07 May, 2009
DEWAN PERAK KECOH, GANESAN GANTI SIVAKUMAR
Seperti dijangka, Sidang DUN Perak hari ini kecoh. V. Sivakumar enggan memulakan sidang selagi Menteri Besar, Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exco serta tiga Adun bebas tidak keluar dari Dewan.
Sebelum itu, sebaik sahaja DYMM Pemangku Raja Perak, Tuanku Raja Dr. Nazrin Shah selesai memeriksa kawalan kehormat dan menuju ke Kamar Di Raja, Adun-adun pembangkang bergegas memasuki Dewan terlebih dahulu dan menukar tempat duduk ke sebelah kanan Speaker, yang telah ditetapkan kepada pihak Kerajaan. Mereka mengalihkan kertas tanda nama ke sebelah kanan, dan mengoyak tanda nama Adun-adun BN dan dibuang entah ke mana.
Mengikut prosiding mesyuarat, Setiausaha Dewan, Abdullah Antong sepatutnya memulakan mesyuarat dengan membaca doa, tetapi Sivakumar menolak aturcara itu sebaliknya terus membuat ketetapan tidak akan memulakan mesyuarat selagi 10 yang dinamakannya tidak keluar Dewan. Sivakumar juga mendesak Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri yang ketika itu duduk di kerusi belakang MB supaya berpindah ke belakang bekas MB, Nizar Jamaluddin.
Kekecohan berlaku apabila Adun-Adun DAP dan PKR bergerak menuju ke meja Setiausaha Dewan, mengambil fail kertas prosiding dan mula mengepung pergerakan Abdullah. Mereka juga menceroboh dan menyerang ke tempat duduk MB, Exco dan Adun-adun BN yang berada di sebelah kiri Speaker.
Situasi dalam Dewan tidak seperti biasa dan memang dijangka Adun-adun pembangkang akan mengambil sikap biadap dan tidak menghormati kemuliaan Dewan. Mereka juga tahu bahawa di Kamar Di Raja, Tuanku Pemangku Raja sedang menunggu untuk masuk bertitah dan merasmikan persidangan.
Mereka menggunakan segala bentuk provokasi yang bertujuan menggagalkan perjalanan mesyuarat dengan melontarkan kata-kata kesat terhadap Adun-adun BN+3, khususnya terhadap Adun Jelapang dan sengaja menyeberang ke tempat duduk ADUN. ADUN Aulong yang OKU itu sanggup membaling buku Tatacara Mesyarat Dewan ke arah ADUN Jelapang yang juga OKU. Adun Pengkalan Baru, Hamdi Bakar ada merakamkan perkara ini dalam telefon bimbitnya. Beberapa Adun BN nampaknya sudah hilang kesabaran, tetapi mujurlah dapat ditenangkan oleh rakan-rakan.
Dalam suasana kecoh itu, prosiding mesyuarat dapat diteruskan dan empat usul diluluskan. Sidang Dewan telah meluluskan pengguguran jawatan Sivakumar selaku Speaker dan digantikan dengan bekas ADUN Sungkai, R. Ganesan, serta tiga usul mengenai perlantikan baru tiga Jawatankuasa Tetap Dewan. Bagaimanapun Sivakumar terus duduk di kerusi Speaker hingga saat ini.
Selepas dewan ditangguhkan kali pertama, Speaker Ganesan cuba memulakan mesyuarat dengan duduk di meja Setiasuaha Dewan, tetapi sekali lagi beberapa Adun DAP keluar ke tengah Dewan dan mengerumuni beliau bagi menghalangnya dari bercakap.Sekali lagi Dewan tidak terkawal, dan ditangguhkan buat kali kedua selama sejam hingga jam 2.00 petang.
Semuanya gara-gara Sivakumar yang mahu terus-terusan menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi Speaker. Dan ketika ini Sivakumar masih beranggapan dia Speaker.
No comments:
Post a Comment