

Malam ini Malaysia ibarat berpesta dengan kemenangan pasukan bolasepak negara merangkul pingat emas dalam Sukan Sea Ke-25 di Vientiane, Laos. Anak buah K. Rajagobal menundukkan keangkuhan pasukan Vietnam dengan jaringan 1-0.
HENRIQUE CALISTO, JURULATIH VIETNAMMalahan jurulatih Vietnam, Henrique Calisto terpaksa menelan kata-kata angkuhnya, “Malaysia bukanlah barisan yang mampu menghalang hasrat generasi baru bolasepak Vietnam mencipta sejarah merangkul kilauan emas yang diidamkan sejak sekian lama”.
K RAJAGOBALNamun Rajagobal yang melatih pasukan bolasepak muda negara Bawah 23 tahun sejak 17 April 2009 tidak memperdulikan keangkuhan Calisto, sebaliknya terus fokus terhadap membina prestasi dan mengatur strategi bagi memerangkap pasukan Vietnam.
Hasilnya gol Malaysia menjelma di minit ke-84 berpunca daripada perebutan di depan gawang Vietnam ketika hantaran lintang daripada Safiq Rahim, yang ditujukan kepada pemain gantian, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak, ditampan oleh Mai Xuan Hop dan masuk ke gawangnya sendiri. Maka berpestalah rakyat Malaysia.
Apakan tidak dianggap pesta kerana kali terakhir Malaysia menggenggam emas dalam acara ini adalah pada temasya di Kuala Lumpur pada 1989. Kemenangan ini pula disambut serentak dengan sambutan Awal Muharram 1431 Hijrah.
Laluan pasukan Malaysia bukanlah mudah. Bermula dengan kejayaan besar menewaskan Timur Leste dengan 11-0, pasukan Rajagobal itu ditewaskan oleh Vietnam 1-3 sebelum bangkit semula menewaskan Kemboja 4-0 dan paling manis menang ke atas pasukan kental Thailand 2-1.
Malaysia yang berada ditangga kedua dalam kumpulan selepas Vietnam, terpaksa pula berhadapan dengan sorakan gemuruh penyokong pasukan tuan rumah Laos di peringkat separuh akhir. Dalam situasi tertekan itu, Malaysia mampu menang bergaya 3-1.
CALISTO KEBINGUNGANPasukan Vietnam tidak pernah ditewaskan dalam laluannya ke perlawanan akhir. Itulah yang menjadikan Calisto mendabik dada kononnya barisan Malaysia tidak mampu menghalang negara Vietnam mencipta sejarah buat kali pertama menggenggam emas, setelah empat kali mencuba sebelum ini.
Ketika kali terakhir Malaysia memenangi emas pada 1989, kebanyakan pemain negara yang beraksi malam ini baru berusia sekitar tiga tahun. Semasa itu mereka tidak mengetahui gahnya sukan bolasepak di hati peminat sukan negara. Semangat lagenda bolasepak negara seperti Ghani Minhad, Moktar Dahari, Soh Chin Aun, R. Arumugam, Santokh Singh, Syed Ahmad, Hassan Sani, James Wong dan lain-lain belum meresap masuk ke tubuh mereka. Ketika itu nama-nama ini meniti dibibir rakyat Malaysia.
Pasukan bolasepak Malaysia pernah berada pada tahap yang sama dengan Korea Selatan, malah lebih baik dari Jepun, Negara China, Morocco malahan USA. Pasukan bolasepak Malaysia pernah beberapa kali layak ke Sukan Olimpik.
Namun sejak kebelakangan ini, prestasi pasukan bolasepak negara sentiasa menerima cemuhan peminat, dan diangap tidak mampu untuk mencapai kejayaan, baik di peringkat Asean, jauh sekali di peringkat dunia. Gergasi bolasepak Asia seperti Korea Selatan, Jepun dan Negara China sudah berada di kelasnya yang tersendiri, begitu jauh meninggalkan Malaysia.
Kita berharap kejayaan pasukan Malaysia meraih pingat emas di Sukan Sea kali ini dapat menyuntik semula semangat para pemain bolasepak negara untuk kembali berjiwa besar. Semangat juang yang tinggi tanpa mengenal erti mengalah seperti ditunjukkan oleh pemain bolasepak negara di Sukan Sea kali ini patut terus diasah dan dikekalkan.
Begitu juga kejayaan ini pastinya dapat meningkatkan semula minat rakyat terhadap sukan bolasepak tempatan. Peminat-peminat bolasepak tanahair sudah lama ingin melihat bolasepak negara kembali kuat seperti era 1970an dan 1980an. Ia nampaknya kembali berputik malam ini.
Sekali lagi sekalung tahniah kepada pasukan bolasepak negara. Malaysia boleh!
Nama-nama pemain yang mengharumkan nama negara semalam :
Mohd Sharbinee Allawee (penjaga gol), Aidil Zafuan Abdul Radzak (ketua pasukan), Mohamad Muslim Ahmad, Nasriq Rahim, Mohd Sabre Mat Abu, Safiq Rahim, K Gurusamy, S Kunanlan, Baddrol Bakhtiar (Mohamad Amil Muslim), Ahmad Fakri Saarani (Zaquan Adha Abdul Radzak), Norshahrul Idlan Talaha (Amar Rohidan).
5 comments:
syabas malaysia.. nantikan kemunculan portal sukanmalaysia.com pada 1jan2010
syabas malaysia!!!
harap prestasi konsisten,
jgn kena tggu 20 thn lagi utk emas kedua...
Syabas dan Tahniah kepada pasukan bola sepak Malaysia. Tetapi jangan lupa pasukan yang lain, turut menyumbangkan emas untuk Malaysia. Bukan mudah untuk mendapatkan sebutir emas untuk negara. Tahniah dan syabas sekali lagi.
http://bbcatlover.blogspot.com/2009/12/malaysia-menang-bola-pasal-nasib-jeeee.html
kenapa semua blog pemimpin umno kena tunggu approval. nape takut berdepan ka. dah menipu rakyat banyaks angat.
Post a Comment