Hari ini genap 100 hari Dr. Zambry Abdul Kadir menjadi Menteri Besar Perak. Dalam tempoh itu, pelbagai suka duka telah dia lalui. Pada 11 Mei lalu, Nizar Jamaluddin menduduki semula jawatan itu buat beberapa jam setelah Mahkamah Tinggi mengisytiharkannya sebagai Menteri Besar yang sah. Tetapi pada jam 1.15 tengahari keesokan harinya, Mahkamah Rayuan pula membuat perintah supaya pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu ditangguhkan.
Sejak malam tadi aku dengan beberapa orang AJK Bahagian dan Ketua-ketua Cawangan berada di Manjung bagi menghadiri program Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Umno Cawangan-Cawangan dalam Bahagian Lumut pagi ini.
Petang semalam, kami sempat singgah di sebuah kedai kek di Bidor dan membeli sebiji kek empat segi yang agak besar untuk dibawa ke Manjung. Apabila pemilik kedai, seorang wanita Cina separuh umur bertanya apa yang hendak ditulis atas kek berkenaan, aku segera mengambil kertas kosong dan menulis. Aku berikan kertas yang ku tulis itu kepadanya. Dia melihat dan tanpa sebarang reaksi terus memicit kertas kon berisi isin warna merah muda. Sebentar kemudian terteralah kata ucapan di atas kek itu – “TAHNIAH 100 HARI MB”.
Di hujung program tadi, Ketua Penerangan Bahagian aku, Zabidi dapat kautim dengan juruacara majlis, dan kek itu dapat dibawa naik ke atas pentas. Walaupun itu satu kejutan dari Tanjong Malim, Dr. Zambry dan isterinya memotong kek itu dengan senang hati. Aku dan Adun Pengkalan Baru, Hamdi Abu Bakar alias Pak Ngah tumpang sekaki bergambar dan pegang pisau pemotong kek.
Ketika ini aku berkejar pulang ke kawasan bagi merasmikan penutupan program motivasi penghayatan dan kesedaran Islam anjuran Pemuda UMNO Felda Trolak Selatan. Aku tiba mungkin agak terlewat.
100 hari terdahulu ditempuh penuh liku, 100 hari mendatang apa pun boleh berlaku.
1 comment:
salam boss.. dah banyak artikel nampak...moga blog ni kan sentiasa ceria dalam mewarnai arus "MAYA".Kekadang idea idea boss agak rasional tapi jika boleh keras le sesekali. Saya dan kengkawan menanti kritikan yg keras dari boss.
Ok...selamat menulis.. iklas drpd Ataputra.
Post a Comment