25 April, 2011

TPM DI IPOH ESOK

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berada di Ipoh esok (Selasa) bagi menutup program Minggu Saham Amanah Nasional 2011 di Stadium Indera Mulia. Beliau dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah pada jam 3.00 petang.

TPM dijangka tiba di tapak program jam 3.30 petang.

Semua dijemput hadir bagi memeriahkan program berkenaan.

Program itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak pada 20 April lalu.

15 April, 2011

'JIPPA' DI SIDANG DUN PERAK

LAPORAN NEW STRAITS TIMES
LAPORAN THE STAR
Saya agak terkejut hari ini membaca laporan dua akhbar perdana, New Straits Times dan The Star berhubung pakaian tradisional masyarakat India, jippa yang dipakai oleh ADUN Tronoh, V. Sivakumar dan ADUN Sungkai, A. Sivanesan ketika menghadiri Sidang DUN Perak semalam.

Berdasarkan laporan, seolah-olah saya membantah kedua-dua ADUN DAP itu memakai pakaian tradisional memasuki Dewan sempena Puthandu (Tahun Baru Tamil). Apa yang sebenarnya berlaku hanyalah satu salah faham spontan yang tidak disengajakan. 

Ketika Sivakumar bangun mencelah perbahasan ADUN Kampung Gajah, Dr. Wan Norashikin, secara spontan saya berasa hairan kenapakah mantan Speaker itu memakai baju lengan panjang tanpa mengenakan tali leher dan lounge suit. Saya langsung tidak perasan beliau memakai pakaian tradisional masyarakat India, sebaliknya seperti dia memakai baju putih berambu yang selalu beliau pakai semasa menjadi Speaker dahulu.

Ketika itu Sivanesan tidak berada di dalam Dewan. Maka nampak jelas pakaian Sivakumar berbeza sama sekali dengan ADUN-ADUN lain yang rata-rata memakai lounge suit bertali leher.

Fobia dengan sikap ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming yang enggan mengenakan pakaian No1 dress semasa istiadat pembukaan rasmi Sidang DUN Perak oleh DYMM Pemangku Raja pada Selasa lalu, saya merasakan seolah-olah Sivakumar sengaja mahu mengikut jejak Nga yang mahu menguji Speaker, Dato’ R. Ganesan.

Saya meminta laluan dari ADUN Kampung Gajah dan bertanya kepada Speaker kenapakah ADUN Tronoh tidak mengenakan pakaian mengikut etika Dewan dan sama ada beliau boleh dikenakan apa-apa tindakan.

Ketika Ganesan mula memberi penjelasan dengan berkata “hari ini adalah Tahun Baru masyarakat India”,  darah saya mula berderau dan lantas sedar bahawa pakaian yang Sivakumar kenakan adalah costume tradisional kaum India. Saya mula berasa serba salah, ditambah pula melihatkan ADUN Sungkai, A. Sivanesan melenggang masuk Dewan dengan pakaian yang sama, jippa dan dothi (kain putih dari pinggang ke kaki).

Setelah Speaker selesai memberikan sebab kenapa beliau membenarkan jippa dipakai hari itu, saya lantas bangun mengucapkan terima kasih atas penjelasan berkenaan.

Bukan mahu menyalahkan sesiapa, cuma ada sedikit rasa tidak puas hati kenapakah Speaker tidak memaklumkan perkara ini semasa aturcara pengumuman oleh Yang Dipertua. Saya pasti seisi Dewan tidak akan terkeliru jika dimaklumkan lebih awal.

Saya memohon maaf kepada S. Sivakumar dan seluruh rakan dan masyarakat India atas kekeliruan ini. Malahan saya juga masih menyimpan baju tradisional masyarakat India seperti jippa berwarna orange yang dihadiahkan oleh Ketua Pemuda MIC Tanjong Malim, S. Gunaselan beberapa tahun lalu.

Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan Puthandu Valtukhal kepada seluruh masyarakat India di negara ini.

14 April, 2011

WANTED - DI MANA NGA KOR MING?

WANTED!!

Di mana ADUN Pantai Remis dari DAP, Nga Kor Ming? 

Setelah hadir ke Istiadat Pembukaan Rasmi Sidang DUN Perak pada Selasa lalu tanpa mengenakan pakaian rasmi No-1 dress, beliau terus menghilangkan diri dan tidak hadir Sidang DUN dua hari berturut-turut, termasuk hari ini.

