29 May, 2009

BESARNYA REZEKIMU YA ALLAH


Melihatkan keadaan kereta Viva yang remuk teruk itu mengukuhkan lagi keinsafan saya terhadap kebesaran Allah s.w.t. Bagaimana kereta sekecil itu merempuh sisi sebuah pick-up dari arah bertentangan, lalu menerjah sepanjang besi penghadang jalan, berpusing dan terbalik beberapa kali, tetapi lima remaja berbadan agak mantap di dalamnya boleh terselamat.

Mulanya tidak terbayang di kotak fikiran saya keadaan kereta sedemikian rupa, sebaik menerima berita anak sulung saya, Amirul Khamil dan empat rakannya tidak mengalami kecederaan teruk dalam kemalangan awal pagi tadi di Palong Inai dekat Pekan, Pahang. Sepanjang perjalanan dari Tanjong Malim ke Pekan, saya dan isteri terus-terusan memanjatkan rasa syukur kepada Ilahi kerana memanjangkan umur mereka.

Setelah melihat keadaan Amirul dan rakan-rakannya di Hospital Pekan dan Hospital Kuantan, kami pergi ke workshop tempat kereta itu ditarik untuk urusan insuran. Ibunya terkejut dan berisytigafar melihat keadaan kereta yang hancur di sana sini. Di situlah timbul rasa syukur yang amat sangat terhadap apa yang menimpa Amirul dan kawan-kawannya.

Sebelum masuk tidur malam tadi, saya sempat membuka blog Amirul, ‘Tales of Tengku Roro’ dan tulisannya meyakinkan saya bahawa dia mahu masuk tidur setelah keletihan mentelaah pelajaran di perpustakaan bagi menghadapi peperiksaan akhir semester di Uniten, Bandar Muadzam.

Rupa-rupanya dia dan rakan-rakan mengatur pelan lain selepas itu – memandu ke Kuantan dengan t-shirt kelab Manchester United untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala UEFA di skrin besar. Itulah perancangan dari fikiran singkat remaja. Dalam perjalanan pulang itulah tragedi berlaku.

Apapun, aku bersyukur kepadamu Ya Allah kerana masih mahu memberikanku rezeki menyambung nyawa zuriatku. Aku petik Renungan Jumaat yang dititipkan oleh YB Mohd Isa ADUN Batang Kali sebentar tadi, “Barang siapa yang bertakwa pada Allah (patuhi perintahNya dan jauhi laranganNya), Allah akan mendorongkan baginya jalan keluar (dari kesulitan) dan Allah akan memberikan rezeki dari sumber yang tiada diduga” – Ath-Thalaq 2-3.

Syukur, Alhamdulillah.


AMIRUL (T-SHIRT PUTIH) MEMBANTU SHAHIR MAKAN UBAT DI HOSPITAL PEKAN. SEORANG LAGI RAKAN BERSELIMUT KESEJUKAN


AMIRUL MEMBUAT LAPORAN POLIS


AMIRUL DAN IBUNYA MELAWAT SEORANG LAGI RAKAN

7 comments:

Anonymous said...

syukur alhamdulillah.

Unknown said...

Syukur Alhamdulillah..

Semoga kehidupan Dato' sekeluarga berada di bawah lindungan ALLAH S.W.T..

Amin..

Syed Zul Tojo said...

Syukur Alhamdulillah.

Anonymous said...

Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya..jadi kita sebagai manusia yang lemah, beringat-ingatlah..ape yang terkurang dan ape yang terlebih..mungkin kejadian ini akan membuka mata serta minda kita semua sesungguhnya ada yang Maha Berkuasa..Alhamdulillah..

A.M.A.R.A.N Dari Gunung said...

Syukur ke hadrat allah s.w.t semua nya selamat. Ada rezki buat khenduri kat kawan kawan. Kawan hanya berdoa utk kekuatan.

A.M.A.R.A.N Dari Gunung said...

Syukur kepada allah s.w.t ini dugaan yang harus d tempuh. Anak, isteri dan keluarga milih allah s.w.t. Kita hanya di pinjamkan. Ada rezki buat khenduri doa selamat dan bantu kawan kawan yang tak dak kerja ni.

Unknown said...

Terima kasih atas ucapan sahabat-sahabat semua. Hari Selasa lalu saya sudah buat kenduri kesyukuran dan doa selamat alas rezeki Allah ini. Semalam saya sudah hantar Amirul pulang ke Uniten semula. Alhamdulillah, semangatnya semakin pulih untuk meneruskan pengajian.