23 August, 2019

KES EXCO ROGOL AMAH - NGEH RENDAHKAN MARTABAT SPEAKER

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Dato' Ngeh Ko Ham tidak wajar merendahkan martabatnya dengan membuat laporan polis berkaitan kes rogol melibatkan seorang Exco Kerajaan Negeri.

Tambahan lagi laporan itu dibuat di waktu malam seolah-olah Speaker sudah terlalu terdesak mahu mempertahankan satu kes yang menambahkan cemar parti DAP.

Kenapa tidak Nga Kor Ming saja yang membuat laporan polis itu, sesuai dengan jawatannya selaku Pengerusi DAP Perak? Malah Nga turut hadir ketika Ngeh membuat laporan di IPD Ipoh malam tadi.

Bukankah MB Perak, Faizal Azumu sebelum ini melabelkan jawatan Speaker itu satu institusi dan perlu dihormati? Dalam soal meminta ADUN mengisytihar harta kepada Speaker, kami diminta menghormati institusi Speaker, tetapi nampaknya Speaker sendiri tidak menghormati 'institusi' yang diamanahkan kepadanya.

Saya percaya bangunan IPD Ipoh dikawal rapi oleh CCTV. Pihak polis boleh siasat dengan mudah jika benar ada lelaki menemani amah Indonesia itu ketika wanita berkenaan membuat laporan yang dirinya dirogol oleh Exco DAP berkenaan. 

Jika benar ada lelaki yang dimaksudkan Ngeh itu, pihak polis juga perlu siasat identiti lelaki berkenaan samada berkemungkinan dia telah dirasuah oleh DAP untuk berbohong kononnya menerima RM100,000 supaya membawa amah itu membuat laporan polis dan diacukan pistol oleh lelaki lain agar tidak membongkar perkara sebenar.

Biarkanlah Mahkamah membuat pengadilan terhadap ADUN Tronoh itu. Tak perlu Speaker merendahkan martabatnya hanya disebabkan mahu membela seorang yang telah dituduh dan akan dibicarakan. Masyarakat sebenarnya mahu tahu perkara pokok yang amat penting - betulkah Exco DAP Perak telah merogol wanita pembantu rumahnya seorang warga Indonesia? Janganlah cuba mengubah fokus ini. Taktik DAP sebegini sudah basi.

No comments: