29 July, 2009

HADI 'MUNTAH' LIHAT CAWAT IBAN


Kenapalah hina sangat cawat kaum Iban di Sarawak di kacamata Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi Awang? Dikategorikannya orang Iban di Batang Air yang bercawat tu tak reti (sama dengan bodoh) membuang undi. Bukankah itu pakaian tradisi sebilangan besar suku kaum di Sabah dan Sarawak, juga masyarakat Orang Asli di Semenanjung? Macam nak muntah dia lihat cawat kaum Iban sampai sanggup menghina begitu sekali.

Shariman Faizul Abdullah, rakan lama anak Sarawak dalam mesejnya kepada saya di ruangan chat Facebook berkata, masyarakat Iban di negeri itu cukup marah dengan penghinaan Pengerusi PAS, Abdul Hadi Awang terhadap suku kaum itu dalam isu pemakaian cawat.

Menurut Shariman, perasaan marah kaum Iban itu dinyatakan dalam akhbar-akhbar tempatan di Sarawak, dan hampir kesemua pemimpin Iban menyelar Hadi. Menurut mereka, Hadi tidak wajar memperbodohkan pemakai cawat, pakaian tradisi kaum Iban dan beberapa suku kaum lain di Sarawak.

Ketika berceramah dalam Pilihanraya Kecil Manek Urai baru-baru ini, Presiden Pas itu menyifatkan rakyat di Batang Air, yang majoritinya suku kaum Iban, tidak tahu mengundi kerana mereka masih memakai cawat. Kata Hadi, “Semua pilihanraya kecil sebelum ini keputusannya memihak kepada kita (Pakatan Pembangkang). Cuma di Batang Air sahaja, kita kalah sebab mereka ini tidak reti mengundi, pakai cawat lagi. Saya bukan nak hina, tetapi tempat yang pakai molek, undi Pas”.


PAHLAWAN DAYAK BERCAWAT


Kenyataan Hadi itu mengundang kemarahan suku kaum Iban, khususnya di Lubuk Antu sehingga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang mewakili kaum Iban mendesak Hadi segera meminta maaf.

Hadi bukan sahaja enggan meminta maaf, sebaliknya menjadikan Barisan Nasional (BN) pula sebagai ‘kambing hitam’, kononnya isu itu sengaja diperbesar-besarkan oleh pemimpin parti komponen itu, khususnya dari Sarawak. Sikap Hadi ini adalah lumrah kebanyakan pemimpin Pas, yang enggan mengaku kesilapan, sebaliknya menundingkan kesilapan itu kepada pihak lain.

Itulah sebabnya Pas tidak pernah mendapat tempat di Sarawak dan Sabah, walaupun parti itu telah beberapa kali mencuba nasib bertanding dalam Pilihanraya Umum kedua-dua negeri itu. Di Sabah, Pas telah mula bertapak sejak akhir 1980an, dan beberapa kali meletakkan calon dalam Pilihanraya Negeri, tetapi tidak pernah menang, malah sering hilang deposit. Kenapa ini berlaku? Kerana Pas mempunyai sikap suka memperbodohkan pengundi di kedua-dua negeri itu, kononnya rakyat di sana tidak sebijak penyokong-penyokong mereka di Semenanjung.

Beberapa suku kaum di Sabah juga menjadikan cawat sebagai pelengkap pakaian tradisi. Suku kaum Murut dan Dusun yang berasal dari pendalaman Sabah, masih berbangga dengan tradisi pemakaian cawat, termasuk dalam persembahan tarian kebudayaan mereka. Malahan ketika saya berkunjung di Pulau Banggi, berhampiran Kudat pada awal 1990an, masih terdapat penduduk yang memakai cawat sebagai pakaian harian. Mereka selalunya tidak lalai menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pilihanraya.

Hadi sudah pasti tidak lena malam atas keterlanjuran kata-katanya. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

25 July, 2009

DR ZAMBRY, TOK GURU, NIZAR DAN LILIN


NIZAR DAN ADUN SELINSING MENYERTAI NGEH KO HAM DAN NGA KOR MING MEMEGANG LILIN DALAM UPACARA KEAGAMAAN SEMPENA KEMATIAN MENDIANG TEOH.

Tindakan Nizar dan beberapa pemimpin PAS Perak memegang lilin semasa upacara keagamaan kematian mendiang Teoh Beng Hock amat mengejutkan umat Islam di negara ini. Perbuatan Nizar dan dua ADUN Pas, iaitu Adun Selinsing dan Adun Titi Serong dianggap keterlaluan dalam percubaan meraih sokongan politik kaum Cina.

Dewan Ulama PAS turut menegur perbuatan Nizar itu. Tetapi pemimpin PAS lain seolah-olah cuba mempertahankan perbuatan Nizar itu. Husam menganggapnya tidak salah di sisi agama, Nik Aziz pula berkata memegang lilin diupacara kematian bukan Islam sama seperti dalam majlis harijadi.

Putar-belit PAS bagi membetulkan keterlanjutan Nizar nampak kebudak-budakan dan ternyata menolak tuntutan dan tatasusila agama Islam. Dr Zambry turut dibidas oleh Nik Aziz apabila Menteri Besar Perak itu meminta ulama PAS membuat fatwa berkenaan perbuatan Nizar itu.

Berikut nota Dr. Zambry selepas dibidas oleh Nik Aziz.

"Masalah Nizar memegang lilin untuk memperingati mendiang Teoh nampaknya menjadi hangat.

Saya pada mulanya tidak berminat nak mengulas hal-hal Nizar kerana saya tahu dia memang suka bila ada orang mengulas tentang dirinya. Soalan dikemukakan oleh para wartawan kepada saya sebelum ini ialah tentang tindakan Nizar.

Jadi sebagai orang tidak mahu hentam sembrono, saya kata elok ditanya Tok-tok guru PAS tentang hukum tafakkur pegang lilin di hadapan gambar si mati.

Malah Nizarpun memang terkenal dengan orang yang suka menonjolkan diri sebagai yang kononnya hebat dalam agama seperti berebut nak jadi Imam, nak bagi tazkirah, nak bagi khutbah dan sebagainya.

Beberapa hari yang lalu Husam menjadi orang pertama mempertahankan tindakan Nizar atas alasan bahawa ianya tidak menjadi kesalahan dan menyalahkan pihak lain kononnya semua yang PAS buat dianggap salah.

Apa yang menarik pula ialah kenyataan Nik Aziz bahawa soalan saya untuk dirujuk kepada Tok-tok Guru PAS dianggap sebagai soalan politik.

Maka katanya eloklah dijawab cara politik. Katanya lagi saya ini orang politik dan bukan orang kaji agama. Tak apalah dengan tuduhannya mengatakan saya bukan orang kaji agama. Maklumlah orang yang mahir bab agama hanyalah dirinya. Tetapi nampaknya selama ini beliau kata agama dan politik tidak boleh dipisahkan adalah suatu yang retorik semata-mata.

Dia kata lagi saya nak minta fatwa apa sedangkan hukum demokrasipun saya tak pegang. Bukankah hukum demokrasi bererti majoriti memerintah.

Dia juga kena tanya dirinya dan Pakatan kenapa nak ambil kerajaan Malaysia secara tidak demokratik suatu ketika dulu.

Hari ini Nik Aziz kata tak jadi masalah dengan lilin meskipun Dewan Ulama menasihatkan ianya perlu dijauhkan bagi perkara yang mendatangkan keraguan. Nizar pula kata ia tidak menghadiri upacara Teoh, tetapi adalah upacara DAP.

Rakyat keliru sebenarnya kerana tuduhan gambar itu kononnya Utusan Malaysia. Dia lupa akhbar lainpun ada keluarkan. Soalan saya bukankah itu upacara mengingati Teoh yang dianjurkan oleh DAP yang dihadiri oleh Nizar berpakaian hitam sambil gambar mendiang berada di atas meja dan dipegang oleh Ngeh?

Saya tidak tahu samada gambar Nizar memegang lilin dengan khusyu sekali adalah gambar yang direka-reka oleh akhbar bagi menjatuhkan Nizar atau Nizar sendiri cuba berbohong kepada rakyat jelata.

Apapun bagi saya biarlah peristiwa Teoh Beng Hock ini tidak dijadikan isu bagi meraih simpati politik murahan.

Semua orang meratapi bagaimana Teoh mati dalam keadaan yang mengerikan. Kepada pembangkang usahlah keterlaluan dalam tindakan".

16 July, 2009

MENGAPA SAYA KELUAR PKR? - ADUN BEHRANG

JAMALUDDIN (KIRI) DAN OSMAN JAILU

Ikutilah jawapan YB Jamaluddin Mohd Radzi selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang kepada wartawan AgendaDaily.com, Kuala Lumpur, Mei 2009.

Ahli Dewan Undangan Negeri Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, adalah antara tiga ADUN Perak yang membuat keputusan meninggalkan parti masing-masing dan mengisytiharkan diri mereka menjadi ADUN bebas yang menyokong Barisan Nasional.

Ekoran daripada tindakan mereka yakni Jamaluddin dan Osman Jailu (Changkat Jering) dari PKR dan Hee Yit Foong DAP (Jelapang), kerajaan Negeri Perak bertukar tangan selepas baru 11 bulan Pakatan Rakyat berkuasa.

Ini apabila BN yang semasa pilihan raya Mac 2008 memperolehi 28 kerusi kini mendapat sokongan tiga ADUN menjadikan majoriti menyokong BN sebanyak 31 kerusi.

Sebaliknya pakatan pembangkang daripada 31 kerusi turun menjadi 28.

SIKAP BEKAS MENTERI BESAR PERAK DATUK SERI NIZAR JAMALUDDIN MENGADAI KEPENTINGAN MELAYU.

Langkah keluar PKR ini katanya, kerana penguasaan dua orang kuat DAP, Ngeh Koo Ham, (Pengerusi DAP Perak, ADUN Sitiawan, Exco Kanan Kerajaan Negeri dan Ahli Parlimen Beruas) dan Nga Kor Ming (ADUN Pantai Remis Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Parlimen Taiping) yang terlalu besar dalam Exco membuat keputusan.

Penukaran kereta rasmi Exco daripada Proton Perdana kepada Toyota Camry.

”Saya sebut kita angkat kereta nasional. Kita kena ada semangat kebangsaan. Kalau kerajaan Terengganu masa itu nak tukar Mercedes, itu kerajaan BN, ini kerajaan Pakatan. Kita tunjuk sayang kepada kereta nasional.

Kita kena ada semangat kenegaraan. Kalau kerajaan Terengganu masa itu nak tukar Mercedes, itu kerajaan BN, ini kerajaan Pakatan. Kita tunjuk kita sayang kepada kereta nasional. Semangat patriotik kena ada.

Nizar minta saya sediakan kertas hujahkan perkara itu. Mulanya dalam Dewan (Dewan Undangan Negeri) dia sebut 10 biji Camry yang bernilai RM 920,000.00 tapi bila mesyuarat Exco dia kata 15 buah termasuk ex-officio.

Tapi kita tak dapat pengecualian cukai, harganya menjangkau RM 2.5 juta. Kalau Perdana baru RM 1.76 juta jadi kita boleh jimat RM 740,000.00.

Ada lagi perkara lain yang saya hujahkan dalam kertas itu hinggakan saya sebut kalau Anwar jadi PM adakah kita nak tutup kilang Proton?. Nizar setuju dengan hujah yang saya kemukan dan kekal untuk gunakan Perdana.

Tapi bila masuk mesyuarat exco, sebut sahaja soal kereta, Ngeh Koo Ham kata Camry baik, itu baik ini baik dan macam-macam lagi hujahnya, daripada 10 buah, keputusannya tempahan dibuat 15 buah. Walhal sebelum itu beliau (Nizar) setuju dengan saya.

Nizar dan Ngeh...dia terlalu tunduk. Apa kata Ngeh dia akan ikut. Dia bukan pemimpin Melayu”.

Isu hak milik tanah Kampung Baru 999 tahun dan penukaran syarat tanah rumah kos rendah.

”Semua ini berlaku dalam mesyuarat Exco. Soal rumah murah, kerajaan BN banyak luluskan tapi belum dilaksanakan lagi. Tapi bila kerajaan Pakatan ambil alih ramai pemaju buat permohonan tukar syarat daripa rumah kos rendah kepada rumah kos sederhana dan rumah banglo.

Saya sebut dalam mesyuarat Exco, kerajaan dulu (BN) rancang benda ini baik. Usaha untuk menempatkan orang-orang susah, berpendapatan rendah untuk memiliki rumah di bandar.

Saya sebutkan kepada Nizar usaha tukar syarat tanah akan menyebabkan orang Melayu tidak ramai yang berkemampuan untuk miliki hartanah di bandar dan terus pastikan orang Melayu hanya tinggal di pinggir dan di kampung-kampung sahaja.

Waktu pertama beliau membuat undian dalam mesyuarat Exco siapa yang menyokong siapa yang tidak bersetuju.

Yang menyokong Tai (PKR), Nga Kor Ming dan Ngeh. Yang menolak saya dan Kapten Osman Jailu.

Nizar pada hari itu ambil keputusan menolak walaupun tiga menyokong dan dua tidak setuju manakala lain-lain Exco berkecuali.


Saya tulis nota kepada Nizar, jangan amalkan undi angkat tangan. Jika angkat tangan, Melayu ada tiga orang sahaja dalam Exco termasuk Nizar sebagai MB ada empat.

Lepas daripada itu tiap-tiap minggu ada sahaja permohonan (tukar syarat tanah) saya bantah...hendak tukar syarat tanah daripada bina kos rendah kepada sederhana dan banglo. Pada hal syarat yang telah diluluskan oleh kerajaan dahulu untuk rumah kos rendah.

Semua cadangan itu datang daripada syarikat-syarikat bukan Bumiputera. Namun jika ada permohonan daripada syarikat Bumiputera, ada sahaja yang dipertikaikan oleh Ngeh dan Nizar setuju walaupun Pengarah Tanah dan Galian beri syor untuk diluluskan.

Bagi permohonan bukan Bumiputera, walaupun cadangan dibuat ditolak, tapi Ngeh kata ia perlu diluluskan dan Nizar setuju. Sampai saya buat catatan M (Melayu) dapat berapa dan C (Cina) dapat berapa. M lulus tiga, C lulus sembilan.

Hinggakan pada mesyuarat berikutnya saya ambil pendirian berdiam diri..Cuma bila permohonan datang daripada C, saya terus jerit LULUSKAN sahajalah, bila permohonan Melayu saya jerit TOLAK aje. Tujuan saya nak memperli Nizar supaya dia sedar..tapi dia tak peduli pun. Nampak sangat dia takut dengan Ngeh.” katanya.

Isu tanah 999 tahun.

Jamaluddin berkata : ”Yang bawa cadangan itu Ngeh sendiri. Saya bantah kerana perkara itu tidak ada dalam manifesto PKR pun. Saya sebut kepada Nizar jangan kan 999... 99 tahun pun kita akan dikritik hebat.. tapi kerana terlalu nak jaga kehendak DAP, Nizar ikut sahaja.

Sampaikan saya kata UMNO dah lebih 50 tahun memerintah, baru rakyat tolak mereka. Tapi pakatan baru 11 bulan.

Saya dengar di kantin pegawai-pegawai dah mula bersungut pasal pemberian tanah 999 tahun yang mereka rasakan melampau.

Ekoran itu, saya bertemu Nizar. Saya bangkitkan soal tanah.... balak semua ditender. Jadi saya tanya dia bolehkah ada pertimbangan atau diasingkan dalam soal pemberian tender kepada Bumiputera dan bukan Bumiputera. Dia kata tak boleh.

Saya beritahu dia kalau macam itu, peluang Bumiputera khususnya Melayu sampai bila nak dapat.

Bila kita hujah lebih sikit, dia diamkan dirinya. Tapi dalam ceramah dia mula cakap kita tak boleh perjuangkan satu kaum sahaja. Kenapa masa kita jumpa dia bincang dia diamkan diri sahaja. Begitu juga dalam soal pemberian tanah kepada sembilan sekolah Cina.

Saya sebut dengan Nizar, tiap-tiap tahun kita beri bantuan kepada sekolah terbabit sebanyak RM 30,000.00 setahun kenapa nak beri tanah pula.

Akhirnya Nizar setuju dengan pandangan Ngeh, daripada nak beri tanah 1,000 ekar kepada sekolah-sekolah itu, Ngeh tukar kepada 1,000 hektar, Nizar pun setuju juga. Daripada ekar kepada hektar, Nizar ikut sahaja.

Berdasarkan pengalaman selama 11 bulan bersama mereka, Exco memang dikuasai oleh Ngeh dan Nga.

Nizar patung sahaja. Segala-segalanya dikawal oleh Ngeh dan Nga.

Dayuslah kita, hanya kerana nak duduk jawatan Exco, apa sahaja Ngeh dan Nga buat kita akur sahaja.

Saya tak boleh. Kita dari dulu kaki lawan. Selama 10 tahun berjuang apa kita dapat.

Habis wang ringgit sendiri untuk parti... hari ini dapat RM 14,000.00 sebulan besar sangat ke”, ujar beliau mengenai senario sebenar yang berlaku dalam Exco Perak di bawah pimpinan Nizar semasa pakatan pembangkang perintah negeri Perak”.

Konspirasi Dalaman.

”Dalam PKR pun ada konspirasi untuk pinggirkan saya dengan Kapten Osman.

Ia bermula daripada soal tuduhan rasuah yang dikenakan terhadap saya dan Kapten Osman sehinggalh kepada peristiwa bila mana ADUN BN kawasan Bota, Datuk Nasharuddin sertai PKR.

Kononnya ada tiga lagi ADUN BN yang akan ikut sama. Mereka yang hendak masuk ini dijanjikan jawatan Exco.

Usaha ini dibuat kerana dengan tambahan empat kerusi daripada BN, kerusi pakatan akan bertambah kepada 35 dan BN tinggal 24 kerusi sahaja.

Jadi sebab itu surat perletakan jawatan saya dan Kapten Osman sebagai ADUN dikeluarkan kerana mereka dah yakin ada majoriti lebih dengan kemasukan empat ADUN BN ke dalam PKR. 35 kerusi jika ditolak dengan dua kerusi saya dan Kapten Osman mereka masih ada majoriti 33 kerusi.

Apakah ini merupakan mainan politik pimpinan PKR di peringkat negeri Perak untuk menyingkirkan beliau dan Kapten Osman?.

Sebenarnya ini adalah mainan politik pimpinan PKR negeri Perak dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Kenapa saya kata begitu. Pada malam timbul isu surat perletakan jawatan saya dan Kapten Osman telah diserahkan kepada (Speaker Dewan Undangan Negeri) V. Sivakumar, kenapa Anwar pada malam itu ambil tindakan inisiatif hubungi Sivakumar sebagai speaker untuk jangan serahkan surat perletakan jawatan itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam kes Arumugam di Bukit Selambau, kenapa Anwar boleh simpan dulu surat perletakan jawatan bagi cari jalan penyelesaian, kenapa dalam kes kami sepatah pun dia tak cakap apa-apa. Kenapa tak tunggu kami balik kerja. Maknanya Anwar setuju dengan tindakan ini kerana dia mempunyai perancangan, bagi kerusi Changkat Jering, Ketua Bahagian PKR, Ismail hendak dijadikan calon manakala di Behrang, Ketua Bahagian PKR Pasir Salak, Mustapa Kamil Ayub akan dicalonkan.
Ini cara mereka... buat rancangan nak dapatkan empat ADUN BN, kami berdua, saya dan Kapten Osman dikorbankan dan orang ’kesayangan’ Anwar boleh bertanding dalam pilihan raya kecil.

Malah pada malam kekecohan surat perletakan jawatan saya dan Kapten Osman dikeluarkan, Ismail telah mengadakan mesyuarat persiapan pilihan raya di Bukit Gantang dan mengumumkan bahawa beliau akan menjadi calon.

Sedangkan perkara itu belum pun sampai kepada SPR dan mereka seharusnya sedar akan proses undang-undang yang akan kita ambil. Langkah awal saya, saya hantar surat penfian kepada SPR, Istana dan Setiausaha Kerajaan Negeri bahawa saya menafikan saya telah meletakkan jawatan.

Surat itu sampai ke pejabat SPR jam 7.56 pagi, lebih awal daripada surat perletakan jawatan yang dihantar oleh Sivakumar.

Bagi saya Anwar jelas hedakkan orang-orang dia sahaja memegang jawatan.

Taktik ini sama dengan apa yang berlaku dengan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Fairus Khairuddin. Tak sabarkah mereka nak tunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-13.

Nak suruh cepat berhenti, mereka buat aduan rasuah terhadap Fairus, tapi kerana beliau tak tahan, letak jawatan dan akhirnya orang kepercayaam Anwar, Dr. Mansor dinamakan sebagai calon untuk DUN Penanti.

Inilah yang mereka cuba lakukan kepada saya dengan Kapten Osman Jailu. Buat aduan rasuah dengan harapan saya dan Kapten Osman letak jawatan.

Isu rasuah ini bagaimana ceritanya kerana semasa kes ini berlaku ia dikatakan perancangan BN.

Dalam soal rasuah ini, pada mulanya saya memang ingat perancangan BN hendak kenakan saya. Tapi melihat kepada apa yang berlaku kepada Fairus, saya penuh yakin ia adalah rancangan yang diatur oleh orang PKR sendiri.

Mana tidaknya, kes yang didakwa membabitkan saya berlaku apabila bekas ADUN Bota dari PKR dulu, Kapten Usaili Alias hubungi saya beritahu ada orang nak jumpa bincang pasal permohonan satu projek pembangunan di Bandar Baru Seri Iskandar. Ajak saya jumpa di Hotel Casuarina (Ipoh).

Saya minta mereka datang ke pejabat. Selepas jumpa orang itu letak sampul surat. Saya tanya sampul apa itu. Orang itu beritahu sumbangan RM 5,000.00. Saya tanya sumbangan untuk siapa, dia kata untuk parti.

Kalau untuk parti bukan kepada saya, sepatutnya kepada Usaili dan Usaili ambil sampul itu.

Memang jadi amalam saya, tetamu yang datang saya akan iring mereka sampai pintu keluar. Bila saya buka pintu saya dah nampak pegawai Pencegahan Rasuah dah tunggu di luar. Tapi mereka tidak ambil apa-apa tindakan ketika itu.

Esoknya barulah saya dihubungi, diminta datang untuk beri keterangan.

Bila lihat apa yang berlaku kepada Fairus, saya mula sedar, inilah cara mereka untuk pastikan dan Kapten Osman boleh disingkirkan daripada memegang jawatan bagi membolehkan orang ’kesayangan’ Anwar mengambil alih.

Tak ada makna kita jadi pemimpin kalau negeri ini kita gadai.

Malah saya pernah tegur Nizar apakah hanya kerana kita hendak angkat Anwar jadi Perdana Menteri, kita nak gadai Perak kepada Cina.

Kerana nak angkat seorang, kita gadai semua. Dia tak jawap apa-apa pun.

Keputusan saya untuk meninggalkan pakatan ini demi untuk menjamin kepentingan Melayu, bukan soal kepentingan diri.

Biar saya jelaskan. Kalau untuk kepentingan diri, masa selepas pilihan raya dulu, saya antara nama yang disebut untuk menjadi MB.

Malah Anwar jumpa saya beritahu perkara yang sama. Saya sedar diri saya dan mungkin saya tidak layak.

Tapi Anwar beritahu jangan bimbang, dia dah ada pasukan yang akan membantu saya menjalankan tugas sebagai MB.

Saya kata kepada Anwar, kalau itu yang Datuk Seri janjikan, saya terimalah tapi Datuk Seri kena tunaikan janji itu.

Masa perbincangan mengenai isu MB itu kami bertiga ADUN PKR Melayu iaitu saya, ADUN Changkat Jering Kapten Osman Jailu dan ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamahri hadir.

Bukan itu sahaja, saya pernah menjadi ahli DAP pada tahun 1986 cawangan Tanjung Malim. Ngeh dan Ngah jumpa saya minta saya aktifkan semula keahlian DAP dan mereka hendak meletakkan saya sebagai MB daripada parti DAP.

Alhamdulillah, perjuangan saya tidak dikaburkan dengan jawatan. Saya beritahu mereka saha ahli PKR kenapa pula saya nak masuk DAP.

Saya bersyukur dengan keputusan yang saya buat pada ketika itu. Kalau tidak, mungkin saya menjadi boneka mereka sahaja. Apabila dah berkuasa.... 2 x 5... mereka sebat juga.

”Nizar beri nasihat kepada saya kalau dapat duit yang ada kaitan dengan balak jangan simpan dalam akauan, nanti susah, simpan tempat lain, kena cermat dan hati-hati”.

Isu Agama

”Atas isu agama. Kebebasan yang terlalu sangat diberikan. Dalam mesyuarat Exco mereka rancang hendak mengadakan tokong Hindu dan gereja di setiap taman perumahan.

Kita hormat agama lain kerana kebebasan beragama dijamin dalam Perlembagaan.

Tapi untuk mewujudkan tokong Hindu dan gereja di setiap taman perumahan, saya kira ini dah keterlaluan.

Mana pernah berlaku sebelun ini. Bagi saya ini melambangkan tiadanya penghromatan kepada Islam sebagai agama rasmi di negera ini.

Nizar bukan pejuang Islam, bohong, dia hanya nak jaga kepentingan diri sahaja”.

”Pada peringkat awal kita percayalah tentang keadilan, menentang rasuah dan penyelewengan, tentang salah guna kuasa. Ini yang kita nak bawa. Ini perjuangan kita bersama selama ini.

Selama 11 bulan memerintah, saya tak nampak agenda perjuangan yang dilaung-laungkan dulu dilaksanakan. Hanya yang berlaku lulus tanah kepada Cina, beri balak kepada pimpinan parti dan terus dengan program ceramah.”

Salah guna kuasa.

Tapi apa yang menariknya, dia ada nasihat saya, kalau dapat duit jangan simpan dalam akaun nanti susah. Kena sorok kena cermat.

Dia ajar saya buat kerja jahat. Kalau boleh ajar saya buat jahat.... kamu buat tak benda itu?. Serupa aje mereka ini. Usah ceritalah, pembohong aje mereka ini. Kata kita akan dipersoalkan di akhirat?.

Kalau dulu kita kata UMNO ini penyamun, mereka lagi teruk. Penyamun, perogol dan pembunuh sekali.

Apa yang saya lihat dalam masa saya benyak menyuarakan pandangan dan menegur kepimpinan Nizar sebagai MB, Nizar pada masa yang sama main politik dengan jaga kepentingan pimpinan negeri PKR.

Dia bagi balak kepada mereka.

Kalau PKR Bahagian Tanjung Malim yang saya ketuai mohon tidak diluluskan tapi kalau dipohon oleh pimpinan PKR negeri dia luluskan.

Sebab itu kawasan balak diluluskan kepada pimpinan PKR negeri ketika itu Zulkefli Ibrahim yang juga Ketua PKR Tambun dan Ketua Wanita, Suzana, Ketua PKR Bukit Gantang, Ismail dan bekas ADUN Bota Usaili. Tiga empat orang inilah yang dapat. Pimpinan PKR lain tidak diberikan. Mereka ini adalah kumpulan ABIM dalam PKR.

Selepas jadi ADUN Bebas?.

Saya di Behrang, Alhamdulillah masyarakat masih boleh terima saya. Masyarakat Cina dan majoriti masyarakay Melayu terima saya dengan baik. Selepas jadi ADUN Bebas beberapa program yang dianjurkan dapat sambutan. Yang marah dengan saya ahli-ahli PAS sahaja.

PKR Tanjung Malim bagi saya boleh dianggap dah hancur.

Masyarakat Cina yang selama ini menjadi ahli PKR di Tanjung Malim sering tanya saya bila nak buat pengisytiharaan beramai-ramai keluar PKR.

Kepimpinan PKR Tanjung Malim bersama saya. Sekarang memangku Ketua Bahagian adalah orang Teluk Intan yang tidak diterima oleh ahli PKR sendiri.

Saya yakin dalam pilihan raya akan datang, BN mampu untuk menang di Behrang.

Selain daripada isu yang berlaku, saya dah dengar lama di Behrang, mereka menyesal undi pembangkang kerana niat asal mereka hanya untuk mengajar BN tapi rupa-rupanya Perak jatuh ke tangan pembangkang.

Kesedaran khususnya di kalangan orang Melayu dah ada. Mereka sudah mula kembali kepada UMNO.

Hari ini yang rugi bukan sahaja UMNO di Perak tapi orang Melayu keseluruhanya.

Setelah melihat apa yang berlaku di Perak saya beritahu kawan-kawan, kita janganlah kerana marahkan nyamuk, kelabu dibakar.

Jangan kita bakar kelambu itu tapi lebih baik kita halau nyamuk-nyamuk itu.

Cuma orang UMNO jangan sekat jika ramai yang nak kembali kepada parti itu.

Rakyat sebenarnya bukan suka dengan pakatan pembangkang tetapi kerana marah dengan UMNO dan tiada pilihan, mereka beri sokongan kepada pembangkang itu saja”, katanya mengakhiri temubual.

MANEK URAI - NOTA RAZMAN HAKIMI





Catatan Razman Hakimi Abdullah dari Unit Media Pemuda UMNO Malaysia mengenai keputusan Pilihanraya Kecil N41 Manek Urai begitu baik dijadikan renungan. Manek Urai meninggalkan kesan yang cukup mendalam terhadap arah tuju parti-parti politik menjelang Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Saya siarkan nota Razman Hakimi.

"Rakan2 seperjuangan dan pemerhati2 di group Pemuda UMNO.

Manek Urai telah selesai semalam. Ye, memang kalah tu kalah, dan menang tu menang, tetapi saya telah lihat perbezaan yang amat jelas di antara 2008 dan 2009. Jangan kita abai kan apa yang kita telah pelajari selama satu setengah tahun selepas PRU lepas. Rakyat memang nak didengar, bangsa Melayu sudah hilang suara meluahkan perasaan tidak puas hati mereka dari PRU lepas sampai ke MU semalam. Rakyat perlukan penjenamaan baru, perlu pendekatan baru, perlu kasih dan sayang daripada Parti UMNO, perlu di dengar apa yang mereka selama ini meluahkan dan jangan buta kepada kejadian di sekeliling anda.

1Malaysia memang datang tepat pada masanya. YAB Perdana Menteri selama jadi YAB Timbalan Perdana Menteri, sudah lihat kelemahan dan kekurangan daripada pentadbiran lama, setiap Pemimpin mesti sekarang melihat apa yang YAB PM sedang cuba laksanakan, iaitu penyatuan rakyat Malaysia di bawah satu banner, iaitu 1MALAYSIA. Kenapa tidak boleh ? Kalau di pembangkang berpuluh ribu bangsa Melayu telah jadi ahli, adakah itu satu kesedaran bagi Parti UMNO bahawa ada kesilapan yang sudah terjadi, yang perlu diperbetulkan sebelum keyakinan dikembalikan kepada bangsa Melayu yang mengucap selamat tinggal kepada UMNO sebelum PRU lepas.

Pemimpin bukan sahaja seorang Pemimpin untuk rakyat yang alif dan baik sahaja. Pemimpin UMNO adalah pemimpin untuk semua rakyat, tak kira bangsa dan persefahaman politik. Pemimpin UMNO mesti buang ketepi keseganan mereka untuk masuk ke kawasan pembangkang, dan buat apa yang terbaik untuk bangsa Melayu dan rakyat Malaysia. Lagu warisan jangan kita nyanyi dalam mimpi kalau Dewan Negara jatuh kepada tangan pembangkang. Pemimpin jangan tuduh akar umbi kalau kalah pada PRU depan, kerana bukan akar umbi yang ada kuasa seperti Pemimpin untuk BERUBAH ATAU DIUBAH sebelum terlambat.

Jangan kerana kekalahan yang tipis di Manek Urai, Pemimpin tepuk dada dengan kata kata 'Rakyat sudah mula percayai UMNO/BN'. Banyak lagi yang perlu dibuat sebelum kita mencapai tahap yang boleh dikata ketara atau amat baik sampai UMNO/BN boleh menang PRU depan dengan majoriti lebih 2/3.

Di Manek Urai sudah jadi jelas, pengundi belia adalah target sekarang. Bawa mereka balik ke pangkuan UMNO, dengan menggunakan AGAMA BANGSA DAN NEGARA, Insyallah, kita bersama boleh berjaya. Jangan kita berjaya sekarang hanya untuk dikalahkan pada PRU depan.

BERUBAH ATAU DIUBAH."

14 July, 2009

KECOH DI MANEK URAI


KEKECOHAN DI SEBELAH PAGI

Proses pembuangan undi dalam Pilihanraya Kecil N41 Manek Urai dicemari dengan beberapa kekecohan antara penyokong kedua-dua pihak yang bertanding. Di Pusat Pembuangan Undi Sungai Peria, perang mulut yang berlarutan membawa kepada tindakan membaling batu oleh pihak Pas yang mencetuskan kejadian tumbuk-menumbuk. Pasukan FRU dikejarkan ke situ untuk mengawal keadaan.

Sehingga kini, maklumat yang diterima 80% pengundi pos memihak kepada BN. Kedua-dua pihak sedang berusaha membawa pengundi keluar mengundi, dengan menyediakan kenderaan seperti kereta dan motosikal. Cuaca redup sebelah pagi melancarkan lagi proses pengundian. Bagaimanapun, sehingga 1.00 tengahari tadi, baru setakat 48 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Di Pusat Pembuangan Undi Sungai Peria, dilaporkan ada tindakan yang menyalahi peraturan pilihanraya, apabila ketua peti undi enggan membenarkan wakil atau waris pengundi uzur menjadi saksi kepada proses menurunkan undi. Ketua Pusat Mengundi tidak membenarkan waris mereka masuk ke dalam tempat mengundi, hanya pengundi dibenarkan masuk. Kemungkinan berlaku penipuan, khususnya jika pengundi menghadapi masalah penglihatan. Perkara ini telah saya laporkan untuk tindakan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abdul Rauf Yusoh.

Pihak penyokong PAS melaungkan slogan "hidup Islam”, termasuk menunjukkan topeng mantan MB Perak, Nizar Jamaluddin. Hakikatnya Islam hampir mati di Perak sepanjang 11 bulan Pakatan Rakyat memerintah, sehingga ke tahap Nizar menafikan bahawa PAS mahu menubuhkan Negara Islam dan melaksanakan hokum Hudud kesan dari desakan DAP.

Di pihak BN, mereka melaungkan perkataan “barua DAP”, "balak" DAN "jabe" (karung kutipan wang)ditujukan terhadap sikap Pas yang terlalu bergantung kepada DAP dan tidak berani membuat keputusan tanpa merujuk kepada Kit Siang dan Anwar Ibrahim. Maka itulah jadinya di Perak, selain dalam isu ‘babi’ di Kedah.

Apapun, pengundi Manek Urai telah faham dengan nilai perjuangan PAS ketika ini. Ramai pengundi yang sebelum ini tegar menyokong PAS ketika ditemui melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sikap Pas yang terlalu mengikut telunjuk DAP dalam soal Islam. Mereka mengingatkan semula kenyataan popular Pengerusi DAP, Karpal Singh, “LANGKAH MAYAT SAYA DULU JIKA MAHU MENUBUHKAN NEGARA ISLAM”.

Pas kini terlalu bergantung kepada populariti Mursyidul Amnya, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, tetapi kritikan terhadap ulama Pas itu sudah semakin ketara di kalangan penyokongnya. Ini ditambah dengan krisis kepimpinan di dalam Pas dalam soal idea Presidennya, Dato’ Seri Haji Hadi Awang dan Timbalannya, Nasaruddin Mat Isa.

Malam ini kejutan akan berlaku di Manek Urai. Rakyat di Manek Urai nampak begitu inginkan supaya BN mewakili mereka. Proses pembuangan undi terus berjalan di kesemua 9 pusat pembuangan undi. Masih ada masa sehingga jam 5.00 petang ini untuk pengundi menyatakan bantahan terhadap ketaksuban PAS bersekongkol dengan kebiadaban DAP terhadap Raja-Raja Melayu. Selamat mengundi.

07 July, 2009

NOTA DR. ZAMBRY DI MANEK URAI

"Saya ucapkan terima kasih kepadanya kerana datang pada saya. Dia menyebut bahawa dirinya bukan seperti sekalangan rakannya dari PR. Dia mohon agar dapat bersama dengan saya untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat," Dr. Zambry Abdul Kadir

Itulah petikan nulikan MB Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dalam Blog Rasminya, menceritakan kehadiran beliau semasa penamaan calon di Manek Urai semalam. Berikut saya siarkan nota penuh.

"Saya berada di Manik Urai untuk bersama dengan pimpinan BN memberikan dokongan kepada calon BN Tuan Abdul Aziz Tuan Mat.

Sejak menjadi Menteri Besar jarang sekali saya keluar dari Ipoh untuk pergi lebih jauh dari Kuala Lumpur. Saya sampai di Kelantan dan tidur bersama dengan rakan-rakan di sebuah kampung di Manik Urai.

Ini adalah pengalaman yang banyak memberi pengajaran akan perjuangan kepada setiap pendokong. Tidak kira samada pemimpin atau yang dipimpin hendaklah bersama menanamkan solidariti dalam saat sebegini.

Proses penamaan calon nampaknya berjalan dalam suasana yang baik. Syabas kepada polis yang berjaya membuat pemisahan tempat yang jauh antara kedua-dua penyokong parti. Maka tidak kedengaran sebarang provokasi atau tindakan yang boleh mencetuskan perbalahan.

Saya berkesempatan bertemu dengan beberapa pimpinan kerajaan dan pembangkang. Waktu berada di tempat saya seorang ADUN muda dari Perak datang ke tempat saya dan sempat berbual dengannya.

Saya ucapkan terima kasih kepadanya kerana datang pada saya. Dia menyebut bahawa dirinya bukan seperti sekalangan rakannya dari PR. Dia mohon agar dapat bersama dengan saya untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Saya sebutkan padanya bahawa saya tidak pernah mendiskriminasikan golongan miskin tegar atau mereka yang benar-benar memerlukan bantuan kerajaan.

Saya dan rakan pimpinan BN seperti Dato Hishamuddin jua berkesempatan bertemu dan bertegur sapa dengan pimpinan pembangkang seperti Mustapha Ali, Azmin Ali, Saifuddin Nasution, Kamaruddin Jaafar, Theresa Kuok, dan lain-lain. Kelihatan semuanya mesra dan bersalaman dengan saya dan Hishammuddin.

Saya kira politik di Kelantan akan membuka lembaran baru untuk membina kekuatan semula. Namun kesungguhan jentera dan kesediaan untuk bergerak di kalangan semua akan memberikan natijah yang baik kepada BN.

Saya fikir orang Kelantan mungkin akan kembali memilih suatu nama lagi Aziz bin Mat. Cuma kali ini Tuan Aziz Tuan Mat, bukannya Nik Aziz Nik Mat."

05 July, 2009

"GO GREEN" PAS DI MANEK URAI

“Go Green” – itulah slogan Pakatan Rakyat, khususnya PAS di Manek Urai. Dengan logo sama seperti team bolasepak Manchester United, logo bulan (PAS) diletakkan di tengah antara roket (DAP) dan mata (PKR). Malangnya slogan dan logo ini tidak menggambarkan keadaan sebenar PAS, DAP dan PKR.

“Go Green” bertentangan sama sekali dengan tindakan Kerajaan PAS Kelantan di bawah Tok Guru Nik Aziz memperkosa dengan rakusnya kehijauan hutan simpan Lojing bersempadan Cameron Highland. Dalam perjalanan saya ke Manek Urai semalam, Lojing tampak gondol kesan dari penebangan balak yang dilakukan secara menyeluruh di kawasan berkenaan.

LOJING YANG DIPERKOSA

Sudah tiada kehijauan di Lojing. Warna hijau hutan tropika bertukar warna menjadi cokelat tanah ibarat padang jarak padang terkukur. Rakyat diajak menuju ke warna hijau – warna parti PAS – tetapi parti itu sendiri yang memusnahkan warna hijau di puncak Lojing.

Kerakusan PAS di Lojing telah mengganggu ekologi tadahan air, dan melanggar perintah Allah s.w.t. supaya umat manusia jangan melakukan kerosakan di muka bumi. Dalam hal ini, Tok Guru Nik Aziz lupa pada perintah Allah, sebaliknya tunduk pada perintah nafsu bagi mengaut hasil khazanah hutan tanpa belas kasihan.

Rakyat di Manek Urai diajak oleh PAS untuk meminati pasukan bolasepak Manchester United, sedangkan kemudahan padang bola pun tidak diberikan keutamaan oleh Kerajaan PAS Kelantan kepada anak muda Manek Urai.

Logo PAS yang berada di tengah antara logo DAP dan PKR juga mengelirukan rakyat Manek Urai. Selama ini mereka melihat bukannya PAS yang mendominasikan Pakatan Rakyat, sebaliknya DAP dan PKR. Lazimnya logo PKR berada di tengah, kononnya simbolik peranan parti itu yang dapat menyatukan PAS dan DAP. Tetapi hakikatnya, kini logo DAPlah yang sepatutnya berada ditengah kerana dapat meletakkan PAS di bawah ketiak parti chauvinis Cina itu.

Rakyat di Manek Urai jangan tertipu dengan helah politik DAP. Parti ini sengaja mewujudkan situasi tegang di Kedah bagi menunjukkan kepada pengundi di Manek Urai kononnya PAS itu punya pengaruh dan bukan ‘yes men’ kepada DAP. Maka diciptalah cerita wayang kulit kononnya DAP marahkan PAS kerana merobohkan pusat penyembelihan babi di Kedah sehingga DAP Kedah dan Adunnya bertindak meninggalkan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Pengerusi DAP Kedah, Thomas Su menambahkan lagi sandiwara kononnya Kerajaan Negeri Kedah mahu merobohkan kuil dan tokong. Maka nampak hebatlah semula PAS di kacamata rakyat, khususnya pengundi Melayu di Manek Urai, sehingga boleh menentang kemahuan DAP.

Hakikatnya sandiwara dan wayang kulit ini akan berakhir selepas pilihanraya kecil Manek Urai nanti. PAS akan terus berada di bawah ketiak DAP selepas itu, menghidu bau hamis, hangit, masam dan serba serbi bau Kit Siang, Guan Eng, Thomas Su dan kuncu-kuncu DAP.

Rakyat Manek Urai jangan tertipu lagi. Buatlah pilihan yang tepat bagi mengembalikan maruah agama dan bangsa.