
Itulah sebenarnya tahap status ulamak yang ada pada diri Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat. Dengan meminta orang ramai mendoakan supaya orang lain ditimpa musibah, gelaran ulamak semakin menyimpang dari diri Nik Aziz. Puncanya, hanya satu perkara yang berkaitan dengan kebendaan dan keduniaan.
Semalam Nik Aziz menggesa rakyat Kelantan mendoakan kehancuran Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak jika Kerajaan Pusat enggan memberi royalti minyak.
Perlakuan Nik Aziz itu bukanlah suatu yang mengejutkan. Sudah banyak “fatwa” negatif keluar dari mulutnya. “Tidak salah berkawan dengan syaitan”, “Allah juga mencarut”, “Tak salah DAP hina Islam”, “Menyokong Umno tak masuk syurga” dan lain-lain lagi “fatwa” songsangnya. Semuanya bertujuan untuk mengelirukan rakyat supaya diri dan partinya mendapat sokongan politik.

Apabila Nik Aziz membuat arahan mendoakan kehancuran insan lain, bermakna satu lagi sifat Rasullullah s.a.w. tercabut dari tubuhnya. Rasullullah s.a.w. tidak pernah meminta para sahabat dan pengikutnya mendoakan kehancuran musuh-musuhnya, termasuk Abu Jahal dan Abu Lahab yang kejam itu. Jika mengaku diri itu ulamak, sepatutnya dia mendekatkan diri dengan sifat-sifat Rasulullah dan para sahabat.
Tindak-tanduk Nik Aziz kebelakangan ini menampakkan dirinya dalam situasi amat terdesak. Dia sedar bahawa sokongan rakyat terhadapnya semakin jatuh menjunam, termasuk dari pemimpin dan penyokong partinya sendiri. Atas rasa tertekan itulah Nik Aziz cuba menjadikan Dato’ Seri Najib sebagai kambing hitam sebagai korbannya sempena 'Idil Adha.

Ketika dia masih menjadi Menteri Besar, pemimpin di bawahnya sudah mula berbicara soal siapa penggantinya, kononnya supaya tidak timbul kekalutan dalam Kerajaan Negeri. Dalam erti kata lain, kekalutan itu akan muncul jika Nik Aziz meninggal dunia, sedangkan sehingga nafas terakhirnya, dia tidak menunjukkan siapakah yang lebih layak di kalangan anak didiknya untuk menerajui Kerajaan Kelantan.
Maka di dada-dada akhbar, termasuk yang pro-Pas, muncullah beberapa nama terutamanya tiga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Dato’ Ahmad Yaakob, Dato’ Husam Musa dan Nik Mohd Amar Nik Abdullah. Husam sudahpun menolak untuk jawatan itu, tetapi dia tahu segala keputusan banyak bergantung atas kehendak Nik Aziz dan Pas Pusat.
Dahulu Pas itu Nik Aziz, dan Nik Aziz itu Pas. Tetapi situasi ini tidak lagi wujud, malahan sebilangan besar pemimpin Pas Pusat sudah hilang hormat kepadanya selaku Mursyidul Am.

Desakan Nik Aziz supaya diadakan Muktamar Agung Pas (EGM) bagi membolehkan beberapa pemimpin tertentu dilucutkan jawatan tidak menjadi kenyataan, sebaliknya Pas Pusat pula menekan beliau supaya menggugurkan menantunya, Ariffahmi Abdul Rahman dari jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Nik Aziz terpaksa akur dengan tekanan itu.
Nik Aziz menafikan dirinya menghadapi tekanan dalam soal pengguguran jawatan menantunya. Dalam ayat untuk menyedapkan hati, Nik Aziz berkata “Tak ada tekanan, biasa la. Sebelum ini saya tekan (Pas) pusat melalui cadangan pemilihan baru parti, sekarang pusat tekan saya”. Tetapi hakikatnya Nik Aziz telah ditekan supaya memecat menantunya.

Nik Aziz kini diasak teruk dari dalam partinya sendiri. Itu belum diambil kira isu tajaan syarikat yang mendapat projek iklan bagi Nik Aziz dan keluarganya menunaikan haji dengan pakej lumayan dan kesan kekalahan teruk Pas dalam PRK Bagan Pinang.
Nik Aziz cuba mengalihkan tumpuan rakyat terhadap isu-isu yang semakin menghimpitnya. Kambing hitamnya adalah pemimpin nombor satu negara, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak. Maka disuruhlah rakyat mendoakan kehancuran Najib, supaya dalam sibuk berdoa itu, tembelang Nik Aziz yang semakin membusuk itu dapat dilupakan. Inilah strategi kotor Nik Aziz yang dianggap ulamak itu.
