorangpun Adun pakatan pembangkang menyokongnya, bermakna mereka tidak mahu rakyat mendapat manfaat dari Bajet 2010 itu. Sudahlah tidak mahu membawa masalah rakyat ke dalam Dewan, mereka tidak mengambil peduli mengenai peruntukan yang akan digunakan untuk mentadbir negeri dan mengatasi masalah rakyat bagi tahun hadapan.

Ironinya, dalam keadaan tidak mahu berkhidmat membela nasib rakyat, Adun-Adun pakatan pembangkang menandatangani borang kehadiran yang diedarkan oleh Bentara Dewan dengan harapan boleh membuat tuntutan elaun mesyuarat. Mereka tidak mahu mengutamakan masalah rakyat, sebaliknya hanya mementingkan soal tembolok sendiri.

Teruskan lagi latihan wahai Adun-Adun DAP-PKR-PAS. Dalam tempoh enam bulan lagi, kami mahu melihat sikap yang lebih positif dari YB semua demi membela nasib rakyat yang telah membuat pilihan semasa PRU12 lalu.

Sila juga rujuk laporan Bernama http://www.bernama.com.my/bernama/state_news/bm/news.php?id=450660&cat=ut

28 October, 2009

TRAGEDI KUALA DIPANG - SIAPA KONTRAKTORNYA?





Siapakah kontraktornya? Persoalan ini terus berligar di pemikiran banyak pihak. Sehingga kini belum lagi dapat dipastikan kontraktor yang menjalankan kerja membina jambatan gantung yang runtuh di SK Kuala Dipang dekat Kampar pada malam 26 Oktober lalu.

Jambatan gantung itu baru dua minggu dibina. Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang selalu dirujuk untuk spesifikasi sesuatu projek langsung tidak tahu menahu mengenai pembinaan jambatan berkenaan. Begitu juga dengan Jabatan Pelajaran Daerah tidak dimaklumkan.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, jambatan itu adalah sumbangan dari sebuah syarikat yang mendapat kontrak perbekalan dari sebuah kementerian. Niatnya baik, iaitu untuk memudahkan peserta kursus menyeberangi Sungai Kampar antara Pusat Ko-Kurikulum Daerah PPD Kinta Selatan itu ke SK Kuala Dipang.

Niat baik syarikat itu terjejas akibat sikap kontraktor dan sub-kontraktor yang mengambil mudah aspek kekukuhan struktur binaan jambatan berkenaan. Dikatakan kontraktor mengambil untung yang terlalu tinggi hingga menyebabkan faktor binaan asas (foundation), khususnya penanaman cerucuk tidak dititik-beratkan.

Berdasarkan taklimat JKR, binaan asas yang dibuat oleh pihak kontraktor tidak cukup dalam bagi menampung beban di atas jambatan, malahan sukatan binaan juga tidak sama. Di sebelahnya hanya sekitar 4.3 meter sementara di sebelah yang lain kira-kira 6.5 meter. Faktor ini menyebabkan berlaku ketidak seimbangan jambatan berkenaan dalam menampung beban.

Dimaklumkan juga bahawa pihak sekolah beberapa kali membuat teguran terhadap kontraktor mengenai spesifikasi pembinaan jambatan itu, tetapi tidak mendapat jawapan yang memuaskan. Sebaliknya pihak kontraktor mendakwa telah biasa membina jambatan seumpama itu, termasuk di Sabah.

Maklumat lain pula mendakwa, pihak kontraktor cuba meminimakan kos kerja dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan yang besar. Difahamkan jambatan itu dibina dengan sumbangan kos RM50,000 hasil sumbangan syarikat pembekal berkenaan.

Sehingga artikel ini ditulis, dua pelajar yang hilang masih belum ditemui. Kerja-kerja mencari diteruskan sehingga ke tempat perangkap sampah berhampiran Jambatan Sungai Kampar di Jalan Persekutuan Kampar-Gopeng.

Sama-samalah kita berdoa semoga kerja-kerja mencari dan menyelamat dapat menemui dua pelajar berkenaan.





