24 June, 2016

MASALAH SJKT SLIM RIVER SELESAI

Pagi semalam saya berkunjung ke SJK (Tamil) Slim River bersama Jurutera JKR Daerah, Encik Shaiful Azwan serta 19 kontraktor membuat lawatan tapak bagi projek baikpulih 3 blok bangunan lama iaitu kantin, dewan dan pra-sekolah yang sebelum ini dilaporkan tidak selamat digunakan kerana sudah mula reput akibat serangan anai-anai.

Kehadiran saya disambut Guru Besar, Puan Sandi a/p Arumugam dan guru-guru kanan sekolah. 

Kerja-kerja baikpulih antaranya melibatkan menukar keseluruhan bahagian bumbung dan tingkap dengan kos hampir setengah juta ringgit. 

Berdasarkan taklimat JD JKR kepada saya, proses sebut harga dan pemilihan kontraktor akan selesai pada minggu pertama Julai dan kerja-kerja akan dimulakan pada minggu ketiga. Projek ini dijangka siap dalam tempuh 8 minggu.

Semoga masalah bangunan lama yang mula mereput akibat serangan anai-anai dapat diatasi dan kembali memberi keselesaan kepada kira-kira 200 murid dan guru-guru di sekolah ini.

Saya juga telah meminta pegawai khas saya untuk menempah 4 set kanopi beserta kerusi meja bagi membolehkan para pelajar bersarapan pagi secara serentak kerana kantin telah ditutup sejak lebih sebulan lalu. Ketika ini mereka bergilir-gilir sarapan pagi dalam sebuah bilik darjah yang hanya boleh memuatkan 30 pelajar dalam satu masa.


21 June, 2016

RASA BERDOSA JIKA TIDAK SHARE


Taring Tun Mahathir secara rasminya tercabut - Nik Abduh

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Dewan Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hari ini menempelak Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkan sebagai individu yang tidak lagi mempunyai 'taring'.

Secara sinis, beliau berkata, secara rasminya taring bekas Perdana Menteri itu tercabut dan menyarankan Dr Mahathir memperbanyakkan ibadat.

"Saya sarankan Dr Mahathir banyakkan berada di tikar sejadah dan di hadapan Kaabah. Zaman kekuatannya ketika bertempur dengan Almarhum ayahanda TGNA (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) sudah berakhir.

"Jika Dr Mahathir kembali kepada Allah dengan taubat yang benar, itulah sebaik-baik kehidupan di hujung hayat. Saya mendoakannya," katanya menerusi entri terbaharu di Facebooknya.

Menerusi entri bertajuk 'Catatan di Tepian Kubur' itu, Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah laporan awal kekuatan PAS selepas berjaya melepasi krisis dalaman yang menyaksikan terkeluarnya anasir lemah serta buruk yang berusaha mengubah hala tuju perjuangan parti itu.

Beliau berkata, selepas PAS mengukuh kembali dalam tempoh setahun dengan barisan kepemimpinan baharu yang begitu bersatu menerajui parti, PRK kali ini adalah peluang terbaik PAS melihat tahap sokongan dan kekuatannya di bawah.

Katanya, ia adalah sokongan yang benar dan paling tepat terhadap PAS selepas ia bersendiri bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) di dalam blok ketiganya yang baharu.

"Ketika PAS bersama DAP, PAS dituduh UMNO sebagai tunggangan DAP. Ketika PAS berpecah dengan DAP, PAS dituduh DAP sebagai tunggangan UMNO. Sebagaimana PAS berjaya keluar daripada tuduhan pertama, PAS pastinya akan berjaya keluar daripada tuduhan kedua dengan selamat dan sejahtera.

"Malah, tuduhan itu akan lebih mudah dihilangkan kerana PAS tidak mengikat sebarang perjanjian dengan UMNO seperti ikatannya dengan DAP ketika dalam Pakatan Rakyat dulu. PAS tunggangan UMNO hanyalah persepsi murahan golongan lemah yang terpelanting akibat disantau mabuk 'Road To Putrajaya'," katanya.

Sementara itu, Nik Mohamad Abduh berkata, gerakan Islam mestilah bebas dan tidak boleh terikat dengan mana-mana kumpulan selepas ia mengikat dirinya dengan Allah dan agama-Nya.

"Haram atas gerakan Islam terikat dengan pihak kerajaan yang sekular yang enggan mengikat diri mereka dengan agama atau hanya bermuka-muka dengan agama demi menarik sokongan.

"Haram juga ke atas gerakan Islam untuk bersama pembangkang yang menentang kerajaan sehingga lebur segala prinsip perjuangan Islam demi menjatuhkan kerajaan sekular yang zalim. Gerakan Islam mestilah berbeza pada tahap yang tinggi di dalam berpegang kepada prinsip dan akidah perjuangan," katanya. - Berita Harian

17 June, 2016

AWAS TAKTIK JIJIK PEMBANGKANG

Lihatlah betapa jijiknya taktik kempen pembangkang dalam Pilihanraya Kecil P067 Kuala Kangsar. Disebabkan sudah tertekan dan desperate, pembangkang kini mula bermain politik kotor di saat akhir kempen. Mereka mula menyebarkan kepalsuan, termasuk di masjid sekitar Kuala Kangsar hari ini semasa muslimat menunaikan solat Jumaat.

Antaranya tertera di foto slip bank ini yang cuba dijaja dan diputarbelitkan kononnya calon BN di Kuala, Datin Mastura Mohd Yazid menerima wang derma sempena kempen pilihanraya ini.

Hakikatnya itu adalah bayaran urusniaga yang dibuat oleh pelanggan melalui firma guaman Mastura Yazid Baba & Partner dikatakan wang derma peribadi kepada Datin Mastura. Transaksi itu bukan berlaku semalam, atau sebaik Datin Mastura dicalonkan, tetapi tarikhnya adalah pada 15 Julai 2012.

Inilah antara taktik jijik pembangkang di saat akhir. Semoga pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar tabah dan membuat pilihan tepat dengan mengundi calon BN. Elakkanlah mencipta dosa kering di bulan Ramadhan yang mulia ini.