Tepat jam 1.00 pagi saya tiba di sebuah tol dalam perjalanan pulang dari Ipoh selepas selesai mesyuarat. Saya memandu ke lorong paling kiri kerana baki kad Touch & Go tak mencukupi.
Saya hulurkan wang berserta kad tol. Jurutol seorang wanita Melayu berwajah agak bulat dan berisi. Usianya mungkin sekitar akhir 30an.
"Masuk semua seratus ye Encik?" tanya wanita itu.
"Ye, seratus," jawab saya sambil melemparkan senyuman. Dalam hati berkata, dia mungkin pengundi saya.
Sebentar kemudian, jurutol wanita itu melekapkan kad ke mesin pengimbas. Tertera RM13.50. Baki di kad ada RM91.30.
"Encik, lepas ni Encik kena isi duit awal ye?" kata jurutol itu sambil menyerahkan semua kad kepada saya.
"Kenapa ye?" tanya saya kehairanan. Ini bukanlah kali pertama saya top-up kad di pondok tol.
Dia senyum sambil menjawab, "lepas ni tak boleh tambah di pondok tol lagi. Pondok ni tak ada orang."
Bulu roma saya terus berdiri. Rasa seram tambah pula sendirian pada waktu-waktu begini. Kenapa pula tak ada orang? Siapa pula yang akan menunggu kenderaan di pondok itu? Hantu? 😱
"Ohhh... mungkin tol dah nak dihapuskan sebagaimana janji manifesto," bisik hati saya bagi meredakan perasaan.😰
Wanita itu mungkin dapat melihat kehairanan pada wajah saya, lantas dia segera menyambung kata, "maksud saya tak lama lagi dah tak ada jurutol macam saya dalam pondok ni. Kami mungkin dipindahkan ke tempat lain."
"Pindahkan ke mana?" tanya saya.
"Tak taulah Encik."
"Ramai kena berhenti kot?"
"Mungkin lah Encik. Tak tau lagi apa nasib kita."
"Ermmm, dah semakin teruk sekarang ni," kata saya sambil melihat wajah jurutol itu yang tiba-tiba suram.
Saya menggerakkan kereta sambil menekan picu penutup tingkap. Hati saya mula berdialog sepanjang perjalanan menuju ke rumah. Rasa simpati yang amat sangat terhadap jurutol tadi dan rakan-rakan sekerjanya. Sudah berpuluh tahun pemandu berurusan dengan jurutol, biarpun dah ada pilihan menggunakan lorong Touch & Go dan Smart tag.
Entah berapa ribulah bilangan mereka yang selama ini bergantung hidup melalui pekerjaan jurutol dari Utara di Perlis hinggalah ke Selatan di Johor. Tak mungkin jumlah seramai itu dipindahkan ke bahagian lain oleh pihak syarikat konsesi, melainkan ditamatkan perkidmatan. Apa bahagian lain lagi yang ada untuk mereka? Jadi kerani dalam pejabat? Jadi cleaner? Tukang bancuh kopi? Pengawal keselamatan?
Jika dicampur dengan keluarga, bilangan insan yang menumpang rezeki hasil pekerjaan jurutol ini mencecah puluhan ribu, malah mungkin juga ratusan ribu jiwa. Tak mustahil jika ramai di kalangan jurutol ini merupakan ibu tunggal, atau bapa yang menyara deretan anak di rumah.
Ahhhh... susah mata nak lelap walaupun waktu dah menunjukkan jam 2.45 pagi. Masih terbayang wajah wanita jurutol tadi. Begitu juga wajah-wajah kenalan saya yang bekerja selaku jurutol, termasuk suami isteri bekas jiran saya yang kedua-duanya jurutol. Apa lah nasib mereka selepas ini.
Semoga mereka tabah dan bersabar. Ini lah Malaysia Baru yang sedang kita tempuhi. 😢
No comments:
Post a Comment