Lawatan kerja Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak selama empat hari ke United Kingdom (UK) mulai Isnin akan mempertingkatkan lagi hubungan yang sedang mekar antara kedua-dua negara.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK Datuk Seri Zakaria Sulong berkata lawatan itu juga bertujuan memastikan hubungan perdagangan dua hala Malaysia-UK berada pada landasan betul, bagi mencapai matlamat menggandakan nilai dagangan kepada RM26 bilion menjelang 2016.
Inisiatif penting itu akan dibincangkan antara Najib semasa pertemuan dengan rakan sejawatannya, David Cameron pada Khamis, katanya kepada pemberita Malaysia di sini, pada Ahad sempena lawatan kerja Najib ke London.
Perjanjian untuk menggandakan perdagangan dua hala daripada RM13.64 bilion pada tahun lepas kepada RM26 bilion dalam tempoh tiga tahun dicapai kedua-dua pemimpin itu, semasa lawatan rasmi pertama Cameron ke Malaysia, April tahun lepas, iaitu sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Britian pada Mei 2010 serta sebagai membalas lawatan rasmi Najib ke UK, pada 2011.
Zakaria berkata matlamat tersebut agak mencabar bagi kedua-dua negara memandangkan kadar pertumbuhan perdagangan antara Malaysia dan UK ialah sebanyak 2.1 peratus, setahun.
Bagaimanapun dengan wujudnya kumpulan kerja khas antara Suruhanjaya Tinggi British dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, beliau yakin kumpulan itu mampu mengenal pasti dan menerokai bidang baharu untuk faedah bersama.
Najib dijangka tiba di London pagi Isnin dari Tanzania selepas mengadakan lawatan kerja ke negara itu bagi menghadiri Dialog Perkongsian Bestari Global, sejak Sabtu lepas.
Zakaria berkata Najib dan Cameron dijangka mengadakan perbincangan dua hala itu pada Khamis, sebelum kedua-duanya melakukan upacara pecah tanah Projek Stesen Jana Kuasa Battersea, London.
Pembangunan semula projek Stesen Kuasa Battersea bernilai 8 bilion, dimiliki konsortium Malaysia terdiri daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Sime Darby Bhd dan SP Setia Bhd, merupakan projek terbesar Malaysia di negara tersebut.
Zakaria juga berkata pertemuan Najib dengan Cameron juga dijangka menyentuh konsep Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang diperkenalkan Najib dalam menghadapi suasana yang semakin berubah di negara itu dari sebuah negara homogenous ke arah multiculturalism, dengan UK melihatnya sebagai sesuatu yang mencabar.
Selain menyentuh mengenai perkembangan di arena antarabangsa terutama isu di Syria serta kedudukan perdagangan dunia yang masih lesu pada masa ini, katanya.
Zakaria berkata semasa itu juga, Najib akan turut menghadiri taklimat media mengenai Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-9 yang akan diadakan dari 29 hingga 31 Okt di London, juga merupakan WIEF pertama diadakan di Eropah, dihoskan negara bukan Islam, bagi menjadikan forum tersebut sebahagian daripada komuniti global.
UK juga merupakan antara negara Eropah yang mempunyai penduduk Islam yang ramai, tambahnya.
Perdana Menteri akan juga menghadiri jamuan teh dengan Rakan Barisan Nasional atau lebih dikenali sebagai Friends of Barisan Nasional UK (FBNUK) yang dianggotai rakyat Malaysia di UK serta rakan rakyat Malaysia di negara itu. Pertubuhan itu dilancar Najib pada Mei tahun lepas, di sini semasa lawatan kerjanya.
Menteri Kanan Hal Ehwal Luar dan Pejabat Komanwel bagi Kepercayaan dan Komuniti dan Menteri Bagi Kepercayaan dan Komuniti, Baroness Warsi dan Timbalan Menteri di pejabat Hal Ehwal Luar dan Komanwel Hugo Swire, antara tetamu kehormat yang akan menghadiri pertemuan yang dianjurkan Lord Sheikh, yang merupakan penyokong FBNUK, di House of Lords di sini.
Zakaria berkata Najib juga akan bertemu dengan rakyat Malaysia di UK, termasuk kumpulan kedua pelajar tajaan Felda seramai 130 orang yang sedang mengikuti pengajian selama tiga bulan, di Lim Kok Wing University di sini.
Beliau juga dijadual melancarkan pusat Outreach 1Malaysia for Youth (1M4U) UK yang merupakan program pertama di luar negara dalam usaha melibatkan generasi muda negara di UK, katanya.
Sementara itu, isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang mengiringi suaminya dalam lawatan kerja itu akan turut mengadakan lawatan ke pusat autisme di Treehouse School di sini pada Selasa, katanya.-1/7/2013 - Agenda Daily.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment