31 December, 2009

KARANGAN SEORANG PELAJAR DI SABAH



Kepada pelajar yang mahu memasuki alam persekolahan awal tahun 2010, saya mengucapkan selamat menempuh dunia baru. Kepada guru-guru, bersabarlah. Khidmat baktimu amat dihargai untuk membina generasi gemilang.

Ini karangan dari seorang pelajar di Sabah disiarkan oleh rakan Facebook, Miracle S. Bulkiah.

"Tajuk terima kasih datuk (4)

Pada suatu hari, saya ikut datuk saya pigi sawah, kerana datuk saya pigi tingu air mana tau takering sudah. Nanti kena makan suruk nanti tu akar padi dia bilang.

Selepas itu, saya pun jalan-jalan di sawah. Punya saya tekajut, dekat sudah saya terinjak seketul ular talampau betul besar. Saya pun palan-palan gustan. Tapi ular itu tedengar saya tekantut. Trus dia tingu saya. Buduh, kenapa saya bolih tekantut ni? Itulah sepa suruh mama saya kasi makan saya telur tadi pagi. Tingu nga saya tekantut.

Saya sangat takut. Punyalah saya begagar. Saya tidak semua dapat becakap. Saya takut kalau ular itu bubut saya macam karabau dulu. Matilah ni. Saya nampak ular itu bejalan sudah pigi tampat saya. Sayapun sembayang harap-harap ada tikus limpas supaya tu ular pigi tangkap trus saya boleh lari. Tapi teda juga tikus limpas. Nasib baik datuk saya datang dan memukul ular itu. Terima kasih datuk."

Teringat zaman saya di Sabah 1986-1994. Banyak bahasa yang digunakan oleh pelajar ini adalah bahasa seharian di sana. :)

29 December, 2009

ISU MASJID - TANGGUH KALI KE-3

Akibat sikap Pegawai Tadbir Agama (PTA) Slim River yang terus mahu berpolitik dalam perlantikan ahli jawatankuasa masjid, majlis penyerahan tauliah yang dijadualkan esok (30 Disember) terpaksa ditangguhkan lagi.

Ini adalah penangguhan kali ketiga, selepas tindakan yang sama diambil pada 11 dan 21 Disember lalu.

Orang Besar Jajahan (OBJ) Batang Padang, Dato’ Seri Yeop Junior Yeop Adlan terpaksa menangguhkan majlis esok setelah menerima panggilan PTA Slim River, Mokhlis Husain yang mengatakan berlaku kesilapan terhadap senarai penerima tauliah.
                                                       
 
MOKHLIS HUSAIN, 
PTA Slim River





Dato’ Seri Yeop Junior ketika dihubungi berkata, atas perkenan DYTM Raja Muda Perak, beliau telahpun mengarahkan PTA supaya mengadakan majlis penyerahan tauliah kepada masjid-masjid yang tidak terlibat dalam isu perubahan nama jawatankuasa dalam Mukim Slim dan Mukim Hulu Bernam.

OBJ telah meminta Mokhlis supaya tujuh masjid lain yang senarai nama jawatankuasanya telah diubah oleh PTA berkenaan tanpa restu beliau sebelum ini dikeluarkan dari senarai penerima esok sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Arahan saya kepada PTA cukup mudah, mengatur majlis untuk penyerahan tauliah kepada masjid-masjid yang tidak bermasalah. Tetapi beliau memberitahu saya bahawa keraninya tersilap menyenaikan nama penerima tauliah esok. Saya terpaksa mengarahkan supaya majlis itu ditangguhkan,” katanya dalam nada kesal.

Sehingga kini tidak dapat dipastikan manakah tujuh masjid yang diletakkan dalam kategori bermasalah itu. Sebelum ini saya telah melaporkan sebanyak 11 masjid telah berubah senarai jawatankuasanya iaitu Masjid Sultan Idris Shah II, Masjid Kampung Kelan, Masjid Jamek Kampung Kuala Slim, Masjid Jamek Slim Village, Masjid Jamek Kampung Balun, Masjid Jamek Kampung Pasir dan Masjid Jamek Kampung Rasau dalam Mukim Slim.

Sementara dalam Mukim Hulu Bernam pula melibatkan Masjid Behrang 2020, Masjid Jamek Tanjung Malim, Masjid Jamek Kampung Sungai Dara dan Masjid Jamek Behrang Stesen.

Tidak pula diketahui apakah kesilapan yang telah berlaku terhadap senarai penerima, dan sehingga pagi tadi, PTA tidak mahu mendedahkan senarai itu kepada OBJ dan dan dua penghulu mukim berkenaan, seolah-olah ada rahsia besar yang mahu disorokkan.

Inilah yang berlaku sebelum ini terhadap nama-nama Pengerusi dan ahli jawatankuasa beberapa masjid yang diubah sesuka hati oleh PTA berkenaan pada saat-saat akhir, tanpa merujuk semula kepada OBJ yang mewakili DYMM Sultan selaku Ketua Agama Islam Negeri, malahan jauh sekali memaklumkannya kepada Penghulu Mukim yang turut diberikan peranan membincangkan senarai berkenaan.

Amat jelas bahawa di bawah Kaedah 3(1) Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 memperuntukkan bahawa “Pegawai Tadbir Agama dan Penghulu setelah berunding dengan Orang Besar Jajahan, hendaklah mencadangkan kepada Majlis melalui Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, ahli Jawatankuasa Kariah bagi jawatan yang dinyatakan dalam subkaedah (2)(a) hingga (j) dalam Borang JK 1 Jadual Pertama”.

Dalam kaedah ini ternyata PTA tidak boleh sesuka hatinya mengubah nama-nama yang telah dibincangkan dengan Penghulu dan telah dirundingkan dengan OBJ, tetapi dalam kes di Mukim Slim dan Hulu Bernam, secara jelas PTA mengubah nama-nama Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa beberapa masjid tanpa memaklumkannya semula kepada OBJ dan Penghulu.

Tetapi pemimpin dan blogger Pas, termasuk beberapa pegawai kanan di Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), memutarbelitkan Enakmen ini seolah-olah PTA mempunyai kuasa penuh untuk mengubah nama-nama yang telah dibincangkan dengan OBJ dan Penghulu, sedangkan siapakah PTA mahu berbuat demikian sehingga membelakangkan OBJ yang mewakili DYMM Tuanku di peringkat daerah.

Tindakan OBJ mengarahkan supaya majlis penyerahan tauliah esok ditangguhkan sudah pasti bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini, di mana berkemungkinan penerimanya tidak mengikut senarai asal yang telah dipersetujui.

Satu mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAIMP) akan diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 9 Januari nanti dipengerusikan oleh DYTM Raja Muda Perak yang akan turut membincangkan isu perubahan nama-nama ahli jawatankuasa masjid di seluruh negeri.

Semoga kemelut ini yang berpunca dari percubaan pegawai-pegawai JAIP dan PTA mengheret institusi masjid ke kancah politik dapat diselesaikan dalam mesyuarat berkenaan.

Masjid bukanlah gelanggang untuk berpolitik. Jika ada pegawai JAIP dan PTA mahu bermain politik, letaklah jawatan berkenaan dan bersilatlah secara terang dalam arena.

NASIHAT MB KEPADA PENGARAH JAIP









IPOH 27 Dis. - Datuk Mohamah Nor Mansor perlu lebih bertanggungjawab terhadap kedudukan beliau sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dengan mengetepikan sebarang fahaman politik ketika melaksanakan tugas.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sebagai penjawat awam, beliau berharap Mohamah Nor sedar yang beliau dilantik kerajaan negeri.

''Maka beliau dan pegawai-pegawai agama di bawah JAIP mestilah melaksanakan tugas mengikut arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri," katanya.

Zambry bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Keibubapaan dan Kekeluargaan 1Malaysia di Politeknik Ungku Omar (PUO), di sini semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Mohamah Nor yang menafikan beliau bermain politik berikutan aduan perubahan dalam senarai nama Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid yang telah diperkenankan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Pada 16 Disember lalu, ADUN Slim, Datuk Khusairi Abdul Talib mendakwa, JAIP telah menukar senarai AJK beberapa masjid di kawasan tersebut dan memasukkan nama pemimpin serta penyokong Pas.

