15 June, 2009

KENAPA POLIS HERET KELUAR SIVAKUMAR?


Soalan lisan kedua di sidang Dewan Rakyat hari ini akan dikemukakan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang meminta Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Tun Hussein memberikan justifikasi undang-undang terhadap tindakan polis ‘menyerbu’ masuk dan mengheret ‘Speaker’ keluar semasa sidang DUN Perak pada 7 Mei lalu.

Soalan ini sudah tentu akan mengheret pertikaman lidah yang panjang dan suasana tegang antara penyokong kerajaan dan pembangkang, tetapi mungkin tidak sepanjang dan setegang seperti apa yang berlaku dalam Sidang DUN Perak. Tidak mungkin Yang Dipertua Dewan Rakyat akan membenarkan mana-mana Ahli Parlimen menyerbu ke kawasan parti lawan, seperti yang dibiarkan oleh Speaker DUN Perak, V. Sivakumar.

Malahan punca ketegangan sidang DUN Perak bermula apabila penyokong parti pembangkang keluar dari tempat duduk mereka dan mengenakan tekanan mental dan fizikal terhadap Setiausaha Dewan, Bentara, Setiausaha Kerajaan Negeri, Menteri Besar, Timbalan Speaker dan semua Adun BN, termasuk dua adun bebas.

Apabila Dewan membuat keputusan memilih R. Ganesan sebagai Speaker baru, penyokong-penyokong parti pembangkang telah menjadikan beliau sebagai sasaran sehingga ke satu peringkat yang amat kasar dan boleh mencetuskan kejadian tumbuk menumbuk. Tindakan pihak polis masuk campur adalah disebabkan suasana sudah menjadi tidak terkawal apabila Adun-Adun pembangkang menggunakan kekasaran terlampau untuk menembusi benteng kepungan Adun-Adun BN yang ketika itu cuba mempertahankan Speaker. Pihak polis masuk campur hanya setelah lebih empat jam suasana dalam DUN Perak tidak menentu.

Sepanjang empat jam berlakunya kekalutan itu, V. Sivakumar terus duduk di kerusi Speaker memerhatikan kejadian itu sambil sesekali tersenyum sinis. Beliau terus bertegas tidak mahu berganjak dari kerusi itu, walaupun R. Ganesan sudahpun dipilih oleh Dewan menggantikan tempat beliau sebagai Speaker. Ganesan sepatutnya mengendalikan Sidang dari kerusi Speaker, bukannya dari tempat duduk Adun, tambahan pula beliau diganggu secara kasar oleh penyokong-penyokong pembangkang yang cuba menghalangnya dari menjalankan tugas. Mereka mengoyak kertas aturcara persidangan dari tangan Speaker, meragut cermin mata Speaker, merosakkan setiap mikrofon yang cuba digunakan oleh Speaker, cuba menolak dan mengheret keluar Speaker dan akhirnya cuba mengkasari Speaker secara fizikal. Inilah perbuatan biadap yang sama sekali tidak menghormati Dewan yang mulia.

Sivakumar yang bukan lagi Speaker itu duduk tanpa diganggu sepanjang tempoh empat jam itu, sehinggalah apabila kekasaran terlampau dilakukan terhadap Ganesan. Ketika itulah pihak polis masuk, atas permintaan Bentara Dewan, setelah empat jam mereka memerhatikan gelagat tolak menolak antara penyokong kedua-dua pihak. Percayalah, sekiranya polis tidak mengambil tindakan ketika kekasaran pembangkang memuncak, bukan sekadar tumbuk menumbuk, malahan mungkin berlaku pertumpahan darah.

Tindakan polis mengheret Sivakumar keluar adalah wajar kerana beliaulah punca utama kepada berlakunya kekocahan itu. Selagi beliau duduk di kerusi Speaker yang bukan lagi miliknya, selagi itulah kekecohan itu berterusan, dan menghalang agenda titah perasmian oleh DYMM Pemangku Raja.

Apakah Anwar mahu melihat pertumpahan darah dalam Sidang DUN Perak baru mahu mengakui justifikasi tindakan polis? Apakah imej negara yang hendak ditonjolkannya di mata dunia sekiranya peristiwa berdarah itu berlaku? Hendak mendabik dada mengatakan bahawa demokrasi sudah mati di Malaysia? Hendak meletakkan Negeri Perak dalam darurat? Mahu melihat rakyat Perak bergelut sesama kaum sehingga membawa kepada berulangnya Peristiwa 13 Mei?

Sebenarnya ada hikmah bagi BN mencadangkan Ganesan sebagai Speaker, bukannya Ahmad, Ali atau Abu. Jika tiga nama itu dicadangkan, keadaan lain sudah pasti berlaku dalam Sidang DUN Perak ketika itu, sehingga boleh merebak ke luar Dewan.

Apa yang dilakukan oleh pihak polis ketika itu adalah untuk memastikan soalan-soalan diatas tidak menjadi kenyataan. Tahniah dan tabik untuk polis.

No comments: