29 May, 2019

MASJID BAHARU KAMPUNG KUALA SLIM MULA DIGUNAKAN

Alhamdulillah, semalam 28 Mei 2019 tercatit satu lagi sejarah buat penduduk Kampung Kuala Slim, Slim River dalam DUN Slim kerana dapat mula mengimarahkan masjid baharu, Masjid Jamek Kuala Slim yang bernilai RM3.3 juta.

Khariah mula mendirikan solat Zohor berjemaah di masjid itu semalam, diikuti solat-solat waktu yang lain. Petangnya diadakan more puasa pertama dan seterusnya solat tarawih berjemaah.

Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak kerana tiga kali meluluskan peruntukan khasnya untuk membina masjid yang indah ini. Kali pertama saya mengajukan permohonan, beliau meluluskan RM2 juta, kemudian dari itu RM700,000 dan RM600,000 menjadikan jumlahnya RM3.3 juta. Semoga Allah swt melimpahkan rahmatnya kepada Dato' Sri.

Pada Jumaat nanti, masjid baharu ini akan memulakan solat Jumaat pertama. Sejak masjid lama diruntuhkan bagi projek pembinaan masjid baharu ini, Surau Wakaf Tok Wan, terletak di Kampung Jaya telah dijadikan surau diri Jumaat.

Insyaallah petang ini saya menganjurkan pula majlis berbuka puasa untuk hari kedua masjid ini, seterusnya solat tarawih berjemaah bersama khariah. Terima kasih atas ruang yang diberikan. 


No comments: