17 October, 2009

SIDANG DUN PERAK KECOH LAGI?


Maka jelas sungguh Nizar Jamaluddin itu boneka DAP. Kali ini Nizar bukan sekadar boneka biasa, tetapi boneka yang terpaksa menjilat air kencingnya sendiri. Pada 24 September dia bersungguh-sungguh menyokong Pengerusi DAP Perak, Ngeh Ko Ham mahu memboikot Sidang DUN akan datang, tetapi pada 14 Oktober dia menelan semula kata-kata kencingnya itu.

Dengan sedikit tindakan putar belit DAP, kini Nizar begitu bersemangat mahu menghadiri Sidang DUN akan datang. DAP melalui Nga Kor Ming berkata di dalam Malaysian Insider bahawa Adun Tronoh, V. Sivakumar yang masih dianggap mereka sebagai Speaker akan memanggil Sidang DUN pada tarikh dan tempat yang sama seperti ditetapkan oleh Speaker yang sah, R. Ganesan.

Maka benarlah pertanyaan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abdul Kadir kepada wartawan yang memintanya memberikan komen terhadap kenyataan Ngeh dan sokongan Nizar mengenai tindakan mereka hendak memboikot Sidang DUN yang akan dipanggil oleh Speaker R. Ganesan. Pertanyaan Dr. Zambry mudah saja, "Anda semua percaya?".

Ironinya, Ganesan sudahpun mendapat titah perkenan DYMM Paduka Seri Sultan Perak supaya Sidang DUN dipanggil pada 28 Oktober di Bangunan SUK, dan Nga berkata bahawa Sivakumar akan menggunakan titah berkenaan untuk mengadakan sidang yang sama.
Dijadualkan Dr Zambry akan membentangkan Bajet Negeri 2010, dan Nga juga berkata bahawa Nizar akan membentangkan ‘bajet’nya.

Adun Pantai Remis itu juga berkata bahawa Sivakumar akan menghantar notis panggilan persidangan, tetapi hanya 49 dari 59 Adun akan menerimanya. Selebih 10 orang lagi, katanya adalah Dr Zambry dan enam exconya, dan 3 lagi Adun bebas yang sudahpun melepaskan jawatan.

Seperti diduga, Nga juga berkata kumpulannya tidak mengiktiraf Ganesan sebagai Speaker, maka menurutnya Sivakumar akan duduk di kerusi berkenaan ketika Sidang DUN nanti.

Tidak hairanlah jika Nizar sebelum ini berkata Sidang DUN akan datang akan lebih buruk dari Sidang DUN pada 7 Mei lalu. Apakah yang mereka rancang dan akan lakukan? Tidak cukup burukkah sidang 7 Mei lalu apabila buat pertama kalinya dalam sejarah negara, Pemangku Sultan terpaksa menunggu lebih lima jam untuk menyampaikan titah perasmian Sidang DUN?

SIVAKUMAR DISERET KELUAR DEWAN SETELAH BERDEGIL ENGGAN MENINGGALKAN KERUSI SPEAKER

Tidak cukup burukkah Sidang DUN pada 7 Mei lalu apabila pihak pembangkang datang menyerang tempat duduk pihak Kerajaan, menghalang Menteri Besar dan Setiausaha Dewan dari bercakap, mengkasari Setiausaha Kerajaan Negeri, menolak hingga jatuh tercedera Bentara Dewan, merosakkan pembesar suara, berdiri di atas meja, makan di dalam Dewan, campurtangan polis untuk mententeramkan keadaan dan mengheret bekas Speaker dan Adun keluar Dewan, menghina kecacatan pada diri Timbalan Speaker yang juga seorang wanita, membaling buku, menjerit kata-kata kesat dan lucah, menyerang fizikal secara curi dan lain-lain perbuatan buruk yang telah dilakukan berpunca sikap pihak pembangkang.


Jika berpandu kepada kata-kata Nga itu, tidak hairanlah jika mereka merancang untuk sekali lagi menghuru-harakan Sidang DUN pada 28 Oktober nanti. Sudah dapat dibayangkan apa yang pakatan pembangkang akan lakukan. Mahu masuk lebih awal ke dalam Dewan dan merampas kerusi Speaker, kerusi Menteri Besar dan kerusi-kerusi yang dikhaskan kepada Exco dan Adun pihak Kerajaan, mahu menghalang Speaker, Menteri Besar, enam Exco dan tiga Adun bebas dari memasuki Dewan dan seterusnya mahu membentangkan bajet ‘haram’.

Jika itulah perancangan mereka, maka tidak hairan Sidang DUN akan lebih kecoh dari apa yang berlaku pada 7 Mei lalu. Memang menjadi hasrat mereka untuk menggagalkan Sidang DUN akan datang, menghalang Bajet Negeri 2010 dari dibentangkan yang akhirnya akan membantutkan pertumbuhan pembangunan negeri dan merugikan rakyat.

Ternyata mereka sudah tidak menghormati keputusan Mahkamah mengenai kedudukan Speaker, Menteri Besar, anggota Exco dan tiga Adun bebas yang kini berpihak kepada BN. Bukan sekadar itu, mereka juga menderhakai perkenan Sultan Perak dalam menggunakan budi bicara baginda menentukan siapa yang layak menerajui Kerajaan Negeri.

Apakah sebenarnya nilai politik pada pakatan pembangkang? Apakah yang hendak mereka pertontonkan kepada rakyat dan media di seluruh dunia? Hendak mencari simpati rakyat melalui tindakan biadap dan tidak mengikut peraturan Dewan?

Atau apakah pakatan pembangkang berfikir bahawa Adun-Adun BN akan berdiam diri dan bersabar dengan segala kekasaran dan provokasi seperti yang mereka lakukan dalam Sidang DUN pada 7 Mei lalu? Jika itulah yang mereka fikirkan, maka mereka silap.

NIZAR, NGEH DAN SIVAKUMAR DIHALANG DARI MEMASUKI BANGUNAN SUK UNTUK MENGADAKAN SIDANG DUN HARAM PADA 2 SEPTEMBER LALU

4 comments:

Anonymous said...

KALAU NAK MENTADBIR KERAJAAN, ELOK DAPAT MANDAT DARI RAKYAT. CARA KUDETA NI CARA ORANG BACUL!

Unknown said...

Mandat rakyat dah diberi pada Mac 2008 bila rakyat Perak beri 28 kerusi pada BN, berbanding hanya 18 DAP, 7 PKR dan 6 Pas. Semasa itu BN akur dengan kehendak Tuanku Sultan.

Yang memulakan episod lompat ni PKR, seronok bila Adun Bota melompat. Dan bacul ke Anwar Ibrahim mengejar 31 Ahli Parlimen hingga ke Taiwan utk melakukan kudeta terhadap Kerajaan Persekutuan? Apa yang berlaku di Perak adalah kesan faktor dalaman PR (Pakatan Rapuh). Kita langsung tidak menjangka 3 orang Adun akan menjadi Adun bebas dan kemudian menyokong BN.

Anonymous said...

Sidang DUN Perak tidak akan aman jika masih ada pengacau dan orang yang tidak sedar diri. Kenapa sidang dewan tidak mahu mengambil sebarang tindakan. Tidak ada undang-undangkah di dalam dewan atau pun mereka itu semua penakut dengan tindak balas pengacau samseng hingusan itu.

Anonymous said...

Ambil sahaja pada pembangkang yang menimbul kekacauan seperti pembangkang buat di selangor