23 June, 2010

PKR MEMBISU, KESHVINDER PULA MELOMPAT

Zulkifly Ibrahim

Pada 14 Jun 2010 saya telah melontarkan cabaran kepada PKR dan Ketua Penerangan PKR Negeri Perak, Zulkifly Ibrahim begini -  

"Selaku Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, saya mencabar PKR dan Zulkifly menamakan tiga Adun BN yang dikatakan mahu melompat parti itu, selain menamakan 12 Ketua Umno Bahagian yang didakwanya sudah hilang kepercayaan kepada Dr. Zambry sebagaimana yang disebutkannya kepada wartawan dalam sidang media itu. Saya beri tempuh kepada PKR dan Zulkifly sehingga detik 2359 tengah malam pada 15 Jun 2010 atau hari Selasa ini untuknya mendedahkan nama-nama itu kepada media.


Jika PKR dan Zulkifly gagal menyebutkan nama-nama yang didakwa itu sehingga waktu berkenaan, maka seluruh rakyat yang bermastautin di bumi Malaysia dan negeri bertuah Perak (termasuk ahli-ahli parti PKR) bebas untuk melebalkan parti pimpinan Anwar Ibrahim ini sebagai parti penipu, parti isu murahan, parti peliwat fakta, parti bobrok, parti muflis idea dan apa sahaja gelaran yang menggambarkan sikap tidak profesional PKR berpolitik.


Saya menanti dan akan terus menanti sehingga masa yang ditetapkan. Beranikanlah diri anda wahai Zulkifly, supaya telur yang berbau hapak itu bertukar bau kasturi." Lihat artikel penuh di SINI.

Hari ini sudahpun bertarikh 23hb Jun 2010. Apa yang diwar-warkan oleh PKR dan Zulkifly itu ternyata hanya omong-omong kosong dan satu penipuan terhadap rakyat. Kini rakyat bebas untuk memberikan apa sahaja label buruk kepada PKR.

Sebaliknya, bukannya Adun BN yang melompat ke sebelah sana, tetapi Adun DAP dari Malim Nawar, Keshvinder Singh yang mengambil tindakan keluar daripada parti itu dan menyokong Barisan Nasional (BN) sehari selepas itu, iaitu pada 15 Jun 2010.
ADUN MALIM NAWAR, YB KESHVINDER SINGH

Badan Perhubungan Umno Negeri Perak mengalu-alukan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Malim Nawar, Keshvinder Singh A/L Kashmir Singh keluar dari DAP dan menjadi Adun bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).
 
Tindakannya itu sudah pasti meningkatkan lagi tahap kestabilan politik di Negeri Perak, dan membolehkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir melaksanakan dasar-dasar pentadbiran dengan lebih berkesan berlandaskan konsep Perak Amanjaya.
 
Tindakan beliau itu juga membolehkan konsep 1Malaysia dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Perak diperkukuhkan, khususnya yang melibatkan penglibatan rakyat dari keturunan Sikh.
 
Langkah Keshvinder itu mengukuhkan lagi bukti bahawa kepimpinan DAP tidak mampu membendung perpecahan di kalangan pemimpinnya, sehingga seorang lagi Adunnya mengambil tindakan keluar dari parti itu dan menyokong BN.
 
Sebelum ini, ADUN Jelapang Dato’ Hee Yit Foong mengambil tindakan yang serupa akibat kegagalan DAP memberikan tempat yang sesuai terhadap kepimpinan wanita di Negeri Perak.

Terlalu banyak kelemahan dalam parti DAP, sehingga menyebabkan pemimpinnya berasa kecewa dan tidak yakin bahawa parti itu mampu mentadbir negeri dengan adil kepada semua kaum sebagaimana yang ditunjukkan oleh BN sejak sekian lama.
 
“Saya pasti Kerajaan Negeri akan memberikan sokongan kepada Keshvinder supaya beliau boleh menyumbangkan peranan lebih berkesan bagi membangunkan kawasan Malim Nawar yang diwakilinya”.
 
Saya mengalu-alukan supaya lebih ramai pemimpin dari pakatan pembangkang mengikut jejak Keshvinder demi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri dapat menjalankan peranan lebih berkesan membangunkan negeri dan rakyat.

No comments: