Sidang DUN Perak sudah dua hari berlalu. Walaupun diwarnai kekecohan akibat sikap keterlaluan Adun-Adun pembangkang, tetapi hati saya berasa cukup puas. Saya tidur nyenyak dengan penuh kepuasan di sepanjang perjalanan pergi dan balik menaiki bas dari Ipoh ke Sri Perdana di Putrajaya untuk menghadiri majlis jamuan makan malam Perdana Menteri bersama Kelab ADUN BNBBC seluruh negara.
Longe-suit yang saya pakai sejak pagi semasa persidangan agak merimaskan, tetapi tidak menghalang diri saya tidur lena dengan rasa puas. Hati saya puas bukan kerana mengingatkan sikap pembangkang yang sekali lagi mensarkaskan persidangan, tetapi puas kerana telah dapat meluahkan isihati saya yang terpendam di Dewan yang mulia. Sudah hampir dua tahun saya tidak mendapat peluang berbahas secara berkesan akibat gangguan dan kekecohan dalam dua persidangan sebelum ini.
Dalam Sidang Dewan pada 28 Oktober lalu, saya berpeluang membahaskan Bajet 2010, tetapi diganggu oleh sikap tidak sopan Adun-Adun pembangkang, khususnya Adun Tronoh, V. Sivakumar yang tiba-tiba bangun menyambung semula sidang haramnya ketika Dewan sebenar sedang bersidang. Apa yang dapat saya bahaskan ketika itu hanyalah mendesak Speaker, Dato’ R. Ganesan mengenakan tindakan tegas terhadap Sivakumar kerana cuba menjadikan Dewan seperti sarkas.
Rabu lalu suasana begitu berlainan sekali. Kesemua Adun pembangkang telah keluar meninggalkan Dewan ketika sessi perbahasan terhadap usul menjunjung kasih ke atas titah perasmian DYMM Pemangku Sultan Perak yang dibawa oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir. Dewan menjadi begitu aman dan amat sesuai bagi perbahasan tanpa diganggu oleh pekik lolong pembangkang.
Sebaik sahaja pembahas pertama, Adun Pengkalan Hulu, Dato’ Seri Diraja Tajol Rosli Ghazali selesai berbahas, saya lantas bangun mencuba nasib dan mata Timbalan Speaker, YB Hee Yit Foong tertumpu tepat ke arah saya walaupun ketika itu Adun Trong, Datuk Rosli Husin juga bangun. Saya tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi untuk diberi peluang, tetapi berasa lega apabila mulut YB Hee memanggil “Slim”, nama kawasan yang saya wakili.
Sebaik sahaja pembahas pertama, Adun Pengkalan Hulu, Dato’ Seri Diraja Tajol Rosli Ghazali selesai berbahas, saya lantas bangun mencuba nasib dan mata Timbalan Speaker, YB Hee Yit Foong tertumpu tepat ke arah saya walaupun ketika itu Adun Trong, Datuk Rosli Husin juga bangun. Saya tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi untuk diberi peluang, tetapi berasa lega apabila mulut YB Hee memanggil “Slim”, nama kawasan yang saya wakili.
Ibarat menyambut buah yang sekian lama ditunggu, saya lantas bertekad di dalam hati untuk menggunakan masa 20 minit itu bagi membawa sebanyak mungkin masalah rakyat di Negeri Perak, khususnya dalam kawasan Slim.
Saya mengambil pendekatan untuk tidak menyentuh isu politik negeri kerana telah banyak disentuh oleh Adun Pengkalan Hulu sebelum itu. Lagipun saya merasakan tiada gunanya bercakap soal politik ketika semua Adun pembangkang berada di luar. Hati dan fikiran saya ketika itu meronta-ronta untuk melaksanakan tugas hakiki selaku wakil kepada rakyat, iaitu membawa masalah rakyat dalam Sidang Dewan.
Saya terus menyentuh masalah pelajar lepasan SPM yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Setiap tahun seramai kira-kira 200,000 remaja lepasan SPM di seluruh negara terkandas dalam pelajaran, dan dalam tempoh lima tahun lalu jumlahnya menjangkau sejuta orang. Kebanyakan mereka tiada hala tuju, yang akhirnya boleh mengheret mereka terjebak dalam aktiviti negatif.
Saya mencadangkan supaya Kerajaan menyediakan lebih banyak peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran samada dalam bidang akademik mahupun kemahiran. Saya memuji langkah UiTM mengadakan kelas pra-diploma dengan kelulusan minima lima kredit bagi pelajar lepasan SPM mengikutinya.
Saya juga menyarankan Kementerian Belia dan Sukan supaya memberikan lebih tumpuan terhadap belia, berbanding situasi semasa di mana acara sukan terlalu difokuskan dengan peruntukan yang begitu besar.
Saya juga meminta Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri supaya segera menaiktaraf kemudahan infrastruktur dan frasarana pembelajaran di sekolah-sekolah luar bandar kerana itulah antara faktor berlakunya kemerosotan pelajar, sama ada di Sekolah Kebangsaan (SK), SJK (Cina) ataupun SJK (Tamil). Kegagalan pelajar akibat kemiskinan keluarga juga perlu diatasi dengan menyediakan lebih banyak peluang mendapat biasiswa di kalangan mereka.
Saya turut menyarankan supaya pelajar-pelajar di kawasan pendalaman yang berpotensi berjaya dalam pendidikan, khususnya di kalangan masyarakat Orang Asli, disediakan kemudahan asrama supaya mereka dapat belajar dengan tekun tanpa memikirkan pelbagai masalah untuk hadir ke sekolah.
Yayasan Perak pula digesa menyediakan lebih banyak dana bagi membantu pelajar-pelajar miskin untuk meneruskan pelajaran, samada untuk tujuan membayar yuran, menyediakan pakaian, buku rujukan dan juga mendapatkan makanan berkhasiat.
Selain isu pendidikan, buat sekian kalinya saya menyentuh masalah penempatan generasi kedua Felda dan meminta Kerajaan Negeri meluluskan tapak bagi membolehkan rumah-rumah dibina untuk mereka. Kerajaan Negeri juga diminta segera melupuskan status tanah GSA di kawasan yang sesuai dibangunkan penempatan anak-anak peneroka di tanah rancangan Felda. Masalah ini sebenarnya begitu menghimpit kehidupan mereka sejak sekian lama. Kebanyakan anak peneroka sudahpun berkeluarga dan begitu mengharapkan tempat tinggal yang selesa di tanah rancangan Felda.
Selain isu pendidikan, buat sekian kalinya saya menyentuh masalah penempatan generasi kedua Felda dan meminta Kerajaan Negeri meluluskan tapak bagi membolehkan rumah-rumah dibina untuk mereka. Kerajaan Negeri juga diminta segera melupuskan status tanah GSA di kawasan yang sesuai dibangunkan penempatan anak-anak peneroka di tanah rancangan Felda. Masalah ini sebenarnya begitu menghimpit kehidupan mereka sejak sekian lama. Kebanyakan anak peneroka sudahpun berkeluarga dan begitu mengharapkan tempat tinggal yang selesa di tanah rancangan Felda.
Di dalam kawasan saya, terdapat lapan buah tanah rancangan Felda, tiga di Gugusan Trolak dan lima di Gugusan Besout. Selain itu dua lagi terletak dalam DUN Behrang dalam Parlimen Tanjong Malim iaitu kampung saya sendiri Felda Sungai Behrang dan Felda Sungai Klah. Bilangan penduduk keseluruhannya menjangkau hampir 40,000 orang.
Pembinaan jalan baru dari Felda Gugusan Besout ke Kuala Slim yang tertangguh pembinaannya sejak Ogos tahun lalu juga sempat saya sentuh. Jalan sepanjang 11 km dengan kos asal RM46 juta begitu penting kepada masyarakat peneroka di Felda Gugusan Besout untuk keluar berurusan di Slim River. Saya meminta supaya kerja-kerja dapat digerakkan semula bagi kepentingan rakyat di kawasan saya.
Selain itu saya meminta Kerajaan supaya menaiktarafkan Jalan Persekutuan antara Slim River ke Tanjong Malim untuk dijadikan dua lorong sebagaimana jalan antara Bidor ke Slim River.
