27 December, 2009

GAJI PEMANDU PUNCA KEMALANGAN?



                                                                                                                                                            Foto ehsan The Star

Benarkah  gaji asas yang diterima oleh pemandu bas ekspres milik syarikat Bumiputera begitu rendah sekitar RM450-RM500 sebulan? Dengan gaji asas yang rendah itu, mendorong pemandu-pemandu itu mengejar trip tambahan supaya boleh mendapat elaun lebih, tanpa memperdulikan prestasi tubuh.

Seorang kenalan yang pernah bekerja sebagai pemandu bas ekspres di sebuah syarikat milik Bumiputera berkata, mereka sentiasa berusaha untuk membuat sekurang-kurangnya dua trip setiap hari untuk perjalanan jauh bagi mendapatkan elaun tambahan.

Beliau memberi contoh, seorang pemandu yang sudah memandu selama lebih 5 jam dari Kuala Lumpur-Kangar, akan berusaha pula mengejar trip berikutnya pada hari yang sama samada menuju semula Kuala Lumpur atau destinasi lain.

“Malahan ada pemandu yang membuat sehingga tiga trip sehari untuk perjalanan jauh, semata-mata mahu mendapatkan elaun tambahan,” katanya kepada saya. Setiap trip mereka dibayar sekitar RM40-RM60!

Jika benarlah apa yang dikatakan oleh kenalan saya itu, maka tidak hairanlah jika ada pemandu bas ekspres yang berada di bawah tahap kecerdasan – keletihan dan mengantuk sehingga tidak dapat memberikan tumpuan ketika memandu.


                                                                                                                                                                 Foto ehsan The Star

Mungkin inilah punca Mohd Kamil Mohd Rashid, 38, pemandu Sani Express terlelap sehingga menyebabkan bas yang dipandunya terbabas dan merempuh penghadang jalan di Kilometer 272.8, Lebuhraya Utara-Selatan dekat Plaza Tol Jelapang (arah utara) pukul 1.00 pagi Sabtu lalu, menyebabkan 10 terbunuh dan 3 cedera.

Sudah tiba masanya pihak berwajib, samada Kementerian Pengangkutan atau Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mengenakan syarat ketat terhadap syarikat-syarikat yang mengendalikan bas ekspres, khususnya dalam soal tangga gaji pemandunya.

Jika benarlah tangga gaji asas pemandu bas ekspres bagi kebanyakan syarikat pengangkutan milik Bumiputera berada pada tahap yang begitu rendah, tidak hairan sekiranya pemandu mereka berlumba-lumba mahu mengejar trip untuk pendapatan tambahan.

Tidak ada seorang pemandupun yang mahukan supaya bas yang mereka pandu terlibat dalam kemalangan, dan tidak ada di antara mereka yang sukakan penumpang mereka kehilangan nyawa. Cuma masalahnya apabila ada pemandu yang memaksa diri membawa lebih trip kerana mahu menambah pendapatan keluarga.

Bagi mereka jika tak buat begitu, tidak cukup pendapatan untuk menampung kehidupan dan selalunya dalam kepala mereka memikirkan soal susu anak di rumah, beras di kepuk, bekalan air dan elektrik yang sudah nak dipotong, yuran sekolah anak-anak yang belum berbayar, pakaian dan buku sekolah anak-anak yang belum dibeli, tuan rumah yang menyalak mahukan sewa, kereta yang nak kena tarik dan pelbagai masalah akibat tidak cukup pendapatan.

Apabila keghairahan mengejar trip ini berlaku, maka mangsanya adalah penumpang tidak berdosa yang terlalu bergantung harap kepada seorang pemandu untuk mengendalikan kenderaan tumpangan mereka dengan selamat.

Yang lebih merisaukan sekiranya pemandu terlalu memaksa diri sehingga berada di bawah kawalan dadah atau mengambil minuman seperti kopi khas bertujuan merangsang otak. Pihak JPJ patut sering membuat spot check bagi mengesan tahap diri pemandu bas ekspres, dan bukan hanya melakukannya setelah terjadi sesuatu kemalangan.

Kita berharap supaya syarikat-syarikat bas ekspres menitikberatkan kebajikan pemandu dengan memastikan mereka mendapat tangga gaji yang setimpal dengan beban tanggungjawab sebagai pengendali stering yang melibatkan nyawa manusia. Tugas ini bukan mudah dan risiko yang mereka pikul di bahu terlalu besar. Mereka boleh dianggap profesional kerana memandu kenderaan besar dengan membawa penumpang yang ramai bukanlah satu kerja mudah.

Foto dari Kosmo

AL-FATIHAH
dan
TAKZIAH

Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban. Semoga peristiwa sedih seumpama ini tidak berulang di masa hadapan. Insyaallah.

2 comments:

RBF Online said...

yb, tidak semua syarikat bumi begitu. sbg contoh setiap bas sani express ada 3 pemandu. 2 kerja seorang off.mereka giir-gilirkan setiap pemandu pula mendapat rehat yg cukup. mereka disediakan tempat tidur yg selesa baik dalam bas atau di hostel mereka. setahu saya,sani express mengikut piawaian pemanduan yg betul untuk pemandu2 mereka. ada had masa yang telah ditetapkan untuk seseorang driver memandu. tak boleh lebih.

cuma ,apa yg saya bimbang ialah,pemandu tidak rehat di waktu rehat mereka,. mereka habiskan masa utk buat benda lain. bila tiba masa nak memandu mulalah mengantuk.

dalam malaysia sekarang,saya boleh katakan sani express adalah majikan yg terbaik dalam menjaga kebajikan pemandu.

saya ada coretkan sedikit pengalaman saya bersama sani express di blog saya. harap yb dapat luangkan sedikit masa untuk membacanya.

http://ruangbicarafaisal.blogspot.com/2009/12/pengalaman-rbf-bersama-sani-express.html

Unknown said...

Terima kasih Sdr Faizal. Saya akan membaca pengalaman Sdr itu.