31 May, 2009

HARRIS RIBUT DAN 'FAT LADY'

HARRIS DAN LUKISANNYA YANG MENJADI KOLEKSI SAYA

Harris Ribut adalah antara nama besar dalam dunia lukisan di Malaysia. Tema lukisan minyaknya agak unik – “Fat Lady”, memaparkan variasi gaya wanita-wanita gemuk. Dia adalah antara sebilangan pelukis Melayu tanahair yang hampir setiap hari berkarya di galeri mereka di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Saya adalah antara ribuan peminat Harris, anak seorang AC yang dilahirkan pada 8 Sept 1951 di Carey Island, Selangor. Saya dan Harris punya kenangan suka duka sejak kami bekerja di bawah bumbung akhbar Watan, Kumpulan Karangkraf pada 1986. Ketika itu dia sebagai sub-editor dan saya wartawan .

Apabila kerajaan membekukan permit akhbar Watan pada 1987 di bawah Operasi Lalang, Harris secara serius mengalihkan aktivitinya di bidang lukisan. Dia mendapat satu sudut kecil di Pasar Seni atas ehsan pelukis potret terkenal tanahair, Aris Aziz. Sesekali saya pergi menjenguk dia di sana, melihat kerja-kerja seninya dan pelukis-pelukis lain. Ada kalanya sehari suntuk saya bersamanya di galeri itu. Ketika itu Harris banyak bermain dengan konsep bunga.

Sebagai pendatang baru, hasil kerja Harris ketika itu tidak begitu mendapat tempat di hati peminat seni tanahair. Hasil kerjanya tidaklah dijual semahal mana, tetapi dia amat sukar hendak menyaingi hasil kerja pelukis lain. Dia menghadapi masalah kewangan yang cukup gawat ketika ekonomi negara meleset. Rumahnya sudah mahu dilelong. Tetapi dia tak pernah mengalah. Memang itulah sikap semulajadi orang Jawa.

Ketika di Sabah, saya pernah menjemput Harris dan seorang lagi rakan kartunis, Razak Ahmad untuk membantu kempen Pilihanraya PBS pada tahun 1990. Ketika kempen itulah juga PBS membuat keputusan keluar dari BN.

Sekitar tahun 1993, saya mendapat berita kejayaan Harris dalam bidang lukisan. Rakan wartawan saya, Misrom Matleham memberitahu bahawa lukisan Harris yang berkonsepkan wanita gemuk mendapat pasaran baik di kalangan peminat seni dalam dan luar negara. Harris sudah membuat lebih seratus pameran.

Harris pernah menjadi ‘100 world selective artist’ untuk mempamerkan hasil kerja selama sebulan di Art Fest Millenium 2000 di Gisborne, New Zealand. Balai Seni Lukis Negara pernah menghantar beliau menyertai Art Fest Singapore pada 2002 dan pernah membuat pameran di Hackman Gallery di Stockhom, Sweden pada 2006 atas tajaan Malaysia Airlines dan Tourism Malaysia.

Lukisannya turut mendapat tempat di hati Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Semasa kempen Pilihanraya Umum ke 11 pada 2004, lukisan Harris bertajuk ‘Tarian Kita’ dipilih sebagai bahan kempen Barisan Nasional, yang memaparkan wanita gemuk dari tiga bangsa utama sedang menari tarian suku kaum mereka. Lukisan itu dipilih dari 107 artis yang mengambil bahagian dalam pameran bertajuk ‘Imajan dan Suara Kemerdekaan’ di Galeri Maybank Kuala Lumpur pada 2003. Ketika Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, beliau juga bertandang ke galeri Harris dan membeli beberapa lukisannya.

Selain menjadi bahan koleksi bank-bank utama di Malaysia, hasil lukisan Harris juga menjadi bahan koleksi kedutaan di seluruh dunia, terbaru dari Korea Selatan. Beliau sendiri tidak tahu kenapa kedutaan-kedutaan itu berminat dengan tema lukisannya.

Pada bulan Ramadhan lalu, saya berbuka puasa di sebuah restoran Pine 38 di Shah Alam. Saya merasa kagum dengan kejayaan Harris kerana di setiap sudut restoran eksklusif dua tingkat itu ada lukisan wanita gemuk hasil kerjanya. Tuan punya restoran itu memberitahu saya, dia membelanjakan lebih RM200,000 untuk lukisan-lukisan itu dalam pelbagai saiz.

Dari situ hati saya semakin kuat hendak berjumpa Harris. Tiga bulan lalu saya bertandang ke galerinya. Saya berminat dengan satu lukisan yang agak besar tetapi belum siap sepenuhnya, memaparkan empat wanita Melayu memakai baju kebaya berkain batik sedang menari. Sebagai rakan lama, dia menawarkan saya lukisan itu dengan satu harga yang jauh dari harga sebenar, daripada lima angka ke empat angka. Lantas saya bersetuju.

Harga sebuah hasil seni selalunya subjektif dan mengikut sebesar mana nama pengkaryanya. Harris pernah menjual dua buah lukisannya bersaiz 5 kaki x 8 kaki dengan harga RM35,000 setiap satu pada 2008. Sebuah lukisan bersaiz 5 kaki x 12 kaki yang masih dalam simpanannya berharga RM75,000.

Jumaat lalu saya ke galeri Harris untuk mengambil lukisan yang telah lama siap. Lukisan itu telah dijadikan latarbelakang semasa RTM mewawancara Harris baru-baru ini. Sudah dua kali RTM menyiarkan wawancara itu. Saya juga dapat berjumpa isterinya, Kak Jie yang juga pelukis.

Harris nampaknya senang hati. Saya hanya tahu kenapa dia bersikap begitu setelah menerima smsnya semalam, “Assalamualaikum. Senang hati i painting tu dah di tangan u! Dua tiga kolektor tawarkan harga yang menggoda! Demi kawan!...U simpan baik2 painting tu ada nilai. Alhamdulillah i doakan murah rezeki u! Mudah2an. Amin.”

Hati saya senang melihat kawan senang.

5 comments:

Anonymous said...

Salam uncle khusairi..terima kasih kerana membeli dan menghargai hasil seni ayah saya..salam seni dari kami sekaluarga.

Unknown said...

Nak rasahatimati, uncle dan abang Harris ada nostalgia yang susah nak diceritakan. Dia pernah hidup susah, sama macam uncle. Pasar Seni tu boleh jadi saksi kesusahan kami apabila terputus rezeki setelah Watan dibekukan pada 1987. Apapun, ayah anak ini punya kegigihan dan tabah menghadapi rintangan. Jagalah dia baik-baik.

Anonymous said...

saya tahu semua tuh, sebab saya sendiri xkan pernah lupa dengan kesusahan yang kami sekeluarga penah alami. Siapa sangka sebuah keluarga yang duduk di Shah Alam pernah minum air masak untuk mengalas perut kelaparan. Saya sekarang baru habis belajar, dan sedang mencari kerja. Dan apabila sudah kerja, saya akan pastikan keluarga saya tidak akan mengalami peristiwa yang sama. Itu janji saya sebagai anak sulung dan saya akan berbakti kepada kedua ibu bapa saya selagi mereka masih ada. Jika dia boleh membesarkan dan menjaga empat orang anak, takkan saya tak mampu nak menjaga mereka berdua. Cuma doakanlah kesejahteraan kami sekeluarga dan rezeki kami. ;) jangan lupa letak spot light dkt painting tuh nanti. lagi timbul painting tuh nanti.

Soffian Shariff said...

Encik Harris sangat hebat orangnye... walaupun telah menjadi seorang artis yang sangat berpengalaman, dia masih sudi berbual dan memberi tunjuk ajar dengan saya yang baru2 nak belajar dalam bidang seni ini...

terima kasih encik harris..

saya amat berharap dapat belajar mengukir kayu dengannya...

Hazwan Nizam said...

Salam Datuk Khusairi,

saya hazwan anak kedua Harris Ribut & Fauziah Ismail. terima kasih atas artikel diatas, saya amat terharu dengan apa yang ditulis sebab itu semua adalah kenangan yang akan kekal selamanya sampai bila-bila. atas sokongan Datuk, keluarga kami bertambah mudah untuk apa-apa urusan.
insyaallah pada tahun ini, kedua ibubapa saya akan menunaikan ibadah haji, mudah-mudahan kita sama-sama doakan segala urusan ibubapa saya akan dipermudahkan ditanah suci nanti...amin...
terima kasih skali lagi....