Ketika melancarkan prospektus Felda Global Ventures (FGV) semalam, Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak turut mengumumkan bahawa durian runtuh fasa kedua kepada isteri peneroka sebanyak RM5,000 akan dilaksanakan pada 7 Julai 2012 bersempena Hari Peneroka dan perasmian Menara Felda yang gah di ibukota Kuala Lumpur itu.
Sebelum ketibaan Perdana Menteri ke majlis itu, saya dikejutkan oleh maklumat yang disampaikan oleh seorang individu berjawatan penting di Ibupejabat Felda (yang juga orang Melaka) bahawa para peneroka di negerinya telahpun menerima keseluruhan RM15,000 durian runtuh itu.
Kerana tidak yakin dengan berita itu, saya membelek akhbar Utusan Malaysia dan ternyata berita itu adalah benar. Berita itu seperti yang tertera di bawah :
JASIN 23 Mei - Seramai 1,330 peneroka Felda di
negeri ini menarik nafas lega apabila durian runtuh yang dijanjikan oleh
kerajaan berjumlah RM19.95 juta kepada mereka kini telah berada di
depan mata.
Tambah menggembirakan, setiap keluarga diberikan terus RM15,000
berbanding beberapa negeri lain yang penyampaian insentif itu dilakukan
dalam tiga fasa iaitu RM5,000 bagi setiap fasa.
Durian runtuh itu disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali
Rustam pada Majlis Penyampaian Insentif Penyenaraian Felda Global
Ventures Holdings Berhad (FGVHB) di Felda Tun Ghafar Kemendor, di sini
semalam.
Habuan berjumlah RM19.95 juta itu melibatkan 380 peneroka Felda Tun
Ghafar Kemendor dan Air Kangkong, Felda Tun Ghafar Machap (120), Felda
Tun Ghafar Menggong (97), Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh (448) dan Felda
Tun Ghafar Hutan Percha (285). (Berita penuh di SINI)
Tidak pula ada rasa cemburu dengan apa yang diterima oleh para peneroka di Melaka itu, kerana itu sudah ditakdirkan untuk mereka. Cumanya selaku wakil kepada rakyat di kawasan yang mempunyai ramai peneroka Felda, bertambahlah satu tugas untuk saya menjelaskan kenapa peneroka di Melaka mendapat layanan sedemikian. Sehingga kini saya tidak mendapat satu bentuk jawapan yang pasti.
Alangkah baiknya jika berita seumpama ini tidak disiarkan di media massa, tambahan media arus perdana. Bukankah elok disiarkan untuk berita dalaman Melaka sahaja atau di dalam buletin tanah-tanah rancangan itu semata-mata?
Dalam masa hendak menonjolkan betapa hebatnya kepimpinan di Negeri Melaka yang sememangnya hebat itu, dan beruntungnya 1,330 peneroka Felda di sana, ianya sedikit sebanyak telah mencuit hati dan menimbulkan tanda tanya kepada lebih 111,000 keluarga peneroka di negeri-negeri lain. Sesungguhnya berita itu menggembirakan kumpulan kecil peneroka sahaja, tetapi tidak pada kumpulan besar yang lain.
Apa yang telah dijadualkan oleh Perdana Menteri dan Felda untuk pengagihan durian runtuh mengikut fasa ini sudah molek sangat dan tidak wujud pertikaian di kalangan ketua keluarga, isteri ataupun anak-anak peneroka. Mereka akur dengan apa juga keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan Felda.
Cumanya apabila ada sedikit perkembangan luar biasa, mereka pasti akan tertanya-tanya. Tetapi mereka yakin, bahawa rezeki itu akan datang juga akhirnya mengikut fasa yang telah ditetapkan. Kesabaran dan ketabahan golongan peneroka dan keluarga mereka menghuni kawasan pendalaman yang serba serbi kekurangan ketika mula menjejakkan kaki ke tanah rancangan Felda pastinya tidak menjejaskan arah tumpuan mereka.
Majoriti mereka bersyukur dengan rezeki yang melimpah ruah. Terima kasih kepada Allahyarham Tun Abdul Razak yang mengasaskan Felda.

5 comments:
pendahuluan wang kpd peneroka dibayar oleh kerajaan negeri!.....
Ada sesuatu yang istimewa pada peneroka negeri Melaka. Tu yang mereka dapat sekali gus RM 15,000. Saya rasa sokongan mereka ....
WS,
tak susah nak jawab sbbnya peneroka melaka jumlahnya kecil berbanding peneroka2 negeri lain. kalau nak buat berfasa2, agak remeh krn jumlah peneroka hanya seribu lebih. kan lebih jimat majlis dibuat hanya sekali?
jarak fasa pertama dengan kedua terlalu lama :( dulu PM kata nak bagi fasa kedua sebaik saja fasa pertama habis diagihkan tapi takkan ambik masa 2 bulan kot. bagi saya 7 julai tu lambat sangat. kesian kat makcik2 yg tertunggu2 terlalu lama
Rasa-rasanya macam tidak adil dan macam dianaktirikan pula oleh kerajaan kepada peneroka-peneroka yang lain.sebagai salah seorang dari generasi kedua,saya rasa terkilan juga dengan tindakkan kerajaan itu.
Post a Comment