Melegakan. Felda memutuskan bekas isteri atau janda peneroka layak menerima durian runtuh yang bakal diserahkan pada 7 Julai nanti.
Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, walaupun peratusan
peneroka berkahwin lebih dari satu adalah kecil, namun Felda mengambil
perhatian sewajarnya berkaitan isu tersebut.
Semasa 'klinik rakyat' pada Selasa lalu, lima janda peneroka datang ke pejabat saya mengadukan bahawa Felda sebelum itu memutuskan bahawa durian runtuh fasa 2 sebanyak RM5,000 hanya untuk isteri peneroka, dan bekas isteri peneroka (janda) tidak layak menerimanya.
Saya juga merasakan perkara itu tidak adil memandangkan isteri peneroka yang diceraikan ini telah lama bertungkus-lumus membangunkan ladang bersama-sama suami mereka.
Saya mengadukan hal ini kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Ahmad Maslan supaya keputusan lain dibuat oleh Felda agar janda peneroka juga diberikan kelayakan untuk menerima durian runtuh berkenaan.
Selepas merasmikan Karnival dan Penjenamaan Kolej serta
Pelancaran Alumni Yayasan Felda di Kolej Yayasan Felda Kampus Mempaga semalam, Mohd Isa berkata pembahagian durian runtuh sebanyak RM5,000 itu hendaklah sama rata iaitu RM2,500 setiap seorang, antara isteri dan janda peneroka.
“Begitu juga sekiranya isteri pertama atau kedua-duanya mempunyai
anak, wang agihan durian runtuh turut membabitkan semua anak,” katanya.
Mohd Isa berkata, bagi memastikan urusan penyerahan durian runtuh
berjalan lancar, mereka (bekas isteri peneroka) diminta tampil ke
pejabat rancangan untuk memberi maklumat.
Menurutnya, bantuan ketua peneroka juga diperlukan untuk mengesan kes
seperti itu. Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Felda akan
mempergiatkan aktiviti turun padang bertemu peneroka untuk menjelaskan
kekeliruan terutama berkaitan pembahagian saham.
Menurutnya, beliau yakin peneroka faham dengan jelas berhubung perkara
itu dan tidak lagi terpengaruh dengan pembangkang yang nyata ketandusan
isu.
Lihat SINAR HARIAN
18 June, 2012
12 June, 2012
LAWATAN KE POS KEDING, GESAU DAN TIBANG
Pada 9-10 Jun 2012, saya mengadakan lawatan ke perkampungan Orang Asli Pos Gesau, Pos Tibang dan Pos Keding. Pada masa yang sama, program perkelahan bersama rakyat dari Kampung Ulu Slim dan Kampung Pasir juga diadakan di kawasan rekreasi Kuala Keding.
02 June, 2012
DURIAN RUNTUH RM15,000 - KENAPA PENEROKA FELDA DI MELAKA TAK IKUT FASA?
Ketika melancarkan prospektus Felda Global Ventures (FGV) semalam, Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak turut mengumumkan bahawa durian runtuh fasa kedua kepada isteri peneroka sebanyak RM5,000 akan dilaksanakan pada 7 Julai 2012 bersempena Hari Peneroka dan perasmian Menara Felda yang gah di ibukota Kuala Lumpur itu.
Sebelum ketibaan Perdana Menteri ke majlis itu, saya dikejutkan oleh maklumat yang disampaikan oleh seorang individu berjawatan penting di Ibupejabat Felda (yang juga orang Melaka) bahawa para peneroka di negerinya telahpun menerima keseluruhan RM15,000 durian runtuh itu.
Kerana tidak yakin dengan berita itu, saya membelek akhbar Utusan Malaysia dan ternyata berita itu adalah benar. Berita itu seperti yang tertera di bawah :
JASIN 23 Mei - Seramai 1,330 peneroka Felda di
negeri ini menarik nafas lega apabila durian runtuh yang dijanjikan oleh
kerajaan berjumlah RM19.95 juta kepada mereka kini telah berada di
depan mata.
Tambah menggembirakan, setiap keluarga diberikan terus RM15,000
berbanding beberapa negeri lain yang penyampaian insentif itu dilakukan
dalam tiga fasa iaitu RM5,000 bagi setiap fasa.
Durian runtuh itu disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali
Rustam pada Majlis Penyampaian Insentif Penyenaraian Felda Global
Ventures Holdings Berhad (FGVHB) di Felda Tun Ghafar Kemendor, di sini
semalam.
Habuan berjumlah RM19.95 juta itu melibatkan 380 peneroka Felda Tun
Ghafar Kemendor dan Air Kangkong, Felda Tun Ghafar Machap (120), Felda
Tun Ghafar Menggong (97), Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh (448) dan Felda
Tun Ghafar Hutan Percha (285). (Berita penuh di SINI)
Tidak pula ada rasa cemburu dengan apa yang diterima oleh para peneroka di Melaka itu, kerana itu sudah ditakdirkan untuk mereka. Cumanya selaku wakil kepada rakyat di kawasan yang mempunyai ramai peneroka Felda, bertambahlah satu tugas untuk saya menjelaskan kenapa peneroka di Melaka mendapat layanan sedemikian. Sehingga kini saya tidak mendapat satu bentuk jawapan yang pasti.
Alangkah baiknya jika berita seumpama ini tidak disiarkan di media massa, tambahan media arus perdana. Bukankah elok disiarkan untuk berita dalaman Melaka sahaja atau di dalam buletin tanah-tanah rancangan itu semata-mata?
Dalam masa hendak menonjolkan betapa hebatnya kepimpinan di Negeri Melaka yang sememangnya hebat itu, dan beruntungnya 1,330 peneroka Felda di sana, ianya sedikit sebanyak telah mencuit hati dan menimbulkan tanda tanya kepada lebih 111,000 keluarga peneroka di negeri-negeri lain. Sesungguhnya berita itu menggembirakan kumpulan kecil peneroka sahaja, tetapi tidak pada kumpulan besar yang lain.
Apa yang telah dijadualkan oleh Perdana Menteri dan Felda untuk pengagihan durian runtuh mengikut fasa ini sudah molek sangat dan tidak wujud pertikaian di kalangan ketua keluarga, isteri ataupun anak-anak peneroka. Mereka akur dengan apa juga keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan Felda.
Cumanya apabila ada sedikit perkembangan luar biasa, mereka pasti akan tertanya-tanya. Tetapi mereka yakin, bahawa rezeki itu akan datang juga akhirnya mengikut fasa yang telah ditetapkan. Kesabaran dan ketabahan golongan peneroka dan keluarga mereka menghuni kawasan pendalaman yang serba serbi kekurangan ketika mula menjejakkan kaki ke tanah rancangan Felda pastinya tidak menjejaskan arah tumpuan mereka.
Majoriti mereka bersyukur dengan rezeki yang melimpah ruah. Terima kasih kepada Allahyarham Tun Abdul Razak yang mengasaskan Felda.