27 October, 2009

TRAGEDI KUALA DIPANG - 1 DITEMUI, 2 MASIH HILANG

TUANKU RAJA DR. NAZRIN SEDANG MENDENGAR TAKLIMAT PENGARAH JKR PERAK, DATO' DR. SAFRY. JKR TIDAK DIRUJUK DALAM PEMBINAAN JAMBATAN INI


Sehingga jam 5.40 petang ini, dua pelajar masih hilang dalam tragedi jambatan gantung runtuh di SK Kuala Dipang. Seorang pelajar telah ditemui mati lemas pagi tadi. Kerja-kerja mencari masih diteruskan.

DYMM Raja Muda Perak, Tuanku Raja Dr. Nazrin Shah mencemar duli melawat tempat kejadian pada jam 4.45 petang tadi. Beliau diiringi MB Perak Dato' Seri Dr. Zambry Abdul Kadir. Baginda mendapat taklimat dari pasukan Polis, Pengarah Pelajaran dan Pengarah JKR Perak.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melawat tempat tragedi kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

TUANKU RAJA DR. NAZRIN MENDENGAR TAKLIMAT POLIS DAN PPD

TRAGEDI JAMBATAN RUNTUH DI SK KUALA DIPANG

BAGAIMANA JAMBATAN GANTUNG YANG BARU SEBULAN DIBINA BOLEH RUNTUH?

DR. ZAMBRY SEDANG MENINJAU KERJA-KERJA MENYELAMAT DI TEBING SUNGAI KAMPAR


TRAGEDI JAMBATAN GANTUNG yang baru dibina runtuh di Kem berhampiran SK Kuala Dipang dekat Kampar amat menyedihkan kerana 22 pelajar terjatuh ke dalam Sungai Kampar dan dihanyutkan air deras. Sehingga jam 3.30 pagi ini, tidak ada tanda pelajar-pelajar Tahun 5 dan 6 yang sedang mengikuti Kem 1Malaysia itu ditemui.

Kejadian berlaku pada jam 10.40 malam tadi ketika pelajar-pelajar berkenaan menyeberang jambatan berkenaan untuk minum malam di SK Kuala Dipang yang terletak di seberang sungai tempat mereka mengadakan perkhemahan.

Ketika jambatan itu runtuh, seramai kira-kira 30 pelajar sedang berada di atas jambatan gantung itu, dan kesemuanya terhumban ke sungai. Hanya 7 pelajar yang terselamat sebaik kejadian kerana sempat berpaut di kabel jambatan, dan juga diselamatkan oleh guru dan petugas.

Tiang binaan di sebelah SK Kuala Dipang terbongkah yang menjadi punca jambatan itu runtuh, sementara binaan di sebelah kawasan perkhemahan masih kukuh.

Seramai 298 pelajar dari 60 buah sekolah kebangsaan sekitar Daerah Kinta Selatan mengambil bahagian dalam perkhemahan itu.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir bergegas ke tempat kejadian dan menamatkan mesyuarat persiapan Sidang DUN Perak di kediamannya lebih awal. Beliau meninjau tempat kejadian dan mendapatkan laporan dari pihak polis, bomba dan pengendali perkhemahan.

Seramai lebih 100 anggota dari Pasukan Polis PGA dan Bomba berusaha keras untuk mencari mangsa.

Turut hadir dalam lawatan itu Timbalan Menteri yang juga Ahli Parlimen Tapah, Dato' Saravanan, ADUN Chenderiang yang juga Exco Kerajaan Negeri, Dato' Dr. Mah Hang Soon, Adun Air Kuning yang juga Ketua Umno Bahagian Tapah, Dato' Shamsuddin Abu Hassan, Ketua Umno Bahagian Kampar, Dato' Radhi Manan, Exco Wanita yang juga Adun Sungai Rapat, Dato' Hamidah Osman, Pegawai Pembangunan Negeri (SDO) Dato' Zainal Abidin Omar dan beberapa yang lain.

Di akhir lawatannya, Dr. Zambry yang kelihatan muram di sepanjang lawatannya itu, melahirkan rasa amat sedih dengan kejadian berkenaan dan telah mengarahkan supaya pihak Pejabat Pelajaran Daerah dan jabatan-jabatan berkaitan membuat siasatan segera mengenai punca jambatan itu boleh runtuh. Beliau menyatakan rasa simpati kepada ibubapa di mana anak mereka terlibat dalam tragedi malang itu.

Kepada ibubapa yang anaknya masih dicari, saya melahirkan rasa simpati yang amat sangat. Terbayang wajah anak-anak saya di rumah. Semoga mereka selamat dan dapat dijumpai. InsyaAllah.

DR. ZAMBRY MENDENGAR TAKLIMAT TRAGEDI

DR. ZAMBRY MENDENGAR TAKLIMAT DARI PEGAWAI POLIS DAERAH

KERJA-KERJA MENCARI MANGSA DILAKUKAN LEBIH 100 ANGGOTA POLIS PGA DAN BOMBA

DR. ZAMBRY BERTEMU PELAJAR YANG BERKHEMAH

MB DAN SALAH SEORANG PELAJAR YANG TERSELAMAT

SALAH SEORANG DARI 7 PELAJAR YANG TERSELAMAT SETELAH TERHUMBAN KE SUNGAI

MB MENJAWAN SOALAN WARTAWAN DI TEMPAT TRAGEDI

DR. ZAMBRY MENDAPAT LAPORAN PIHAK BOMBA

SEBAHAGIAN PELAJAR YANG MENYERTAI KEM 1MALAYSIA DIBERIKAN TAKLIMAT OLEH GURU BERTUGAS

SEBAHAGIAN PELAJAR YANG MENYERTAI KEM

SEBAHAGIAN PELAJAR YANG MENYERTAI KEM

MB MELAWAT PELAJAR DI KEM

MB MELIHAT JACKET KESELAMATAN YANG TERDAPAT DI KEM ITU

SEBAHAGIAN WARTAWAN DAN JURUGAMBAR

PEMANTAUAN KERJA-KERJA MENCARI DAN MENYELAMAT

BINAAN JAMBATAN DI SEBELAH TEMPAT PERKHEMAHAN

23 October, 2009

SIDANG DUN PERAK - SIAPA SEBENARNYA TERANCAM?


Pemuda Pas Perak cuba mengalih fakta sebenar kekecohan Sidang DUN pada 7 Mei lalu. Mereka berura-ura mahu mengadap Sultan Perak untuk mengadu kononnya jika diteruskan Sidang DUN Perak pada 28 Oktober nanti, maka ianya akan mengancam keselamatan Adun pakatan pembangkang sebagaimana yang berlaku pada Sidang DUN 7 Mei lalu.

Nampak jelas satu lagi pembohongan cuba dilakukan oleh pakatan pembangkang. Rakaman-rakaman video begitu ketara menunjukkan Adun-Adun pakatan DAP-PKR-PAS lah yang menimbulkan huru-hara sejak awal persidangan.

Adun-Adun pembangkang menyerang tempat duduk pihak Kerajaan, menghalang Menteri Besar dan Setiausaha Dewan dari bercakap, mengkasari Setiausaha Kerajaan Negeri, menolak hingga jatuh Bentara Dewan, merosakkan beberapa pembesar suara, berdiri di atas meja, makan di dalam Dewan, menghina kecacatan pada diri Timbalan Speaker yang juga seorang wanita, membaling buku, menjerit kata-kata kesat dan lucah, menyerang fizikal secara curi dan lain-lain perbuatan buruk yang telah dilakukan berpunca sikap pihak pembangkang.

Di bawah ini saya catatkan beberapa peristiwa yang mencetuskan kekecohan.

 Adun-Adun pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS menyerbu masuk ke Dewan Negeri sebaik sahaja DYMM Pemangku Sultan Perak, Tuanku Raja Dr. Nazrin Shah selesai memeriksa baris hormat. Mereka yang sepatutnya duduk di sebelah kiri Speaker telah membawa tanda nama mereka ke tempat duduk kerajaan, dan mengoyak tanda nama Adun-Adun BN. Adun-Adun BN yang masuk kemudian agak keliru melihatkan Adun-Adun pembangkang sudahpun mengambil tempat di tempat duduk pihak kerajaan, tetapi tidak membantah dan mengambil tempat duduk sebelah kiri, termasuk Menteri Besar, Exco-exco, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

 V. Sivakumar yang sudah sedia berada di kerusi Speaker tanpa mengikut protokol memulakan suasana tegang dengan meninggikan suara mengarah MB, enam Exco keluar dari Dewan atas alasan mereka telah digantung, dan tiga Adun bebas juga diarah keluar atas alasan telah mengosongkan kerusi. Sivakumar juga mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri berpindah tempat duduk di belakang Nizar dan Ngeh Ko Ham di sebelah kanan. Adun-Adun pembangkang menjerit-jerit dengan perkataan “keluar, keluar” sambil berdiri.

 Setiausaha Dewan menuju ke arah pembesar suara untuk memulakan mesyuarat dengan agenda bacaan doa, tetapi kira-kira enam Adun pembangkang dari DAP dan PKR menyerbu ke tengah galeri dan menghalang Setiausaha Dewan dari bercakap. Mereka mengalihkan pembesar suara. Kata-kata kesat mereka hamburkan kepada Setiausaha Dewan.

 Atas bidang kuasanya selaku Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berdiri dan mengemukakan usul hilang kepercayaan terhadap V. Sivakumar selaku Speaker dan mencadangkan kepada Dewan supaya beliau dilucutkan jawatan dan dipilih Speaker yang baru.

 Adun-Adun pembangkang menyerbu dan mengepung MB, menjeritkan kata-kata kesat dan menghalang MB terus bercakap. MB terus memohon sokongan Ahli-Ahli Dewan ke atas usul yang dikemukakan dan 31 Ahli Dewan mengangkat tangan menyatakan sokongan. Sivakumar lucut jawatan Speakernya dengan sokongan majoriti. Adun-Adun pembangkang khususnya dari DAP dan PKR terus mengasak, menolak dan memaki hamun MB. Setiausaha Kerajaan Negeri turut dikepung dan cuba diheret keluar dari Dewan.

 Timbalan Speaker, YB Hee Yit Foong mengambil tugas Speaker dan mengemukakan cadangan perlantikan Speaker Dewan yang baru. YB Hamidah Osman mencadangkan nama Dato’ R. Ganesan dan semua 31 Adun memberikan sokongan. Timbalan Speaker menjemput Ganesan masuk ke Dewan. Ketika Timbalan Speaker menjalankan tugas beliau, pelbagai cacian dijeritkan kepadanya oleh Adun-Adun pembangkang, khususnya dari DAP. Yang paling menyedihkan, mereka mencaci kecacatan YB Hee dengan kata-kata “kamu tidak layak sebab kamu cacat”. YB Hee juga dibaling dengan buku Tatacara Persidangan Dewan.

 Adun-Adun pembangkang menghalang Ganesan dari duduk di kerusi Speaker, dan Ganesan terpaksa menuju ke kerusi Adun. Tolak menolak berlaku. Adun-Adun BN terpaksa membuat benteng di sekeliling Ganesan bagi menghalang Adun pembangkang mengkasarinya. Keadaan jadi bertambah kelam kabut akibat sikap Adun-Adun pembangkang yang melakukan kekasaran untuk menghalang pergerakan Ganesan dan memecahkan 'benteng Adun BN' di sekelilingnya. Adun-Adun BN ditolak, disiku, diterjah, ditumbuk secara curi, malahan ada Adun-Adun wanita yang diraba. Dalam keadaan begitu, jubah dapat disarungkan ke tubuh Ganesan dan beliau mengangkat sumpah sebagai Speaker.

SPEAKER DATO' R. GANESAN





 Ketika tragedi ini berlaku, Pemangku Sultan Perak dan Raja Perempuan Muda sedang menunggu di Kamar Diraja bersebelahan Dewan Negeri untuk menyampaikan titah perasmian Sidang Dewan Negeri. Dan sepanjang tragedi di atas, Sivakumar duduk terpaku di atas kerusi Speaker dan melihat kekasaran Adun-Adun pakatan pembangkang sambil tersenyum puas.

Saya akan sambung kejadian-kejadian selepas sahaja Ganesan sah dipilih selaku Speaker. Sebahagian peristiwa di atas sudah jelas menunjukkan siapakah sebenarnya yang menimbulkan kekecohan dalam Sidang DUN 7 Mei lalu.

SAMBUNGAN

> Adun-Adun pembangkang menghalang Ganesan daripada meneruskan aturcara Sidang DUN. Mereka merampas kertas aturcara persidangan ditangannya, merabut dan merosakkan kacamata yang dipakainya, mengugut dan menjerit menyuruhnya keluar Dewan. Ganesan berpindah dari satu tempat duduk ke satu tempat yang lain untuk memulakan persidangan, dengan dibantu oleh benteng Adun BN. Namun setiap kali beliau mahu menggunakan pembesar suara, maka setiap kali itulah pembesar suara itu dirosakkan oleh Adun-Adun pembangkang. Vendalisme berlaku di dalam Dewan yang mulia.

> Ganesan mengumumkan supaya Dewan berhenti rehat selama sejam. Sivakumar tidak berganjak dari kerusi Speaker yang didudukinya. Beberapa Adun pembangkang membawa makanan masuk ke dalam Dewan. Sivakumar makan di kerusi Speaker, begitu juga Adun-Adun pembangkang lain makan sesuka hati, termasuk Nizar, Ngeh Ko Ham dan Nga Kor Ming. Di dalam tatacara Dewan, tidak dibenarkan sesiapa makan di dalam Dewan.

> Selepas sejam, keadaan kecoh berulang semula, malah bertambah buruk. Adun-Adun pembangkang menjadi lebih agresif. Sasaran mereka adalah Ganesan. Benteng Adun BN semakin kukuh. Kerana tidak dapat menembusi benteng itu, seorang Adun pembangkang memanjat meja dan memaki hamun Speaker. Bentara Dewan yang cuba mengeluarkan beberapa arahan telah ditolak oleh Adun pembangkang sehingga terjatuh beberapa kali dan tercedera.

> Kemuncak keganasan Adun-Adun pembangkang berlaku apabila mereka merempuh secara amat kasar bagi memecahkan benteng Adun BN bagi menyerang Speaker. Tahap kesabaran Adun-Adun BN nampaknya sudah sampai ke puncak. Berlaku tolak menolak dengan cara yang amat kasar. Ketika itulah Bentara Dewan meminta pihak polis masuk untuk meredakan keadaan. Tetapi Adun-Adun pembangkang tidak memperdulikan kehadiran polis dan terus melakukan kekasaran.

> Pihak polis menyedari bahawa sikap Sivakumar yang terus terpaku di kerusi Speaker menjadi punca kemelut lebih empat jam itu tidak dapat diselesaikan. Bentara Dewan mengarahkan Sivakumar meninggalkan kerusi Speaker, tetapi tidak diendahkan. Adun-Adun pembangkang mengepung Sivakumar bagi menghalang Bentara Dewan membawanya meninggalkan kerusi itu. Bentara Dewan terus dikasari. Pihak polis mengheret beberapa Adun pembangkang yang sudah hilang kawalan keluar Dewan.

KERANA BERDEGIL TIDAK MAHU MENINGGALKAN KERUSI SPEAKER KETIKA DIA SUDAHPUN DILUCUTKAN JAWATAN ITU, BENTARA DEWAN MEMINTA BANTUAN POLIS UNTUK MEMBAWA SIVAKUMAR KELUAR DEWAN


> Atas arahan Bentara, pihak polis meminta Sivakumar meninggalkan kerusi Speaker tetapi Adun Tronoh itu terus berdegil. Akhirnya Sivakumar terpaksa diheret keluar bersama kerusi yang didudukinya.

Keadaan Dewan menjadi lebih teratur selepas Sivakumar meninggalkan tempat Speaker. Ganesan dapat meneruskan tugasnya, dan menjemput DYMM Pemangku Sultan untuk berangkat masuk menyampaikan titah perasmian, setelah lima jam menunggu di Kamar Di Raja.

Itulah antara beberapa peristiwa buruk yang berlaku ketika Sidang DUN Perak pada 7 Mei lalu. Pemuda Pas Negeri tidak perlulah cuba memesongkan fakta dan menjaja pembohongan kepada rakyat. Malahan DYMM Sultan Perak sudahpun mendapat gambaran terperinci apa sebenarnya yang berlaku.

22 October, 2009

LAPORAN POLIS TERHADAP SIVAKUMAR

Pada 21 Oktober 2009, saya membuat laporan polis terhadap Adun Tronoh, V. Sivakumar bekas Speaker Dewan Negeri Perak. Laporan dibuat pada jam 4.20 petang di Balai Polis Slim River. Perbuatannya menyamar sebagai Speaker (impersonate), mencuripakai letterhead Speaker dan cuba mewujudkan suasana kecoh semasa Sidang DUN pada 28 Oktober 2009 akan datang.

Ini kali kedua saya membuat laporan polis terhadap Sivakumar. Saya sangat berharap supaya pihak polis dapat mengambil tindakan terhadap laporan saya ini, dan laporan-laporan dari pihak lain ke atas Sivakumar.



20 October, 2009

MRSM FELDA SUDAH SIAP


MRSM Felda yang kini dikenali Kolej Tun Abdul Razak bernilai RM120 juta di Trolak sudahpun siap. Hanya sedikit kerja-kerja pemasangan perabut dan penghawa dingin yang mahu dibereskan. Kolej yang terletak dalam DUN Slim, Perak ini akan menempatkan 1,050 pelajar. Malahan telah ada seramai 200 pelajar pengambilan pertama yang ditempatkan di Kolej Kini berhampiran kolej baru berkenaan, dan beberapa MRSM di seluruh negara.

Semalam saya sempat meninjau kerja-kerja akhir di kolej itu. Turut serta Pengerusi PIBG MRSM Felda, Dr. Shamsul Anuar Sulaiman yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (WGF) dan Encik Mohd Ariffin Sulaiman, Timbalan Pengetua Hal Ehwal Akademik MRSM Felda.

Antara yang menarik adalah Dewan Serbaguna yang boleh menempatkan 1,500 kapasiti, bilik kuliah teater, dewan makan, surau yang boleh menempatkan 600 kapasiti, bilik darjah dan padang permainan.

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengilhamkan penubuhan MRSM Felda ini dijangka merasmikan kolej berkenaan pada awal tahun 2010.


VIDEO MRSM FELDA DARI SIMPANG MASUK FELDA GUGUSAN BESOUT



DEWAN KULIAH TEATER

ASTAKA PADANG PERMAINAN

SURAU

PEJABAT PENTADBIRAN

RUANG PEJALAN KAKI KE SETIAP BANGUNAN

DEWAN MAKAN

DAPUR D'SAJI

DALAM KELAS

17 October, 2009

SIDANG DUN PERAK KECOH LAGI?


Maka jelas sungguh Nizar Jamaluddin itu boneka DAP. Kali ini Nizar bukan sekadar boneka biasa, tetapi boneka yang terpaksa menjilat air kencingnya sendiri. Pada 24 September dia bersungguh-sungguh menyokong Pengerusi DAP Perak, Ngeh Ko Ham mahu memboikot Sidang DUN akan datang, tetapi pada 14 Oktober dia menelan semula kata-kata kencingnya itu.

Dengan sedikit tindakan putar belit DAP, kini Nizar begitu bersemangat mahu menghadiri Sidang DUN akan datang. DAP melalui Nga Kor Ming berkata di dalam Malaysian Insider bahawa Adun Tronoh, V. Sivakumar yang masih dianggap mereka sebagai Speaker akan memanggil Sidang DUN pada tarikh dan tempat yang sama seperti ditetapkan oleh Speaker yang sah, R. Ganesan.

Maka benarlah pertanyaan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abdul Kadir kepada wartawan yang memintanya memberikan komen terhadap kenyataan Ngeh dan sokongan Nizar mengenai tindakan mereka hendak memboikot Sidang DUN yang akan dipanggil oleh Speaker R. Ganesan. Pertanyaan Dr. Zambry mudah saja, "Anda semua percaya?".

Ironinya, Ganesan sudahpun mendapat titah perkenan DYMM Paduka Seri Sultan Perak supaya Sidang DUN dipanggil pada 28 Oktober di Bangunan SUK, dan Nga berkata bahawa Sivakumar akan menggunakan titah berkenaan untuk mengadakan sidang yang sama.
Dijadualkan Dr Zambry akan membentangkan Bajet Negeri 2010, dan Nga juga berkata bahawa Nizar akan membentangkan ‘bajet’nya.

