31 May, 2009

HARRIS RIBUT DAN 'FAT LADY'

HARRIS DAN LUKISANNYA YANG MENJADI KOLEKSI SAYA

Harris Ribut adalah antara nama besar dalam dunia lukisan di Malaysia. Tema lukisan minyaknya agak unik – “Fat Lady”, memaparkan variasi gaya wanita-wanita gemuk. Dia adalah antara sebilangan pelukis Melayu tanahair yang hampir setiap hari berkarya di galeri mereka di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Saya adalah antara ribuan peminat Harris, anak seorang AC yang dilahirkan pada 8 Sept 1951 di Carey Island, Selangor. Saya dan Harris punya kenangan suka duka sejak kami bekerja di bawah bumbung akhbar Watan, Kumpulan Karangkraf pada 1986. Ketika itu dia sebagai sub-editor dan saya wartawan .

Apabila kerajaan membekukan permit akhbar Watan pada 1987 di bawah Operasi Lalang, Harris secara serius mengalihkan aktivitinya di bidang lukisan. Dia mendapat satu sudut kecil di Pasar Seni atas ehsan pelukis potret terkenal tanahair, Aris Aziz. Sesekali saya pergi menjenguk dia di sana, melihat kerja-kerja seninya dan pelukis-pelukis lain. Ada kalanya sehari suntuk saya bersamanya di galeri itu. Ketika itu Harris banyak bermain dengan konsep bunga.

Sebagai pendatang baru, hasil kerja Harris ketika itu tidak begitu mendapat tempat di hati peminat seni tanahair. Hasil kerjanya tidaklah dijual semahal mana, tetapi dia amat sukar hendak menyaingi hasil kerja pelukis lain. Dia menghadapi masalah kewangan yang cukup gawat ketika ekonomi negara meleset. Rumahnya sudah mahu dilelong. Tetapi dia tak pernah mengalah. Memang itulah sikap semulajadi orang Jawa.

Ketika di Sabah, saya pernah menjemput Harris dan seorang lagi rakan kartunis, Razak Ahmad untuk membantu kempen Pilihanraya PBS pada tahun 1990. Ketika kempen itulah juga PBS membuat keputusan keluar dari BN.

Sekitar tahun 1993, saya mendapat berita kejayaan Harris dalam bidang lukisan. Rakan wartawan saya, Misrom Matleham memberitahu bahawa lukisan Harris yang berkonsepkan wanita gemuk mendapat pasaran baik di kalangan peminat seni dalam dan luar negara. Harris sudah membuat lebih seratus pameran.

Harris pernah menjadi ‘100 world selective artist’ untuk mempamerkan hasil kerja selama sebulan di Art Fest Millenium 2000 di Gisborne, New Zealand. Balai Seni Lukis Negara pernah menghantar beliau menyertai Art Fest Singapore pada 2002 dan pernah membuat pameran di Hackman Gallery di Stockhom, Sweden pada 2006 atas tajaan Malaysia Airlines dan Tourism Malaysia.

Lukisannya turut mendapat tempat di hati Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Semasa kempen Pilihanraya Umum ke 11 pada 2004, lukisan Harris bertajuk ‘Tarian Kita’ dipilih sebagai bahan kempen Barisan Nasional, yang memaparkan wanita gemuk dari tiga bangsa utama sedang menari tarian suku kaum mereka. Lukisan itu dipilih dari 107 artis yang mengambil bahagian dalam pameran bertajuk ‘Imajan dan Suara Kemerdekaan’ di Galeri Maybank Kuala Lumpur pada 2003. Ketika Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, beliau juga bertandang ke galeri Harris dan membeli beberapa lukisannya.

Selain menjadi bahan koleksi bank-bank utama di Malaysia, hasil lukisan Harris juga menjadi bahan koleksi kedutaan di seluruh dunia, terbaru dari Korea Selatan. Beliau sendiri tidak tahu kenapa kedutaan-kedutaan itu berminat dengan tema lukisannya.

Pada bulan Ramadhan lalu, saya berbuka puasa di sebuah restoran Pine 38 di Shah Alam. Saya merasa kagum dengan kejayaan Harris kerana di setiap sudut restoran eksklusif dua tingkat itu ada lukisan wanita gemuk hasil kerjanya. Tuan punya restoran itu memberitahu saya, dia membelanjakan lebih RM200,000 untuk lukisan-lukisan itu dalam pelbagai saiz.

Dari situ hati saya semakin kuat hendak berjumpa Harris. Tiga bulan lalu saya bertandang ke galerinya. Saya berminat dengan satu lukisan yang agak besar tetapi belum siap sepenuhnya, memaparkan empat wanita Melayu memakai baju kebaya berkain batik sedang menari. Sebagai rakan lama, dia menawarkan saya lukisan itu dengan satu harga yang jauh dari harga sebenar, daripada lima angka ke empat angka. Lantas saya bersetuju.

Harga sebuah hasil seni selalunya subjektif dan mengikut sebesar mana nama pengkaryanya. Harris pernah menjual dua buah lukisannya bersaiz 5 kaki x 8 kaki dengan harga RM35,000 setiap satu pada 2008. Sebuah lukisan bersaiz 5 kaki x 12 kaki yang masih dalam simpanannya berharga RM75,000.

Jumaat lalu saya ke galeri Harris untuk mengambil lukisan yang telah lama siap. Lukisan itu telah dijadikan latarbelakang semasa RTM mewawancara Harris baru-baru ini. Sudah dua kali RTM menyiarkan wawancara itu. Saya juga dapat berjumpa isterinya, Kak Jie yang juga pelukis.

Harris nampaknya senang hati. Saya hanya tahu kenapa dia bersikap begitu setelah menerima smsnya semalam, “Assalamualaikum. Senang hati i painting tu dah di tangan u! Dua tiga kolektor tawarkan harga yang menggoda! Demi kawan!...U simpan baik2 painting tu ada nilai. Alhamdulillah i doakan murah rezeki u! Mudah2an. Amin.”

Hati saya senang melihat kawan senang.

29 May, 2009

BESARNYA REZEKIMU YA ALLAH


Melihatkan keadaan kereta Viva yang remuk teruk itu mengukuhkan lagi keinsafan saya terhadap kebesaran Allah s.w.t. Bagaimana kereta sekecil itu merempuh sisi sebuah pick-up dari arah bertentangan, lalu menerjah sepanjang besi penghadang jalan, berpusing dan terbalik beberapa kali, tetapi lima remaja berbadan agak mantap di dalamnya boleh terselamat.

Mulanya tidak terbayang di kotak fikiran saya keadaan kereta sedemikian rupa, sebaik menerima berita anak sulung saya, Amirul Khamil dan empat rakannya tidak mengalami kecederaan teruk dalam kemalangan awal pagi tadi di Palong Inai dekat Pekan, Pahang. Sepanjang perjalanan dari Tanjong Malim ke Pekan, saya dan isteri terus-terusan memanjatkan rasa syukur kepada Ilahi kerana memanjangkan umur mereka.

Setelah melihat keadaan Amirul dan rakan-rakannya di Hospital Pekan dan Hospital Kuantan, kami pergi ke workshop tempat kereta itu ditarik untuk urusan insuran. Ibunya terkejut dan berisytigafar melihat keadaan kereta yang hancur di sana sini. Di situlah timbul rasa syukur yang amat sangat terhadap apa yang menimpa Amirul dan kawan-kawannya.

Sebelum masuk tidur malam tadi, saya sempat membuka blog Amirul, ‘Tales of Tengku Roro’ dan tulisannya meyakinkan saya bahawa dia mahu masuk tidur setelah keletihan mentelaah pelajaran di perpustakaan bagi menghadapi peperiksaan akhir semester di Uniten, Bandar Muadzam.

Rupa-rupanya dia dan rakan-rakan mengatur pelan lain selepas itu – memandu ke Kuantan dengan t-shirt kelab Manchester United untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala UEFA di skrin besar. Itulah perancangan dari fikiran singkat remaja. Dalam perjalanan pulang itulah tragedi berlaku.

Apapun, aku bersyukur kepadamu Ya Allah kerana masih mahu memberikanku rezeki menyambung nyawa zuriatku. Aku petik Renungan Jumaat yang dititipkan oleh YB Mohd Isa ADUN Batang Kali sebentar tadi, “Barang siapa yang bertakwa pada Allah (patuhi perintahNya dan jauhi laranganNya), Allah akan mendorongkan baginya jalan keluar (dari kesulitan) dan Allah akan memberikan rezeki dari sumber yang tiada diduga” – Ath-Thalaq 2-3.

Syukur, Alhamdulillah.