Isu pembalakan dan penerokaan tanah secara haram di SKC dan Hutan Simpan Changkat Ramu juga saya sentuh. Aktiviti ini yang berlaku secara berleluasa sejak bertahun-tahun lalu perlu dibendung secara tegas oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan negeri kehilangan hasil dan rakyat sekitar menggigit jari melihat kerakusan peneroka haram. Saya meminta supaya bahagian penguatkuasa memainkan peranan lebih berkesan bagi mengheret peneroka-peneroka haram ini ke muka pengadilan.
Saya juga meminta supaya perpustakaan awam dapat dibina secepat mungkin di Tanjong Malim bersesuaian dengan kewujudan UPSI, Politeknik Sultan Azlan Shah, MRSM Felda dan Institut Tadbir Tanah Negara (INSTUN) di kawasan ini.
Nasib masyarakat Orang Asli juga saya sentuh dengan menggesa aganesi-agensi kerajaan dan swasta yang mengusahakan tanah-tanah rezab Orang Asli supaya memberikan pendapatan bulanan yang setimpal dengan hasil yang dikeluarkan. Rata-rata keluarga Orang Asli menerima pendapatan antara RM200 hingga RM300 sebulan, sedangkan keluasan tanah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri membolehkan mereka mendapat lebih dari itu.
Niat murni Kerajaan Negeri mahu mengeluarkan masyarakat Orang Asli dari kepompong kemiskinan tidak akan tercapai sekiranya agensi-agensi berkenaan tidak sama membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat berkenaan. Dengan pendapatan di bawah RM300 sebulan, mereka masih berada jauh di bawah paras kemiskinan.
Saya juga meminta Kerajaan Negeri mempercepatkan penubuhan Institut Tahfiz bagi kepentingan pelajar-pelajar Islam di negeri ini. Ini adalah langkah murni bagi melahirkan lebih ramai tahfiz di kalangan generasi muda Islam.
Dengan celahan soalan dari rakan-rakan Adun BN yang lain, saya berjaya mencuri masa selama hampir 40 minit membahaskan perkara-perkara di atas. Hati saya benar-benar puas kerana dapat meluahkan permasalahan rakyat di dalam Dewan, biarpun apa yang saya bawa itu tidak mendapat tempat dalam akhbar-akhbar arus perdana keesokan harinya. Kesemua akhbar melaporkan episod kekecohan yang dicetuskan Adun-Adun pembangkang.
Maka tidak benarlah dakwaan pembangkang bahawa persidangan DUN Perak kali ini tidak memberikan tumpuan kepada masalah rakyat. Malahan mereka juga berpeluang membawa masalah rakyat di kawasan yang diwakili jika setiap Adun berkenaan berpegang kepada amanah yang telah diberikan oleh pengundi.
Kekecohan yang mereka timbulkan tidak membolehkan persidangan berlangsung lebih lama. Bagaimanakah mahu mengheret persidangan sehingga lima hari sebagaimana yang mereka kehendaki, sedangkan mereka hanya mampu bertahan selama satu jam dan selepas itu bertindak meninggalkan Dewan? Itulah yang saya persoalkan dalam tulisan saya sebelum ini, apakah mereka yakin bahawa sikap mereka akan lebih bertamadun untuk mengheret persidangan selama lima hari sebagaimana Nizar harapkan? Perlakuan mereka Rabu lalu sudahpun memberikan jawapannya.
Kepada seluruh rakyat Negeri Perak, nilaikanlah sikap Adun-Adun DAP, PKR dan PAS ini. Mandat yang telah diberikan untuk membawa dan menyelesaikan masalah rakyat telah mereka abaikan. Keutamaan mereka ketika ini bukanlah membantu menyelesaikan masalah rakyat, tetapi mereka telah menyukarkan lagi Kerajaan Negeri untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
Nilaikanlah sebaiknya sebelum membuat keputusan dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti.
1 comment:
kepuasan dalam menyampaikan hasrat rakyat khususnya pengundi kita UMNO dan BN di DUN Slim amat membanggakan saya, perkara ini akan saya war-warkan..walaupun akhbar arus perdana sibuk highlight kekecohan pembangkang sarkas dalam sidang DUN , namun dato berjaya meluahkan dan menyuarakan apa yang terpendam dari seluruh pengundi DUN Slim dan rakyat Perak amnya.TAHNIAH DATO. SYAM TROLAK Selatan
Post a Comment