Krisis di Perak terus berlarutan. Semalam Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah mengisytiharkan bahawa Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah. Hari ini, Mahkamah Rayuan pula menerima rayuan Dr. Zambry Abdul Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi itu. Bermakna Dr. Zambry kekal memegang jawatan Menteri Besar begitu juga barisan Exconya dengan jawatan masing-masing sehingga Mahkamah Rayuan membuat keputusan.
Awal pagi tadi Nizar memasuki pejabat Menteri Besar. Kemudian beliau ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar menghadiri majlis penganugerahan pingat kebesaran dengan layanan sebagai Menteri Besar – diiringi kereta polis trafik dan duduk di tempat yang dikhaskan untuk Menteri Besar dalam protokol Istana. Begitu cepat beliau menjunjung keputusan Mahkamah.
Dr. Zambry ketika itu berada di bilik mesyuarat di Tingkat 6 Pejabat UMNO Negeri bersebelahan Hotel Casuarina, memakai seluar gelap berkemeja pendek biru muda. Beliau yang melayani kehadiran Adun-adun BN, tampak relaks dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah semalam.
Baru sahaja selesai makan nasi kandar bungkus Restoran Wangge, beberapa peguam yang mengendalikan kes Nizar Vs Zambry meluru masuk dan menyampaikan keputusan Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi itu. Masing-masing rasa lega dan lantas sekali lagi menyatakan rasa hormat terhadap keputusan yang dibuat.
SIDANG AKHBAR DR. ZAMBRY, 12 MEI 2009
Sekitar jam 2.00 petang, Dr. Zambry memanggil sidang akhbar di Tingkat 4 dengan kehadiran ramai wartawan, dan dalam masa yang sama Nizar sudah berada semula di pejabat Menteri Besar juga untuk mengadakan sidang akhbar. Unit amal PAS ketika itu berkumpul ‘mengawal’ bangunan SUK dan pejabat Menteri Besar dan pejabat Exco-exco.
Pada 7 Mei lalu, bekas Speaker Sivakumar memulakan kekecohan di Sidang Dewan apabila mengarahkan Dr. Zambry, enam Exconya dan tiga Adun bebas keluar. Tindakan Sivakumar itu mendapat sokongan Nizar, Ngeh Ko Ham dan Adun-adun pakatan pembangkang, khususnya dari DAP dan PKR. Ketika itu mereka tidak langsung mahu menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengeluarkan perintah membatalkan tindakan Sivakumar dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan hendak menggantung Dr. Zambry dan enam Exconya daripada mengambil bahagian dalam Sidang Dewan.
Begitu juga mereka tidak mahu menghormati perintah mahkamah bahawa tiga Adun bebas - Jamaluddin Radhi (Behrang), Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) masih kekal sebagai wakil rakyat dan layak menghadiri Sidang Dewan.
Atas sikap Sivakumar, Nizar, Ngeh dan konco-konco mereka tidak mahu menghormati keputusan Mahkamah, maka berlaku kekecohan dalam Sidang Dewan yang dicetuskan oleh mereka sendiri, sehingga memberi imej buruk kepada Negeri Perak dan Malaysia. Semalam puak-puak ini memuji keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar yang sah, tetapi hari ini mereka pula hendaklah menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang menangguhkan keputusan itu.
Jika Nizar tidak mahu menghormati dan menderhakai titah dan hak Sultan Perak dalam menentukan siapa Menteri Besar Perak, maka dia sekurang-kurangnya hendaklah menghormati setiap keputusan yang dibuat oleh Mahkamah. Tidak kiralah samada keputusan itu memihak kepadanya atau tidak.
Itu adalah atas kehendak mereka sendiri yang kononnya mengutamakan keputusan Mahkamah, daripada menjunjung titah Sultan.
2 comments:
YB Dato', blog saya tak masuk lagi kat blogroll Dato'.ganggabangga.wordpress.com
Anonymous, blog tuan sudah saya masukkan semula di blogroll. Be active.
Post a Comment