Adun Pantai Remis itu juga berkata bahawa Sivakumar akan menghantar notis panggilan persidangan, tetapi hanya 49 dari 59 Adun akan menerimanya. Selebih 10 orang lagi, katanya adalah Dr Zambry dan enam exconya, dan 3 lagi Adun bebas yang sudahpun melepaskan jawatan.

Seperti diduga, Nga juga berkata kumpulannya tidak mengiktiraf Ganesan sebagai Speaker, maka menurutnya Sivakumar akan duduk di kerusi berkenaan ketika Sidang DUN nanti.

Tidak hairanlah jika Nizar sebelum ini berkata Sidang DUN akan datang akan lebih buruk dari Sidang DUN pada 7 Mei lalu. Apakah yang mereka rancang dan akan lakukan? Tidak cukup burukkah sidang 7 Mei lalu apabila buat pertama kalinya dalam sejarah negara, Pemangku Sultan terpaksa menunggu lebih lima jam untuk menyampaikan titah perasmian Sidang DUN?

SIVAKUMAR DISERET KELUAR DEWAN SETELAH BERDEGIL ENGGAN MENINGGALKAN KERUSI SPEAKER

Tidak cukup burukkah Sidang DUN pada 7 Mei lalu apabila pihak pembangkang datang menyerang tempat duduk pihak Kerajaan, menghalang Menteri Besar dan Setiausaha Dewan dari bercakap, mengkasari Setiausaha Kerajaan Negeri, menolak hingga jatuh tercedera Bentara Dewan, merosakkan pembesar suara, berdiri di atas meja, makan di dalam Dewan, campurtangan polis untuk mententeramkan keadaan dan mengheret bekas Speaker dan Adun keluar Dewan, menghina kecacatan pada diri Timbalan Speaker yang juga seorang wanita, membaling buku, menjerit kata-kata kesat dan lucah, menyerang fizikal secara curi dan lain-lain perbuatan buruk yang telah dilakukan berpunca sikap pihak pembangkang.


Jika berpandu kepada kata-kata Nga itu, tidak hairanlah jika mereka merancang untuk sekali lagi menghuru-harakan Sidang DUN pada 28 Oktober nanti. Sudah dapat dibayangkan apa yang pakatan pembangkang akan lakukan. Mahu masuk lebih awal ke dalam Dewan dan merampas kerusi Speaker, kerusi Menteri Besar dan kerusi-kerusi yang dikhaskan kepada Exco dan Adun pihak Kerajaan, mahu menghalang Speaker, Menteri Besar, enam Exco dan tiga Adun bebas dari memasuki Dewan dan seterusnya mahu membentangkan bajet ‘haram’.

Jika itulah perancangan mereka, maka tidak hairan Sidang DUN akan lebih kecoh dari apa yang berlaku pada 7 Mei lalu. Memang menjadi hasrat mereka untuk menggagalkan Sidang DUN akan datang, menghalang Bajet Negeri 2010 dari dibentangkan yang akhirnya akan membantutkan pertumbuhan pembangunan negeri dan merugikan rakyat.

Ternyata mereka sudah tidak menghormati keputusan Mahkamah mengenai kedudukan Speaker, Menteri Besar, anggota Exco dan tiga Adun bebas yang kini berpihak kepada BN. Bukan sekadar itu, mereka juga menderhakai perkenan Sultan Perak dalam menggunakan budi bicara baginda menentukan siapa yang layak menerajui Kerajaan Negeri.

Apakah sebenarnya nilai politik pada pakatan pembangkang? Apakah yang hendak mereka pertontonkan kepada rakyat dan media di seluruh dunia? Hendak mencari simpati rakyat melalui tindakan biadap dan tidak mengikut peraturan Dewan?

Atau apakah pakatan pembangkang berfikir bahawa Adun-Adun BN akan berdiam diri dan bersabar dengan segala kekasaran dan provokasi seperti yang mereka lakukan dalam Sidang DUN pada 7 Mei lalu? Jika itulah yang mereka fikirkan, maka mereka silap.

NIZAR, NGEH DAN SIVAKUMAR DIHALANG DARI MEMASUKI BANGUNAN SUK UNTUK MENGADAKAN SIDANG DUN HARAM PADA 2 SEPTEMBER LALU

12 October, 2009

PETUNJUK KEPUTUSAN BAGAN PINANG


Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober lalu memberi banyak pengajaran dan petunjuk terhadap arus semasa politik tanahair. Majoriti 5,435 undi adalah jauh dari apa yang disasarkan oleh BN.

Atas konsep rakyat didahulukan, pemilihan Tan Sri Isa Samad selaku calon BN memberi kesan positif terhadap kemenangan besar ini, kerana pemimpin veteran ini begitu popular dan disenangi oleh majoriti rakyat di Bagan Pinang. Jika aura Anwar Ibrahim begitu kuat di Permatang Pauh, maka di Teluk Kemang, aura itu ada pada Tan Sri Isa.

Tidak dinafikan bahawa sokongan pengundi Melayu terhadap Umno dan BN semakin meningkat, samalah dengan apa yang ditunjukkan mereka dalam PRK Manek Urai dan PRK Bukit Gantang. Pas kini bukanlah asset yang kuat di dalam pakatan pembangkang untuk meraih pengundi Melayu. Bagan Pinang memperkukuhkan lagi petunjuk yang dibuat oleh pengundi Melayu di Manek Urai dan Bukit Gantang. Pas bergantung kepada pengundi Cina untuk menang, ketika pengundi Melayu semakin jauh menyisihkannya.

Bagan Pinang juga memberi sedikit kelegaan terhadap arus sokongan kaum India terhadap BN yang agak negatif dalam beberapa PRK sebelum ini. Kesemua peti undi di kawasan majoriti kaum India di Bagan Pinang dimenangi oleh BN dengan majoriti yang agak besar. Petanda bahawa konsep 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri semakin dapat diterima oleh kaum berkenaan.

Kempen kasar dan ganas yang dibawa oleh penyokong Pas di Bagan Pinang telah membantu meningkatkan rasa benci pengundi terhadap parti itu. Perbuatan memukul pemimpin dan penyokong parti lawan, mengkasari pemandu Ketua Polis Negeri sehingga berdarah, menghimpunkan samseng dari luar dan mengganggu perjalanan lalulintas sehari sebelum pengundian adalah sikap dan wajah baru Pas yang tidak disenangi oleh pengundi. Pas sering mendakwa parti itu adalah parti Islam, tetapi sikap dan pembawaannya tidak seperti apa yang dituntut oleh agama Islam, sebaliknya menjatuhkan martabat dan maruah agama suci itu.

AHLI MT UMNO, DATO' AZEEZ RAHIM DITUMBUK PENYOKONG PAS

PEMANDU KETUA POLIS NEGERI DIPUKUL PENYOKONG PAS HINGGA BERDARAH

Arus sokongan pengundi Cina terhadap BN masih belum dapat dibaca, kerana peratusan kaum tersebut yang kecil di Bagan Pinang.

BN tidak wajar terlalu bergantung dengan petunjuk di Bagan Pinang ini untuk berasa terlalu yakin dalam PRU13 nanti. Lain padang, lain belalangnya. Kekuatan BN di Bagan Pinang banyak bergantung kepada populariti calonnya, selain strategi kempen yang mengenai sasaran. Begitu juga dengan kewujudan kem tentera di situ.

Komposisi pengundi di Bagan Pinang jauh berbeza dengan banyak kawasan lain, seperti kawasan DUN Pantai Remis atau DUN Pasir Panjang di Perak yang kini masing-masing diwakili oleh Nga Kor Meng (DAP) dan Nizar Jamaluddin (PAS).

BN perlu mencari formula untuk berkempen di kawasan yang mempunyai ramai pengundi Cina. Belum dapat dipastikan sama ada faktor pengundi Cina di Kuala Sepetang yang memenangkan Nizar dalam PRK Parlimen Bukit Gantang akan berubah dalam PRU13 nanti.

Jika BN berjaya menawan semula hati pengundi Cina, konsep 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri akan lebih mudah tercapai.