16 June, 2020

WAYANG MCA TANJONG MALIM

Seminggu lalu tersiar di Facebook beberapa foto pemimpin MCA Bahagian Tanjong Malim sedang mengedarkan jajan (makanan ringan) ke Pos Gedong, sebuah perkampungan Orang Asli dalam DUN Behrang, Parlimen Tanjong Malim.

Ketua Wanitanya dilihat bersila di kelopak pintu belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda Hilux sambil menghulurkan bungkusan jajan kepada beberapa penduduk Orang Asli di situ.

Dua hari lalu tersebar pula di Facebook foto bekas calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihanraya Umum ke-14 dari parti MCA, Dr. Mah Hang Soon bersama Ketua MCA Bahagian yang baru, Goh Chong Seng berada di Felda Besout berkunjung ke rumah bekas pemimpin UMNO yang telah melompat ke kolam Parti Bersatu bersama rakan-rakan karibnya sebaik BN kalah PRU lalu. 

Perjumpaan itu adalah susulan kunjungan bersendirian Chong Seng menghantar hamper dan mungkin duit raya kepada individu sama beberapa hari sebelum berakhir Ramadhan. Itu juga disiarkan di akaun Facebook sebelum ini.

Tanpa pengetahuan UMNO Bahagian, Chong Seng menghantar hamper dan wang raya RM100 kepada sebilangan Ketua UMNO Cawangan beberapa hari sebelum Aidilfitri. Tak pasti samada sumbangan itu dari Dr. Mah atau dari bekas bosnya, Ong Ka Chuan seteru Mah.

Itulah antara pendekatan pimpinan baru MCA Bahagian nak beli semula jiwa pemimpin Melayu bagi menebus dosa mereka memboikot calon BN dari MCA sendiri dalam PRU14 lalu. Kumpulan yang kini memimpin MCA Bahagian, ketika itu kecewa bila OKC tak dicalonkan semula. Mereka melakukan tunjuk perasaan di Putrajaya membantah pencalonan MHS dan pulang berkempen secara terang menyeru penyokong dan pengundi, termasuk ke kampung Orang Asli, supaya jangan undi BN tapi undi PH.

MCA sabotaj MCA. Akhirnya MHS tewas akibat perbuatan khianat sebilangan pemimpin MCAnya sendiri, walaupun hanya menagih seciput undi kaum Cina untuk kemenangan BN. Kesannya calon BN-UMNO turut tewas di DUN Behrang dengan majoriti lebih 400 undi.

Berdasarkan foto-foto yang berlegar di FB sehari dua ini, MHS nampaknya menyondol nak tunjuk yang dia sudah berbaik-baik semula dengan pimpinan baru MCA Bahagian Tanjong Malim yang sebelum ini telah menyembelihnya dalam PRU14 lalu. 

Mungkin mereka nak tunjuk pada umum bahawa MCA masih layak bertanding di kawasan majoriti Melayu itu. Tambahan pula UMNO dan PAS kini sudah bersatu di dalam Muafakat Nasional (MN).

Chong Seng berjaya merebut kerusi Ketua Bahagian MCA Tanjong Malim dalam pemilihan yang diadakan selepas PRU14, dari kumpulan pemimpin MCA yang bertungkus lumus mempertahankan MHS. Kini MHS ketepikan kumpulan yang bersamanya dulu, dan terjun ke kumpulan yang memboikotnya dalam PRU14 lalu. Hatinya masih berbunga untuk kembali bertanding di sini dalam PRU15 nanti. Tambahan pula kini sudah berjawatan Timbalan Presiden MCA dan Timbalan Menteri Pendidikan.

Apa yang berlaku di Tanjong Piai tidak akan berulang di Tanjong Malim, walaupun kedua-duanya sama terletak di tanjung. Malah Tanjong Piai juga tak kekal di tangan MCA dalam PRU15 berdasarkan persetujuan dengan UMNO Johor dan UMNO Bahagian itu sebelum PRK lalu.

Di Tanjong Malim, 60 daripada 63 Cawangan UMNO telah mengusulkan supaya calon dari parti UMNO bertanding di kerusi Parlimen Tanjong Malim dalam PRU15 nanti. UMNO Bahagian juga telah membawa usul itu ke Mesyuarat Perwakilannya dan telah diluluskan sebulat suara. Usul itu juga telah dipanjangkan ke BN dan UMNO Pusat. Siapa calonnya terpulanglah kepada pucuk pimpinan menentukan.

Nasihat saya selaku Pengerusi BN Bahagian Tanjong Malim, sebaiknya MHS tidak persia-siakan masanya yang semakin terbatas sebelum PRU15. Carilah kerusi lain yang lebih sesuai buat dirinya. Setelah Parti Gerakan meninggalkan BN, antara kerusi yang kini kosong dan boleh ditandingi MCA di Perak termasuklah Teluk Intan, Beruas dan Taiping. Itupun jika Timbalan Presiden MCA itu masih mahu juga bertanding di Negeri Perak. 

MCA yang hebat itu boleh bertanding di banyak kerusi lain di negeri lain, termasuk Kepong, Damansara, Seremban, Kota Melaka yang majoriti pengundinya Cina.

Tak mungkin UMNO Tanjong Malim menerima seorang yang bersekongkol dengan pengkhianat yang telah turut sama menyebabkan kejatuhan BN di Pusat dan Negeri dalam PRU14 lalu. Tak mahu juga perbuatan sabotaj itu berulang dalam PRU15 nanti.

#janganbuangmasa
#pru15dahdekat
#disiplinparti

No comments: