15 May, 2009

PERLUKAH PILIHANRAYA DI PERAK?

Pagi tadi Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) tidak gentar untuk menghadapi kemungkinan berlakunya Pilihanraya Kecil di Perak, tetapi keputusan samada perlu atau tidak diadakan pilihanraya itu terpulang kepada budi bicara DYMM Sultan Perak.

Dalam blog ini aku cuba membuat undian pendapat dengan soalan "Perlukah diadakan pilihanraya semula bagi mengatasi kemelut politik di Perak". Aku tahu undian ini bukanlah boleh memberikan gambaran sebenar kehendak rakyat, kerana tidak ramai yang membuka blok kerdil ini. Dari pagi tadi aku membuka undian, cuma tiga yang respon - satu menjawab perlu, dan dua menjawab tidak perlu.

Berdasarkan perbualan dengan rakan-rakan politik, rata-rata mereka berkata tidak perlu diadakan pilihanraya atas pelbagai alasan. Jawapan itu memang sudah aku jangkakan, sebab mereka juga sama seperti aku - menyokong BN. Tetapi jika aku keluar sedikit dari lingkungan penjawat politik, jawapannya pelbagai.

Ketika pakatan pembangkang menguasai sokongan 31 Adun di Perak, wujud desakan dari pihak BN supaya diadakan semula Pilihanraya Negeri, atas alasan BNlah yang sepatutnya menerajui Kerajaan Negeri kerana memenangi 28 kerusi atas satu lambang. Parti-parti lain yang menggunakan lambang parti masing-masing menyaksikan DAP memenangi 18 kerusi, PKR 7 sementara PAS hanya 6. Tetapi desakan itu tidak pernah dilayan. Alasan pakatan pembangkang ketika itu, mereka menguasai majoriti mudah (simple majority) dalam Dewan Negeri.

Ketika ini keadaannya sudah terbalik. BN yang kekal dengan 28 kerusi kini mendapat sokongan 3 Adun bebas menjadikannya menguasai majoriti 31 kerusi. DAP kini tinggal 17, PKR 5 dan PAS kekal 6. Ketika ini, pakatan pembangkang pula menuntut dibubarkan Dewan Undangan Negeri supaya Pilihanraya dapat diadakan. Ayat popular mereka - kembali kepada rakyat. Sebenarnya BNlah yang layak menggunakan ayat itu pada 2008, kerana rakyat telah memberikan kemenangan 28 kerusi pada BN, berbanding parti-parti lain. Wakil BN tidak dilantik Menteri Besar, sebaliknya wakil rakyat yang partinya hanya menang 6 kerusi pula menduduki kerusi itu. Ketika itu BN mengambil sikap mendaulatkan titah Sultan, kerana baginda selaku landlord di bumi Perak ini ada hak untuk menentukan siapa sahaja general managernya untuk mentadbir.

Bagi mereka yang waras politiknya, adakah wajar BN melayan desakan pakatan pembangkang supaya diadakan pilihanraya, ketika BN pula menguasai 31 kerusi? Landlord pula telah melantik general managernya di kalangan BN bagi mengganti wakil dari PAS yang telah hilang majoriti.

Politikus mentafsir politik mengikut selera mereka sendiri. Dalam politik, tidak akan ada jawapan yang sama bagi satu soalan. Biasanya jawapan yang diberikan akan lebih memberi keuntungan pada diri dan parti mereka sendiri.

BN ada jawapannya, DAP ada jawapannya, PKR dan PAS juga ada jawapan mereka. Jawapan mereka selalunya tidak sama.

Itulah politik.

1 comment:

Adli said...

Tak perlu pilihan raya semula. Bukan waktu rakyat buat keputusan lagi. Bukannya Sultan bubarkan dewan, bukannya ada kematian Wakil Rakyat atau ada Wakil Rakyat letak jawatan. Rakyat perlu suasana 'aman dan damai' untuk keluar 'cari makan' untuk diri dan keluarga mereka dalam suasana yang dikatakan 'sukar' pada hari ini.

Kini adalah waktu Wakil Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat buat keputusan. Permasalahan ditimbulkan oleh Wakil Rakyat yang bergelar ADUN atau YB, bukan rakyat. Rakyat telah melaksanakan tugas mereka pada 8 Mac 2008 yang lalu. Sekarang rakyat sedang melihat kecerdikan dan kewibawaan Wakil Rakyat mereka menangani masalah yang mereka timbulkan sendiri di dalam dewan.

Malah, bukan rakyat yang berkuasa melantik Menteri Besar. Yang berkuasa adalah Sultan, yang memilih untuk dijadikan Ketua Wakil Rakyat dan rakyat, di kalangan Wakil Rakyat, bukan rakyat biasa.