24 June, 2009

BERAKHIRNYA KERAJAAN PERPADUAN CIPTAAN PAS

Maka benarlah apa yang dijangka – PAS menarik balik idea kerajaan perpaduan yang diilhamkan dalam muktamarnya awal bulan ini. Ternyatalah parti itu tidak dapat membuat pendirian sendiri, tanpa restu DAP dan PKR. Sikap Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang semakin berlembut dalam soal kerajaan perpaduan sehari sebelumnya tidak cukup untuk mengatasi kekuatan cengkaman Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang terhadap arah perjuangan PAS.

Itulah PAS hari ini. Parti yang mempunyai kekuatannya sendiri terpaksa tunduk kepada dua parti yang terus memperalatkan sokongan rakyat terhadap PAS. Permainan politik halus PKR dan DAP tidak dapat dihidu secukupnya oleh PAS. Samada sedar atau tidak, PAS gagal membendung agenda utama PKR dan DAP. PKR mahu meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri, sementara DAP mahu memunahkan hak istimewa Melayu dalam struktur pemerintahan negara melalui konsep Malaysian Malaysia yang digagaskannya.

PAS nampaknya tidak mampu untuk meletakkan dirinya sebagai parti peneraju dalam Pakatan Rakyat, walaupun PKR dan DAP amat bergantung kepada kekuatan PAS. Walaupun Presidennya, Haji Hadi Awang ada mendesak supaya PAS diberi peluang menerajui PR, tetapi desakan itu bukan sahaja tidak dilayan oleh PKR dan DAP, malahan diperlekehkan oleh sebilangan pemimpin PAS sendiri. Maka kekallah PAS sebagai parti ’melukut di tepi gantang’ dalam Pakatan Rakyat.

Sebilangan pemimpin dan penyokong tegar PAS bertepuk dengan kenyataan media Anwar yang menolak idea kerajaan perpaduan ciptaan PAS. Malahan mereka menuduh pula UMNO yang beria-ia mahu mewujudkan kerajaan perpaduan, sedangkan idea itu bukannya bermula dari pihak UMNO. Kononnya UMNO sudah semakin lemas dan mahu berpaut kepada sokongan PAS.

Tanpa kerajaan perpaduan, UMNO dan Barisan Nasional masih kekal memerintah negara. Sama ada idea itu terlaksana atau sebaliknya, BN tetap parti pemerintah. Sedikitpun UMNO tidak berasa kesal dengan penarikan balik idea kerajaan perpaduan oleh PAS itu. Cumanya yang pasti, sudah tentu ramai di kalangan rakyat yang berasa diri mereka dipermainkan oleh PAS, kerana hasrat untuk melihat perdamaian Melayu-Islam di negara ini melalui kerjasama UMNO dan PAS tidak menjadi kenyataan. Idea yang baik berakhir dengan keputusan kebelakang.

Keikhlasan yang ditunjukkan oleh Presiden dan Timbalan Presiden UMNO terhadap idea yang dilonjakkan oleh Presiden dan Timbalan Presiden PAS itu tidak dapat disambut secara positif oleh sebilangan pemimpin PAS sendiri. Mereka lebih selesa bergabung dengan PKR dan DAP untuk mengganyang UMNO, sebuah parti Melayu-Islam yang sentiasa bersikap terbuka.

Namun masanya akan tiba untuk menunjukkan kebenaran. UMNO tidak mengharapkan apa-apa dalam masa terdekat, tetapi mungkin sesuatu akan menjelma dalam jangka panjang.

2 comments:

Anonymous said...

salam dato,

saya heran dgn pemimpin Pakatan. Mereka fikir rakyat bodoh ke. isu kerajaan perpaduan dengan jelas dan nyata diluahkan oleh presien Pas dan didokong oleh Timbalannya...

Utk sekian lama, baru Presiden dan Tim Presiden Umno bersuara dengan menyuarakan perkara yg baik boleh dibuat perbincangan...

Pelik dan terasa bodohnya pemimpin Pakatan apabila usul yg dibuat mereka disalahkan pula kepada org lain.

Malahan mereka yg buat usul kerajaan perpaduan (pakatan) telah meletakkan syarat sedangkan BN & UMNO yg mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen & Dun yg sepatutnya meletakkan syarat2.. ini sudah terbalik.. ego & bongkak mereka terlalu tinggi...

Selepas syarat2 mereka letakkan, saya lihat pemimpin tertinggi esp UMNO tiada mempunyai masalah akan syarat2 itu. UMNO jelas tidak kisah dengan syarat asal shaja perkara yg difikirkan baik diteruskan...

Mereka ingat bila sudah diletakkan syarat bermakna BN & UMNO akan menolak ternyata meleset. akhirnya dlm mesyuarat mereka, mereka putuskan utk tiada kerajaan perpaduan...

tu la sikap sebenar Pakatan. Pas dari dulu lagi dikenali sebagai Boneka....

MB Perak dikatakan BONEKA kepada DAP

Manakala Hadim Nasharuddin dll (yg sokong kerajaan perpaduan) dikatakan oleh Nik Aziz sebagai BONEKA kepada UMNO...

nampaknya dalam situasi ini.. mungkin benar org kata... PAS MEMANG BONEKA

Unknown said...

Apapun, UMNO tidak rugi apa-apa dengan penolakan idea PAS oleh PKR dan DAP untuk mewujudkan kerajaan perpaduan. Isu ini menyerlahkan lagi sikap angkuh sebilangan kecil pemimpin PAS, dan berbeza dengan Presiden UMNO, Presiden PAS tidak boleh berbuat apa-apa terhadap idea yang beliau sendiri lontarkan.

Apapun, sama-samalah kita berdoa supaya Melayu dapat bersatu demi kepentingan bersama.