AMIRUL (T-SHIRT PUTIH) MEMBANTU SHAHIR MAKAN UBAT DI HOSPITAL PEKAN. SEORANG LAGI RAKAN BERSELIMUT KESEJUKAN


AMIRUL MEMBUAT LAPORAN POLIS


AMIRUL DAN IBUNYA MELAWAT SEORANG LAGI RAKAN

24 May, 2009

MOGOK LAPAR DAN FATWA NGA

DAP tunjuk belang lagi. Berselindung atas nama Pakatan Rakyat, parti itu mendalangi mogok lapar selama 72 jam mulai Selasa ini untuk mendesak Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, membubarkan Dewan Undangan Negeri. Mereka terus-terusan menderhakai Sultan dan enggan menjunjung Rukun Negara.

Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming bukan sekadar mempersendakan ayat suci Al-Quran, malahan mahu mengajar orang Islam bagaimana caranya berpuasa sebagai menyahut kempen mogok lapar yang didalangi DAP.

Fatwa Ustaz Nga, “orang Islam yang hendak berpuasa sempena kempen ini boleh berpuasa mengikut hukum syarak, iaitu bersahur sebelum matahari keluar dan berbuka ketika matahari terbenam.”

Sikap Ketua Pemuda DAP Kebangsaan itu memang telah diduga sebaik sahaja Mahkamah Rayuan memutuskan pada 22hb Mei lalu bahawa Dr. Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak. Setelah gagal dalam perang di Mahkamah, Nga dan DAP kini menghalakan serangannya ke arah institusi Raja-Raja Melayu pula. Matlamatnya satu – hendakkan semula kuasa yang terlepas.

Bagi DAP, matlamat menghalalkan cara, biarpun cara itu sengaja meruntun hati orang Melayu untuk bangun mempertahankan Raja.

Dalam Rukun Negara secara jelas menyatakan prinsip “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” dan “Kedaulatan Undang-Undang”. Jauh sekali DAP mahu setia kepada Raja, apatah lagi mendaulatkan Undang-Undang. Titah Raja disanggah, keputusan Mahkamah dibantah.

Singkatlah akal orang Melayu jika mahu mengikut titah perintah dan fatwa Nga dan DAP untuk menahan lapar dan dahaga tanpa sebarang ganjaran pahala, semata-mata hendak mendesak Sultan Perak membubarkan Dewan Undangan Negeri. Belum ada dalam sejarah orang Melayu menderhakai Sultan secara itu.

Mendesak Raja tidak bertempat, ternyata mereka tidak beradat.

Malaysia masih sebuah negara yang mendaulatkan sistem Raja Berperlembagaan. Belum tiba masanya untuk Malaysia menjadi sebuah Republik, dan masa itu tidak akan tiba sampai bila-bila. Jika ianya tiba juga, Malaysia sudahpun menjadi padang jarak padang tekukur.

22 May, 2009

DETIK DR. ZAMBRY TERIMA BERITA

“We won,” Dr. Zambry menunjukkan satu sms yang diterima dari peguamnya, Firos kepada saya. Riak mukanya masih tenang, tetapi seperti tidak begitu pasti.

“Let me check again,” bisik Dr. Zambry kepada saya, lalu menekan-nekan butang telefon bimbitnya seperti menulis sms. Tidak sampai seminit lepas itu, Dr. Zambry menunjukkan saya satu lagi sms yang diterimanya, “Yes, unanimous!”.

Saya lihat air muka Dr. Zambry terpancar keyakinan dan keceriaan.

"Tahniah bos," dengan terharu lantas saya menjabat tangannya.

Perbuatan saya itu dilihat oleh seluruh hadirin dalam Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River. Secara spontan mereka bangun bertepuk dan bersorak kegembiraan. AJK Umno Bahagian Tanjong Malim terus menyerbu Dr. Zambry dan bersalam mengucapkan tahniah.

Hadirin menerima isyarat itu sebaik sahaja selesai menonton video bertajuk “Keganasan Terlampau” mengenai kekecohan Sidang DUN Perak pada 7 Mei lalu.

“Kejayaan ini kejayaan kita semua,” berkali-kali Dr. Zambry mengungkapkan perkataan itu setiap kali menerima ucapan tahniah atas keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Tiga hakim memberikan undi sebulat suara kepadanya.

Detik-detik bersejarah dalam politik Perak ini berlaku dalam Majlis Pelancaran Serentak Mesyuarat Umno Cawangan-cawangan dalam Bahagian Tanjong Malim petang tadi. Pemberita dan jurugambar yang hadir sibuk merakamkan suasana kegembiraan itu.

Setelah suasana menjadi tenang sedikit, Setiausaha Bahagian, Sulong Jamil menjemput Pengerusi Biro Agama, Ustaz Mohd Sharafi membaca doa kesyukuran diikuti nyanyian lagu Negaraku dan lagu UMNO, “Bersatu, Bersetia, Berkhidmat”.

Selesai sahaja lagu itu dinyanyikan, Dr. Zambry dijulang oleh AJK Bahagian, walaupun mulanya dia agak keberatan diperlakukan sebegitu. Saya memberikan laluan untuk Dr. Zambry terus menyampaikan ucapan.

Ucapannya tambah meyakinkan, gambaran keyakinan beliau untuk terus berkhidmat kepada rakyat Perak dengan lebih berkesan.

Seperti dijangka, Nizar, Ngeh dan Nga tidak akan berpuas hati. Janganlah keliru, mereka sememangnya bersikap begitu.


UCAPAN DR. ZAMBRY SELEPAS MENDAPAT BERITA KEPUTUSAN MAHKAMAH (SLIM RIVER 22 MEI 2009)


SIDANG MEDIA SEBAIK SAHAJA DR. ZAMBRY BERUCAP PERASMIAN SERENTAK MESYUARAT AGUNG CAWANGAN UMNO BAHAGIAN TANJONG MALIM DTSG, SLIM RIVER

21 May, 2009

UNDANG-UNDANG DI KACAMATA PEMBANGKANG

Ketika ini Mahkamah Rayuan di Putrajaya sedang mendengar rayuan berhubung kedudukan Menteri Besar Perak, dan mungkin keputusannya akan diumumkan beberapa jam lagi. Dr. Zambry telah berjaya membuat rayuan untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11hb Mei lalu mengisytiharkan Nizar selaku Menteri Besar yang sah, kemudian Nizar pula membuat rayuan supaya rayuan Dr. Zambry itu ditolak. Kedua-duanya didengar serentak hari ini.

Belumpun Mahkamah Rayuan membuat keputusan, beberapa hari lalu ada pemimpin PAS, termasuk Mohd Sabu, sudah membuat telahan kononnya hakim-hakim yang dipilih untuk mengendalikan kes ini akan berpihak kepada Dr. Zambry. Nampaknya pakatan pembangkang sudah tahu apa yang akan berlaku hari ini. Dengarnya tidak ramai pemimpin pakatan pembangkang yang mengikuti perbicaraan kes rayuan tersebut, tidak seperti kehadiran mereka ketika Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang memihak pada Nizar pada 11 Mei lalu. Ketika itu Nizar hadir ditemani ramai juak-juaknya, termasuk Lim Kit Siang. Hari ini mereka entah ke mana.

Perkara ini menjadi tandatanya kepada saya. Apakah para pemimpin pakatan pembangkang tahu lebih awal setiap keputusan yang akan diumumkan oleh Mahkamah, atau ada perkara lain yang mereka lakukan bagi mempengaruhi keputusan Hakim. Mereka terlalu yakin Hakim akan berpihak kepada Nizar pada 11 Mei, tetapi tidak yakin pula dalam kes rayuan hari ini. Pada 11 Mei di Mahkamah Tinggi, hanya seorang Hakim yang mendengar dan membuat keputusan, tetapi di Mahkamah Rayuan hari ini, tiga Hakim terlibat.

Apakah mereka telah gagal untuk mempengaruhi Hakim-hakim yang akan mengendalikan rayuan ini di luar Mahkamah?

Yang pasti, saya sudah tahu apa reaksi pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang terhadap sebarang keputusan Mahkamah Rayuan. Sekiranya keputusan memihak kepada Dr. Zambry, maka Nizar, Ngeh Ko Ham, Nga Kor Meng dan kuncu-kuncunya akan mengutuk dan melebalkan Hakim-hakim sebagai tidak adil, berat sebelah, rasuah, menolak kehendak rakyat, kehakiman sudah mati, demokrasi sudah mati dan macam-macam lagi. Segala-galanya mati bagi mereka.

Mereka akan menjaja di seluruh negara kononnya mereka dianiaya oleh Hakim-hakim dan Mahkamah, dan akan menghasut rakyat supaya membenci sistem kehakiman negara. Ngeh dan Nga yang peguam itupun akan berlagak pandai kononnya merekalah yang lebih tahu mengenai undang-undang berbanding Hakim-hakim. Apakan tidaknya, Sultan Perak yang pernah menjadi Ketua Hakim Negara pun mereka sanggah dalam soal memilih Menteri Besar Perak, inikan pula Hakim-hakim yang begitu kecil di kacamata Nizar, Ngeh dan Nga.

Sebaliknya jika keputusan memihak kepada mereka, maka segala bentuk pujian akan dibuat terhadap Hakim dan Mahkamah. Menjajalah pula mereka kepada rakyat bahawa keputusan Mahkamah itu membuktikan mereka berada di pihak yang benar dan Hakim membuat keputusan yang cukup adil, telus dan demokratik.

Pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang itu meletakkan sistem kehakiman dan undang-undang negara ketika ini di bawah tapak kaki. Sikap itu hanya boleh ditarbiahkan secara undang-undang rimba, kerana mereka juga mengamalkan cara sedemikian.

18 May, 2009

WANITA, PINGAT DAN TITAH RAJA

Ketika aku menghadiri satu majlis tahlil di sebuah masjid di Felda Besout 4 dua hari lalu, seorang pemimpin wanita cawangan berkali-kali melahirkan rasa gembiranya kepadaku kerana tahun ini dia dianugerahkan pingat kebesaran oleh DYMM Sultan Perak. Berkali-kali bibirnya mengungkapkan terima kasih kepadaku kerana mencadangkan namanya untuk mendapat pingat itu, Pingat Pekerti Terpilih (PPT).

Tahun lalu aku terlepas peluang mencadangkan nama-nama mereka yang banyak berjasa untuk menerima anugerah Istana, kerana negeri berada di bawah pakatan pembangkang. Tahun ini aku mendapat semula kuota itu, dan kesemua lima orang yang aku cadangkan telahpun diperkenankan oleh Tuanku Sultan.

Di raut wajah wanita lebih separuh abad itu tergambar keceriaan dan kepuasan. Dia tersenyum lebar hingga membuatkan matanya menjadi agak sepet. Dia memang telah banyak menaburkan bakti selama lebih 20 tahun membimbing aktiviti wanita, khususnya di tanah-tanah rancangan Felda. Malahan ketika aku tiba agak awal hari itu, aku sempat menjenguk kerja gotong royong memasak di dewan orang ramai berdekatan masjid. Aku lihat wanita ini seperti biasa bertungkus lumus bersama ahli-ahlinya memasak dan menyediakan juadah untuk jamuan selepas majlis. Antara juadahnya, masak lemak ikan masin bercampur nangka muda, yang sememangnya makanan kegemaranku.

Malam yang sama juga aku menerima jemputan untuk satu jamuan di kediaman Timbalan Perdana Menteri di Bukit Damansara, tetapi aku tidak dapat menolak untuk bersama rakyat yang sudah dari awal mengharapkan aku datang. Dan salah seorang daripadanya adalah wanita berjasa ini.

Besar sungguh baginya anugerah PPT, yang sudah tentu dapat menguatkan rasa taat dan setia wanita ini terhadap Sultan. Dari segi hairakinya, PPT berada di atas sedikit dari PJK, tetapi jauh ke bawah daripada anugerah Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Dato', malah lebih jauh daripada anugerah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Dato' Seri.

Pagi esok wanita ini akan ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk menerima anugerah itu. Dia memilih untuk mengadap Sultan, walhal pagi esok juga dia sepatutnya berapa di Putrajaya bagi menerima satu anugerah lain dari pihak Felda. Itulah tanda taat setia dan cinta kasihnya kepada Paduka Seri Tuanku Sultan Perak. Sudah tentu dia tidak akan berbaring di atas jalan menghalang kenderaan Raja Muda, jauh sekali untuk membantah titah Tuanku memilih Menteri Besar Perak dengan mengheret perkara itu ke mahkamah.

Wanita ini mendaulatkan titah Raja. Dia tidak berpura-pura, tidak seperti sikap Dato' Ngeh Ko Ham yang mendapat DPMP, mahupun Dato' Seri Nizar Jamaluddin yang mendapat SPMP.

Aku juga akan ke Istana esok, bagi memenuhi jemputan dan untuk melihat wanita ini menerima pingatnya.


GEMBIRANYA PUAN HAJJAH MUSRIFAH BERSAMA PINGAT
(Foto jam 11.45 pagi 19 Mei 2009)
Istana Iskandariah, Kuala Kangsar



HAJJAH MUSRIFAH MENUNGGU GILIRAN TERIMA PINGAT