Beberapa siri latihan Sidang DUN yang dilakukan masih tidak dapat mengubah sikap buruk dan biadap Adun-Adun DAP, PKR dan PAS di Perak. Malahan latihan yang baru sahaja dibuat tak sampai beberapa minit di dalam Dewan Negeri semalam juga tidak dapat mereka praktikkan.
Mungkin disebabkan kesilapan pada Sidang 7 Mei lalu, maka Adun-Adun pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS bersungguh-sungguh berlatih untuk belajar bagaimana caranya bersidang dalam suasana lebih matang, beradab dan mengikut Tatacara Persidangan.
Niatnya baik, mungkin atas kesedaran bahawa rakyat tidak suka dengan sikap biadap, ganas dan tidak menghormati Dewan yang mulia seperti mereka tunjukkan pada Sidang 7 Mei itu.
Ketika Sidang DUN ditangguhkan selama sejam oleh Speaker Dato’ R. Ganesan semalam, Adun Tronoh V. Sivakumar memulakan sessi latihan dan kursus pendek itu dengan tugas melakonkan watak Speaker. Sepanjang sessi latihan itu, mereka berjaya menunjukkan cara Sidang Dewan yang betul.
Tenang dan sejuk rasanya hati apabila Adun-Adun pembangkang menunjukkan kesungguhan mahu merubah sikap buruk mereka di hadapan Speaker, Menteri Besar, Adun-Adun BN, tiga Adun bebas, kakitangan kanan kerajaan serta pihak media. Ya, begitulah caranya bersidang wahai Sivakumar, Nizar, Ngeh dan Nga dan harapan kami semoga latihan ini akan dapat mengubah sikap ganas dan biadap Adun-Adun DAP-PKR-PAS, tidak seperti Sidang DUN pada 7 Mei lalu.
Namun sedihnya latihan singkat yang dibuat nampaknya tidak dapat mengubah perangai buruk mereka itu. Apabila Sidang disambung semula oleh Speaker, Adun-Adun pakatan pembangkang masih menunjukkan sikap buruk dan biadap. Masih ada sikap menjerit-jerit, terkinja-kinja, mengeluarkan kata-kata tidak sopan dan membuat bising. Cumanya tahniah le sebab tidak meninggalkan kerusi ketika berkelakuan seperti itu. Itu perubahan yang sudah cukup baik. Kursus dan latihan yang lebih panjang dan intensif perlu dibuat.
Masih ada sikap yang perlu diperbaiki oleh Adun-Adun DAP, PKR dan PAS. Nizar selaku Ketua Pembangkang perlulah mendidik Ngeh, Nga, Thomas Su dan Adun-Adun pembangkang yang lain supaya menghormati masa dan datang lebih awal ke Sidang Dewan, tidak berbuat bising ketika sidang dijalankan, tidak memboikot sidang, belajar bagaimana menghormati Speaker dan tidak mengganggunya dan menjadikan Sidang DUN sebagai tempat untuk membawa masalah rakyat di kawasan.
Tetapi nampaknya Nizar sendiri masih terikat dan terbawa-bawa dengan sikap buruk itu. Harap latihan demi latihan diteruskan. Sedihnya setelah beberapa latihan dilakukan sebelum ini, Adun-Adun pakatan pembangkang masih tidak tahu tatacara Sidang DUN. Mereka telah berlatih di bawah pokok dan di hotel. Amat hairan kenapa mereka masih bebal dan tidak faham bagaimana menghormati Dewan Negeri yang mulia itu.
Semalam Adun-Adun pakatan pembangkang masuk lewat 30 minit ke dalam Dewan, berbuat bising dan menjerit perkataan-perkataan kotor di dalam Dewan ketika Speaker berada di kerusinya, mengganggu Adun-Adun lain yang mahu membahaskan usul, mengganggu Menteri Besar menggulung Bajet 2010, memboikot dan mengosongkan kerusi dan langsung tidak mengambil peluang membawa masalah rakyat di kawasan yang diwakili.
Walaupun mereka cuba mengganggu, namun Sidang DUN Perak semalam dapat berjalan dengan lancar. Sikap Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang terus tenang dan tidak melayan kerenah serta provokasi pakatan pembangkang menyebabkan Nizar, Ngeh Ko Ham dan Nga Kor Meng “mati kutu”.
Bajet Perak 2010 dapat diluluskan dengan sokongan kesemua 28 Adun BN dan 3 Adun bebas. Tidak seorangpun Adun pakatan pembangkang menyokongnya, bermakna mereka tidak mahu rakyat mendapat manfaat dari Bajet 2010 itu. Sudahlah tidak mahu membawa masalah rakyat ke dalam Dewan, mereka tidak mengambil peduli mengenai peruntukan yang akan digunakan untuk mentadbir negeri dan mengatasi masalah rakyat bagi tahun hadapan.
Ironinya, dalam keadaan tidak mahu berkhidmat membela nasib rakyat, Adun-Adun pakatan pembangkang menandatangani borang kehadiran yang diedarkan oleh Bentara Dewan dengan harapan boleh membuat tuntutan elaun mesyuarat. Mereka tidak mahu mengutamakan masalah rakyat, sebaliknya hanya mementingkan soal tembolok sendiri.
Teruskan lagi latihan wahai Adun-Adun DAP-PKR-PAS. Dalam tempoh enam bulan lagi, kami mahu melihat sikap yang lebih positif dari YB semua demi membela nasib rakyat yang telah membuat pilihan semasa PRU12 lalu.
Sila juga rujuk laporan Bernama http://www.bernama.com.my/bernama/state_news/bm/news.php?id=450660&cat=ut
No comments:
Post a Comment