23 October, 2009

SIDANG DUN PERAK - SIAPA SEBENARNYA TERANCAM?


Pemuda Pas Perak cuba mengalih fakta sebenar kekecohan Sidang DUN pada 7 Mei lalu. Mereka berura-ura mahu mengadap Sultan Perak untuk mengadu kononnya jika diteruskan Sidang DUN Perak pada 28 Oktober nanti, maka ianya akan mengancam keselamatan Adun pakatan pembangkang sebagaimana yang berlaku pada Sidang DUN 7 Mei lalu.

Nampak jelas satu lagi pembohongan cuba dilakukan oleh pakatan pembangkang. Rakaman-rakaman video begitu ketara menunjukkan Adun-Adun pakatan DAP-PKR-PAS lah yang menimbulkan huru-hara sejak awal persidangan.

Adun-Adun pembangkang menyerang tempat duduk pihak Kerajaan, menghalang Menteri Besar dan Setiausaha Dewan dari bercakap, mengkasari Setiausaha Kerajaan Negeri, menolak hingga jatuh Bentara Dewan, merosakkan beberapa pembesar suara, berdiri di atas meja, makan di dalam Dewan, menghina kecacatan pada diri Timbalan Speaker yang juga seorang wanita, membaling buku, menjerit kata-kata kesat dan lucah, menyerang fizikal secara curi dan lain-lain perbuatan buruk yang telah dilakukan berpunca sikap pihak pembangkang.

Di bawah ini saya catatkan beberapa peristiwa yang mencetuskan kekecohan.

 Adun-Adun pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS menyerbu masuk ke Dewan Negeri sebaik sahaja DYMM Pemangku Sultan Perak, Tuanku Raja Dr. Nazrin Shah selesai memeriksa baris hormat. Mereka yang sepatutnya duduk di sebelah kiri Speaker telah membawa tanda nama mereka ke tempat duduk kerajaan, dan mengoyak tanda nama Adun-Adun BN. Adun-Adun BN yang masuk kemudian agak keliru melihatkan Adun-Adun pembangkang sudahpun mengambil tempat di tempat duduk pihak kerajaan, tetapi tidak membantah dan mengambil tempat duduk sebelah kiri, termasuk Menteri Besar, Exco-exco, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

 V. Sivakumar yang sudah sedia berada di kerusi Speaker tanpa mengikut protokol memulakan suasana tegang dengan meninggikan suara mengarah MB, enam Exco keluar dari Dewan atas alasan mereka telah digantung, dan tiga Adun bebas juga diarah keluar atas alasan telah mengosongkan kerusi. Sivakumar juga mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri berpindah tempat duduk di belakang Nizar dan Ngeh Ko Ham di sebelah kanan. Adun-Adun pembangkang menjerit-jerit dengan perkataan “keluar, keluar” sambil berdiri.

 Setiausaha Dewan menuju ke arah pembesar suara untuk memulakan mesyuarat dengan agenda bacaan doa, tetapi kira-kira enam Adun pembangkang dari DAP dan PKR menyerbu ke tengah galeri dan menghalang Setiausaha Dewan dari bercakap. Mereka mengalihkan pembesar suara. Kata-kata kesat mereka hamburkan kepada Setiausaha Dewan.

 Atas bidang kuasanya selaku Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berdiri dan mengemukakan usul hilang kepercayaan terhadap V. Sivakumar selaku Speaker dan mencadangkan kepada Dewan supaya beliau dilucutkan jawatan dan dipilih Speaker yang baru.

 Adun-Adun pembangkang menyerbu dan mengepung MB, menjeritkan kata-kata kesat dan menghalang MB terus bercakap. MB terus memohon sokongan Ahli-Ahli Dewan ke atas usul yang dikemukakan dan 31 Ahli Dewan mengangkat tangan menyatakan sokongan. Sivakumar lucut jawatan Speakernya dengan sokongan majoriti. Adun-Adun pembangkang khususnya dari DAP dan PKR terus mengasak, menolak dan memaki hamun MB. Setiausaha Kerajaan Negeri turut dikepung dan cuba diheret keluar dari Dewan.

 Timbalan Speaker, YB Hee Yit Foong mengambil tugas Speaker dan mengemukakan cadangan perlantikan Speaker Dewan yang baru. YB Hamidah Osman mencadangkan nama Dato’ R. Ganesan dan semua 31 Adun memberikan sokongan. Timbalan Speaker menjemput Ganesan masuk ke Dewan. Ketika Timbalan Speaker menjalankan tugas beliau, pelbagai cacian dijeritkan kepadanya oleh Adun-Adun pembangkang, khususnya dari DAP. Yang paling menyedihkan, mereka mencaci kecacatan YB Hee dengan kata-kata “kamu tidak layak sebab kamu cacat”. YB Hee juga dibaling dengan buku Tatacara Persidangan Dewan.

 Adun-Adun pembangkang menghalang Ganesan dari duduk di kerusi Speaker, dan Ganesan terpaksa menuju ke kerusi Adun. Tolak menolak berlaku. Adun-Adun BN terpaksa membuat benteng di sekeliling Ganesan bagi menghalang Adun pembangkang mengkasarinya. Keadaan jadi bertambah kelam kabut akibat sikap Adun-Adun pembangkang yang melakukan kekasaran untuk menghalang pergerakan Ganesan dan memecahkan 'benteng Adun BN' di sekelilingnya. Adun-Adun BN ditolak, disiku, diterjah, ditumbuk secara curi, malahan ada Adun-Adun wanita yang diraba. Dalam keadaan begitu, jubah dapat disarungkan ke tubuh Ganesan dan beliau mengangkat sumpah sebagai Speaker.

