28 October, 2009

TRAGEDI KUALA DIPANG - SIAPA KONTRAKTORNYA?





Siapakah kontraktornya? Persoalan ini terus berligar di pemikiran banyak pihak. Sehingga kini belum lagi dapat dipastikan kontraktor yang menjalankan kerja membina jambatan gantung yang runtuh di SK Kuala Dipang dekat Kampar pada malam 26 Oktober lalu.

Jambatan gantung itu baru dua minggu dibina. Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang selalu dirujuk untuk spesifikasi sesuatu projek langsung tidak tahu menahu mengenai pembinaan jambatan berkenaan. Begitu juga dengan Jabatan Pelajaran Daerah tidak dimaklumkan.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, jambatan itu adalah sumbangan dari sebuah syarikat yang mendapat kontrak perbekalan dari sebuah kementerian. Niatnya baik, iaitu untuk memudahkan peserta kursus menyeberangi Sungai Kampar antara Pusat Ko-Kurikulum Daerah PPD Kinta Selatan itu ke SK Kuala Dipang.

Niat baik syarikat itu terjejas akibat sikap kontraktor dan sub-kontraktor yang mengambil mudah aspek kekukuhan struktur binaan jambatan berkenaan. Dikatakan kontraktor mengambil untung yang terlalu tinggi hingga menyebabkan faktor binaan asas (foundation), khususnya penanaman cerucuk tidak dititik-beratkan.

Berdasarkan taklimat JKR, binaan asas yang dibuat oleh pihak kontraktor tidak cukup dalam bagi menampung beban di atas jambatan, malahan sukatan binaan juga tidak sama. Di sebelahnya hanya sekitar 4.3 meter sementara di sebelah yang lain kira-kira 6.5 meter. Faktor ini menyebabkan berlaku ketidak seimbangan jambatan berkenaan dalam menampung beban.

Dimaklumkan juga bahawa pihak sekolah beberapa kali membuat teguran terhadap kontraktor mengenai spesifikasi pembinaan jambatan itu, tetapi tidak mendapat jawapan yang memuaskan. Sebaliknya pihak kontraktor mendakwa telah biasa membina jambatan seumpama itu, termasuk di Sabah.

Maklumat lain pula mendakwa, pihak kontraktor cuba meminimakan kos kerja dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan yang besar. Difahamkan jambatan itu dibina dengan sumbangan kos RM50,000 hasil sumbangan syarikat pembekal berkenaan.

Sehingga artikel ini ditulis, dua pelajar yang hilang masih belum ditemui. Kerja-kerja mencari diteruskan sehingga ke tempat perangkap sampah berhampiran Jambatan Sungai Kampar di Jalan Persekutuan Kampar-Gopeng.

Sama-samalah kita berdoa semoga kerja-kerja mencari dan menyelamat dapat menemui dua pelajar berkenaan.





No comments: