Malam tadi saya bertemu lelaki tinggi lampai itu di dalam satu majlis di Kampung Orang Asli Changkat Ramu dalam kawasan DUN saya. Mulanya saya hairan kenapa sejak kebelakangan ini kami sering bertemu dalam program-program melibatkan Orang Asli di sekitar Tanjong Malim. Rupanya beliau anak kelahiran Kampung Erong, sebuah perkampungan Orang Asli yang terletak berhampiran Kampung Changkat Ramu.
Sejak saya dipilih menjadi wakil kepada rakyat DUN Slim pada Pilihanraya Umum 2004, nama Juli Edo sering meniti dibibir saya setiap kali menyampaikan ucapan di perkampungan Orang Asli. Dia saya jadikan bahan motivasi kepada anak-anak Orang Asli yang masih jauh ketinggalan dalam bidang pendidikan.
Pada 1981, Juli dari suku kaum Semai ini melanjutkan pelajaran ke UKM di Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan (FSKK). Dia adalah antara pelajar Orang Asli terawal di negara ini yang melangkahkan kaki ke menara gading. Kali pertama saya berjumpa beliau ketika sama-sama bermain sepaktakraw di gelanggang berhampiran Komsis A, UKM. Dia bermain diposisi killer, sama seperti saya. Hubungan kami selepas itu semakin akrab.
SAYA DAN PROF JULI EDO Perbezaan suku kaum dan agama tidak membataskan pergaulan kami. Ketika beliau jatuh sakit dan beberapa hari tidak turun bermain sepaktakraw bersama, saya dan beberapa rakan siswa menziarah beliau di biliknya di Komsis D. Dia cukup gembira ketika itu, dan kami minum bersama dan berbual panjang.
Malam tadi saya meminta Prof Juli berucap di hadapan masyarakat Orang Asli dalam majlis yang meriah itu. Bukan sekadar penduduk di Changkat Ramu, tetapi juga dari perkampungan orang asli berhampiran seperti Buluh Seruas, Sungai Teras, Sungai Jentung, Ganggai, Chenein, Kuala Bil, Chinggung dan Sungai Lembing. Kehadiran begitu ramai kerana ada kugiran dan joget lambak.
2004 BERSAMA KAUM ASLI SUNGAI TERAS Dalam ucapannya Prof Juli memberi motivasi kepada anak-anak Orang Asli peri pentingnya pendidikan. Menurutnya, di bawah Rancangan Malaysia ke-10, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah akan membina empat Pusat Kecemerlangan Orang Asli, masing-masing di Kuala Lumpur, Ipoh, Kuantan dan Johor Bharu. Setiap daripadanya akan menempatkan seramai 1,000 pelajar Orang Asli yang cemerlang dalam bidang pelajaran untuk diberikan bimbingan lebih berkesan.
Prof Juli melahirkan rasa agak kecewa kerana dalam peperiksaan STPM tahun lalu, seramai 49 pelajar Orang Asli mendapat keputusan Sijil Penuh, tetapi hanya 26 orang yang ditawar melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Selebih 23 orang lagi ketika ini hanya tinggal di rumah.
Saya turut bersimpati dengan nasib 23 pelajar berkenaan. Seharusnya setiap pelajar Orang Asli yang lulus dan mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan diberikan keutamaan untuk mengisi tempat di pusat-pusat pengajian tinggi awam. Dengan cara ini akan dapat membantu usaha kerajaan untuk segera meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat Orang Asli di negara ini, seterusnya mereka menjadi motivasi kepada pelajar-pelajar di bawahnya.
Apapun, syabas saya ucapkan kepada Prof Juli Edo. Semoga dia terus menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak Orang Asli di seluruh negara.
Artikel berkaitan Prof Dr Juli Edo http://www.thestar.com.my/lifestyle/story.asp?file=/2004/2/23/features/6700261&sec=features
1 comment:
Salam YB,
Kasihan kpd 23 org yg cemerlang tetapi terus tinggal di rumah tidak menyambung pelajaran. Kerajaan harus lebih peka, agensi yg menjaga hal ehwal org asal mesti dijaga dengan penuh keperihatinan. Semoga YB selamat membantu anak2 di dlm ADUN YB
Salam
Post a Comment