20 December, 2009

TAULIAH JAWATAN MASJID DIBATALKAN

DAULAT TUANKU

Penyerahan tauliah kepada Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Masjid di seluruh Negeri Perak dibatalkan sehingga siasatan mengenai isu pertukaran nama selesai dijalankan.

Pembatalan itu adalah atas titah DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang juga Yang Di Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk).

Orang Besar Jajahan (OBJ) Batang Padang, Dato' Seri Yeop Junior Yeop Adlan memberitahu, satu mesyuarat MAIPk akan diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 22 Disember ini.

Antara perkara penting yang akan dibincangkan adalah mengenalpasti punca berlakunya pertukaran nama pada senarai Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Masjid yang telah diperkenankan oleh DYTM Raja Muda dan Mesyuarat MAIPk sebelum ini.

"Kemungkinan tindakan akan diambil ke atas mereka yang bersalah," kata Dato' Seri Yeop Junior dalam smsnya.

Majlis penyerahan tauliah di Pejabat Agama Islam Slim River yang dijadualkan pada Isnin 21 Disember turut dibatalkan. Ini adalah pembatalan kali kedua selain pada 11 Disember lalu.

Sehingga kini, difahamkan dua majlis penyerahan tauliah telah dijalankan iaitu bagi Daerah Tapah (10 Disember) dan Bagan Serai (16 Disember).

Tindakan menyemak semula senarai berkenaan sudah pasti dapat meredakan kegelisahan rakyat di beberapa daerah sejak beberapa hari lalu yang berasa tidak puas hati dengan senarai baru Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa masjid di kawasan mereka.

Antara daerah dan mukim yang dilaporkan berlaku perubahan teruk adalah Batang Padang (Mukim Slim dan Hulu Bernam), Bagan Serai dan Sungai Siput selain beberapa masjid di Kampar.

Bagi pihak rakyat negeri Perak, patik semua menjunjung kasih atas keperihatinan DYTM Tuanku kerana mengambil berat masalah ini. Daulat Tuanku.

No comments: