Dahulu masyarakat orang asli Kampung Orang Asli Kuala Bil berhampiran Ladang Clunny dalam DUN Behrang mengadu kepada saya masalah anak-anak mereka yang tidak boleh ke sekolah jika paras air sungai naik. Penduduk kampung juga terpaksa mengharung sungai jika mahu menyeberang. Ada yang terpaksa memikul basikal menyeberangi sungai.
Aduan itu saya terima sekitar tahun 2005, ketika saya menganjurkan majlis berbuka puasa dan solat tarawih di kampung itu bersama masyarakat orang asli beragama Islam. Semuanya kerana jambatan gantung sudah tidak selamat digunakan sedangkan itulah laluan mereka untuk keluar ke sekolah dan pekan.
Beberapa kali Tok Batin datang ke pejabat saya mengadukan hal itu. Akhirnya pada awal 2006, saya mendapatkan sedikit peruntukan di bawah PIAS sebanyak RM60,000 bagi pembinaan jambatan baru bagi mengatasi masalah itu.
Pembinaan jambatan itu siap dibina pada pertengahan tahun 2006. Sejak itu, beberapa kali Tuan Haji Junid, Ketua Kampung Rasau memberitahu saya hasrat penduduk Kampung Kuala Bil meminta saya merasmikan jambatan baru itu. Saya gembira kerana masalah mereka selesai, tetapi tertangguh dari bulan ke bulan untuk memenuhi hasrat mereka itu.
Pada 7 November lalu, saya dapat meluangkan masa ke kampung itu. Senang hati saya melihat jambatan itu. Dan saya tahu hati masyarakat Orang Asli kampung itu juga lapang dan tidak bimbang lagi untuk menyeberangi sungai. Kegembiraan itu dapat saya lihat dari gerak tarian Sewang dan buah tangan petai yang saya terima.
Turut sama dalam majlis itu Ahli Parlimen Tanjong Malim, Dato' Seri Ong Ka Chuan dan Ketua Wanita Bahagian yang juga Adun Hulu Kinta, Dato' Rusnah Kassim.

2 comments:
Kat Kuala Bil ok. Tolong la tengok2 sikit ulu slim......jalan sekerat tar sekerat tanah merah....pastu jalan yang masuk ke kg2 ulu slim tu.jalan nak kesurau pun masih tanah merah.bayangkanlah.
Jalan dari Ulu Slim ke Pos Bersih sedang dalam pembinaan, termasuk jalan yang dimaksudkan. Jalan ke Surau masih tanah merah? Harap dapat berbincang dengan Ketua Kampung supaya perkara ini dapat diketengahkan kepada Ahli Parlimen atau Adun Behrang. Selaku Ketua Umno Bahagian, saya juga sedia membantu menyelesaikan masalah ini, mungkin melalui peruntukan PIAS tahun hadapan. Terima kasih atas laporan.
Post a Comment