17 November, 2009

DARI BAGAN KE KOTA


Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, Umno menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah menjadi kosong, semalam. Tambahnya, Barisan Nasional (BN) bersedia menghadapi pilihanraya kecil di kawasan berkenaan.

Ketika ini, Umno dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu. Sekiranya Mahkamah Rayuan menolak, maka akan berlakulah pilihanraya kecil di DUN Kota Siputeh. Maka buat sekian kalinya sejak PRU12 lalu, jentera parti-parti yang bertanding dari seluruh negara akan sekali lagi berkhemah bagi memastikan kemenangan calon masing-masing.

Rasanya demam Pilihanraya Kecil Bagan Pinang di Negeri Sembilan masih belum kebah. Jika PRK itu berlaku, maka berpindahlah pula tumpuan jentera dari bagan (Bagan Pinang) ke kota (Kota Siputeh), setelah sebelum itu berenang di kuala (Kuala Terengganu), direndam di permatang (Permatang Pauh), berdakian di bukit (Bukit Gantang), bertitian di batang (Batang Ai), berebut butir-butir manik (Manik Urai) dan sekali lagi berkubang di permatang (Permatang Pasir). Cuma BN tidak ikut berjoget rentak Anwar di Bukit Selambau.

Apapun, BN tidak pernah gentar untuk menghadapi pilihanraya. Ini dapat dilihat dari kenyataan Dato’ Seri Najib yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno. Rayuan ke mahkamah untuk menangguhkan keputusan bukan bermakna kita takut. Rayuan itu sekadar mengikut prosedur biasa.

DUN Kota Siputeh terletak di utara negeri Kedah, bersempatan Thailand. Terletak dalam Parlimen Jerlun. Mempunyai sejumlah 19,771 pengundi dengan 91.7 peratus daripadanya kaum Melayu, 7.5 peratus Cina, 0.2 peratus India dan 0.6 peratus lain-lain kaum terutamanya suku kaum Siam.

Dalam PRU12 lalu, calon BN Dato' Abu Hassan Sarif (Umno) memperolehi 8,160 undi mengalahkan calon Pas Ismail Wan Teh dengan majoriti 495 undi. Dalam PRU sebelum itu, Dato' Abu Hassan menang dengan majoriti 1,573 undi mengalahkan calon Pas Abdul Wahab Rahman.

Tunggulah apa keputusan Mahkamah Rayuan. Baik apa juga yang diputuskan, BN akan akur dan sedia menghadapi apa juga cabaran. Jentera Pilihanraya BN dan Umno Negeri Perak sentiasa bersiap sedia membantu.

Semangat di Bagan Pinang masih membara. Lawan tetap lawan.

No comments: