Dah lama benar aku tak menulis. Sejak grad dari UKM tahun 1986, profesion aku terus sahaja di bidang penulisan dan kewartawanan. Kemelesetan ekonomi ketika itu menyebabkan aku tak memilih kerja, lalu menerima tawaran tanpa sengaja untuk menjadi wartawan sambilan akhbar Watan di Kumpulan Karangkraf, Taman Tun Dr Ismail. Ketika itu negara sedang sibuk dengan Pilihanraya Umum ke-7. Pendapatan aku berdasarkan sebanyak mana hasil kerja aku disiarkan, itupun disukat mengikut inci. Seinci entah beberapa puluh sen. Dapatlah antara lima hingga enam ratus ringgit sebulan. Cukuplah untuk seorang lelaki bujang seperti aku ketika itu di Kuala Lumpur.
Seronoknya sebagai wartawan, aku dapat mewawancara ramai individu, dari tokoh politik negara seperti Perdana Menteri ketika itu Dr. Mahathir Mohamad, tokoh akademik seperti Prof Syed Hussein Al-Attas, hinggalah pemimpin peringkat bawahan di kampung-kampung dan rakyat biasa di jalanan.
Apabila permit Watan dibekukan bersama Sin Chew Jit Poh dan The Star kerana Operasi Lalang pada 1987, aku diserapkan sekejap ke Bacaria sebelum aku membawa diri ke Sabah. Di sana aku terus terlibat dalam penulisan dan kewartawanan. Pertama yang aku lakukan ialah menjadi petugas media ADUN Sukau, Datuk (kini Dr) Zaki Haji Gusmiah, yang sering aku hubungi ketika di Watan. Dalam masa sama sebagai stringer sukan Utusan Malaysia, serta menghantar berita dan rencana di akhbar-akhbar tempatan seperti The Sabah Times, Daily Express dan Borneo Post.
Apabila Datuk Zaki menjadi Pengerusi Ko-Nelayan, aku menjadi Pegawai Perhubungan Awam. Bila dia dilantik menjadi Ketua Penerangan PBS, aku menjadi Pengarang Suara Bersatu, lidah rasmi parti itu. Aku masih ingat uniknya Pekan Donggongon di mana Ibupejabat PBS berada, dan disitulah juga pejabat Suara Bersatu, tempat aku bekerja. Ketua Pengarang aku bernama Abdul Malek Unar. Terakhir di Sabah aku menjadi Setiausaha Akhbar kepada seorang menteri negeri di sana untuk beberapa bulan sebelum PBS tumbang.
Dari tahun 1990, aku menulis dan menerbitkan buku-buku politik yang hingga kini ada yang menjadi bahan rujukan di universiti mengenai politik Sabah di era PBS. Dengan nama pena Khusairie Talib, aku menulis buku ‘PBS Keluar Membela Maruah’ (1990), ‘Kontroversi 20 Perkara – Sabahan Vs Sabahan’ (1992), ‘Pairin Kitingan – Wawasan dan Cabaran’ (1994) dan ‘Kerajaan Sabah Mandat Siapa?’ (1995). Aku menerbitkan semua buku itu atas syarikat Goldana Corporation Sdn Bhd.
Ramai tokoh politik Sabah, khususnya dari PBS yang sudah memegang pelbagai jawatan dalam Kerajaan Persekutuan dan Negeri ketika ini. Joseph Pairin Kitingan, Lajim Ukin, Bernard Gilok Dompok, Dr. Maximus Ongkili, Joseph Kurup, Wilfred Mojilip Bumburing, Pandikar Amin Mulia, dan ramai lagi. Memang benarlah kata Lajim Ukin ketika berkempen jawatan Majlis Tertinggi baru-baru ini, dialah yang bertanggungjawab memungkinkan BN kembali memerintah Sabah pada 1994, apabila beliau dan Adun Kemabong, Ruben Balang serta seorang Adun lantikan dari Labuan melompat menyertai BN.
Aku akan cuba mengimbau kembali dari semasa ke semasa dalam blog ini, pelbagai kenangan, samada berkaitan politik dan sosial sepanjang aku berada di Sabah, selain topik-topik semasa yang berkaitan dengan diri aku sekarang sebagai Adun Perak dan Ketua Umno Bahagian.
Apabila ‘tugas’ aku selesai di Sabah pada 1994, setelah lebih tujuh tahun berada di sana, aku kembali semula ke Semenanjung. Aku meneruskan semula hidup aku sebagai wartawan dan penulis. Menjadi Sub Editor Harian Watan di Taman Setiawangsa ketika Tengku Adnan Tengku Mansor jadi bosnya, menjadi Editor Majalah Backbench Parlimen Malaysia ketika Ruhanie Ahmad menjadi Pengerusinya, membantu penerbitan Buletin Ekonomi Pemuda UMNO Malaysia ketika Hishammuddin Tun Hussein menjadi Pengerusi Biro Ekonomi pergerakan itu, membantu penerbitan buku ‘Potret Mahathir In Portrait’ hasil karya Zakaria Setiausaha Akhbar PM, dan menulis buku bergambar yang agak tebal mengenai tempat aku dilahirkan bertajuk ‘Bagan Datoh Seratus Tahun’ atas kehendak Ahli Parlimennya, Ahmad Zahid Hamidi.
Semua kerja aku sejak keluar UKM 1986 hinggalah 1997 berkaitan dengan penulisan dan kewartawanan. Tetapi apabila memegang jawatan politik pada 1998, aku dah mula tidak rajin menulis sesuatu yang serius. Sedangkan aku tahu menulis boleh menambahkan ketajaman fikiran, dan boleh memberi peluang orang lain berkongsi pengalaman dan apa sahaja yang ada dalam kotak fikiran aku.
Setelah lebih 12 tahun aku tak menulis secara serius, kini aku ingin menulis semula. Tak kisah atas topik apa, baik pengalaman lama khususnya di Sabah, atau perkara-perkara baru yang berlaku di sekeliling aku.
Aku tak mahu menoleh ke belakang lagi. Aku mahu menulis semula....
4 comments:
Tahniah Dato. Now you are a blogger
selamat maju jaya :)
Tahniah Dato'..
Semoga Dato' akan terus menulis bagi memberikan info dan idea yang bernas dari segi Politik mahupun Ekonomi..
Post a Comment