(Perbahasan Usul oleh ADUN Slim di Sidang DUN Perak 26hb Ogos 2014)
Bismillahhirrahmanirrahim
1. Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Dato’ Timbalan Yang Dipertua kerana memberi saya kesempatan untuk menyokong dan
membahaskan usul merakamkan ucapan takziah dan menzahirkan simpati kepada kaum
keluarga dan sahabat handai mangsa MH17 yang terkorban dan tragedi MH370 yang
telah dibawa oleh Yang Berhormat ADUN Kota Tampan.
2. Izinkan saya perdengarkan beberapa bait daripada sebuah
puisi nukilan Saudara Zaman Shah Saiyan yang dicipta khas untuk kita sama-sama
mengenang tragedi MH17 dan MH370 yang cukup terkesan buat kita.
MH17
Terhempas MH370 Tetap di Hati
MH17...
pergi mu
membawa duka nestapa
pasti takkan kembali
MH370
jua pergi mu
tak kembali
tetap dalam ingatan
Dua tragedi
kehilangan famili
kehilangan anak isteri
kehilangan bijak bistari
kehilangan aset negara
kehilangan yang pasti dirindui
mereka yang ditinggal pergi.
Hanya doa dan harapan
semoga mereka yang dipanggil
beroleh bahagia di sana
yang ditinggal agar terus
redha dan bersabar
kerna ini sudah takdir ketentuan Ilahi
3. Seluruh negara telah bersatu menzahirkan rasa dukacita dan
tarikh 22 Ogos 2014 diisytiharkan sebagai Hari Berkabung Malaysia sempena
menyambut pulang jenazah mangsa MH17. Pada
hari yang sama juga, negeri kita Perak Darul Ridzuan telah menerima kepulangan
jenazah Allahyarhamah Noor Rahimmah bte Mohd Noor berasal dari Tambun,
Allahyarhamah Azrina bte Yaakob berasal dari Taiping dan mendiang Chong Yee
Peng dari Chemor. Jenazah seorang lagi anak Perak yang berasal dari Pekan Baru
Padang Tembak, Teluk Intan yang menjadi mangsa tragedi, Allahyarham Mohd
Firdaus Abd Rahim, co-pilot MH17 dijangka kembali ke tanahair pada 30 Ogos akan
datang.
4. Pada kesempatan ini, bagi pihak ADUN penyokong kerajaan
dan seluruh rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan, saya ingin menzahirkan rasa
simpati yang teramat sangat dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa MH17 yang terkorban. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang
memikul. Anak kehilangan ibu bapa. Isteri kehilangan suami. Suami kehilangan
isteri. Ayah dan ibu kehilangan anak. Sanak saudara kehilangan ahli keluarga.
Rakan taulan kehilangan sahabat. Negara dan negeri kehilangan warga. Semoga
kaum keluarga mangsa tragedi pilu ini bersabar dengan dugaan Yang Maha Esa.
5. Saya ingin mengimbau kembali tragedi kehilangan pesawat
MH370 yang sehingga kini masih menjadi misteri dalam sistem penerbangan dunia. Pada
8 Mac 2014, pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 berlepas daripada KLIA pada
jam 12.41 pagi dan dijangka mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi. Namun
pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu telah hilang daripada
radar pada jam 1.30 pagi di kedudukan 120 batu nautika di timur perairan Kota
Bharu, Kelantan.
6. Sebaik mendapat maklumat rasmi, Perdana Menteri Malaysia berikrar
akan melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.
Rakyat di seluruh negara ini, malahan penduduk seluruh dunia telah menjadi
saksi betapa bersungguh-sungguhnya Kerajaan Malaysia menjalankan usaha
pencarian. Pelbagai usaha telah dilakukan dengan bantuan negara-negara luar,
khususnya Australia, berbekalkan pelbagai peralatan canggih dan terkini.
7. Suara kesedihan rakyat Malaysia didengari oleh pihak
Kerajaan. Rakyat didedahkan dengan laporan-laporan
terkini operasi pencarian. Selain itu,
kebajikan keluarga mangsa-mangsa MH370 turut diambil kira, dijaga dan dikongsi
keresahan mereka. Kerajaan dan seluruh rakyat tidak putus-putus memberi sokongan
moral. Sehingga hari ini, operasi mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan,
terutamanya di sekitar perairan selatan Lautan Hindi yang terpencil dan amat
luas itu. Sama-samalah kita berdoa agar usaha untuk mengesan pesawat
MH370 segera membuahkan hasil.
8. Belum reda kesedihan rakyat Malaysia dengan tragedi kehilangan
MH370, negara sekali lagi diduga dengan kejadian yang amat menyayat hati, juga
membabitkan pesawat Malaysia Airlines. Pada 17 Julai 2014 penerbangan MH17 yang
berlepas dari Amsterdam pada jam 12.15 tengahari dan dijangka mendarat di Kuala
Lumpur pada jam 6.10 pagi, telah dilaporkan ditembak jatuh di Wilayah Donets,
Timur Ukraine, berhampiran sempadan Rusia. Pesawat malang Boeing 777 milik MAS
ini membawa seramai 298 penumpang di mana 43 daripadanya terdiri daripada warga
Malaysia.
9. Tidak terjangkau oleh akal hanya selang beberapa bulan,
ditembak dan terhempas pula pesawat MH17. Bertubi-tubi kedukaan dan kepiluan
Malaysia. Umpama pepatah Melayu, sudah
jatuh ditimpa tangga. Perbuatan pihak yang menembak jatuh sebuah pesawat komersial
seumpama ini adalah amat kejam, tidak berperikemanusiaan dan tidak bertamadun. Kita mendesak pihak berkuasa antarabangsa
supaya kumpulan yang melakukan perbuatan keji ini dicari, ditangkap dan didakwa
di Mahkamah Antarabangsa serta dikenakan hukuman paling berat dan setimpal
dengan kekejaman yang mereka lakukan.
10. Sekali lagi rakyat Malaysia diduga dan dituntut untuk
bersatu hati dan jiwa, mendepani tragedi yang amat tragis dalam sejarah
penerbangan awam negara ini. Ketika
kedukaan tragedi MH370 belum usai, MH17 pula ditimpa musibah atas perbuatan
sekumpulan manusia yang mendiami sebuah negara yang sedang dilanda konflik. Sekali
lagi rakyat Malaysia bersatu dalam duka, dan kedukaan ini amat dirasakan oleh
Kerajaan terutamanya YAB Perdana Menteri kita.
11. Secara peribadi saya selaku rakyat Malaysia memandang
tinggi usaha kerajaan, kerja keras, pendekatan munasabah, fokus yang tepat
dan langkah-langkah strategik dalam menangani tragedi MH17 bagi memastikan
nasib mangsa-mangsa nahas dibela. Walaupun
dalam keadaan berduka dan terkejut, Perdana Menteri telah
bertindak pantas dan berjanji mengambil penuh tanggungjawab membawa pulang
mayat-mayat mangsa dan kotak hitam MH17, memandangkan
pesawat itu adalah milik Malaysia, milik kita. Ini adalah hasil rundingan
berbentuk diplomasi beliau dengan ketua kumpulan pemberontak Ukraine, Alexander Borodai yang pro-Rusia. Kuasa-kuasa dunia
yang lain termasuk Amerika Syarikat, gagal mencapai rundingan sepakat. Kita
puji amalan
dasar luar pragmatik Kerajaan Malaysia yang berdasarkan
prinsip menyokong apa yang betul menjadi asas kepada kejayaan mencapai
persetujuan dengan pemimpin pemberontak pro-Rusia itu.
12. Dunia mula membuka
mata akan kebolehan kita, Malaysia. Malah, usaha Perdana Menteri menyelesaikan isu MH17 telah mendapat pujian
antarabangsa. Tahniah kita ucapkan kepada Perdana Menteri atas kejayaan berunding dengan pemimpin pemberontak bagi membawa
pulang mayat mangsa tragedi. Malahan pemimpin pemberontak sendiri berkata,
mereka bersedia untuk menyerahkan dua
kotak hitam MH17 hanya kepada wakil daripada Kerajaan Malaysia, bukan kepada pihak-pihak
lain termasuk Belanda dan Rusia.
13. Inilah hasil daripada
pendekatan diplomatik luar negara kita yang berpegang kepada konsep kesederhanaan
dalam kehidupan dan dasar luar negara, tidak mencetuskan konflik yang berpotensi
menjejaskan hubungan Malaysia dengan mana-mana negara lain. Akhbar
The New York Times, memuji tindakan Perdana
Menteri yang berjaya berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik. Pendekatan Perdana
Menteri ini adalah umpama menarik rambut
dalam tepung dengan penuh iltizam, kejujuran dan tanpa melibatkan diri menyebelahi atau menuduh mana-mana pihak menyebabkan tragedi ini.
14. Setelah segala urusan
tersebut dijalankan dengan sempurna, akhirnya pada tanggal 22 Ogos 2014 yang
lalu, 20 jenazah mangsa tragedi MH17 telah selamat sampai ke tanah air dan diberi
penghormatan negara. Malaysia telah menyaksikan keikhlasan
bagaimana penerimaan jenazah dibuat dan segala penghormatan negara diketuai
oleh DYMM Seri Paduka Baginda yang DiPertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong
serta seluruh lapisan pemimpin masyarakat. Jenazah telah dikendalikan mengikut
fahaman, anutan agama masing-masing dengan secara terhomat. Jelas, terbukti
Kerajaan bersama rakyat dalam apa jua keadaan.
15. Di Negeri Perak khasnya, selain rakyat jelata, Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan
Muhibuddin Shah turut berkongsi kehibaan baginda semasa merasmikan Mesyuarat
Pertama Penggal Ke-Dua yang lalu. Baginda telah mengetuai majlis bertafakur selama
satu minit atas kehilangan MH370 sebagai tanda penghormatan dan dukacita
terhadap tragedi tersebut. Pada hari Jumaat, 22 Ogos 2014 Hari Berkabung Malaysia, Baginda Sultan
telah berkenan berangkat mencemar duli mengetuai 300 orang daripada pelbagai
latar belakang memberi penghormatan terakhir kepada dua jenazah mangsa MH17 di Lapangan Terbang
Sultan Azlan Shah Ipoh.
16. Tragedi MH370 dan nahas MH17 ini cukup menyentuh perasaan,
menyayat hati rakyat Malaysia dan juga boleh dikatakan hampir seluruh dunia
berkongsi kedukaan ini. Mudah-mudahan
musibah seumpama ini adalah yang terakhir dalam lipatan sejarah negara. Kesedihan ini juga tidak mengira agama dan
bangsa atau peringkat usia, kita bersatu dalam kehibaan. Tragedi ini banyak
mengajar kita makna perpaduan yang mewujudkan kasih sayang tanpa mengira perbezaan
agama, bangsa dan fahaman politik.
17. Bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan yang ke 57 tahun ini, “Di
sini lahirnya sebuah cinta”, semoga jambatan
perpaduan yang telah terbina akan kekal seiring dengan rasa cinta dan kasihkan
negara. Bersatu kita rakyat Malaysia, negeri kita Perak Darul Ridzuan dalam mengumpulkan
kekuatan dan memanjatkan doa demi negara yang sedang dijengah musibah tanda
kasih sayang Yang Maha Pencipta.
18. Kemalangan tidak berbau. Namun setiap kejadian pasti mempunyai
hikmah di sebaliknya. Itu janji Yang Maha Esa. Seharusnya kita mengambil
ikhtibar dan terus bersatu hati. Sekali
lagi, saya menyokong penuh usul ucapan takziah dan menzahirkan simpati yang
amat mendalam kepada mangsa-mangsa, seluruh keluarga, saudara-mara dan sahabat
handai anak-anak kapal dan penumpang pesawat MH17.
19. Semoga kita terus bersatu dalam tidak putus mendoakan
harapan, keajaiban kepada misteri kehilangan dan mudah-mudahan MH370 segera
ditemui lalu pulang ke pangkuan tanahair kita, Malaysia.
20. Dengan rasa penuh kesedihan dan keinsafan, Slim mohon
menyokong.

No comments:
Post a Comment