SPEAKER DATO' R. GANESAN





 Ketika tragedi ini berlaku, Pemangku Sultan Perak dan Raja Perempuan Muda sedang menunggu di Kamar Diraja bersebelahan Dewan Negeri untuk menyampaikan titah perasmian Sidang Dewan Negeri. Dan sepanjang tragedi di atas, Sivakumar duduk terpaku di atas kerusi Speaker dan melihat kekasaran Adun-Adun pakatan pembangkang sambil tersenyum puas.

Saya akan sambung kejadian-kejadian selepas sahaja Ganesan sah dipilih selaku Speaker. Sebahagian peristiwa di atas sudah jelas menunjukkan siapakah sebenarnya yang menimbulkan kekecohan dalam Sidang DUN 7 Mei lalu.

SAMBUNGAN

> Adun-Adun pembangkang menghalang Ganesan daripada meneruskan aturcara Sidang DUN. Mereka merampas kertas aturcara persidangan ditangannya, merabut dan merosakkan kacamata yang dipakainya, mengugut dan menjerit menyuruhnya keluar Dewan. Ganesan berpindah dari satu tempat duduk ke satu tempat yang lain untuk memulakan persidangan, dengan dibantu oleh benteng Adun BN. Namun setiap kali beliau mahu menggunakan pembesar suara, maka setiap kali itulah pembesar suara itu dirosakkan oleh Adun-Adun pembangkang. Vendalisme berlaku di dalam Dewan yang mulia.

> Ganesan mengumumkan supaya Dewan berhenti rehat selama sejam. Sivakumar tidak berganjak dari kerusi Speaker yang didudukinya. Beberapa Adun pembangkang membawa makanan masuk ke dalam Dewan. Sivakumar makan di kerusi Speaker, begitu juga Adun-Adun pembangkang lain makan sesuka hati, termasuk Nizar, Ngeh Ko Ham dan Nga Kor Ming. Di dalam tatacara Dewan, tidak dibenarkan sesiapa makan di dalam Dewan.

> Selepas sejam, keadaan kecoh berulang semula, malah bertambah buruk. Adun-Adun pembangkang menjadi lebih agresif. Sasaran mereka adalah Ganesan. Benteng Adun BN semakin kukuh. Kerana tidak dapat menembusi benteng itu, seorang Adun pembangkang memanjat meja dan memaki hamun Speaker. Bentara Dewan yang cuba mengeluarkan beberapa arahan telah ditolak oleh Adun pembangkang sehingga terjatuh beberapa kali dan tercedera.

> Kemuncak keganasan Adun-Adun pembangkang berlaku apabila mereka merempuh secara amat kasar bagi memecahkan benteng Adun BN bagi menyerang Speaker. Tahap kesabaran Adun-Adun BN nampaknya sudah sampai ke puncak. Berlaku tolak menolak dengan cara yang amat kasar. Ketika itulah Bentara Dewan meminta pihak polis masuk untuk meredakan keadaan. Tetapi Adun-Adun pembangkang tidak memperdulikan kehadiran polis dan terus melakukan kekasaran.

> Pihak polis menyedari bahawa sikap Sivakumar yang terus terpaku di kerusi Speaker menjadi punca kemelut lebih empat jam itu tidak dapat diselesaikan. Bentara Dewan mengarahkan Sivakumar meninggalkan kerusi Speaker, tetapi tidak diendahkan. Adun-Adun pembangkang mengepung Sivakumar bagi menghalang Bentara Dewan membawanya meninggalkan kerusi itu. Bentara Dewan terus dikasari. Pihak polis mengheret beberapa Adun pembangkang yang sudah hilang kawalan keluar Dewan.

KERANA BERDEGIL TIDAK MAHU MENINGGALKAN KERUSI SPEAKER KETIKA DIA SUDAHPUN DILUCUTKAN JAWATAN ITU, BENTARA DEWAN MEMINTA BANTUAN POLIS UNTUK MEMBAWA SIVAKUMAR KELUAR DEWAN


> Atas arahan Bentara, pihak polis meminta Sivakumar meninggalkan kerusi Speaker tetapi Adun Tronoh itu terus berdegil. Akhirnya Sivakumar terpaksa diheret keluar bersama kerusi yang didudukinya.

Keadaan Dewan menjadi lebih teratur selepas Sivakumar meninggalkan tempat Speaker. Ganesan dapat meneruskan tugasnya, dan menjemput DYMM Pemangku Sultan untuk berangkat masuk menyampaikan titah perasmian, setelah lima jam menunggu di Kamar Di Raja.

Itulah antara beberapa peristiwa buruk yang berlaku ketika Sidang DUN Perak pada 7 Mei lalu. Pemuda Pas Negeri tidak perlulah cuba memesongkan fakta dan menjaja pembohongan kepada rakyat. Malahan DYMM Sultan Perak sudahpun mendapat gambaran terperinci apa sebenarnya yang berlaku.

No comments: