Kerja-kerja pembinaan jalan baru Felda Besout ke Kuala Slim sepanjang 11.8 km sedang rancak dilaksanakan dari kedua-dua arah.
Dalam tinjauan saya petang semalam, batu kelikir mula ditabur sepanjang kira-kira 2 km bermula dari arah jalan utama berhampiran Felda Besout 4.
Di persimpangan berhampiran Felda Besout 2 pula, kerja-kerja membersih, menambak dan meratakan tapak jalan sedang dilaksanakan.
Tinjauan saya sebelum PRU13 lalu, terdapat kerja-kerja meratakan dua buah bukit yang menjadi punca pertikaian teknikal antara kontraktor asal, Azam Teknik Sdn Bhd dengan pihak JKR dan konsultan.
| Kerja-kerja dari arah simpang Felda Besout 2 |
Setelah gagal menyelesaikan beberapa isu teknikal, pihak JKR telah menamatkan perjanjian dengan kontraktor berkenaan dan melantik kontraktor baru, JJM Integrated Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mendapat status Kontraktor Bumiputera Berwibawa dan pernah mendapat anugerah cemerlang JKR Pusat.
Pejabat tapak projek ini terletak berhampiran Kampung Kuala Slim, dan kerja-kerja dilaksanakan dari arah Kuala Slim dan Besout.
Mengikut perjanjian dengan pihak JKR, kontraktor berkenaan perlu menyiapkan projek ini dalam tempoh 18 bulan, bermula Februari 2013, dengan kos kira-kira RM28 juta.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.


No comments:
Post a Comment