Semalam Pegawai Daerah dan Ketua-ketua Jabatan Daerah Batang Padang menunjukkan skil luar biasa, memberikan jaminan akan menyelesaikan segera setiap masalah rakyat, setelah rakyat mengemukakan masalah itu kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir. Ternyata matlamat Menteri Besar turun padang dalam siri program Sehari Bersama Pelanggan mencapai kejayaan luar biasa.
Setelah selesai menyampaikan ucapan kira-kira setengah jam, Dr. Zambry terus membuka majlis untuk rakyat bertanya apa juga perkara yang menjadi masalah mereka. Sesi soal jawab ini berlangsung selama lebih dua jam, dan selama itulah Dr. Zambry berdiri di hadapan rostrum. Bermula dari masalah kuari yang beroperasi berhampiran taman perumahan di Kota Malim Prima sehinggalah soal hak milik tanah di Jalan Ulu Slim yang sudah berpuluh tahun menunggu kelulusan. Nampak gayanya, semua akan beres.
Aneh sungguh, masalah sama yang diperjuangkan oleh wakil-wakil rakyat sejak bertahun-tahun telah dapat diselesaikan hanya dalam tempoh 3 jam. Sudah hampir kering air liur, bergantang dakwat dan sebabun kertas surat digunakan oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat, rupa-rupanya masalah itu sekelip mata selesai dengan kehadiran Menteri Besar! Sebahagian besar masalah yang dikemukakan rakyat terhadap MB telah dapat diberikan akujanji oleh Pegawai Daerah dan Ketua-ketua Jabatan untuk diselesaikan seberapa segera yang mungkin. Maka seronoklah rakyat. Rahmatlah kehadiran MB bagi mereka.
Tidak dinafikan masih banyak masalah rakyat yang belum selesai, khususnya berkaitan tanah. Salah satu puncanya adalah sikap sebilangan kakitangan kerajaan yang tidak memberikan sepenuh perhatian bagi menyelesaikan segera aduan dan permohonan rakyat. Mereka mahu menunggu kehadiran Menteri Besar!
Bukanlah menghairankan wujudnya sikap negatif di kalangan sesetengah ketua jabatan dan kakitangan kerajaan terhadap wakil rakyat. Sikap memperlekehkan surat-surat sokongan wakil rakyat sering berlaku, sehingga wujudnya penimbunan fail di atas meja dan di dalam laci. Itu belum diambil kira yang dibakulsampahkan.
Selaku wakil rakyat, kehadiran individu sama membawa masalah yang juga sama beberapa kali ke pejabat bukanlah sesuatu yang asing. Apabila surat sokongan wakil rakyat tidak dilayan oleh jabatan kerajaan, maka rakyat akan merujuk semula masalah itu kepada wakil rakyat. Wakil rakyat membuat follow-up secara menelefon dan menulis surat ingatan, itupun selalunya tidak memberi apa-apa kesan.
Ada kes tanah yang berlarutan sehingga berpuluh-puluh tahun tidak dapat diselesaikan, sedangkan wakil rakyat sudah bertukar ganti. Malahan Ketua Penolong Pegawai Daerah (CADO) yang berperanan selaku Pentadbir Tanah juga sudah bertukar dari seorang ke seorang yang lain. Borang permohonan tanah yang diisi oleh rakyat dan surat sokongan wakil rakyat yang mulanya berwarna putih menjadi lapuk berkulat sehingga kekuningan akibat terlalu lama dibiarkan tanpa sentuhan. Mereka hendak menunggu kehadiran Menteri Besar!
Inilah yang saya bangkitkan semasa membahaskan ucapan terima kasih atas Ucapan Dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. Sudah tiba masanya kakitangan kerajaan mengubah sikap. Perubahan yang hendak dibawa oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak mencakupi segenap sudut, bukan semata-mata perubahan di kalangan orang politik sahaja. Kakitangan kerajaan merupakan antara mereka yang berada di benteng hadapan bagi memerangi masalah rakyat. Sudah tiba masanya mereka turut dipersalahkan, bukan lagi menunggu hukuman rakyat terhadap parti pemerintah setiap kali pilihanraya.
Ucapan Dr. Zambry siang tadi amat berterus terang dan sudah pasti dapat memuaskan hati rakyat. Rakyat tidak perlu lagi takut untuk berhadapan dengan Pegawai Daerah, Ketua-Ketua Jabatan dan pegawai-pegawai kerajaan. Yang penting bagi rakyat adalah memastikan masalah mereka dapat diselesaikan mengikut waktu yang munasabah. Ingatan Dr. Zambry kepada kakitangan kerajaan pula adalah supaya mereka segera memproses permohonan rakyat.
Janganlah menunggu sehingga Tuanku Sultan atau Menteri Besar turun ke padang baru masalah itu cepat-cepat diselesaikan. Wakil rakyat adalah wakil kepada rakyat dan wakil kepada Tuanku Sultan dan Menteri Besar.
Dari rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat.
UCAPAN DR. ZAMBRY DI SLIM RIVER
4 comments:
Assalamu'alaikum, Datok.
Walaupun bunyinya saolah olah MB Perak telah datang dgn "Magic wand"nya dan semua masa'alah yang di-ketengah kan akan selesai - dalam masa yang 'munasabah'... Saya tidak yakin!
Saya cadangkan pihak datok - menggunakan biro2 dlam UMNO Bhgn - menyenaraikan perkara2 yang di-bangkitkan mengikut fungsi biro2 tersebut: Umpamanya hal ekonomi kepada biro ekonomi; hal pendidikan kepada biro pendidikan; hal 'local goverment' kepada Ahli ahli majlis; hal tanah kepada...biro? etc. etc.
Biro biro dan badan badan ini pula menjadikan perkara perkara tersebut sebagai agenda mereka dan mereka melapor kepada AJK Bhgn/Datok.
Saya fikir baru ada folowup yang sistematik. Kalau tidak.... saya tak yakin.
Waalaikumsalam. Terima kasih abang Manan. Insyaallah saya akan minta biro-biro Umno Bahagian memantau setiap aduan yang telah dibuat. Catitan sebanyak 39 soalan ada saya simpan. Dan terima kasih kerana melawat blog saya ini. Wassalam.
Kes tanah bukan setakat kita buat surat saja. Tiap tiap kali dewan bersidang aku bercakap soal tanah. Tapi UMNO ni sombong tak tentu hala. Terlampau takut kat pegawai kerajaan. Tanah hak milik pegawai mudah lulus. Tanah yang rakyat mintak mampuih la.......Tengok la mcm nizar buat. Mudah saja bleh lulus dan terus mendapat tempat di hati rakyat. UMNO jgn dok mengada byk byk. Buat saja. Mana pegawai kerajaan yang byk songeh tu, tukag atau buang saja negeri. Byk lagi anak orang UMNO nak kerja.
Saya amat bersetuju dgn pendapat saudara. Saya ada pengalaman sebegini d taiping sewaktu Datok Malik dulu.
Saya rasa pegawai kerajaan & wakil raayat sendiri ada faktor yg menjadikan isu2 rakyat tertangguh atau terbengkalai lama.
Pegawai kerajaan - masih d takat lama. tidak secekap yg d harapkan & banyak dgn pilitik pejabat.
Wakil raayat - tidak serious dlm menangani isu raayat. mereka lbh penting isu peribadi.
Ini sebahagian faktor yg amat lumrah dlm permasaalahan raayat.
Berapa byk isu raayat yg kita lihat d tangani YB dlm akhbar terutama YB UMNO? Akhbar main peranan dlm jatuh bangunnye populariti seseorg YB.
Jika peg kerajaan tidak endah dgn arahan atau followup YB, renung kembali. apakah itu tanda YB itu tidak d hormati lagi atau hny YB pd dasar aje.?
Saya byk lihat isu2 sedemikian sepanjang kareer saya d pelusuk tanah air.
Post a Comment