Antara yang terbabit, Masjid Sultan Idris Shah II, Masjid Kampung Kelan, Masjid Jamek Kampung Kuala Slim, Masjid Jamek Slim Village, Masjid Jamek Kampung Balun, Masjid Jamek Kampung Pasir dan Masjid Jamek Kampung Rasau.


 DATO' MOHAMAH NOR





Turut didakwa mengalami perubahan senarai nama Masjid Behrang 2020, Masjid Jamek Tanjung Malim, Masjid Jamek Kampung Sungai Dara dan Masjid Jamek Behrang Stesen, kesemuanya terletak dalam mukim Ulu Bernam.

Khusairi mendakwa, beliau turut menerima laporan pertukaran nama itu melibatkan beberapa masjid dalam kawasan Parlimen Bagan Serai, Sungai Siput dan Kuala Kangsar.

Mengulas lanjut, kata Zambry, Mohamah Nor tidak boleh mencampuradukkan permainan politiknya dalam sebarang keputusan membabitkan jabatan kerana ia boleh menjejaskan fungsi dan peranan JAIP.

Bagaimanapun, jelas Menteri Besar, sehingga kini, beliau masih bersangka baik terhadap Pengarah JAIP itu walaupun ada beberapa aduan dibangkitkan berhubung peranan dan tanggungjawab Mohamah Nor.

''Ini (aduan) bukanlah kali pertama. Tetapi saya masih memilih untuk bersangka baik terhadap beliau. Nasihat saya supaya beliau lebih berhati-hati kerana sebagai Pengarah JAIP, tanggungjawabnya sangat besar kepada orang Islam.

''Kita tidak mahu unsur-unsur politik keterlaluan dicampur aduk dalam hal dan keputusan berkaitan jabatan. Jika ini berlaku, saya bimbang JAIP tidak dapat berfungsi sebagai jabatan yang baik dan berkesan," katanya.

Ditanya kemungkinan tindakan disiplin dikenakan terhadap Pengarah JAIP itu, Zambry berkata, setiap penjawat awam harus mengikut prosedur yang ditetapkan kerajaan negeri.

''Tindakan akan diambil jika mereka ingkar. Kita tidak mahu ada keputusan yang dibuat di luar prosedur ditetapkan,'' katanya.

Menjawab satu soalan, Zambry berkata, tidak menjadi kesalahan bagi Mohamah Nor untuk menafikan bahawa beliau telah mengubah senarai nama AJK masjid seperti yang didakwa.

''Saya tidak mahu berprasangka tidak baik dan menghukum beliau. Apa pun keputusan yang dikeluarkan JAIP, ia mestilah keputusan bersama dan bukan seorang individu," katanya. - Utusan Malaysia

27 December, 2009

GAJI PEMANDU PUNCA KEMALANGAN?



                                                                                                                                                            Foto ehsan The Star

Benarkah  gaji asas yang diterima oleh pemandu bas ekspres milik syarikat Bumiputera begitu rendah sekitar RM450-RM500 sebulan? Dengan gaji asas yang rendah itu, mendorong pemandu-pemandu itu mengejar trip tambahan supaya boleh mendapat elaun lebih, tanpa memperdulikan prestasi tubuh.

Seorang kenalan yang pernah bekerja sebagai pemandu bas ekspres di sebuah syarikat milik Bumiputera berkata, mereka sentiasa berusaha untuk membuat sekurang-kurangnya dua trip setiap hari untuk perjalanan jauh bagi mendapatkan elaun tambahan.

Beliau memberi contoh, seorang pemandu yang sudah memandu selama lebih 5 jam dari Kuala Lumpur-Kangar, akan berusaha pula mengejar trip berikutnya pada hari yang sama samada menuju semula Kuala Lumpur atau destinasi lain.

“Malahan ada pemandu yang membuat sehingga tiga trip sehari untuk perjalanan jauh, semata-mata mahu mendapatkan elaun tambahan,” katanya kepada saya. Setiap trip mereka dibayar sekitar RM40-RM60!

Jika benarlah apa yang dikatakan oleh kenalan saya itu, maka tidak hairanlah jika ada pemandu bas ekspres yang berada di bawah tahap kecerdasan – keletihan dan mengantuk sehingga tidak dapat memberikan tumpuan ketika memandu.


                                                                                                                                                                 Foto ehsan The Star

Mungkin inilah punca Mohd Kamil Mohd Rashid, 38, pemandu Sani Express terlelap sehingga menyebabkan bas yang dipandunya terbabas dan merempuh penghadang jalan di Kilometer 272.8, Lebuhraya Utara-Selatan dekat Plaza Tol Jelapang (arah utara) pukul 1.00 pagi Sabtu lalu, menyebabkan 10 terbunuh dan 3 cedera.

Sudah tiba masanya pihak berwajib, samada Kementerian Pengangkutan atau Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mengenakan syarat ketat terhadap syarikat-syarikat yang mengendalikan bas ekspres, khususnya dalam soal tangga gaji pemandunya.

Jika benarlah tangga gaji asas pemandu bas ekspres bagi kebanyakan syarikat pengangkutan milik Bumiputera berada pada tahap yang begitu rendah, tidak hairan sekiranya pemandu mereka berlumba-lumba mahu mengejar trip untuk pendapatan tambahan.

Tidak ada seorang pemandupun yang mahukan supaya bas yang mereka pandu terlibat dalam kemalangan, dan tidak ada di antara mereka yang sukakan penumpang mereka kehilangan nyawa. Cuma masalahnya apabila ada pemandu yang memaksa diri membawa lebih trip kerana mahu menambah pendapatan keluarga.

Bagi mereka jika tak buat begitu, tidak cukup pendapatan untuk menampung kehidupan dan selalunya dalam kepala mereka memikirkan soal susu anak di rumah, beras di kepuk, bekalan air dan elektrik yang sudah nak dipotong, yuran sekolah anak-anak yang belum berbayar, pakaian dan buku sekolah anak-anak yang belum dibeli, tuan rumah yang menyalak mahukan sewa, kereta yang nak kena tarik dan pelbagai masalah akibat tidak cukup pendapatan.

Apabila keghairahan mengejar trip ini berlaku, maka mangsanya adalah penumpang tidak berdosa yang terlalu bergantung harap kepada seorang pemandu untuk mengendalikan kenderaan tumpangan mereka dengan selamat.

Yang lebih merisaukan sekiranya pemandu terlalu memaksa diri sehingga berada di bawah kawalan dadah atau mengambil minuman seperti kopi khas bertujuan merangsang otak. Pihak JPJ patut sering membuat spot check bagi mengesan tahap diri pemandu bas ekspres, dan bukan hanya melakukannya setelah terjadi sesuatu kemalangan.

Kita berharap supaya syarikat-syarikat bas ekspres menitikberatkan kebajikan pemandu dengan memastikan mereka mendapat tangga gaji yang setimpal dengan beban tanggungjawab sebagai pengendali stering yang melibatkan nyawa manusia. Tugas ini bukan mudah dan risiko yang mereka pikul di bahu terlalu besar. Mereka boleh dianggap profesional kerana memandu kenderaan besar dengan membawa penumpang yang ramai bukanlah satu kerja mudah.

Foto dari Kosmo

AL-FATIHAH
dan
TAKZIAH

Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban. Semoga peristiwa sedih seumpama ini tidak berulang di masa hadapan. Insyaallah.

24 December, 2009

PENGARAH JAIP NAFI KELUAR KENYATAAN RASMI






PENGARAH JAIP, DATO' SHEIKH MOHD NOR MANSUR AL-HAFIZ


Agak menghairankan – siapakah yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan rasmi Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) di dalam laman web jabatan itu mengenai masalah perlantikan ahli jawatankuasa khariah masjid di Negeri Perak pada 21 Disember lalu?

Pengarah JAIP, Dato' Sheikh Mohd Nor Mansur Al-Hafiz ketika menghubungi saya sebentar tadi berkata, beliau tidak pernah membenarkan sebarang kenyataan rasmi dibuat berhubung isu ini, dan menyatakan rasa terkejutnya dengan apa yang disiarkan.

Kenyataan rasmi JAIP itu boleh dibaca di sini http://idhamlim.blogspot.com/2009/12/kenyataan-rasmi-mengenai-permasalahan.html

“Adalah pihak tertentu di jabatan yang pandai-pandai mengeluarkan kenyataan ini tanpa merujuk kepada saya atau Timbalan saya,” kata Dato' Sheikh Mohd Nor yang ketika menghubungi saya, beliau dalam perjalanan ke Lumut untuk melawat anaknya.

Kenyataan rasmi JAIP itu antara lain menjelaskan proses pemilihan ahli jawatankuasa masjid di Negeri Perak, dan dalam ayat seolah-olah mahu membela tindakan PTA menukar nama pada senarai asal, kenyataan itu menulis begini :

“Apa yang pasti, pindaan yang dikatakan dilakukan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah adalah dilakukan dengan berdasarkan peruntukkan undang-undang dan dilakukan sebelum ianya dikemukakan bagi mendapatkan kelulusan Persidangan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak. Tidak berlaku langsung apa yang didakwa sebagai pertukaran dibuat setelah mendapat perkenan DYTM Raja Muda Perak, sebagai Yang Dipertua Majlis memandangkan tidak ada pihak yang mengetahui senarai yang dikemukakan kepada Majlis melainkan pihak Jabatan Agama Islam Perak".

Malahan beberapa pemimpin dan blogger Pas menjadikan kenyataan rasmi itu sebagai sumber rujukan untuk menegakkan benang basah dan menghentam Umno. Antaranya Pesuruhjaya Pas Negeri Perak, Ahmad Awang di dalam blognya berkata begini :

"Merujuk kepada kenyataan rasmi mengenai permasalahan perlantikan AJK kariah berkenaan yang dikeluarkan oleh pengarah Jabatan Agama Islam Perak Dato’ Sheikh Mohd Nor Mansor Al-Hafiz bertarikh 21 Disember 2009, jelaslah membuktikan bahawa UMNO Perak cuba hendak menimbulkan permasalahan dan fitnah terhadap pentadbiran Agama Islam Perak khususnya terhadap PTA yang kononnya memandai-mandai menukarkan nama-nama dalam senarai AJK yang telah diluluskan dengan menggantikannya dengan nama-nama baru yang tidak disenaraikan. Padahal apa yang sebenarnya berlaku bahawa senarai yang dikemukakan UMNO tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan, maka kaedah-kaedah Jawatankuasa Kariah 1998 digunakan bagi mengemukakan senarai nama cadangan AJK kariah yang kemudian diluluskan oleh Majlis" - Ustaz Ahmad Awang

Dalam nada suara yang amat kesal, Dato' Sheikh Mohd Nor memberitahu saya bahawa pada hari Isnin nanti, beliau akan menyiasat siapakah yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan itu di dalam portal rasmi JAIP dan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan.

Beliau berkata, masalah itu sepatutnya sudahpun selesai dalam pertemuannya dengan Pegawai Tadbir Agama (PTA) Slim River pada 17 Disember lalu. Ketika itu beliau telah menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan PTA tersebut mengubah nama-nama yang telah dibawa dalam perbincangan dengan Orang Besar Jajahan (OBJ) dan Penghulu Mukim dan meminta supaya menyeraikan semula nama-nama asal.

Pengarah JAIP itu menambah, majlis penyampaian tauliah untuk Mukim Slim dan Hulu Bernam akan diadakan pada 30 Disember nanti dan telah mengingatkan PTA supaya menjemput saya dan Adun Behrang untuk turut sama hadir.

Kepada Dato' Sheikh Mohd Nor, saya yakin dengan keikhlasan Dato' dalam isu ini. Soalnya kini, siapakah di pejabat JAIP yang cuba menggunakan kuasa Pengarah?

ISU MASJID - MANA SATU SENARAI ASAL?

Tergelak besar saya membaca artikel putar alam yang ditulis oleh beberapa pemimpin Pas berkaitan isu pertukaran nama Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa masjid di Negeri Perak, khususnya di Mukim Slim dan Hulu Bernam. Begitu juga dengan kenyataan rasmi oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) yang disiarkan oleh blog Cina Muslim milik Adun Pas Titi Serong, YB Khalil Idham Lim Abdullah.

Saya turunkan semula beberapa petikan kenyataan putar belit yang amat mengelirukan daripada mereka untuk tatapan semua :

GELAK 1


"UMNO yang berpura-pura taat setia menjunjung titah Raja dengan slogan “Daulat Tuanku” sekali lagi menzahirkan sifat derhakanya kepada DYMM Sultan Perak, apabila beria-ia membantah perlantikan AJK kariah (masjid) negeri Perak Darul Ridzuan bagi sessi 2009-2012.

Kini AJK kariah yang telah dipersetujui perlantikannnya bagi seluruh negeri Perak oleh persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak, hendak dirampas kuasa pula oleh UMNO, terutamanya di beberapa daerah pentadbiran agama seperti Slim River, Sungai Siput, Kuala Kangsar, Lenggong dan Bagan Serai.

Zambry MB UMNO itu tahu bahawa senarai AJK kariah yang dikemukakan partinya tidak dibuat berdasarkan Kaedah-kaedah J/kuasa Kariah 1998, iaitu mengikut kaedah 3 (1) yang memperuntukkan bahawa Pegawai Tadbir Agama (PTA) dan Penghulu, setelah berunding dengan Orang Besar Jajahan (OBJ) hendaklah mencadangkan kepada Majlis, melalui Pengerusi J/kuasa Agama Islam (kini Zambry sendiri penjawatnya) senarai nama cadangan AJK kariah bagi jawatan yang dinyatakan dalam sub-kaedah (2) yang berkaitan.

UMNO selama-lamanya menyalahguna kuasa dengan mengemukakan senarai AJK kariahnya sendiri tanpa melalui PTA dan Penghulu apatah lagi OBJ.

Merujuk kepada kenyataan rasmi mengenai permasalahan perlantikan AJK kariah berkenaan yang dikeluarkan oleh pengarah Jabatan Agama Islam Perak Dato’ Sheikh Mohd Nor Mansor Al-Hafiz bertarikh 21 Disember 2009, jelaslah membuktikan bahawa UMNO Perak cuba hendak menimbulkan permasalahan dan fitnah terhadap pentadbiran Agama Islam Perak khususnya terhadap PTA yang kononnya memandai-mandai menukarkan nama-nama dalam senarai AJK yang telah diluluskan dengan menggantikannya dengan nama-nama baru yang tidak disenaraikan. - dari blog Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang.


GELAK 2


"Umno Perak didakwa cuba memutar belit dan mempolitikkan isu perlantikan Ahli Jawatan Kuasa Masjid di negeri itu selepas mereka tidak berpuas hati dengan senarai baru yang telah disahkan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.

Perkara sebenar disebalik itu adalah kerana Umno tidak berpuas hati apabila kerajaan negeri Pakatan Rakyat sebelum ini membiarkan kaedah betul diguna semasa membuat pemilihan untuk disenaraikan.

Selain tuduhan tersebut berniat jahat dan tidak berasas, ianya juga satu penderhakaan terang terangan terhadap senarai yang telah diperkenan Tuanku Raja Muda Perak. Tindakan UMNO mempertikai senarai yang diumumkan adalah bagi saya telah menderhakai perkenan DYTM Raja Muda Perak.

Pengarah dan pegawai JAIP tidak semudah tuduhan yang dilemparkan itu untuk meminda senarai yang telah diperkenan Tuanku.

Umno cuba mengenepikan Istana demi mencapai hasrat mereka menguasai masjid. Kalau ikutkan, orang Umno memang tidak layak, orang kampung sendiri pun tak mahu orang Umno jadi Ajk masjid sebab mereka tak pergi masjid pun." - kenyataan YB Khalil Idham Lim kepada Harakahdaily.

GELAK 3


"Adun BN Slim River, Datuk Khusairi Abdul Talib telah bertindak melampaui bidang tugasnya sebagai ADUN. Tugas beliau menjaga dan memperjuangkan hak rakyat di DUNnya. Tetapi beliau telah bertindak biadab dan ingkar apabila mempertikaikan perkenan Tuanku dan menuduh JAIP mengubah senarai yang telah diluluskan oleh MAIP.

Beliau begitu lantang mengecam JAIP yang kononnya mengubah keputusaan Tuanku kerana memasukkan beberapa ahli PAS menganggotai Jawatankuasa Masjid tersebut. Pada hal senarai yang diluluskan oleh MAIP itulah yang sebenarnya.

Tindakan Adun Slim yang mahu nama-nama ahli PAS digugurkan dalam senarai tersebut menyebabkan Pengarah JAIP terpaksa turun untuk berunding dengan Adun tersebut. Pada saya tidak sepatutnya Pengarah JAIP melayan Adun tersebut untuk tunduk mengikut telunjuk UMNO BN. Isu ini menjadi kecoh sehingga orang ramai tidak puas hati. Ikuran tindakan Adun BN yang biadab, sombong, angkuh dan ingkar itu menyebabkan majlis penyerahan watikah perlantikkan terpaksa ditangguhkan.

Berikutan itu, Tuanku Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perak telah menitahkan supaya perlantikkan Jawatankuasa Qaryah bagi mukim Slim, Batang Padang kekal berdasarkan senarai asal yang dipersetujui pada 2hb. Ogos 2009, bukannya senarai yang mengikut telunjuk UMNO BN.

Orang Besar Jajahan (OBJ) Batang Padang, Datuk Seri Yeop Junior Yeop Adlan berkata beliau telah menerima arahan dari Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah supaya membuat pelantikan jawatankuasa masjid dalam mukim Slim berdasarkan senarai asal yang dipersetujui sebelum ini.

Pada hal beliaulah (Khusairi) yang paling tidak beretika dan membelakangkan senarai yang telag diperkenankan oleh Tuanku Raja Dr. Nazrin. Kalaulah Adun PAS apatah lagi YB Hj Nizar yang berbuat demikian, sudah pasti UMNO akan jaja merata kampung sampai ke luar negara menuduh Hj Nizar derhaka pada Tuanku. Sekarang siapa sebenarnya yang derhaka dan biadab pada Tuanku?" - dari blog Misbahul Munir

GELAK 4

"Syukur Alhamdulillah, kerana 'Raja Nazrin arah guna senarai asal'. Semoga Allah berkati Tuanku!

Keputusan tersebut diambil selepas Baginda mempengerusikan satu mesyuarat MAIAIMP yang telah diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar kelmarin.

Tiada apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh pihak PTA atau JAIP dalam pengendalian senarai Jawatankuasa Masjid bagi sesi 2009 – 2012.

Berikutan itu, beliau telah mengarahkan pegawai tadbir agama (PTA) daerah berkenaan supaya mengeluarkan surat pelantikan secepat mungkin". - dari blog Alhusseyn

GELAK 5


"Oleh kerana senarai yang dikemukakan oleh ketiga-tiga pihak ini berbeza dengan senarai yang dicadangkan oleh pihak yang memberikan cadangan awal tersebut, maka ianya dijadikan isu seolah-olah Pegawai Tadbir Agama berniat jahat membuat pindaan dan pertukaran daripada senarai asal yang pada hakikatnya tidakpun diperkenankan oleh pihak Majlis.

Apa yang pasti, pindaan yang dikatakan dilakukan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah adalah dilakukan dengan berdasarkan peruntukkan undang-undang dan dilakukan sebelum ianya dikemukakan bagi mendapatkan kelulusan Persidangan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak. Tidak berlaku langsung apa yang didakwa sebagai pertukaran dibuat setelah mendapat perkenan DYTM Raja Muda Perak, sebagai Yang Dipertua Majlis memandangkan tidak ada pihak yang mengetahui senarai yang dikemukakan kepada Majlis melainkan pihak Jabatan Agama Islam Perak". - kenyataan rasmi dari laman web Jabatan Agama Islam Perak (JAIP)

INI PULA ARTIKEL MALAYSIAKINI YANG DIPUTARBELITKAN OLEH PEMIMPIN DAN BLOGGER PAS


"Orang Besar Jajahan (OBJ) Batang Padang, Datuk Seri Yeop Junior Yeop Adlan berkata beliau telah menerima arahan dari Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah supaya membuat pelantikan jawatankuasa masjid dalam mukim Slim berdasarkan senarai asal yang dipersetujui sebelum ini.

Raja Dr Nazrin juga merupakan yang dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perak (MAIAIMP).

Berikutan itu, Yeop Junior berkata, beliau telah mengarahkan pegawai tadbir agama (PTA) daerah berkenaan supaya mengeluarkan surat pelantikan secepat mungkin.

Katanya, beliau berharap majlis penyerahan watikah pelantikan tersebut dapat disempurnakan sebelum akhir tahun ini.

Menurutnya, senarai yang dipersetujui itu adalah bertarikh 2 Ogos 2009.

"Senarai yang dipinda itu tidak diterima," katanya ketika dihubungi Malaysiakini mengenai perkembangan terkini isu berkenaan" - dari laman web MALAYSIAKINI

JAWAPAN DAN SOALAN SAYA

Sebelum saya ulas lanjut, lihatlah foto-foto di bawah ini dengan teliti supaya dapat dibuat perbandingan manakah nama asal yang diluluskan dalam mesyuarat MAIAIMP pada 2 Ogos 2009 dan mana pula nama yang telah dimasukkan kemudian.




Nama yang diwarnakan kuning adalah yang telah diluluskan pada 2 Ogos 2009, sementara yang bertulis tangan adalah nama yang dimasukkan kemudian oleh tangan-tangan ghaib pegawai di pejabat PTA dan urusetia MAIPk.

Nama asal berwarna kuning adalah yang dipersetujui hasil perbincangan dengan OBJ, PTA dan Penghulu Mukim untuk dibawa dalam mesyuarat 2 Ogos 2009. Sementara yang bertulisan tangan adalah nama pemimpin Pas tegar di kampung-kampung terbabit yang dimasukkan kemudian, samada selepas mesyuarat dengan OBJ atau selepas DYTM Raja Muda memperkenankan senarai asal.

Beberapa persoalan mudah yang saya ingin kemukakan kepada Ustaz Ahmad Awang, YB Ustaz Idham Lim Abdullah, Ustaz Misbahul Munir, Alhusseyn dan JAIP sendiri -

Soalan 1 - Berapa besarkah keberanian pegawai JAIP dan Pegawai Tadbir Agama (PTA) Slim River mahu membentangkan satu senarai nama yang berconteng dengan tulisan tangan dan begitu comot untuk kelulusan dan tatapan kebawah DYTM Raja Muda Perak, Tuanku Raja Dr. Nazrin Shah yang amat dihormati dan disegani oleh seluruh rakyat jelata Negeri Perak Darul Ridzuan? Apakah tiada masa langsung untuk menaip semula pindaan nama sehingga terpaksa mempersembahkan senarai berconteng itu kepada DYTM Tuanku? Adakah senarai berconteng ini boleh dianggap senarai asal?

Soalan 2 - Jika benar berani berbuat demikian, kenapa tiada cop dan tandatangan pegawai terbabit pada nama-nama yang diubah?

Soalan 3 - Kenapa PTA Slim River menyerahkan kepada OBJ Batang Padang, Dato' Seri Yeop Junior Yeop Adlan satu senarai yang dipanggilnya "senarai asal" untuk ditauliahkan pada 21 Disember, di mana nama-nama yang dikuningkan di atas tersenarai semula, tidak seperti senarai yang dikeluarkan pada majlis 11 Disember mengikut senarai berconteng? PTA mengikut semula senarai berwarna kuning setelah OBJ memintanya mengeluarkan tauliah kepada senarai asal. Kedua-dua majlis tauliah itu ditangguhkan.

Pemimpin Pas nampaknya cuba memutarbelit dan spinning isu ini seolah-olah pihak Umno yang menderhakai DYTM Raja Muda, bertujuan untuk menutup sikap buruk mereka yang mempermainkan keputusan yang telah dibuat sama ada di peringkat mesyuarat MAIPk ataupun mesyuarat yang dipengerusikan oleh OBJ dalam menentukan senarai jawatankuasa masjid.

Apapun, sama-samalah kita tunggu mana satukah "senarai asal", samada yang ditaip dengan kemas ataupun yang diconteng oleh tangan-tangan ghaib dari pejabat JAIP dan PTA. Kemudian kita boleh menilai siapakah sebenarnya yang telah memutarbelitkan perkara perlantikan jawatankuasa masjid ini.

Paku buah keras akan dikembalikan. Insyaallah.