Ramai kawan-kawan bertanya apa yang disembangkan Dato’ Seri Najib dengan saya semasa Perdana Menteri hendak berangkat pulang dari majlis Ramah Mesra Wakil-wakil Rakyat yang mempunyai tanah rancangan Felda di Dewan Perdana Felda malam semalam.
Topiknya tidak lari dari hal Felda, khususnya di kawasan saya. PM bertanya mengenai perkembangan projek pembinaan Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) di Trolak dalam DUN Slim. Beliau memberitahu rakan-rakan di sekeliling bahawa MRSMF adalah hadiah beliau kepada kawasan saya yang mempunyai 10 tanah rancangan Felda, bagi menghargai sokongan kuat pengundi terhadap Barisan Nasional.
Saya berasa cukup bangga dengan penghargaan PM menghadiahkan MRSMF bernilai RM120 juta itu di kawasan saya. Kerja-kerja yang bermula sejak dua tahun lalu kini sudah hampir siap. Dengan keluasan tanah kira-kira 50 ekar, MRSMF yang pertama seumpamanya akan menjadi MRSM yang termoden dan termahal setakat ini. Ianya bakal menempatkan seramai 1,050 orang pelajar, 80 peratus daripadanya terdiri daripada anak-anak generasi Felda, sementara selebihnya dibuka kepada pelajar lain.
Ketika projek ini baru dimulakan, Dato’ Seri Najib telahpun mengarahkan supaya MRSMF mengambil seramai kira-kira 200 pelajar pertamanya yang ditempatkan di Kolej Kini, di Felda Trolak Jaya bersebelahan tapak pembinaannya. Kini, pelajar-pelajar pengambilan pertama sudahpun berada di Tingkatan 2, dan akan dapat menikmati kemudahan MRSMF sepenuhnya pada awal tahun 2010.
Inilah projek terbesar dalam kawasan DUN saya. Apabila melalui Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Trolak, MRSMF ini dilihat tersergam dengan pelbagai rekaan bangunan moden. Sudah tentu MRSMF akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pembangunan di kawasan berhampirannya, yang kebanyakannya dimiliki oleh peneroka Felda.
Pengambilan tanah untuk tapak MRSMF itu telah menjadikan beberapa orang peneroka di Felda Trolak Utara dan Felda Trolak Selatan sebagai orang kaya baru. Setiap ekar diberikan pampasan kira-kira RM80,000. Ramai di kalangan mereka yang membesarkan rumah, selain menabung di dalam Koperasi Peneroka Felda (KPF) yang memberikan faedah lumayan setiap tahun.
Sudah tentu selepas ini banyak lagi pengambilan tanah dibuat di sekitar MRSMF dan Felda Trolak Jaya, dan lebih ramailah peneroka Felda yang akan mendapat habuan lumayan dari projek-projek yang akan dilaksanakan.
Beruntunglah tanah rancangan yang mendapat projek besar seperti MRSMF itu. Keberuntungan itu sewajarnya mereka terima setelah berpuluh tahun bertungkus lumus membanting tulang memajukan tanah masing-masing seluas 10 ekar.
Dan untungnya mereka kerana Felda berada di bawah jagaan Dato’ Seri Mohd Najib, anakanda kepada pengasas Felda, Allahyarham Tun Abdul Razak. Pelbagai projek kesejahteraan telah dilaksanakan sepanjang tempoh beliau diberikan peranan sebagai Menteri Felda. Dari program mensejahterakan peneroka, generasi peneroka dan kakitangan Felda, sehinggalah kepada program pelaburan global. Penubuhan sayap perniagaan terbaru, Felda Global Venture adalah langkah lanjut bagi memperkukuhkan lagi usaha memperkasakan Felda dan menjadikan Felda sebagai pemain global.
Melihat jauh ke atas, PM tidak lupa yang melata di bawah. Sudah tentu PM amat mengetahui mengenai masalah penempatan generasi kedua dan ketiga Felda yang agak meruncing di tanah-tanah rancangan Felda ketika ini. Selaku anak peneroka, saya juga amat mengharapkan supaya sesuatu yang drastik dapat dilakukan oleh pihak Felda bagi membantu adik-adik saya di seluruh negara mendapatkan tempat tinggal yang selesa. Kempen setinggan sifar di tanah-tanah rancangan Felda perlu diberikan keutamaan ketika ini, supaya anak-anak peneroka tidak lagi menjadi setinggan di tapak rumah ibubapa seluas suku ekar itu.
Malam tadi saya berasa lega, kerana Felda terus berada di bawah Dato’ Seri Najib.
2 comments:
Orang UMNO rupanya. Patut pun puji MB Mahkamah di laman blog dia. Hemm!.... rakyat menyampah dengan UMNO. Tapi hang buat tak tau jer!...
Parpu Kari. Sayapun mulanya ingat hang penyokong Umno. Silap rupanya.
Post a Comment