Ketika aku di Watan pada 1986 dan 1987, selalu juga aku membuat liputan Sidang Dewan Rakyat di Parlimen. Dan sepanjang tujuh tahun aku di Sabah, tidak sekalipun aku tertinggal mengikuti Sidang Dewan Undangan Negeri di sana sehingga tahun 1994. Ketika itu aku seorang wartawan dan petugas yang berkaitan dengan media.
Hari ini aku melihat satu peristiwa yang tak pernah aku lihat di depan mata di dalam sebuah Dewan yang mulia. Dan aku melihatnya bukan lagi sebagai seorang wartawan, tetapi terlibat secara langsung sebagai seorang anggota Dewan. Ku fikirkan hanya di Taiwan yang boleh terjadi sidang sekecoh itu, rupanya ianya kini berlaku di Perak.
Kejadian Anggota Dewan bebas berkeliaran, anggota pembangkang menyerang ke tempat duduk Menteri Besar dan Adun lawan, merampas tempat duduk yang ditetapkan kepada pihak Kerajaan, sentuhan fizikal hingga tolak menolak, memanjat di atas meja, membaling buku, memukul curi sesama anggota Dewan, menyentuh Speaker secara kasar, merampas dan mengoyak kertas prosiding mesyuarat di tangan Speaker, merosakkan alat pembesar suara, menolak dan mencederakan Bentara Dewan dan segala bentuk tindakan provokasi yang melampau telah dilakukan oleh Adun-adun parti pembangkang, khususnya DAP dan PKR, sehingga memaksa pihak polis masuk campur untuk mententeramkan keadaan.
Kedegilan V. Sivakumar menerima keputusan Dewan melucutkan beliau dari jawatan Speaker juga membawa kepada satu sejarah apabila Speaker yang baru, G. Ganesan terpaksa meminta pihak polis masuk campur untuk membawa Adun Tronoh itu keluar Dewan. Apabila Sivakumar berdegil dan berkeras dan Adun-adun pembangkang menghalang, maka pihak polis tidak lagi dapat mengambil pendekatan diplomasi, lalu mengusung Sivakumar yang terus melekat di atas kerusinya keluar Dewan.
Itulah episod yang tak pernah aku lihat sebelum ini. Episod ini menjadi lebih pilu apabila DYMM Pemangku Raja Perak, Tuanku Raja Dr. Nazrin Shah terus bersabar menunggu di Kamar Di Raja untuk memasuki Dewan bagi menyampaikan titah perasmian. Tuanku menunggu sejak jam 9.55 pagi hingga kira-kira jam 3.20 petang.
Episod ini mungkin tidak berlaku sekiranya semua pihak dapat menerima dan menghormati undang-undang yang telah ditetapkan. Undang-undang telah ditafsirkan dengan begitu jelas oleh pihak Mahkamah Tinggi sehingga mengeluarkan satu perintah bahawa tindakan Sivakumar dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN menggantung Menteri Besar Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam exconya dari menghadiri sidang Dewan adalah tidak sah dan terbatal. Siang tadi aku pula dipilih menduduki jawatankuasa ini. Tak tahu siapa pula yang boleh aku gantung nanti.
Begitu juga Mahkamah telah mengeluarkan perintah bahawa Adun Behrang, Jamaluddin Radhi, Adun Changkat Jering Osman Jailu dan Adun Jelapang Hee Yit Fong kekal sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing. Undang-undang telah memberi kuasa hanya kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) bagi menentukan kekosongan sesebuah kerusi Parlimen atau DUN. Tindakan Sivakumar menghalau Dr. Zambry, exco dan tiga Adun bebas keluar Dewan adalah satu perbuatan menghina Mahkamah. Tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap beliau.
Benarlah kata Dr. Zambry bahawa pihak pakatan pembangkang di Perak cuba membawa undang-undang rimba dan meletakkan undang-undang negara di bawah tapak kaki mereka. Apa yang jelas, Nizar Jamaluddin dan Ngeh Ko Ham masih tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka bukan lagi Menteri Besar dan de facto Menteri Besar di Negeri Perak. Dan selepas ini tidak hairan jika Sivakumar juga masih menganggap dirinya Speaker DUN Perak.
Kalau sudah begitu jadinya, biarkanlah Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan....biarkan....
No comments:
Post a Comment