29 July, 2013

DONG ZHONG MAKIN MELAMPAU

Dong Zhong nampaknya semakin melampau kerana menentang apa sahaja perancangan kerajaan untuk memupuk perpaduan kaum sejajar dengan Akta Pendidikan serta Falsafah Pendidikan Negara.

Perkara ini dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempertikaikan kewajaran Dong Zhong membuat resolusi dalam perhimpunan konvensyennya semalam untuk menghalang perlaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PIPP), yang dibentuk untuk memajukan sektor pendidikan.

Ketika berucap di majlis berbuka puasa di kediaman Menteri Besar Perak di Ipoh malam ini, Muhyiddin berkata bukan sekadar membuat resolusi, Dong Zhong juga merancang untuk pergi ke seluruh negara menyatakan tentangan mereka terhadap PIPP.

Bernama seterusnya melaporkan :

IPOH - Trend mutakhir dalam masyarakat hari ini semakin membimbangkan terutama dalam konteks hubungan antara kaum sehingga menimbulkan isu polarisasi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Beliau berkata masyarakat hari ini dilihat mudah sensitif sehingga usaha baik yang dirancang oleh kerajaan dianggap negatif dan dijadikan isu yang menyentuh perkauman seperti apa yang berlaku terhadap Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PIPP).
 
"Saya dimaklumkan perhimpunan konvensyen yang dibuat oleh Dong Zhong semalam membuat resolusi untuk menghalang apa yang kita buat dalam PIPP, yang dibentuk untuk memajukan sektor pendidikan.
 
"Ia (PIPP) dirancang dengan niat yang baik, bagaimanapun ia dilihat berbaur perkauman...13 tahun (pelaksanaan PIPP) dilihat sebagai usaha menghapuskan bahasa ibunda mereka," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di kediaman rasmi Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir di sini, malam ini.
 
Beliau berkata Dong Zhong melihat niat baik kerajaan itu sebagai perkara perkauman walaupun kerajaan mengambil masa hampir dua tahun untuk mengumpul input PIPP, supaya sejajar dengan Akta Pendidikan serta Falsafah Pendidkan Negara.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata trend itu tidak membantu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan semua kaum.
 

Dalam pada itu, beliau meminta umat Islam mementingkan perpaduan, hubungan mesra serta persefahaman berikutan sentiasa berdepan cabaran hebat.
 
"Dalam suasana begini, masyarakat Islam perlu kukuhkan jemaah...kerana adanya anggapan bahawa masyarakat Islam tidak kukuh berikutan pelbagai puak Melayu, ramai yang lantang sehingga berani mempersoalkan hak-hak dalam Perlembagaan, agama dan raja," katanya.
 
Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan berupa kurma, air zam-zam, kain pelikat dan jubah kepada pengerusi dan anggota jawatankuasa masjid daerah dari seluruh negeri.
 
Selepas berbuka puasa, beliau dan Zambry, Pengerusi Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, exco kerajaan negeri serta umat Islam menunaikan solat Maghrib, Isyak serta tarawih berjemaah yang diimamkan guru Al-Quran Masjidil Haram, Makkah, Sheikh Osama Mohammad Iqbal.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.



28 July, 2013

PROJEK JALAN BESOUT-KUALA SLIM RANCAK DIBINA


Kerja-kerja pembinaan jalan baru Felda Besout ke Kuala Slim sepanjang 11.8 km sedang rancak dilaksanakan dari kedua-dua arah.

Dalam tinjauan saya petang semalam, batu kelikir mula ditabur sepanjang kira-kira 2 km bermula dari arah jalan utama berhampiran Felda Besout 4.

Di persimpangan berhampiran Felda Besout 2 pula, kerja-kerja membersih, menambak dan meratakan tapak jalan sedang dilaksanakan.

Tinjauan saya sebelum PRU13 lalu, terdapat kerja-kerja meratakan dua buah bukit yang menjadi punca pertikaian teknikal antara kontraktor asal, Azam Teknik Sdn Bhd dengan pihak JKR dan konsultan.

Kerja-kerja dari arah simpang Felda Besout 2
Projek jalan baru itu yang mulanya dilaksanakan pada Julai 2008 dengan kos asal RM46 juta, telah tertangguh beberapa kali menyebabkan ianya gagal disiapkan dalam tempoh 2 tahun mengikut jadual.

Setelah gagal menyelesaikan beberapa isu teknikal, pihak JKR telah menamatkan perjanjian dengan kontraktor berkenaan dan melantik kontraktor baru, JJM Integrated Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mendapat status Kontraktor Bumiputera Berwibawa dan pernah mendapat anugerah cemerlang JKR Pusat.

Pejabat tapak projek ini terletak berhampiran Kampung Kuala Slim, dan kerja-kerja dilaksanakan dari arah Kuala Slim dan Besout.

Mengikut perjanjian dengan pihak JKR, kontraktor berkenaan perlu menyiapkan projek ini dalam tempoh 18 bulan, bermula Februari 2013, dengan kos kira-kira RM28 juta.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

26 July, 2013

PROGRAM ZIARAH DAN BERBUKA DI BESOUT 3


Petang tadi dapat memenuhi jadual menziarahi beberapa warga uzur dan menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas di Felda Besout 3.

Saya juga berpeluang meninjau kerja gotong royong memasak khariah masjid Saidina Othman Al-Affan bagi menyediakan juadah berbuka puasa. Menu utamanya nasi beriani gam resipi Pengurus Felda Besout 3, Encik Abdul Rahman Aliasan.

Program ziarah ke rumah-rumah warga uzur dan menyampaikan sumbangan telah dilaksanakan pada setiap kali Ramadhan sejak 5 tahun lalu.

Semoga usaha kita bersama di bulan Ramadhan yang mulia ini mendapat keberkatan Allah s.w.t.

Pengurus Felda Besout 3, Encik Abdul Rahman Aliasan (berbaju merah) dengan resipi nasi beriani gam yang enak.

25 July, 2013

ANAK-ANAK YATIM BUAH HATIKU DIBELA


Seramai 20 anak-anak yatim dari Rumah Amal Buah Hatiku, Bangi telah diraikan oleh Rangkaian Sahabat (RS) UMNO dalam majlis berbuka puasa di Golfers Terrace, Tropicana Golf and Country Club petang tadi.

Menteri Pertanian, Dato' Ismail Sabri Yaakub turut sama meluangkan masa meraikan mereka.

Seramai 44 anggota RS hadir, termasuk Presidennya, Datuk Yahaya Mat Ghani yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu, Wilayah Persekutuan.

Dalam majlis berkenaan, Ismail Sabri mengumumkan bantuan bulanan berupa beras, ayam dan ikan kepada rumah amal itu, yang akan diuruskan oleh Bernas, LKIM dan FAMA.

RS juga menyumbangkan wang Hari Raya RM100 kepada setiap anak-anak yatim berkenaan.

Semalam, akhbar Harian Metro menyiarkan berita sedih di mana 28 anak-anak yatim yang menghuni rumah amal berkenaan berkongsi seekor ayam sebagai hidangan.

Kepada sesiapa yang ingin memberikan sumbangan, sila berhubung dengan Penyelia Rumah Amal Buah Hatiku, Puan Asiah di nombor telefon 0173925392.

Dato' Sri Ismail Sabri Yaakub dan sebahagian ahli RS meraikan anak-anak yatim berkenaan
 
Berita Harian Metro semalam
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

RS RAIKAN 28 ANAK YATIM MALANG DI TROPICANA GCC

Berita sebuah akhbar semalam
Rangkaian Sahabat (RS) UMNO akan meraikan 28 anak-anak yatim dari Rumah Buah Hatiku, Bangi dalam majlis berbuka puasa di Golfers Terrace, Tropicana Golf and Country Club petang ini.

Presiden RS, Datuk Yahaya Mat Ghani berkata, pihaknya menyediakan bas untuk membawa anak-anak yatim beserta petugas rumah amal itu dari Bangi ke Tropicana.

"RS rasa tersentuh membaca berita dalam sebuah akhbar semalam kisah 28 orang anak yatim itu berkongsi seekor ayam sebagai juadah," katanya dengan nada sebak.

Yahaya yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu, Wilayah Persekutuan berkata, dalam majlis petang ini, RS akan mengumpul dana kilat di kalangan ahli untuk disumbangkan kepada setiap kanak-kanak berkenaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, selain untuk mengisi dana rumah amal berkenaan.

Menteri Pertanian, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakub akan menjadi tetamu khas dalam majlis itu.

Sebagai salah seorang anggota RS, saya turut rasa terharu dengan keperihatinan jawatankuasa RS ini, dan insyaAllah saya akan turut serta meraikan anak-anak yatim berkenaan.

Syabas diucapkan kepada RS. Teruskanlah program amal seumpama ini, khususnya di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

15 July, 2013

KUALA BESUT : 'SINDROM WAKIL' CALON PAS


Calon PAS, Azlan @ Endut Yusof awal-awal lagi sudah disekat daripada bercakap oleh partinya, bukti beliau tidak punya keupayaan untuk menyuarakan masalah rakyat jika diberikan kemenangan dalam PRK Kuala Besut.

Lidah adalah aset penting seorang pemimpin dan wakil rakyat, tetapi Azlan tidak diberikan kebebasan oleh PAS untuk menggunakan lidahnya dengan alasan beliau orang baru dalam politik.

Lebih memalukan apabila Pengurus Kempen parti PAS untuk PRK itu, Hanafiah Mat berkata beliau sendiri akan membuat kenyataan bagi pihak Azlan.

Nampaknya Azlan bukan sekadar akan menggajikan tugas wakil rakyat, malahan bercakap juga beliau akan serahkan kepada wakilnya.

Inilah calon yang dipertaruhkan oleh PAS untuk mewakili rakyat Kuala Besut. Pastinya rakyat di sana akan ketinggalan serba serbi kerana wakil mereka diwakili pula oleh orang lain.

Bukan sekadar wakil untuk melaksanakan tugas selaku wakil rakyat, malah bercakap juga perlu diwakilkan.

Jika pengundi Kuala Besut mengundi Azlan dalam PRK ini, sebenarnya mereka bukan mengundi Azlan, sebaliknya mereka mengundi wakil-wakil kepada seorang wakil rakyat.

Ini mungkin sindrom baru dalam politik PAS, iaitu SINDROM WAKIL.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

01 July, 2013

LAWATAN NAJIB KE LONDON BUKA ERA BARU


Lawatan kerja Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak selama empat hari ke United Kingdom (UK) mulai Isnin akan mempertingkatkan lagi hubungan yang sedang mekar antara kedua-dua negara.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK Datuk Seri Zakaria Sulong berkata lawatan itu juga bertujuan memastikan hubungan perdagangan dua hala Malaysia-UK berada pada landasan betul, bagi mencapai matlamat menggandakan nilai dagangan kepada RM26 bilion menjelang 2016.

Inisiatif penting itu akan dibincangkan antara Najib semasa pertemuan dengan rakan sejawatannya, David Cameron pada Khamis, katanya kepada pemberita Malaysia di sini, pada Ahad sempena lawatan kerja Najib ke London.

Perjanjian untuk menggandakan perdagangan dua hala daripada RM13.64 bilion pada tahun lepas kepada RM26 bilion dalam tempoh tiga tahun dicapai kedua-dua pemimpin itu, semasa lawatan rasmi pertama Cameron ke Malaysia, April tahun lepas, iaitu sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Britian pada Mei 2010 serta sebagai membalas lawatan rasmi Najib ke UK, pada 2011.

Zakaria berkata matlamat tersebut agak mencabar bagi kedua-dua negara memandangkan kadar pertumbuhan perdagangan antara Malaysia dan UK ialah sebanyak 2.1 peratus, setahun.

Bagaimanapun dengan wujudnya kumpulan kerja khas antara Suruhanjaya Tinggi British dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, beliau yakin kumpulan itu mampu mengenal pasti dan menerokai bidang baharu untuk faedah bersama.

Najib dijangka tiba di London pagi Isnin dari Tanzania selepas mengadakan lawatan kerja ke negara itu bagi menghadiri Dialog Perkongsian Bestari Global, sejak Sabtu lepas.

Zakaria berkata Najib dan Cameron dijangka mengadakan perbincangan dua hala itu pada Khamis, sebelum kedua-duanya melakukan upacara pecah tanah Projek Stesen Jana Kuasa Battersea, London.

Pembangunan semula projek Stesen Kuasa Battersea bernilai 8 bilion, dimiliki konsortium Malaysia terdiri daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Sime Darby Bhd dan SP Setia Bhd, merupakan projek terbesar Malaysia di negara tersebut.

Zakaria juga berkata pertemuan Najib dengan Cameron juga dijangka menyentuh konsep Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang diperkenalkan Najib dalam menghadapi suasana yang semakin berubah di negara itu dari sebuah negara homogenous ke arah multiculturalism, dengan UK melihatnya sebagai sesuatu yang mencabar.

Selain menyentuh mengenai perkembangan di arena antarabangsa terutama isu di Syria serta kedudukan perdagangan dunia yang masih lesu pada masa ini, katanya.

Zakaria berkata semasa itu juga, Najib akan turut menghadiri taklimat media mengenai Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-9 yang akan diadakan dari 29 hingga 31 Okt di London, juga merupakan WIEF pertama diadakan di Eropah, dihoskan negara bukan Islam, bagi menjadikan forum tersebut sebahagian daripada komuniti global.

UK juga merupakan antara negara Eropah yang mempunyai penduduk Islam yang ramai, tambahnya.

Perdana Menteri akan juga menghadiri jamuan teh dengan Rakan Barisan Nasional atau lebih dikenali sebagai Friends of Barisan Nasional UK (FBNUK) yang dianggotai rakyat Malaysia di UK serta rakan rakyat Malaysia di negara itu. Pertubuhan itu dilancar Najib pada Mei tahun lepas, di sini semasa lawatan kerjanya.

Menteri Kanan Hal Ehwal Luar dan Pejabat Komanwel bagi Kepercayaan dan Komuniti dan Menteri Bagi Kepercayaan dan Komuniti, Baroness Warsi dan Timbalan Menteri di pejabat Hal Ehwal Luar dan Komanwel Hugo Swire, antara tetamu kehormat yang akan menghadiri pertemuan yang dianjurkan Lord Sheikh, yang merupakan penyokong FBNUK, di House of Lords di sini.

Zakaria berkata Najib juga akan bertemu dengan rakyat Malaysia di UK, termasuk kumpulan kedua pelajar tajaan Felda seramai 130 orang yang sedang mengikuti pengajian selama tiga bulan, di Lim Kok Wing University di sini.

Beliau juga dijadual melancarkan pusat Outreach 1Malaysia for Youth (1M4U) UK yang merupakan program pertama di luar negara dalam usaha melibatkan generasi muda negara di UK, katanya.

Sementara itu, isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang mengiringi suaminya dalam lawatan kerja itu akan turut mengadakan lawatan ke pusat autisme di Treehouse School di sini pada Selasa, katanya.-1/7/2013 - Agenda Daily.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.