29 December, 2009

ISU MASJID - TANGGUH KALI KE-3

Akibat sikap Pegawai Tadbir Agama (PTA) Slim River yang terus mahu berpolitik dalam perlantikan ahli jawatankuasa masjid, majlis penyerahan tauliah yang dijadualkan esok (30 Disember) terpaksa ditangguhkan lagi.

Ini adalah penangguhan kali ketiga, selepas tindakan yang sama diambil pada 11 dan 21 Disember lalu.

Orang Besar Jajahan (OBJ) Batang Padang, Dato’ Seri Yeop Junior Yeop Adlan terpaksa menangguhkan majlis esok setelah menerima panggilan PTA Slim River, Mokhlis Husain yang mengatakan berlaku kesilapan terhadap senarai penerima tauliah.
                                                       
 
MOKHLIS HUSAIN, 
PTA Slim River





Dato’ Seri Yeop Junior ketika dihubungi berkata, atas perkenan DYTM Raja Muda Perak, beliau telahpun mengarahkan PTA supaya mengadakan majlis penyerahan tauliah kepada masjid-masjid yang tidak terlibat dalam isu perubahan nama jawatankuasa dalam Mukim Slim dan Mukim Hulu Bernam.

OBJ telah meminta Mokhlis supaya tujuh masjid lain yang senarai nama jawatankuasanya telah diubah oleh PTA berkenaan tanpa restu beliau sebelum ini dikeluarkan dari senarai penerima esok sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Arahan saya kepada PTA cukup mudah, mengatur majlis untuk penyerahan tauliah kepada masjid-masjid yang tidak bermasalah. Tetapi beliau memberitahu saya bahawa keraninya tersilap menyenaikan nama penerima tauliah esok. Saya terpaksa mengarahkan supaya majlis itu ditangguhkan,” katanya dalam nada kesal.

Sehingga kini tidak dapat dipastikan manakah tujuh masjid yang diletakkan dalam kategori bermasalah itu. Sebelum ini saya telah melaporkan sebanyak 11 masjid telah berubah senarai jawatankuasanya iaitu Masjid Sultan Idris Shah II, Masjid Kampung Kelan, Masjid Jamek Kampung Kuala Slim, Masjid Jamek Slim Village, Masjid Jamek Kampung Balun, Masjid Jamek Kampung Pasir dan Masjid Jamek Kampung Rasau dalam Mukim Slim.

Sementara dalam Mukim Hulu Bernam pula melibatkan Masjid Behrang 2020, Masjid Jamek Tanjung Malim, Masjid Jamek Kampung Sungai Dara dan Masjid Jamek Behrang Stesen.

Tidak pula diketahui apakah kesilapan yang telah berlaku terhadap senarai penerima, dan sehingga pagi tadi, PTA tidak mahu mendedahkan senarai itu kepada OBJ dan dan dua penghulu mukim berkenaan, seolah-olah ada rahsia besar yang mahu disorokkan.

Inilah yang berlaku sebelum ini terhadap nama-nama Pengerusi dan ahli jawatankuasa beberapa masjid yang diubah sesuka hati oleh PTA berkenaan pada saat-saat akhir, tanpa merujuk semula kepada OBJ yang mewakili DYMM Sultan selaku Ketua Agama Islam Negeri, malahan jauh sekali memaklumkannya kepada Penghulu Mukim yang turut diberikan peranan membincangkan senarai berkenaan.

Amat jelas bahawa di bawah Kaedah 3(1) Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 memperuntukkan bahawa “Pegawai Tadbir Agama dan Penghulu setelah berunding dengan Orang Besar Jajahan, hendaklah mencadangkan kepada Majlis melalui Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, ahli Jawatankuasa Kariah bagi jawatan yang dinyatakan dalam subkaedah (2)(a) hingga (j) dalam Borang JK 1 Jadual Pertama”.

Dalam kaedah ini ternyata PTA tidak boleh sesuka hatinya mengubah nama-nama yang telah dibincangkan dengan Penghulu dan telah dirundingkan dengan OBJ, tetapi dalam kes di Mukim Slim dan Hulu Bernam, secara jelas PTA mengubah nama-nama Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa beberapa masjid tanpa memaklumkannya semula kepada OBJ dan Penghulu.

Tetapi pemimpin dan blogger Pas, termasuk beberapa pegawai kanan di Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), memutarbelitkan Enakmen ini seolah-olah PTA mempunyai kuasa penuh untuk mengubah nama-nama yang telah dibincangkan dengan OBJ dan Penghulu, sedangkan siapakah PTA mahu berbuat demikian sehingga membelakangkan OBJ yang mewakili DYMM Tuanku di peringkat daerah.

Tindakan OBJ mengarahkan supaya majlis penyerahan tauliah esok ditangguhkan sudah pasti bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini, di mana berkemungkinan penerimanya tidak mengikut senarai asal yang telah dipersetujui.

Satu mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAIMP) akan diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 9 Januari nanti dipengerusikan oleh DYTM Raja Muda Perak yang akan turut membincangkan isu perubahan nama-nama ahli jawatankuasa masjid di seluruh negeri.

Semoga kemelut ini yang berpunca dari percubaan pegawai-pegawai JAIP dan PTA mengheret institusi masjid ke kancah politik dapat diselesaikan dalam mesyuarat berkenaan.

Masjid bukanlah gelanggang untuk berpolitik. Jika ada pegawai JAIP dan PTA mahu bermain politik, letaklah jawatan berkenaan dan bersilatlah secara terang dalam arena.

5 comments:

Pemerhati said...

DYMM Sultan harus bertindak dgn tegas mengambil tindakan yg tegas ke atas orang2 yg bertanggungjawab ke atas kemelut ini.
Janganlah pulak rakyat beranggapan yg Raja mereka tidak mengambil berat mengenai hal rakyat. Nanti rakyat akan terikut pula dgn cadangan RPK pengkhianat itu!

umnokurap said...

Ini semua perancangan Jahat UMNO/BN yg akan mengunakan seluruh jentera dan agen mereka termasuklah mempergunakan masjid dan rumah ibadat demi kepentingan Politik jijik dema, sanggup membelakangkan DYMM Sultan demi politik jumud mereka, apakah mereka tidak tahu bahawa segala keputusan yang di buat yang melibatkan kepentingan Agama Islam adalam adalah di bawah kuasa tuanku, apakah UMNO juga nak mengheret Tuanku ke kancah politik jijik korang..

UMNO ibarat orang lemas yang capai apa sahaja yg boleh selamatkan mereka..

Anonymous said...

mudah sangat menuduh PTA mempolitikkan perkara ini. Apakah PTA yang meminda atau PTA mengembalikan senarai asal yang telah dipinda oleh Penghulu. Saya lebih percaya kepada PTA daripada Penghulu apatah lagi Wakil Rakyat UMNO

Budak Trolak said...

Apa ada pada jawatan? Harap jawatan saja yang ada tetapi tugasnya tidak disempurnakan, untuk apa itu?

Masalah AJK masjid tidak perlu digembar-gemburkan. Kerana ia mencerminkan kredibiliti pentadbiran agama Islam itu sendiri.

Isu ini telah memperlihatkan betapa kekacauan telah berlaku dalam institusi Islam dan institusi raja di negeri ini.

Walau siapa sahaja yang menjadi JK bagi masjid ini, yang perlu diketengahkan bukan isu JK masjid tetapi ialah peranan dan fungsi masjid.

Adakah JK Masjid telah berperanan dengan baik atau tidak. Adakah masjid menjadi tempat yang patut diimarahkan? Itu yang perlu kita lihat.

Di Mukim yang terlibat, saya pernah berkunjung ke sebuah masjid, yang memerlukan masa sehingga pukul 3.30 petang untuk bersolat Jumaat. Apa sudah jadi?

Marilah kita muhasabah diri kita sendiri. Adakah kita telah berperanan dengan baik sebagai hamba Allah untuk mengimarahkan masjid, serta membantu masjid di kawasan kita dengan sebaiknya.

Wallahualam.

Unknown said...

IlyTrolak, rasanya sdri tidak mengikuti isu yang dibangkitkan. Apa yang saya ketengahkan adalah sikap kakitangan kerajaan, khususnya Pegawai Tadbir Agama (PTA) yang menyalahgunakan kedudukannya untuk tujuan meletakkan individu lain dalam jawatankuasa masjid, dan membelakangkan persetujuan hasil perbincangan dengan OBJ yang menjadi wakil DYMM Sultan di peringkat daerah.

Sikap individu yang ditonjolkan oleh pegawai berkenaan sudah dikenalpasti sejak sekian lama menjadi duri dalam usaha untuk mengimarahkan masjid, apabila mereka begitu beriya-iya mahu menjadikan masjid sebagai markas menyebarkan fahaman sebuah parti politik, sehingga menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan ahli khariah untuk hadir beribadah di masjid.

Bacalah semula dari mana puncanya isu ini saya bawa. Kemudian fikirkanlah kesan terhadap institusi Raja dan masjid sekiranya tindakan seumpama ini dibiarkan berleluasa tanpa tindakan tegas dikenakan terhadap pegawai yang membelakangkan amalan musyawarah.