23 June, 2010

PKR MEMBISU, KESHVINDER PULA MELOMPAT

Zulkifly Ibrahim

Pada 14 Jun 2010 saya telah melontarkan cabaran kepada PKR dan Ketua Penerangan PKR Negeri Perak, Zulkifly Ibrahim begini -  

"Selaku Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, saya mencabar PKR dan Zulkifly menamakan tiga Adun BN yang dikatakan mahu melompat parti itu, selain menamakan 12 Ketua Umno Bahagian yang didakwanya sudah hilang kepercayaan kepada Dr. Zambry sebagaimana yang disebutkannya kepada wartawan dalam sidang media itu. Saya beri tempuh kepada PKR dan Zulkifly sehingga detik 2359 tengah malam pada 15 Jun 2010 atau hari Selasa ini untuknya mendedahkan nama-nama itu kepada media.


Jika PKR dan Zulkifly gagal menyebutkan nama-nama yang didakwa itu sehingga waktu berkenaan, maka seluruh rakyat yang bermastautin di bumi Malaysia dan negeri bertuah Perak (termasuk ahli-ahli parti PKR) bebas untuk melebalkan parti pimpinan Anwar Ibrahim ini sebagai parti penipu, parti isu murahan, parti peliwat fakta, parti bobrok, parti muflis idea dan apa sahaja gelaran yang menggambarkan sikap tidak profesional PKR berpolitik.


Saya menanti dan akan terus menanti sehingga masa yang ditetapkan. Beranikanlah diri anda wahai Zulkifly, supaya telur yang berbau hapak itu bertukar bau kasturi." Lihat artikel penuh di SINI.

Hari ini sudahpun bertarikh 23hb Jun 2010. Apa yang diwar-warkan oleh PKR dan Zulkifly itu ternyata hanya omong-omong kosong dan satu penipuan terhadap rakyat. Kini rakyat bebas untuk memberikan apa sahaja label buruk kepada PKR.

Sebaliknya, bukannya Adun BN yang melompat ke sebelah sana, tetapi Adun DAP dari Malim Nawar, Keshvinder Singh yang mengambil tindakan keluar daripada parti itu dan menyokong Barisan Nasional (BN) sehari selepas itu, iaitu pada 15 Jun 2010.
ADUN MALIM NAWAR, YB KESHVINDER SINGH

Badan Perhubungan Umno Negeri Perak mengalu-alukan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Malim Nawar, Keshvinder Singh A/L Kashmir Singh keluar dari DAP dan menjadi Adun bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).
 
Tindakannya itu sudah pasti meningkatkan lagi tahap kestabilan politik di Negeri Perak, dan membolehkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir melaksanakan dasar-dasar pentadbiran dengan lebih berkesan berlandaskan konsep Perak Amanjaya.
 
Tindakan beliau itu juga membolehkan konsep 1Malaysia dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Perak diperkukuhkan, khususnya yang melibatkan penglibatan rakyat dari keturunan Sikh.
 
Langkah Keshvinder itu mengukuhkan lagi bukti bahawa kepimpinan DAP tidak mampu membendung perpecahan di kalangan pemimpinnya, sehingga seorang lagi Adunnya mengambil tindakan keluar dari parti itu dan menyokong BN.
 
Sebelum ini, ADUN Jelapang Dato’ Hee Yit Foong mengambil tindakan yang serupa akibat kegagalan DAP memberikan tempat yang sesuai terhadap kepimpinan wanita di Negeri Perak.

Terlalu banyak kelemahan dalam parti DAP, sehingga menyebabkan pemimpinnya berasa kecewa dan tidak yakin bahawa parti itu mampu mentadbir negeri dengan adil kepada semua kaum sebagaimana yang ditunjukkan oleh BN sejak sekian lama.
 
“Saya pasti Kerajaan Negeri akan memberikan sokongan kepada Keshvinder supaya beliau boleh menyumbangkan peranan lebih berkesan bagi membangunkan kawasan Malim Nawar yang diwakilinya”.
 
Saya mengalu-alukan supaya lebih ramai pemimpin dari pakatan pembangkang mengikut jejak Keshvinder demi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri dapat menjalankan peranan lebih berkesan membangunkan negeri dan rakyat.

14 June, 2010

ISU LOMPAT - TEMBELANG PKR SEMAKIN BUSUK


 
Ketua Penerangan PKR Perak, Zulkifly Ibrahim

Waktu sekarang sudah lebih 1.00 pagi tarikh 14 Jun 2010, iaitu 12 jam meninggalkan waktu yang diwar-war oleh PKR Perak hendak mengumumkan nama-nama Adun BN dari Umno yang mereka dakwa mahu melompat ke parti pimpinan Anwar Ibrahim itu. Nampaknya tembelang PKR itu kini membusung pekung dan semakin busuk baunya.

Semalam Ketua Penerangan PKR Perak, Zulkifly Ibrahim dengan penuh yakin membuat kenyataan bahawa 3 Adun BN dari parti Umno akan melompat ke partinya, dan pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat pada jam 1.00 tengahari tadi (waktu Malaysia) dalam satu sidang media di Ipoh.

Telur tembelang PKR itu diarak serata pelosok kampung dan negeri sejak beberapa hari lalu, dijaja sehingga ke beberapa dada akhbar dan diiklankan di blog-blog pro-pembangkang. Maka bertalu-talulah panggilan dan sms (termasuk menjadi topik hangat dalam mesej Blackberry)  yang saya terima bertanyakan perkara itu.

Seperti yang saya jangka, itu semua adalah mainan politik murahan sebuah parti politik yang semakin muflis isu dan idea, bertujuan mahu mewujudkan suasana tidak keruan terhadap politik Negeri Perak. Idea bobrok dan tidak berasas ini timbul dari perasaan hasad dengki melihat suasana politik Negeri Perak yang semakin damai sejak Mahkamah Tinggi menolak rayuan Nizar Jamaluddin untuk mengisytiharkan perlantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar adalah tidak sah.

Ketika jari-jari saya mengetuk butang-butang laptop di tengah malam ini, saya masih ternanti-nanti jika ada panggilan atau sms kecemasan memberi tahu Adun-Adun BN yang didakwa mahu melompat itu sudahpun berbuat demikian.  Penantian saya rasanya terlalu panjang, sejak jam 1.00 tengahari tadi lagi.

Kira-kira jam 2.45 petang tadi seorang wartawan dari akhbar Sinar Harian menelefon saya untuk mendapatkan komen mengenai tembelang PKR yang mula membusuk ketika itu. Menurutnya, sememangnya PKR mengadakan sidang media sekitar jam 1.00 tengahari tadi di Ipoh dan berjaya menghimpunkan ramai wartawan yang begitu ghairah mahu melihat wajah tiga Adun BN yang dikatakan mahu melompat parti itu.

Tetapi menurut wartawan itu, mereka kecewa kerana tidak ada satupun batang hidung Adun BN dalam sidang media berkenaan. Yang ada adalah batang hidung Zulkifly dan juak-juak PKRnya yang telah mengusung telur busuk itu sejak beberapa hari lalu. Zulkifly terus bersilat, tetapi nadanya semakin tidak meyakinkan para wartawan. Seluruh bilik tempat sidang media itu semakin membusuk dengan bau telur tembelang Zulkifly yang tiba-tiba pecah.

Selaku Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, saya mencabar PKR dan Zulkifly menamakan tiga Adun BN yang dikatakan mahu melompat parti itu, selain menamakan 12 Ketua Umno Bahagian yang didakwanya sudah hilang kepercayaan kepada Dr. Zambry sebagaimana yang disebutkannya kepada wartawan dalam sidang media itu. Saya beri tempuh kepada PKR dan Zulkifly sehingga detik 2359 tengah malam pada 15 Jun 2010 atau hari Selasa ini untuknya mendedahkan nama-nama itu kepada media.

Jika PKR dan Zulkifly gagal menyebutkan nama-nama yang didakwa itu sehingga waktu berkenaan, maka seluruh rakyat yang bermastautin di bumi Malaysia dan negeri bertuah Perak (termasuk ahli-ahli parti PKR) bebas untuk melebalkan parti pimpinan Anwar Ibrahim ini sebagai parti penipu, parti isu murahan, parti peliwat fakta, parti bobrok, parti muflis idea dan apa sahaja gelaran yang menggambarkan sikap tidak profesional PKR berpolitik.

Saya menanti dan akan terus menanti sehingga masa yang ditetapkan. Beranikanlah diri anda wahai Zulkifly, supaya telur yang berbau hapak itu bertukar bau kasturi.

(Saya telah hantar artikel ini dalam inbox Facebook Zulkifly Ibrahim).

03 June, 2010

KISAH CEMAS DI ATAS KAPAL MAVI MARMARA

Kesemua 12 rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara yang diserang tentera Israel dua hari lepas sudah dibebaskan dan kini berada di Jordan, kata wartawan penyiaran Astro Awani, Ashwad Ismail, yang juga merupakan salah seorang daripada rakyat Malaysia yang turut berada di atas kapal itu semasa ia diserang.

Dalam satu lintas langsung dengan stesen itu pagi ini, Ashwad berkata, mereka berada dalam keadaan selamat tetapi keletihan.

Mereka dihantar dengan bas bersama sukarelawan daripada beberapa negara lain ke sempadan Israel-Jordan, dan kini dalam perjalanan ke Amman.

"Kami berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia, pihak kedutaan (di Jordan) dan masyarakat antarabangsa yang banyak berusaha untuk keluarkan kami," kata Ashwad, 25, yang dihubungi oleh stesen itu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan agar mereka selamat dan mengadakan sembahyang hajat.

Mavi Marmara, sebuah kapal Turki ialah satu daripada konvoi kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza.

Ketika ditanya pengalaman sepanjang insiden itu, Ashwad berkata, layanan yang diterima dalam tempoh 28 jam itu mengambarkan konflik enam dekad yang dialami oleh rakyat Palestin yang tertindas.

Katanya, kejadian itu bermula apabila tentera Israel mengepung kapal mereka ketika ia berada kira-kira 68 batu di luar perairan Israel pada pukul 4.20 pagi.

"Tentera Israel mengepung kami dari semua pelosok... mereka menggunakan 19 bot, lapan kapal laut dan tiga helikopter," katanya.

Menurut beliau, tentera Israel menggunakan peluru hidup ketika menyerang kapal itu dan berdepan dengan sukarelawan yang hanya menggunakan peralatan bukan senjata, seperti air dari pili bomba.

"Kami diserang bertubi-tubi oleh komando yang naik ke atas kapal. Saya dan Samsul (jurukamera) terselamat tetapi dua sukarelawan yang berada di tepi kami terkena tembakan di tangan dan bahu," katanya.

"Kami kemudian lari ke kawasan lebih selamat... kami lihat ada sukarelawan yang berlumuran darah...ini pengalaman memeritkan yang berjaya membuka mata dunia apa yang berlaku. Tak sangka Israel bertindak demikian... kami hanya orang awam," tambah beliau.

Ditanya keadaan Samsulkamal Abdul Latip, Ashwad berkata, beliau selamat tetapi kedua-dua mereka terpisah selepas mereka ditahan dan digari oleh tentera Israel, dan hanya ditemukan selepas dibebaskan di sempadan Israel-Jordan.

Beliau berkata, kesemua 12 rakyat Malaysia itu akan bertemu dengan Duta Malaysia di Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz sebelum mengatur rancangan pulang ke tanah air.

Dari blog kamalfarsya