05 June, 2009

KINI HANYA BADAI DI PERAK

Undian pendapat dalam blog saya samada perlu diadakan semula Pilihanraya Negeri Perak telahpun ditutup pada 31 Mei lalu. Setelah dua minggu dibuka, 17 pengundi atau 70% mengatakan tidak perlu, sementara 7 (29%) memilih perlu. Bilangan 24 undian bukanlah boleh memberikan jawapan yang paling tepat. Seperti yang saya telah agak, tidak ramai yang membuka blog kerdil ini dan mengambil bahagian dalam undian.

Tetapi saya berpuas hati. Terima kasih kepada rakan-rakan yang memberikan undian, samada memilih perlu diadakan pilihanraya di Perak ataupun sebaliknya. Masing-masing mempunyai alasan sendiri untuk membuat tafsiran. Di dalam media serta sembang-sembang kedai kopi, inilah antara topik yang hangat diperkatakan sejak lebih sebulan lalu.

Apapun topik ini sudah tidak relevan lagi untuk dibincangkan. Malahan saya menganggap undian pendapat ini tidak perlu menunggu sehingga 31 Mei untuk ditutup, cukup sehingga 22 Mei sahaja. Sebabnya, pada tarikh itu Mahkamah Rayuan membuat keputusan mengekalkan Dr. Zambry selaku penjawat Menteri Besar Perak. Sejak itu juga, Negeri Perak sudah semakin aman.

Bukanlah luar biasa jika keamanan yang mula dikecapi oleh Negeri Perak ini dilanda badai, tetapi ianya tidak mungkin lagi menjadi ribut, jauh sekali menjadi taufan. DAP, PKR dan Nizar sudah tentu tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu. Tindakan mengajak penyokong mengadakan mogok lapar bagi mendesak Sultan Perak membubarkan Dewan Undangan Negeri supaya pilihanraya boleh diadakan di Perak hanyalah cubaan mencipta badai, tetapi bukan boleh meributtaufankan.

Biasalah dengan ayat yang mereka terus canangkan – kembalikan kepada rakyat.

Apa yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan sebenarnya telahpun diputuskan oleh rakyat Perak dalam Pilihanraya Umum 2008 lalu, apabila mereka memberikan Barisan Nasional (khususnya UMNO) kelebihan kerusi berbanding parti-parti lain yang bertanding. Rakyat Perak telahpun memberikan BN kemenangan 28 kerusi, berbanding 18 DAP, 7 PKR dan 6 PAS. Inilah congak paling mudah yang menggambarkan secara jelas siapakah yang dipilih oleh rakyat Perak.

Tidak dinafikan jumlah kerusi yang dimenangi oleh BN ini jauh lebih kecil berbanding apa yang dimenanginya pada 2004 iaitu sebanyak 52 kerusi. Tetapi bilangan 28 adalah lebih besar daripada apa yang diperolehi parti-parti lain. Sewajarnya DAP, PKR dan PAS menghormati kehendak rakyat pada 2008 yang memberi lebih kerusi kepada BN.

Tiada siapa yang merampas kuasa. Tidak juga ianya haram. Tindakan tiga Adun keluar dari parti pakatan pembangkang bukannya kesan dari pengaruh luar, tetapi hasil daripada kepincangan di dalam kerajaan pimpinan Nizar sendiri. Apa dalilnya Nga Kor Ming dengan celupar mengatakan Kerajaan Perak hari ini kerajaan haram? Sebab tiga Adun bebas menyokong BN?

Bagaimana pula jika Anwar Ibrahim berjaya menubuhkan Kerajaan Persekutuan pada 16 September lalu setelah berjaya menarik 31 Ahli Parlimen BN melompat parti. Apakah DAP akan mengatakan tindakan Anwar itu halal, dan kerajaan baru gabungan DAP-PKR-PAS itu tidak haram?

DAP, PKR dan Nizar janganlah semudahnya menyalahkan orang lain, tetapi lihatklah kelemahan sendiri dahulu. Jika tidak pandai menari, janganlah kata tanah tidak rata. Jika tidak pandai tadbir negeri, janganlah kata orang lain rampas kuasa.

Rakyat Perak yang tidak beremosi dan berfikiran waras dapat menilai mana yang terbaik buat mereka. Sudah tiba masanya semua pemimpin dan rakyat Perak menerima hakikat bahawa Perak kini berada di bawah pentadbiran BN. Tidak lagi perlu untuk melakukan sesuatu tindakan bertujuan mengubah kedudukan ini, melainkan melalui Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Tumpuan ketika ini adalah untuk bersama membangunkan Perak dari segenap bidang. Yang sudah tu, sudah lah. Tak guna dikesalkan lagi. Lihatlah ke depan, jangan lagi pandang ke belakang.

3 comments:

kulatlapok said...

salam YB,

Saya rasa ada post komen saya yg saya sertakan dengan kenyataan dari Profesor UIA yg belum lagi YB memberi jawapannya.

Apakah badai di Perak mungkin berlaku lagi selepas keputusan Mahkamah Rayuan Persekeutuantidak lama lagi >???

Unknown said...

Maaf Kulatlapok. Saya tidak melayan komen penulis hebat seperti anda, tetapi takut hendak memperkenalkan diri. Hanya penulis yang berani dan bertanggungjawab atas tulisannya saya layan. Wassalam

kulatlapok said...

salam YB

Terima kasih kerana memberi respon. Itupun sudah memadai dari YB terus berdiam diri. Sebenarnya saya bukanlah seorang penulis yg hebat seperti apa yg YB katakan apatah lagi saya pengecut tidak memperkenalkan diri. Apapun terjadi saya tetap seperti ini dengan sebuah nama dan perkataan yg termaktub dalam sebuah kamus.


Namun seperti kata Dr. Novandri, kehebatan itu hanyalah Ilmu yg dipinjamlan sementara. Saya sebenarnya bukanlah penulis hebat tetapi lebih banyak merujuk kepada penulis2 lain tak kira samada ianya menjuak parti lawan atau kerajaan.

Walau bagaimanapun, terima kasih YB, dan saya akan tetap melayari blog YB sebagai bukan untuk mencari kesalahan tetapi supaya dapat berkongsi maklumat. Itu sebab saya blogrollkan YB pada blog saya.

Saya rasa hasil dari blog YB juga tidak kurang hebatnya, dan saya juga perlu menghormati hak dan pandangan YB. Teruskan usaha dan perjuagan YB. Wasalam.