05 July, 2010

MRSM FELDA, HARI PENEROKA DAN ISU SAMAN



Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) yang terletak di Trolak, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Slim akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak pada Rabu, 7 Julai 2010.

Perasmian MRSMF ini dilakukan serentak dengan majlis Sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan tahun ini, melibatkan kehadiran kira-kira 12,000 peneroka dari 317 tanah rancangan seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

MRSMF adalah satu lagi lambang kejayaan Felda meningkatkan taraf kehidupan rakyat, khususnya di kalangan peneroka dan generasinya. Kos pembinaannya menjangkau RM120 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Felda, menjadikan MRSMF sebagai yang tercanggih, termoden dan termahal jika dibandingkan dengan MRSM lain di negara ini.

Terletak di tapak seluas kira-kira 20.2 hektar berhampiran Felda Jaya Utara yang menempatkan pejabat pentadbiran Felda Wilayah Trolak, dan bersebelahan jajaran Lebuhraya Utara Selatan (Plus), MRSMF kini menjadi satu lagi mercu tanda kemajuan pendidikan anak bangsa di Selatan Negeri Perak.

Inilah satu-satunya MRSM yang dikhususkan kepada generasi Felda untuk menimba ilmu dalam suasana lebih selesa dan moden. Seramai 1,050 pelajar boleh ditempatkan di sini, di mana 80 peratus daripadanya adalah anak-anak generasi Felda serta kakitangan yang bertugas dengan Felda. 20 peratus lagi dipilih di kalangan pelajar cemerlang di luar lingkungan Felda.

Ketika ini MRSMF mempunyai seramai 763 pelajar. Daripada jumlah itu, 174 orang pelajar berada di Tingkatan Satu, 135 (Tingkatan Dua), 195 (Tingkatan Tiga) dan 259 (Tingkatan Empat). Menjelang awal tahun hadapan, jumlah 1,050 pelajar itu akan dipenuhi. (Lihat juga di SINI)

MRSMF ini dirasmikan ketika pihak pembangkang begitu rakus menuduh kononnya Felda akan bankrap. Para pemimpin PKR dan akhbar rasminya Suara Keadilan secara melulu membuat pembohongan yang jauh menyimpang dari realiti sebenar kejayaan Felda sejak 54 tahun lalu.

Selaku anak peneroka Felda, saya berbangga dengan apa yang telah disumbangkan oleh Felda selama ini untuk mengeluarkan masyarakat luar bandar dari kepompong kemiskinan. Kebanyakan peneroka Felda datangnya dari perkampungan terpencil di luar bandar yang sebelum ini hidup serba miskin dan melarat.

Tidak pernah mereka bayangkan suatu hari nanti pendapatan mereka boleh menjangkau sehingga RM4,000 sebulan, jauh lebih baik berbanding pendapatan anak-anak mereka yang keluar dari pusat pengajian tinggi berjawatan guru berijazah. Malahan ketika harga barang komoditi seperti sawit dan getah meningkat, ada di kalangan peneroka yang memperolehi pendapatan lima angka.

Lihatlah taraf kehidupan peneroka di tanah-tanah rancangan Felda hari ini. Di peringkat awal kehidupan mereka, mungkin ada di antara generasi Felda yang malu hendak mengaku sebagai anak peneroka Felda, tetapi hari ini rata-rata mereka berbangga. 

Anak generasi Felda hari ini dapat melihat sendiri bagaimana perkembangan taraf sosio-ekonomi ibubapa dan keluarga mereka. Daripada tinggal di pondok buruk di perkampungan tradisi, berpindah ke rumah ala Felda di tanah rancangan dan hari ini rumah berkenaan telah melalui proses baikpulih atau dibina baru menjadi bunglow spara mewah.

Pusat Jalur Lebar Komuniti - Projek baru Felda

Kalau dahulu ada pinangan anak teruna Felda ditolak kerana mereka berstatus anak peneroka yang tinggal serba-serbi kekurangan, hari ini saham generasi Felda sudah melonjak yang sukar ditolak dan dinafikan lagi. 

Terlalu banyak pengalaman dan cerita yang mahu saya kongsi bersama mengenai kehidupan awal di tanah rancangan Felda untuk tatapan semua, kerana saya adalah salah seorang insan dalam proses awal perjalanan kehidupan di tanah rancangan. Insyaallah saya akan menceritakannya apabila ada masa senggang yang terluang.

Jadi penipuan apakah yang telah dilakukan oleh Felda kepada peneroka seperti didakwa oleh pembangkang, termasuk Mazlan Aliman yang menjadi presiden persatuan haram ANAK yang tidak berdaftar? 

Tidak hairanlah jika Felda akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa pemimpin PKR dan akhbar Suara Keadilan kerana membuat tuduhan melulu bahawa Felda akan bankrap. Rasanya tempoh tujuh hari yang diberikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Maslan untuk mereka meminta maaf sudahpun berlalu. 

Maka samanlah mereka sebagai satu pengajaran.

3 comments:

Syed Zul Tojo said...

Insya Allah, saya akan hadir majlis tu. Saya terlibat juga dengan pengurusan acara Majlis Penamaan Semula MRSMF tu. Kalau ada rezeki, berjumpa kita nanti

azlanlin said...

Bangga :
Kejayaan Felda memang tidak dinafikan. Rata-rata anak felda juga berjaya di mercu kejayaan. Namun masih ada sebilangan yang berada dalam kotak pemikiran. Itu proses biasa....

Ternanti-nantikan :
"Tidak hairanlah jika Felda akan mengambil tindakan undang-undang..."


Ramai golongan marhain yang menantikan saat dan waktunya 'akan' bertukar kepada 'telah'... Wallahualam...

budakbalun said...

Betul tu YB...
Samankan aje mereka-mereka tuh!

Selagi YB masih lagi berkuasa...
Sok dah takde kuasa..
payah!