10 December, 2014

BAJET PERAK DEFISIT : PEMBANGKANG TIDAK ADIL

PERBAHASAN BAJET NEGERI PERAK 2015
ADUN SLIM
10HB DISEMBER 2015

 
TERIMA KASIH DATO' SERI YANG DIPERTUA KERANA MEMBERI SAYA PELUANG MEMBAHASKAN BAJET NEGERI PERAK 2015 YANG DIBENTANGKAN OLEH YAB MENTERI BESAR PADA ISNIN LALU. DENGAN 5 FOKUS UTAMA YANG DISENARAIKAN, SAYA YAKIN BAHAWA BAJET INI MAMPU MEMACU EKONOMI NEGERI PERAK PADA TAHUN HADAPAN DAN DAPAT MEMBELA NASIB RAKYAT TANPA MENGIRA LATAR BELAKANG.
 
NAMUN SEBAGAIMANA BIASA, PIHAK PEMBANGKANG SUKAR UNTU BERPUAS HATI DAN SENTIASA MENCARI KELEMAHAN APABILA BAJET DIBENTANGKAN OLEH PIHAK KERAJAAN. WAKIL CHANGKAT JERING DAN KEPAYANG SAMADA DALAM DEWAN INI ATAU DALAM SIDANG MEDIA MEMBESARKAN ISU BAJET DEFISIT NEGERI PERAK 2015 YANG DIJANGKA BERJUMLAH RM50.06 JUTA .  SAYA INGIN MEMETIK APA YANG DILUAHKAN OLEH CHANGKAT JERING KEPADA MEDIA, BAHAWA KENAIKAN KADAR DEFISIT NEGERI PERAK TAHUN DEPAN SEBANYAK HAMPIR RM8 JUTA BERBANDING TAHUN LALU, MEMPERLIHATKAN KERAJAAN NEGERI TIDAK MENGURUSKAN PERBELANJAAN SECARA BERHEMAH. TAMBAHNYA LAGI, KENAIKAN ITU MEMBUKTIKAN ADA PELBAGAI MASALAH YANG DIHIDU BERLAKU KHUSUSNYA DARI SUDUT URUS TADBIR.
 
DATO' SERI YANG DIPERTUA,
 
ADALAH AMAT TIDAK ADIL SEKIRANYA PIHAK PEMBANGKANG, KHUSUSNYA CHANGKAT JERING DAN KEPAYANG HANYA MELIHAT SOAL DEFISIT BAJET DALAM NEGERI PERAK SEMATA, TANPA MEMBANDINGKANNYA DENGAN BAJET DEFISIT DI TIGA LAGI NEGERI LAIN YANG DITADBIR OLEH PARTI PEMBANGKANG, IAITU SELANGOR, PULAU PINANG DAN KELANTAN. JIKA DEFISIT YANG DIJADIKAN KAYU UKUR KEJAYAAN URUS TADBIR KEWANGAN SESUATU NEGERI, ADAKAH CHANGKAT JERING DAN KEPAYANG MAHU MENAFIKAN BAHAWA BAJET DEFISIT YANG DIBENTANGKAN OLEH SELANGOR, PULAU PINANG DAN KELANTAN JAUH LEBIH BURUK DAN LEBIH TINGGI BERBANDING NEGERI PERAK?
 
BAJET 2015 NEGERI SELANGOR YANG DITERAJUI OLEH PKR DIANGGARKAN AKAN BERLAKU DEFISIT SEBANYAK RM450 JUTA, DI NEGERI PULAU PINANG YANG DITERAJUI DAP SEBANYAK RM230.31 JUTA SEMENTARA KELANTAN YANG DITADBIR OLEH PAS SEBANYAK RM70.69 JUTA. SECARA PERBANDINGANNYA DENGAN RM50.06 JUTA BAJET DEFISIT DI NEGERI PERAK, JUMLAH DEFISIT YANG DIJANGKA BERLAKU DI SELANGOR ADALAH LEBIH TINGGI SEBANYAK RM399.94 JUTA, PULAU PINANG LEBIH RM180.25 JUTA DAN DI KELANTAN LEBIH RM20.63 JUTA. ADAKAH CHANGKAT JERING, KEPAYANG DAN ADUN-ADUN PAKATAN PEMBANGKANG LAIN DARI PARTI DAP, PKR DAN PAS TIDAK MAHU MELEMPARKAN TUDUHAN BAHAWA KETIGA-TIGA NEGERI INI TELAH TIDAK MENGURUSKAN PERBELANJAAN SECARA BERHEMAH DAN BERLAKUNYA MASALAH URUS TADBIR?
 
KEPAYANG JUGA MEMPERTIKAIKAN PERBELANJAAN PEMBANGUNAN DI BAWAH BAJET NEGERI TERLALU KECIL, IAITU HANYA 30% ATAU RM342.71 JUTA DARIPADA KESELURUHAN RM1.05 BILLION. SEDARKAH KEPAYANG BAHAWA NEGERI PULAU PINANG YANG KETUA MENTERINYA ADALAH PEMIMPIN NOMBOR SATU PARTI DAP TELAH MENGUMUMKAN DALAM BAJETNYA TAHUN DEPAN BAHAWA PERUNTUKAN BAGI TUJUAN PEMBANGUNAN DI NEGERI ITU HANYALAH SEBANYAK 22.7 PERATUS (RM225.58 JUTA) DARIPADA SEJUMLAH RM992.82 JUTA? APAKAH KEPAYANG SENGAJA MENUTUP MATA DAN ENGGAN MENGKRITIK PERUNTUKAN PEMBANGUNAN DI PULAU PINANG YANG LEBIH KECIL JIKA DIBANDINGKAN DENGAN APA YANG DIBENTANGKAN DALAM BAJET NEGERI PERAK?
 
WAKIL KEPAYANG JUGA MEMBANDINGKAN JUMLAH PERBELANJAAN PEMBANGUNAN NEGERI PERAK DENGAN NEGERI SELANGOR, SEDANGKAN FORMULA PENGIRAAN ANTARA KEDUA NEGERI ADALAH AGAK BERBEZA, DI MANA NEGERI SELANGOR MEMASUKKAN PERBELANJAAN MENGURUS KE DALAM PERBELANJAAN PEMBANGUNAN MENYEBABKAN BELANJA PEMBANGUNAN DI SELANGOR LEBIH TINGGI BERBANDING PERAK, IAITU SEBANYAK 46.81% (RM342.71 JUTA).
 
JIKA KERAJAAN BN MAHU DIANGGAP TIDAK BERHEMAH DAN GAGAL MEMBELANJA DAN MENGURUSTADBIR KEWANGAN NEGERI, ADALAH WAJAR PEMIMPIN PEMBANGKANG  MENGAMBIL KIRA JUGA BAJET NEGERI SARAWAK YANG DIPERINTAH OLEH BARISAN NASIONAL YANG DIJANGKA AKAN BERLAKU LEBIHAN (SURPLUS) SEBANYAK RM365 JUTA TAHUN DEPAN DARIPADA SEJUMLAH RM6.36 BILLION YANG DIBENTANGKAN BARU-BARU INI.
 
BERLAKU ADILLAH TERHADAP NEGERI SENDIRI KETIKA MENGKRITIK. MELIHAT GAJAH DI SEBERANG SUNGAI, JANGAN HANYA KUMAN DI DEPAN MATA MAHU DITEROPONG.
 
 
DATO' SERI YANG DIPERTUA,
 

DAERAH BARU MUALIM
 
SELAKU WAKIL RAKYAT SEBUAH KAWASAN DALAM TANJONG MALIM, SAYA MENGUCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA KERAJAAN NEGERI YANG TELAH BERUSAHA BAGI MEWUJUDKAN SEBUAH DAERAH BARU BERNAMA MUALIM. DENGAN WUJUDNYA DAERAH BARU INI, IANYA AKAN DAPAT MERANCAKKAN LAGI PROSES PEMBANGUNAN DAN MENINGKATKAN LAGI KECEKAPAN PENTADBIRAN DI KAWASAN KORIDOR SELATAN NEGERI PERAK.
 
HARAPAN SAYA SUPAYA PERSEMPADANAN BAGI DAERAH BARU INI TURUT MEMASUKKAN KAWASAN-KAWASAN YANG SEBELUM INI TERLETAK DI BAWAH PENTADBIRAN PEJABAT DAERAH BATANG PADANG YANG BERPUSAT DI TAPAH. KAWASAN-KAWASAN YANG SAYA MAKSUDKAN ADALAH SEBAHAGIAN BESAR FELDA GUGUSAN BESOUT, FELDA GUGUSAN TROLAK, SEBAHAGIAN PERKAMPUNGAN YANG TERLETAK DALAM MUKIM SUNGKAI SEPERTI KAMPUNG CHANGKAT SULAIMAN, KAMPUNG TIANG BERTARAH, KAMPUNG KLAH BARU, KAMPUNG PEKAN LAMA SUNGKAI, KAMPUNG GUNTUNG, KAMPUNG MENDERANG, FELDA SUNGAI KLAH, KAMPUNG AA TIN, KAMPUNG MUHIBAH, TAMAN PERMAI DAN BEBERAPA KAWASAN LAIN.
 
DENGAN SIAPNYA JALAN BARU ANTARA FELDA BESOUT KE KUALA SLIM YANG MENYAMBUNGKAN PERJALANAN KE SLIM RIVER DENGAN JARAK HANYA 17 KM, ADALAH LEBIH MUDAH UNTUK RAKYAT DI FELDA GUGUSAN BESOUT UNTUK BERURUSAN DI PEKAN SLIM RIVER DAN TANJONG MALIM YANG BAKAL MENJADI PUSAT PENTADBIRAN DAERAH BARU MUALIM, BERBANDING KE PEKAN TAPAH SEPERTI SEKARANG.
 
PAIP AIR DI FELDA BESOUT
 
BERKAITAN BEKALAN AIR KE FELDA GUGUSAN BESOUT, SAYA MENGHARAPKAN AGAR KERAJAAN NEGERI DAN LEMBAGA AIR PERAK (LAP) DAPAT MENGGANTIKAN PAIP-PAIP AIR YANG TELAH TERLALU LAMA, IAITU BERUSIA LEBIH 40 TAHUN SEJAK KAWASAN ITU DIDUDUKI. TERLALU BANYAK ADUAN YANG SAYA TERIMA DARIPADA PENDUDUK DI FELDA BESOUT BERKAITAN MASALAH TERPUTUS BEKALAN AIR AKIBAT KEBOCORAN DAN TEKANAN AIR YANG TERLALU RENDAH.
 
TANAH TAPAK PERUMAHAN GENERASI KEDUA FELDA BESOUT
 
MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI (MMK) PADA TAHUN 2011 TELAHPUN MEMBERI KELULUSAN SEBIDANG TANAH SELUAS 150 EKAR DI HUTAN SIMPAN GUNUNG BESOUT UNTUK TUJUAN TAPAK PERUMAHAN GENERASI KEDUA FELDA GUGUSAN BESOUT. KERAJAAN NEGERI TELAHPUN MENULIS SURAT KEPADA MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI PERAK UNTUK MENGELUARKAN 150 EKAR DARIPADA 2,000 EKAR YANG TELAH DILULUSKAN KEPADA MAIPK UNTUK TUJUAN WAKAF MASJID DI SELURUH NEGERI PERAK.
 
MALAHAN YAB MENTERI BESAR JUGA TELAH HADIR MELAKUKAN PECAH TANAH SEBAGAI TANDA PERASMIAN PROJEK PERUMAHAN GENERASI KEDUA FELDA BESOUT ITU. MALANGNYA APA YANG BERLAKU KETIKA INI, KESELURUHAN 150 EKAR TANAH YANG TELAHPUN DILULUSKAN UNTUK PROJEK PERUMAHAN GENERASI KEDUA ITU TELAHPUN DITEROKA DAN DITANAM DENGAN TANAMAN POKOK SAWIT. BARU-BARU INI SAYA DIFAHAMKAN PULA BAHAWA PIHAK MAIPK MAHU MENDIRIKAN BANGUNAN PEJABAT BAGI PENTADBIRAN LADANG DI TAPAK YANG TELAH DILULUSKAN KEPADA PROJEK PERUMAHAN GENERASI KEDUA FELDA ITU.
 
UNTUK MAKLUMAN, PIHAK FELDA YANG DIPERTANGGUNGJAWABKAN MEMBANGUN TANAH SELUAS 150 EKAR ITU TELAHPUN MENYEDIAKAN PERUNTUKAN BAGI MEMBINA KIRA-KIRA 700 BUAH RUMAH UNTUK GENERASI KEDUA FELDA, SELAIN BAKAL MEWUJUDKAN KAWASAN INDUSTRI KECIL DAN TAPAK UNTUK KEMUDAHAN AWAM SEPERTI PEMBINAAN SEBUAH MASJID, BANGUNAN KEDAI DAN KEMUDAHAN INFRASTRUKTUR AWAM YANG LAIN.
 
SAYA MEMOHON KEPADA PIHAK KERAJAAN NEGERI AGAR DAPAT MENYELESAIKAN ISU INI, DEMI KEPENTINGAN WARGA KEDUA FELDA BESOUT YANG BEGITU BERHARAP UNTUK MEMILIKI RUMAH DI KAWASAN BERKENAAN.
 
AKTA HASUTAN 1948
 
BERKAITAN AKTA HASUTAN 1948, SAYA DAN MAJORITI RAKYAT DUN SLIM DAN NEGERI PERAK MENGALU-ALUKAN LANGKAH PERDANA MENTERI UNTUK MENGEKALKAN AKTA BERKENAAN DEMI MENJAMIN KESEJAHTERAAN DAN KESELAMATAN RAKYAT BERBILANG KAUM DI NEGARA INI.
 
SEBAGAIMANA YANG DINYATAKAN OLEH PERDANA MENTERI DUA HARI LALU, PENGEKALAN AKTA HASUTAN BUKANLAH UNTUK MENYEKAT DEMOKRASI ATAU MENCENGKAM PEMBANGKANG, NAMUN BAGI MEMASTIKAN TIDAK BERLAKU KONFLIK ANTARA KAUM DAN AGAMA DI NEGARA INI. KEPUTUSAN ITU DIBUAT KERANA MASIH TERDAPAT PIHAK YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB, TIDAK MENGAMALKAN DEMOKRASI DAN TIDAK MENGHORMATI ANTARA KAUM DAN AGAMA SEHINGGA MEMBAWA TAHAP KETEGANGAN YANG SEMAKIN MENINGKAT.
 
KITA TIDAK FAHAM KENAPAKAH SEGELINTIR RAKYAT MALAYSIA BERSUNGGUH-SUNGGUH MAHUKAN SUPAYA AKTA HASUTAN 1948 INI DIHAPUSKAN. APAKAH SEBENARNYA TUJUAN MEREKA? MAJORITI RAKYAT MENRASAKAN BAHAWA AKTA HASUTAN YANG DIWUJUDKAN SEJAK TAHUN 1948 PERLU DIPERTAHANKAN SEBAGAI BENTENG AKHIR TERHADAP KESEJAHTERAAN RAKYAT MAJMUK DI NEGARA INI. APA YANG DITONJOLKAN DI DALAM MEDIA SOSIAL SEJAK KEBELAKANGAN INI AGAK MENGGERUNKAN, KERANA BANYAK PERKARA YANG TELAH DIPERSETUJUI SEWAKTU MALAYSIA MENCAPAI KEMERDEKAAN PADA TAHUN 1957 TELAH DIPERSENDAKAN OLEH PIHAK-PIHAK TERTENTU, SEHINGGA MENCETUSKAN KERESAHAN DI KALANGAN RAKYAT. RUKUN NEGARA TIDAK LAGI DIHORMATI OLEH INDIVIDU-INDIVIDU YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB. KEDUDUKAN AGAMA ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI DAN SOAL KEBEBASAN BERAGAMA, KEDAULATAN RAJA-RAJA MELAYU, HAK ISTIMEWA ORANG MELAYU DAN BUMIPUTERA, HAK KEWARGANEGARAAN DAN BEBERAPA PERKARA YANG TELAH DIPERSETUJUI SEBELUM INI DIPERTIKAIKAN TANPA RASA BERSALAH.
 