Dengarnya dia kini sedang rancak berkempen di Sarawak. Tugas hakiki sebagai wakil kepada rakyat Pantai Remis diabaikan, nasib parti DAP di Sarawak diutamakan.

Berita utama dalam akhbar New Straits Times muka surat 6 hari ini, ada disiarkan : "Regent of Perak Dr Nazrin Shah is said to be upset by the lack of decorum shown by assemblyman Nga Kor Ming when he did not wear the ceremonial uniform and songkok at the opening of the legislative assembly on Tuesday. Instead, the Pantai Remis DAP representative was dressed in a grey suit and tie". 


Nga Kor Ming berada di ceruk mana di Sarawak sekarang? Pengundi Pantai Remis sedang mencari anda.

10 April, 2011

DUN PERAK : NASIB HASBULLAH, KHALIL IDHAM SELASA INI

Nasib Adun Temenggor, Datuk Hasbullah Osman dan Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah yang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN dijangka diketahui pada Sidang Dewan Undangan Negeri yang dijadual bermula Selasa ini.
 
Sebelum ini, pengerusi jawatankuasa itu yang juga merangkap Speaker, Datuk R Ganesan, berkata keputusan jawatankuasa akan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat DUN Perak ke-12 sebelum dibahas dan dibuat undian dalam dewan sebelum mana-mana tindakan boleh diambil terhadap kedua-dua wakil rakyat terbabit.

Pada awal Mac lalu, kedua-dua wakil rakyat itu dipanggil untuk memberi keterangan tetapi Khalil Idham tidak hadir tanpa memberi alasan kepada jawatankuasa terbabit. Namun, keputusan sudah dibuat selepas meneliti secara mendalam isu yang dirujuk kepada jawatankuasa terbabit.

“Keputusan sudah diambil hari ini dan ia akan dilaporkan pada dewan yang akan bersidang mengikut mengikut Fasal 72 (2) Perintah-Perintah Tetap sebelum sebarang tindakan boleh diambil terhadap wakil rakyat berkenaan.

“Khalil Lim dirujuk kepada jawatankuasa ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan Bajet 2011 pada 2 Disember lalu apabila mengeluarkan kenyataan ada bomoh dibawa masuk ke dewan pada sidang Mei 2009,” kata Ganesan.

Selain Ganesan, jawatankuasa itu turut dianggotai Adun Bota; Datuk Nasaruddin Hashim, Adun Slim; Datuk Khusairi Talib; Adun Hulu Kinta; Datuk Rusnah Kasim manakala dua lagi ahli jawatankuasa iaitu Adun Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Adun Tebing Tinggi, Ong Boon Piow tidak hadir.

Hasbullah yang hadir memberi keterangan pula dirujuk kepada jawatankuasa itu selepas mengeluarkan kenyataan ada exco Selangor menerima rasuah pada tarikh, masa dan tempat sama.

“Pada 2 Disember itu juga, selepas usul dirujuk pada jawatankuasa itu, Khalil Lim mengatakan beliau akan memberi keterangan kepada jawatankuasa itu berhubung kenyataannya tetapi saya hairan kenapa beliau tidak hadir,” katanya.

Adun Titi Serong, Khalil Lim ketika sesi perbahasan Bajet 2011 mengeluarkan tuduhan ada di kalangan adun tertentu membawa masuk bomoh ke dalam dewan persidangan pada Mei 2009.
Namun, wakil rakyat PAS itu gagal mengemukakan sebarang bukti apabila diminta berbuat demikian oleh Adun Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Ini menyebabkan Adun Kamunting, Datuk Mohamad Zahir Khalid bangun dan membuat usul supaya Khalil Idham dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan kerana melanggar peraturan mengikut Perintah Tetap 36 (3) (a) dan disokong oleh Adun Pengkalan Hulu, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Adun Temenggor pula dirujuk kepada jawatankuasa itu selepas membuat tuduhan seorang exco di Selangor terbabit dengan gejala rasuah.

Beberapa wakil pihak pembangkang menggesa Hasbullah supaya menarik balik kenyataan itu tetapi beliau enggan lalu Adun Teja, Chang Lih Kang tampil membuat usul supaya wakil rakyat BN itu dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan dan disokong oleh Adun Simpang Pulai, Chang Ming Kai.

Sumber PERAK TODAY