SEHUBUNGAN ITU, SAYA MENYOKONG PENUH SEBARANG TINDAKAN TEGAS PIHAK KERAJAAN PERSEKUTUAN, TERMASUK YANG DIAMBIL OLEH KEMENTERIAN DALAM NEGERI TERHADAP INDIVIDU-INDIVIDU YANG CUBA MENGHASUT DAN MEMECAHBELAHKAN KEHARMONIAN HIDUP BERNEGARA DI MALAYSIA. SYABAS KEPADA KDN YANG MENARIK BALIK DAN MEMBATALKAN PASPORT MALAYSIA ANTARABANGSA (PMA) MILIK DUA BLOGGER KONTROVERSI BARU-BARU INI. SEMOGA TINDAKAN TEGAS KDN INI DIJADIKAN TELADAN KEPADA PIHAK-PIHAK LAIN.
 
SAYA JUGA MENGUTUK SEKERAS-KERASNYA KENYATAAN NAIB PRESIDEN AMERIKA SYARIKAT, JOE BIDEN DALAM TWEETNYA YANG MEMPERTIKAIKAN KEWUJUDAN AKTA HASUTAN DI MALAYSIA. SIKAP JOE BIDEN ITU AMATLAH KETERLALUAN DAN TIDAK BERADAB KERANA CUBA MENCAMPURI HAL EHWAL DALAMAN SEBUAH NEGARA LAIN YANG BERDAULAT, MERDEKA DAN BERMARUAH SEPERTI MALAYSIA. JIKA JOE BIDEN DAN AMERIKA SYARIKAT TIDAK BERPUAS HATI DENGAN AKTA HASUTAN DI MALAYSIA, ADALAH WAJAR MEREKA JUGA MENGKAJI SEMULA DAN MEMANSUHKAN AKTA PATRIOT (PATRIOT ACT) YANG WUJUD DI NEGARA ITU SEJAK SEKIAN LAMA, YANG TUJUANNYA JUGA DILIHAT ADA PERSAMAAN DENGAN KEWUJUDAN AKTA HASUTAN 1948 DI MALAYSIA, IAITU UNTUK MEMELIHARA KEAMANAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT.
 
DALAM MASA YANG SAMA, AMERIKA SYARIKAT JUGA WAJAR SEGERA MENUTUP PUSAT TAHANAN TANPA BICARA YANG WUJUD DI TELUK GUANTANAMO. WALAUPUN PENTADBIRAN PRESIDEN BARRACK OBAMA BERHARRAT MENUTUP PENJARA ITU, NAMUN MASIH RAMAI TAHANAN YANG MASIH TERPERANGKAP SEJAK SEKIAN LAMA TANPA DIBERIKAN HAK BICARA, MALAHAN DILAYAN SECARA TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN.
 
DATO' SERI YANG DIPERTUA, SLIM MOHON MENYOKONG.

13 November, 2014

WAJARKAH RM6 JUTA BEBASKAN MANGSA CULIK?

Alangkah dangkalnya pemikiran pembangkang yang mahu pihak Kerajaan membayar RM6 juta bagi membebaskan dua rakyat negara ini yang menjadi tebusan di Selatan Filipina.

Sekiranya kerajaan melayan tuntutan bayaran itu, pelbagai kemungkinan akan berlaku pada masa hadapan.

Pertama, lebih banyak kejadian penculihan akan berlaku di Sabah selepas ini, termasuk kemungkinan dirancang sendiri oleh individu yang merelakan dirinya diculik.

Kedua, penculikan juga boleh berlaku di mana-mana, bukan sahaja di perairan Pantai Timur Sabah. Ianya boleh berlaku di Pantai Barat Sabah, Kuching, Kuala Terengganu, Cameron Highland, Pulau Pangkor malah di ibukota Kuala Lumpur.

Penculik juga tidak terhad di kalangan puak-puak tertentu di Selatan Filipina, tetapi juga terdiri daripada semua kaum, dan semua bangsa di dunia.

Warga Afrika yang berkeliaran tanpa haluan di ibu kota Kuala Lumpur boleh bertukar profesyen menjadi penculik, dengan anggapan kerajaan mempunyai dana yang begitu besar untuk membebaskan mangsa culik!

Keselamatan pelancong, pelajar dan petugas warga Malaysia di luar negara juga bakal terancam. Contohnya, kelibat mereka sentiasa diperhatikan di Arab Street London. Kenapa? Kerana mereka adalah warga negara Malaysia yang kerajaannya bersedia membayar wang tebusan jika diculik.

Tumpuan penjenayah bukan lagi kepada waris mangsa culik, tetapi lebih kepada kerajaan dengan mengemukakan jumlah tuntutan yang tak masuk akal.

Apakah kerajaan bersedia untuk melunaskan setiap tuntutan yang pastinya menjangkau jutaan ringgit bagi menyelamatkan seorang mangsa culik?

Maka tepatlah pendirian kerajaan seperti dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak melayan tuntutan bayaran RM6 juta untuk membebaskan dua mangsa culik di Selatan Filipina, termasuk seorang pegawai polis.

Aktiviti pemerdagangan mangsa culik ini tidak lagi perlu dilayan, kerana jika dilayan, ianya akan menjadi barah dalam sistem keselamatan negara.

Untuk popular jangka pendek, eloklah pembangkang mencadangkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atau Menteri Besar Selangor, Azmin Ali masing-masing mengeluarkan dana RM3 juta untuk membebaskan kedua-dua mangsa culik di Selatan Filipina itu.

Selepas popular, kita lihat apa yang bakal berlaku pula di Georgetown, Bukit Bendera, Jelutong, Damansara, Seputih, Semenyih atau di Pulau Carey.

Kerajaan Pulau Pinang dan Selangor pasti akan merangka bajet khas setiap tahun untuk membebaskan mangsa culik, yang pastinya bajet itu datangnya daripada wang rakyat.

Cubalah.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

26 August, 2014

TAKZIAH KELUARGA MANGSA TRAGEDI MH17 DAN MH370


(Perbahasan Usul oleh ADUN Slim di Sidang DUN Perak 26hb Ogos 2014)

Bismillahhirrahmanirrahim

1. Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Dato’ Timbalan Yang Dipertua kerana memberi saya kesempatan untuk menyokong dan membahaskan usul merakamkan ucapan takziah dan menzahirkan simpati kepada kaum keluarga dan sahabat handai mangsa MH17 yang terkorban dan tragedi MH370 yang telah dibawa oleh Yang Berhormat ADUN Kota Tampan. 

2. Izinkan saya perdengarkan beberapa bait daripada sebuah puisi nukilan Saudara Zaman Shah Saiyan yang dicipta khas untuk kita sama-sama mengenang tragedi MH17 dan MH370 yang cukup terkesan buat kita. 

MH17 Terhempas MH370 Tetap di Hati

MH17...
pergi mu
membawa duka nestapa
pasti takkan kembali

MH370
jua pergi mu
tak kembali
tetap dalam ingatan

Dua tragedi
kehilangan famili
kehilangan anak isteri
kehilangan bijak bistari
kehilangan aset negara
kehilangan yang pasti dirindui
mereka yang ditinggal pergi.

Hanya doa dan harapan
semoga mereka yang dipanggil
beroleh bahagia di sana
yang ditinggal agar terus
redha dan bersabar
kerna ini sudah takdir ketentuan Ilahi

3. Seluruh negara telah bersatu menzahirkan rasa dukacita dan tarikh 22 Ogos 2014 diisytiharkan sebagai Hari Berkabung Malaysia sempena menyambut pulang jenazah mangsa MH17.  Pada hari yang sama juga, negeri kita Perak Darul Ridzuan telah menerima kepulangan jenazah Allahyarhamah Noor Rahimmah bte Mohd Noor berasal dari Tambun, Allahyarhamah Azrina bte Yaakob berasal dari Taiping dan mendiang Chong Yee Peng dari Chemor. Jenazah seorang lagi anak Perak yang berasal dari Pekan Baru Padang Tembak, Teluk Intan yang menjadi mangsa tragedi, Allahyarham Mohd Firdaus Abd Rahim, co-pilot MH17 dijangka kembali ke tanahair pada 30 Ogos akan datang.

4. Pada kesempatan ini, bagi pihak ADUN penyokong kerajaan dan seluruh rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan, saya ingin menzahirkan rasa simpati yang teramat sangat dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa MH17 yang terkorban.  Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Anak kehilangan ibu bapa. Isteri kehilangan suami. Suami kehilangan isteri. Ayah dan ibu kehilangan anak. Sanak saudara kehilangan ahli keluarga. Rakan taulan kehilangan sahabat. Negara dan negeri kehilangan warga. Semoga kaum keluarga mangsa tragedi pilu ini bersabar dengan dugaan Yang Maha Esa.

5. Saya ingin mengimbau kembali tragedi kehilangan pesawat MH370 yang sehingga kini masih menjadi misteri dalam sistem penerbangan dunia. Pada 8 Mac 2014, pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 berlepas daripada KLIA pada jam 12.41 pagi dan dijangka mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi. Namun pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu telah hilang daripada radar pada jam 1.30 pagi di kedudukan 120 batu nautika di timur perairan Kota Bharu, Kelantan.

6. Sebaik mendapat maklumat rasmi, Perdana Menteri Malaysia berikrar akan melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370. Rakyat di seluruh negara ini, malahan penduduk seluruh dunia telah menjadi saksi betapa bersungguh-sungguhnya Kerajaan Malaysia menjalankan usaha pencarian. Pelbagai usaha telah dilakukan dengan bantuan negara-negara luar, khususnya Australia, berbekalkan pelbagai peralatan canggih dan terkini.

7. Suara kesedihan rakyat Malaysia didengari oleh pihak Kerajaan. Rakyat didedahkan dengan laporan-laporan terkini operasi pencarian. Selain itu, kebajikan keluarga mangsa-mangsa MH370 turut diambil kira, dijaga dan dikongsi keresahan mereka. Kerajaan dan seluruh rakyat tidak putus-putus memberi sokongan moral. Sehingga hari ini, operasi mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan, terutamanya di sekitar perairan selatan Lautan Hindi yang terpencil dan amat luas itu. Sama-samalah kita berdoa agar usaha untuk mengesan pesawat MH370 segera membuahkan hasil.

8. Belum reda kesedihan rakyat Malaysia dengan tragedi kehilangan MH370, negara sekali lagi diduga dengan kejadian yang amat menyayat hati, juga membabitkan pesawat Malaysia Airlines. Pada 17 Julai 2014 penerbangan MH17 yang berlepas dari Amsterdam pada jam 12.15 tengahari dan dijangka mendarat di Kuala Lumpur pada jam 6.10 pagi, telah dilaporkan ditembak jatuh di Wilayah Donets, Timur Ukraine, berhampiran sempadan Rusia. Pesawat malang Boeing 777 milik MAS ini membawa seramai 298 penumpang di mana 43 daripadanya terdiri daripada warga Malaysia.

9. Tidak terjangkau oleh akal hanya selang beberapa bulan, ditembak dan terhempas pula pesawat MH17. Bertubi-tubi kedukaan dan kepiluan Malaysia. Umpama pepatah Melayu, sudah jatuh ditimpa tangga. Perbuatan pihak yang menembak jatuh sebuah pesawat komersial seumpama ini adalah amat kejam, tidak berperikemanusiaan dan tidak bertamadun.  Kita mendesak pihak berkuasa antarabangsa supaya kumpulan yang melakukan perbuatan keji ini dicari, ditangkap dan didakwa di Mahkamah Antarabangsa serta dikenakan hukuman paling berat dan setimpal dengan kekejaman yang mereka lakukan.

10. Sekali lagi rakyat Malaysia diduga dan dituntut untuk bersatu hati dan jiwa, mendepani tragedi yang amat tragis dalam sejarah penerbangan awam negara ini. Ketika kedukaan tragedi MH370 belum usai, MH17 pula ditimpa musibah atas perbuatan sekumpulan manusia yang mendiami sebuah negara yang sedang dilanda konflik. Sekali lagi rakyat Malaysia bersatu dalam duka, dan kedukaan ini amat dirasakan oleh Kerajaan terutamanya YAB Perdana Menteri kita.

11. Secara peribadi saya selaku rakyat Malaysia memandang tinggi usaha kerajaan, kerja keras, pendekatan munasabah, fokus yang tepat dan langkah-langkah strategik dalam menangani tragedi MH17 bagi memastikan nasib mangsa-mangsa nahas dibela. Walaupun dalam keadaan berduka dan terkejut, Perdana Menteri telah bertindak pantas dan berjanji mengambil penuh tanggungjawab membawa pulang mayat-mayat mangsa dan kotak hitam MH17, memandangkan pesawat itu adalah milik Malaysia, milik kita. Ini adalah hasil rundingan berbentuk diplomasi beliau dengan ketua kumpulan pemberontak Ukraine, Alexander Borodai yang pro-Rusia. Kuasa-kuasa dunia yang lain termasuk Amerika Syarikat, gagal mencapai rundingan sepakat. Kita puji amalan dasar luar pragmatik Kerajaan Malaysia yang berdasarkan prinsip menyokong apa yang betul menjadi asas kepada kejayaan mencapai persetujuan dengan pemimpin pemberontak pro-Rusia itu.

12. Dunia mula membuka mata akan kebolehan kita, Malaysia. Malah, usaha Perdana Menteri  menyelesaikan isu MH17 telah mendapat pujian antarabangsa. Tahniah kita ucapkan kepada Perdana Menteri atas kejayaan berunding dengan pemimpin pemberontak bagi membawa pulang mayat mangsa tragedi. Malahan pemimpin pemberontak sendiri berkata, mereka bersedia untuk menyerahkan dua kotak hitam MH17 hanya kepada wakil daripada Kerajaan Malaysia, bukan kepada pihak-pihak lain termasuk Belanda dan Rusia.

13. Inilah hasil daripada pendekatan diplomatik luar negara kita yang berpegang kepada konsep kesederhanaan dalam kehidupan dan dasar luar negara, tidak mencetuskan konflik yang berpotensi menjejaskan hubungan Malaysia dengan mana-mana negara lain. Akhbar The New York Times, memuji tindakan Perdana Menteri yang berjaya berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik. Pendekatan Perdana Menteri  ini adalah umpama menarik rambut dalam tepung dengan penuh iltizam, kejujuran dan tanpa melibatkan diri menyebelahi atau menuduh mana-mana pihak menyebabkan tragedi ini.

14. Setelah segala urusan tersebut dijalankan dengan sempurna, akhirnya pada tanggal 22 Ogos 2014 yang lalu, 20 jenazah mangsa tragedi MH17 telah selamat sampai ke tanah air dan diberi penghormatan negara. Malaysia telah menyaksikan keikhlasan bagaimana penerimaan jenazah dibuat dan segala penghormatan negara diketuai oleh DYMM Seri Paduka Baginda yang DiPertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh lapisan pemimpin masyarakat. Jenazah telah dikendalikan mengikut fahaman, anutan agama masing-masing dengan secara terhomat. Jelas, terbukti Kerajaan bersama rakyat dalam apa jua keadaan.

15. Di Negeri Perak khasnya, selain rakyat jelata, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah turut berkongsi kehibaan baginda semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-Dua yang lalu.  Baginda telah mengetuai majlis bertafakur selama satu minit atas kehilangan MH370 sebagai tanda penghormatan dan dukacita terhadap tragedi tersebut.  Pada hari Jumaat, 22 Ogos 2014 Hari Berkabung Malaysia, Baginda Sultan telah berkenan berangkat mencemar duli mengetuai 300 orang daripada pelbagai latar belakang memberi penghormatan terakhir kepada dua jenazah mangsa MH17 di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh.

16. Tragedi MH370 dan nahas MH17 ini cukup menyentuh perasaan, menyayat hati rakyat Malaysia dan juga boleh dikatakan hampir seluruh dunia berkongsi kedukaan ini. Mudah-mudahan musibah seumpama ini adalah yang terakhir dalam lipatan sejarah negara.  Kesedihan ini juga tidak mengira agama dan bangsa atau peringkat usia, kita bersatu dalam kehibaan. Tragedi ini banyak mengajar kita makna perpaduan yang mewujudkan kasih sayang tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik. 

17. Bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan yang ke 57 tahun ini, “Di sini lahirnya sebuah cinta”, semoga jambatan perpaduan yang telah terbina akan kekal seiring dengan rasa cinta dan kasihkan negara. Bersatu kita rakyat Malaysia, negeri kita Perak Darul Ridzuan dalam mengumpulkan kekuatan dan memanjatkan doa demi negara yang sedang dijengah musibah tanda kasih sayang Yang Maha Pencipta.

18. Kemalangan tidak berbau. Namun setiap kejadian pasti mempunyai hikmah di sebaliknya. Itu janji Yang Maha Esa. Seharusnya kita mengambil ikhtibar dan terus bersatu hati.  Sekali lagi, saya menyokong penuh usul ucapan takziah dan menzahirkan simpati yang amat mendalam kepada mangsa-mangsa, seluruh keluarga, saudara-mara dan sahabat handai anak-anak kapal dan penumpang pesawat MH17.  

19. Semoga kita terus bersatu dalam tidak putus mendoakan harapan, keajaiban kepada misteri kehilangan dan mudah-mudahan MH370 segera ditemui lalu pulang ke pangkuan tanahair kita, Malaysia.

20. Dengan rasa penuh kesedihan dan keinsafan, Slim mohon menyokong.

20 August, 2014

SOKONGAN TERHADAP PM NAJIB

UMNO Bahagian Tanjong Malim memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak untuk terus memimpin negara, biarpun mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengkritik secara terbuka kepimpinan beliau beberapa hari lalu.

Selaku Ketua Bahagian, saya melihat corak kepimpinan Najib bersesuaian dengan eranya, berbanding di zaman Dr. Mahathir menerajui kepimpinan negara selama 22 tahun.

Dalam keadaan Najib memimpin sebuah kerajaan tanpa mandat dua pertiga di Parlimen, beliau masih mampu merangka dan memacu ekonomi negara sehinggakan kadar pertumbuhannya mengatasi banyak negara lain, termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, United Kingdom dan Singapura.

Cabaran ketika Najib menjadi Perdana Menteri jauh lebih hebat jika dibandingkan pada zaman Dr. Mahathir, khususnya daripada segi teknologi maklumat yang kini begitu terbuka.

Di zaman Dr. Mahathir, majoriti rakyat mendapat maklumat hanya daripada media arus perdana dan televisyen, tetapi ketika ini segalanya menjadi begitu pantas dengan adanya sistem maklumat tanpa batasan, terutamanya melalui media sosial.

Malahan Dr. Mahathir sendiri menjadi pengamal media sosial yang aktif dalam menyampaikan pandangan dan kritikan, khususnya melalui blog dan tweeter.

Kita menghargai pandangan-pandangan Dr. Mahathir dalam media sosial, namun kritikan terbukanya terhadap Najib, termasuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri beberapa hari lalu, adalah tidak kena dan tidak wajar beliau lakukan.

Sebagai seorang negarawan, kritikan terbuka Dr. Mahathir terhadap Najib seumpama itu  hanya akan mendatangkan lebih banyak kesan buruk kepada kerajaan, termasuk menjejas keyakinan pelabur-pelabur asing ke negara ini.

Saya berharap semoga Tun Dr. Mahathir memberi pandangan dan nasihat secara positif yang boleh membantu kepimpinan Najib sebagai seorang Perdana Menteri yang telah mendapat mandat rakyat, bukannya melalui pendekatan yang menampakkan niat seolah-olah mahu menjatuhkan beliau.

Salah satu punca kenapa Barisan Nasional secara tiba-tiba hilang majoriti dalam pilihanraya pada 2008 adalah kesan daripada kritikan terbuka Dr. Mahathir terhadap kepimpinan penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi sehingga menjejaskan keyakinan pengundi kepada kerajaan.

Jika Dr. Mahathir benar-benar sayangkan BN dan UMNO, harap beliau tidak lagi mengulangi kesilapannya sebelum Pilihanraya Umum ke-12, dengan cara membuat kritikan terbuka terhadap pucuk pimpinan kerajaan yang diterajui Najib ketika ini.

Jika mahu menegur, ambillah pendekatan seorang bapa menegur anaknya, tanpa perlu menghebahkan kepada seluruh pelusuk kampung dan dunia. 

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

16 July, 2014

MUDAH PULANG BERAYA KE BESOUT


Projek pembinaan jalan baru Felda Besout ke Kuala Slim kini memasuki fasa penurapan dan dijangka boleh digunakan oleh pelbagai kenderaan sebelum Hari Raya Aidil Fitri ini.

Tinjauan terbaru saya mendapati hampir 80 peratus jalan sejauh 11.8 km itu telah diturap dengan lapisan pertama (first layer), sementara 20 peratus lagi yang belum diturap lebih kepada kerja-kerja di bahagian berbukit.

Seorang penyelia Syarikat Perunding Jati berkata, menjelang hari raya puasa nanti kerja-kerja penurapan bagi lapisan pertama akan siap dan membolehkan semua jenis kenderaan melaluinya.

"Penurapan lapisan kedua pula menggunakan bahan tar yang lebih halus," kata Encik Yaakub ketika ditemui di tapak projek.

Dengan siapnya jalan baru ini, penduduk Felda Besout akan lebih mudah ke pekan Slim River yang menjadi pusat pentadbiran daerah kecil Tanjong Malim. Sebelum ini jarak dari Felda Besout ke Slim River adalah antara 40 hingga 60 kilometer, sementara jalan baru ini akan mendekatkan jarak perjalanan kepada hanya sejauh 17 kilometer.

Projek ini bermula pada Julai 2008 dan mulanya dijangka siap dalam tempuh dua tahun, iaitu pada 2010. Namun pelbagai masalah teknikal dilalui sebelum ini, sehingga menyebabkan ianya tertangguh beberapa kali. Kontrak syarikat pembinaan yang asal, Azam Teknik Sdn Bhd telah ditamatkan pada hujung 2012 dan syarikat penyelamat JJM Integrated Sdn Bhd menyambung kerja bermula pada Februari 2013.

Sementara itu, Pengarah JJM, Haji Jamil Haji Ariffin yang saya hubungi sebentar mengesahkan bahawa jalan baru itu akan dibuka sementara bagi membolehkan pengguna pulang berhari raya. Namun seminggu selepas hari raya, jalan berkenaan akan ditutup untuk kerja-kerja akhir penurapan premix yang lebih halus.

"Kerja fasa akhir itu dijangka akan siap dalam tempoh seminggu," kata Haji Jamil.

Kepada anak-anak Besout di perantauan, selamat pulang berhari raya dalam suasana perjalanan yang baru dengan pemandangan lebih menarik.




08 May, 2014

KARPET MERAH BUAT MCA

Hari ini MCA buat hal lagi. Timbalan Presiden MCA, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong dengan nada mengugut telah menyatakan kesediaan untuk menilai semula kedudukan parti itu dalam BN, jika Umno bersetuju dengan pelaksanaan hudud yang ingin dilaksanakan Kelantan.

Wee bercakap demikian ketika Wacana Sinar yang bertajuk Hudud: Bersediakah Kita?, yang diadakan di Kompleks Karangkraf, Shah Alam petang ini.

Beliau yang merupakan salah seorang panelis wacana tersebut berkata demikian ketika menjawab soalan moderator, Maszlee Malik samada MCA bersedia untuk menilai semula kedudukan dalam BN memandangkan Umno menyatakan kesediaan untuk menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan.

Wee juga berkata MCA mempertahankan seratus peratus asas perlembagaan persekutuan yang dipersetujui BN sejak merdeka.

"Jika begitu keadaannya, (Umno sokong hudud), sudah sampai masanya kita berbincang dengan rakan-rakan sekutu dalam BN untuk menilai semula kedudukan kita dalam BN," kata beliau pada wacana tersebut.

Inilah pendapat angkuh daripada sebuah parti yang sudah hampir ditolak ke penjuru oleh kaum Cina yang diwakilinya. Strategi MCA ini yang seolah-olah mahu menawan semula hati pengundi Cina, pastinya mengguris hati pengundi Melayu yang menjadi faktor utama kemenangan tujuh calon Parlimen parti itu dalam Pilihanraya Umum ke-13 lalu.

Ka Siong dan MCA sewajarnya membuka mata seluas-luasnya sebelum menjadikan isu hudud sebagai senjata untuk meraih semula sokongan kaum Cina. Apa yang jelas, MCA membenarkan dirinya menjadi alat DAP untuk berdepan dengan isu ini, tanpa menyedari bahawa tindakan tersebut akan melunyaikan sokongan kaum Melayu terhadap parti itu, sebaliknya majoriti kaum Cina terus mentertawakan mereka.

MCA terikut-ikut dengan kebingungan dan ketakutan tanpa asas DAP terhadap hukum hudud yang tiada kena mengena dengan penganut bukan Islam di negara ini. DAP bimbang akan terlepas cengkaman ke atas sokongan padu kaum Cina apabila sekutunya, PAS, terus bertegas mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan. 

Pucuk pimpinan MCA perlu akui bahawa partinya sudah semakin hilang arah. Mungkin juga laluannya sudah semakin menjurus ke arah titik yang dituju oleh DAP, sebagaimana ditunjukkan oleh sebilangan besar ahli parti itu yang berpaling arah dalam PRU13 lalu. Ini bukanlah satu rahsia yang terlalu sukar dibocorkan.

BN tidak boleh terus terdedah kepada ugutan mana-mana pihak dari dalam. Jika amalan mengugut ini berterusan dan tidak dibendung, BN akan menemui jalan keluarnya dari Putrajaya.

Sebelum ditunjukkan jalan keluar itu, ada baiknya pintu BN dibuka untuk memberi laluan keluar kepada mana-mana anggotanya yang sudah mula betah menggunakan pendekatan mengugut.

Dalam kes MCA dan Ka Siong ini, sediakanlah karpet merah buat mereka. Ada tidak menambah, tiada tidak mengurang.



Sent from Samsung Mobile